Wednesday, March 26, 2014

JANGAN JADI PENGGANTI SYAITAN



Kepentingan ilmu dalam kehidupan sememangnya diakui oleh manusia. Ilmu dapat membebaskan seseorang daripada kejahilan dan juga kemiskinan.
Ilmu juga menjadikan manusia seorang yang patuh kepada segala suruhan Allah dan meninggalkan segala yang ditegah.
Allah berfirman: Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya adalah orang yang berilmu. (Faatir: 28)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HALIM KHALID menemu bual Pengarah Dar Taibah Sdn. Bhd., Dr. Abdul Basit Abd. Rahman bagi mengupas isu ini.

Mega: Selalunya majlis ilmu kurang diminati termasuk dalam bulan Ramadan. Bagaimana hendak mengatasi hal ini?

DR. BASIT: Ramai di kalangan kita yang tidak ambil berat majlis ilmu. Apabila tidak dibiasakan mengikuti majlis ilmu di luar Ramadan maka dalam bulan yang penuh berkat ini pun mereka masih kekok menghadirinya.

Sebab itu, pepatah Arab ada menyebut, “nafsu itu seperti bayi, kalau dibiarkan ia akan terus menyusu tetapi kalau dilepaskan ia akan lepas”.

Sepatutnya dalam bulan Ramadan di mana syaitan itu dibelenggu sebagaimana mafhum sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, umat Islam perlu ada kesedaran. Pada masa yang sama perlu ada kekuatan dan usaha untuk menaikkan taraf iman. Sebab iman itu ada pasang surutnya.

Ramadan memberi peluang yang besar kepada kita untuk melawan secara gentleman iaitu satu dengan satu dengan nafsu. Kita tidak lagi terpaksa berhadapan dengan syaitan kerana telah dibelenggu.

Justeru, kita kena istiqamah dan banyak berzikir. Ulama berkata, zikir itu bukan hanya sebut subhanallah sahaja tetapi meliputi baca al-Quran, bab halal dan haram termasuk makanan dan juga majlis-majlis tazkirah.

Bagi pelajar institusi pengajian tinggi, ada yang beranggapan rugi kalau tidak bertarawih kerana menghadiri kuliah. Betulkan tindakan ini?

DR. BASIT: Bagi pelajar, apabila bertembung jadual kuliah dengan tarawih mereka perlu bijak membahagikan masa.

Waktu menunaikan solat tarawih itu panjang iaitu bermula selepas solat Isyak hinggalah sebelum masuk waktu Subuh. Maknanya, jika menghadiri kelas malam mereka masih boleh solat tarawih.

Yang terbaik adalah cari rakan-rakan yang belum solat dan tunaikan solat tarawih secara berjemaah. Solat ini pula boleh dibuat secara ringkas. Memadai dengan hanya membaca ayat-ayat lazim selepas al-fatihah.

Ataupun, pelajar boleh pilih untuk solat sendirian. Lagipun asal ibadat sunat tarawih pun dilakukan secara individu oleh Rasulullah SAW. Baginda hanya keluar berjemaah pada beberapa malam terakhir di akhir hayatnya.

Yang menggalakkan ia dikerjakan secara berjemaah ialah saidina Umar selepas melihat solat bersendirian itu kurang meriah.

Kaedah yang sama boleh dilakukan oleh mereka yang terpaksa bertugas waktu malam seperti anggota penguatkuasa dan pasukan keselamatan.

Yang penting, jangan diabaikan sehingga tertinggal pelajaran dan jangan diabaikan tarawih. Sebabnya, Rasulullah bersabda, barang siapa yang mendirikan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosanya yang lalu. (riwayat Bukhari)

Mendirikan Ramadan bermaksud menghidupkan malamnya iaitu dengan solat tarawih dan ibadat lain. Solat tarawih termasuk dalam golongan yang disebut dalam hadis ini.



Walaupun syaitan dibelenggu, ajaran sesat dan maksiat masih berlaku dalam Ramadan. Mengapa ajaran sebegini masih ada pengikutnya?

DR. BASIT: Golongan begini sebenarnya telah terdidik oleh syaitan. Jadi apabila syaitan dirantai mereka menjadi galang gantinya.

Syaitan ‘asli’ sudah tidak ada dalam Ramadan tetapi ‘penggantinya’ masih berkeliaran. Mereka mengajak manusia melakukan perlanggaran hukum Allah dalam Ramadan.

Antara sebabnya adalah penyakit syubhat dalam diri menyebabkan manusia mudah terima benda-benda yang pelik.

Jangan pula kita hairan, kerana kadang-kadang yang disesatkan itu adalah mereka yang berpendidikan agama. Allah sesatkan mereka dalam ilmu mereka sendiri.

Demikian juga masih ramai orang lulusan agama tetapi masih terlibat dengan skim cepat kaya, saham konvensional dan lain-lain.

Ingatlah firman Allah: …dan janganlah kamu menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah…(Saad: 26)

Muslim itu bersaudara sebagaimana ayat 10 surah al-Hujurat. Apakah saranan Islam untuk memperbaiki ukhwah terutama dalam Ramadan?

DR. BASIT: Dalam bab memperbaiki hubungan silaturrahim dan persaudaraan ini Ramadan pastinya masa yang terbaik. Terutamanya menziarahi ibu bapa di kampung bertanyakan tentang makan minum mereka. Jangan tunggu hari raya sahaja baru nak pulang menziarahi mereka.

Dalam politik pun, perlu dipulihkan ukhwah Islamiah. Kita kena sayang kepada sesama Muslim seperti sayangkan diri sendiri.

Jika ada perselisihan yang dibiarkan, ia akan menghalang mendapat pengampunan dalam Ramadan. Gali balik al-Quran dan jadikannya paksi sebenar pegangan.
Sumber:

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML