Wednesday, November 5, 2014

TAK PAYAH SOLAT, BAIK HATI SUDAH



Selalu orang cakap kalau tak solat robohlah agama. 

Apa maksudnya? 

Kenapa begitu pula? 

Sedangkan orang yang tak solat pun, hati mereka baik je. Malah, hidup mereka mewah, senang dan berjaya. 

Hati pula terdetik "baik aku tak payah solat, sama je hidup aku dari dulu sampai skang, tak kaya-kaya pun." 

SOLAT SEMPURNA PENGHAPUS DOSA 

Solat adalah tiang agama. 

Solat juga adalah Rukun Islam kedua, yang wajib disempurnakan oleh setiap Muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya. 

Bila kita perhatikan, banyak hadis Nabi Muhammad SAW yang menerangkan mengenai kepentingan solat wajib lima waktu sehari semalam. 

Buktinya? 

Antaranya Abu Hurairah menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bertanya kepada sahabatnya : 

"Adakah kamu percaya bahawa kotoran melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di depan rumahnya?" 

Jawab sahabat: 

"Tidak, kotoran tidak akan melekat pada tubuhnya." 

Sabda Rasulullah: 

"Begitulah umpamanya kesan solat yang dikerjakan lima kali sehari. Dengan limpah rahmat Allah, ia menghapuskan segala dosa." 

Jabir menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

"Lima kali solat setiap hari itu adalah seumpama sebuah anak sungai yang dalam mengalir di depan pintu rumah seseorang yang mandi dalamnya lima kali sehari." 

Analogi yang diberikan oleh Rasulullah cukup cerdik dan mudah. 

Mudahkan? 

Pada umumnya, air yang mengalir adalah bersih dan tidak kotor. Lebih-lebih lagi jika air di dalam sungai pasti  airnya mengalir dan ia akan lebih jernih dan bersih. 

Mandi di dalam air sebersih itu pasti akan menghilangkan segala kekotoran yang ada pada tubuh. Ia membersihkan segala kekotoran itu. 

Solat yang dikerjakan dengan memelihara segala rukunnya samalah dengan air sungai iaitu ia akan membersihkan jiwa daripada segala dosa. 

SOLAT PENCEGAH MAKSIAT 

Abi Muslim At-Tighlibi meriwayatkan: "Sekali aku menemui Abu Umamah tatkala beliau berada dalam masjid. 

Aku bertanya sekiranya beliau benar-benar mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa apabila seseorang mengambil wuduk dengan sempurna lalu menunaikan solat fardu, Allah mengampunkan segala dosanya yang telah dilakukan pada hari itu oleh kakinya yang bergerak ke arah melakukan maksiat, oleh tangannya yang berbuat maksiat, oleh telinganya yang mendengar berita maksiat, oleh matanya yang melihat maksiat dan oleh hatinya yang terdetik ke arah maksiat.

Jawabnya: 

“Demi Allah, aku mendengar perkataan itu daripada Rasulullah berkali-kali." 

SOLAT UNTUK MENYEMBAH BUKAN MEMINTA 

Persepsi masyarakat tentang solat sebagai tempat untuk meminta-minta sahaja kadangkala menjahanamkan kekhusyukkan solat diri sendiri. 

Solat yang didirikan dengan penuh keinsafan harus berkiblatkan dengan niat hanya semata-mata kerana Allah. 

Apa maksudnya? 

Maksudnya di sini, kita solat sebagai mengiktiraf, memperakui, meyakini, mempercayai sepenuh jiwa dan raga bahawa Allah sahajalah Tuhan kita yang layak disembah. 

Dan kita sebagai seorang hamba wajib menunaikan kewajipan yang Allah suruh dengan sembah Dia 5 kali sehari. Supaya kita sedar dan sentiasa beringat bahawa  setiap masa Allah sentiasa bersama kita. 

Allah itu Maha Kreatif mencipta "solat 5 kali sehari" sebagai tawassul (pengantara) antara hamba dengan Tuhannya. Solat ini bagai "message" yang ditaip khas untuk kekasih yang kita puja untuk mengingatinya. 

Manakala doa yang diharuskan oleh Allah layaknya seperti panggilan "call" yang boleh dibuat di mana-mana sahaja, pada bila-bila waktu dan apa sahaja boleh disebut.  

Bila kita tidak solat, perkataan "baik" yang ada pada diri kita hanyalah seperti mekap yang ditempel ke muka. Apabila hujan turun basahlah mekap tersebut. 

Analogi lagi. Faham ke? 

Hanya dengan baik hati sahaja tidak cukup untuk seorang manusia menggelarkan dirinya sudah cukup baik. Apa bezanya seorang hamba yang beriman dengan baik hati? Persoalan yang akan mengerutkan dahi kita. Apa yang penting, hamba yang beriman walau diterjah dengan ujian yang sangat dahsyat, mereka tidak cepat melatah apa lagi untuk cepat berputus asa kepada Tuhan.  

Hati mereka tenang dan mudah dibuai dengan keasyikan irama Tuhannya. Lagu-lagu yang didendangkan dari kitab Al-Quran mencairkan hati yang keras dan alpa. Kadangkala pula air mata jatuh bercucuran apabila diingatkan tentang neraka dan syurga. Tidak hairan kita melihat mereka ini sanggup bersengkang mata di  sepertiga malam (bertahajjud) untuk ber"dating" dengan Kekasih hati. 

Ya, Kekasih hati, yang pada mulanya mereka susah nak menghayati kewujudanNya, tetapi dengan kesabaran , pengharapan dan keimanan mereka sedar bahawa Kekasih hati inilah yang harus dipuja.

 Itulah beza antara orang yang baik hati dengan orang beriman. 

Bagaimana pula orang beriman dengan orang bertaqwa? 

Mudah je? Bersambung.......... :) 

MARI KITA RENUNGKAN  

Tanpa agama manusia binasa. 

Tanpa ilmu manusia buta. 

Tanpa iman manusia sengsara. 

Tanpa ukhuwah manusia tersiksa 

Ada agama datangnya pelita 

Ada ilmu datangnya harta Ada harta datangnya derma 

Ada ukhuwah datangnya saudara 

Agama Tuhan dapat membina pekerti tinggi budi mulia. Seluruh dunia negara dan bangsa aman sentosa damai bahagia. Agama Islam agama yang suci. Mari bersama kita hayati untuk mendapat keredhaan Ilahi. Mudah-mudahan kita diberkati Tiada tuhan kecuali Allah Tuhan yang Esa lagi Pemurah Nabi Muhammad SAW utusan Allah. Hindarkanlah diri dari jalan yang salah, yakni jalan ke neraka. Kembalilah kita kepada Allah SWT. Dunia Akhirat pasti gembira. 



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML