Wednesday, November 5, 2014

LELAKI : STOP MENCUCI MATA ANDA



Antara nikmat Allah yang terbesar kepada bani Adam ialah MATA. 

Ianya adalah sumber ilmu, kecantikan, dan kesempurnaan. 

Nikmat yang Allah berikan kepada manusia ini supaya digunakan dengan melihat kebesaran dan kerajaan Allah yang Maha Hebat ini. 

Mata yang sentiasa beribadat kepada Allah pasti akan diharamkan daripada neraka. 

Nabi SAW. ada menyebut tentang dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: 

1- Mata yang berjaga pada jalan Allah 

2- Mata yang menangis kerana takutkan Allah. 

Antara tanggungjawab mata ialah sebagaimana tinta Imam Al-Muhasibi dalam kitabnya m/s 177: 

Dan kewajipan kepada penglihatan ialah menahan pandangan daripada perkara yang haram, dan tidak mengintai sesuatu yang dihijap dan ditutup. 

Huzaifah r.a. meriwayatkan sabda Nabi s.a.w: 

Penglihatan itu adalah panah daripada panah-panah iblis, sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, maka dia akan mendapat kemanisan iman dalam hatinya dengan kurniaan Allah .

 Abu Darda’ berkata: 

Sesiapa yang menundukkan pandangannya daripada perkara yang haram, Allah akan mengahwinkannya dengan bidadari yang dia suka, dan sesiapa yang mengintai melalui bumbung rumah orang lain, nescaya Allah akan menghimpunkannya di akhirat dalam keadaan buta. 

RASULULLAH MENEGUR 

Rasulullah pernah memerintahkan Ali bin Abi Thalib untuk memalingkan pandangannya ketika beliau dengan tidak sengaja melihat wanita bukan mahramnya. 

“Wahai Ali, janganlah engkau susuli pandangan dengan pandangan lagi, karena yang pertama menjadi bagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bagianmu.” 
(HR Ahmad, Tirmidzi dan Abu Daud). 

Dalam Al quran, Allah SWT memerintahkan menjaga pandangan sebelum perintah memelihara kemaluan. Sebab, menjaga pandangan adalah langkah awal menjaga kemaluan. Mampu menjaga kemaluan akan menutup celah maksiat yang lain. Seks bebas, rogol, zina dan pembunuhan yang kerap dilakukan para penikmat media porno. Semuanya berawal dari ketidakmampuan mereka menjaga pandangan

Sebab itulah Allah meminta kaum hawa agar menjaga auratnya supaya tidak merosakkan mata kaum adam. Mencegah lebih baik daripada merawat. Allah SWT berfirman : 

“Dan katakanlah kepada para wanita yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya….” 
( QS. An-Nur: 31). 

Malah fenomena cinta yang berkiblatkan nafsu acapkali berlaku dengan tabiat melihat kepada kecantikan luaran semata-mata. Cinta yang bermula dengan pandang-memandang, jeling-menjeling akhirnya turun ke hati. Bila hati leka dan lalai dengan buaian mimpi-mimpi kekasihnya, kewajipan seorang hamba kepada Tuhannya kian terabai. 

Realitinya, dalam konteks sekarang, menjaga pandangan tentu saja tidak cukup. Diperlukan untuk “menghilangkan” atau minimal “membatasi” media-media yang berbau pornografi. Salah satunya dengan penguatkuasaan peraturan yang “serius” untuk menyekat pengaksesan internet yang melampau dan kotor. Pihak pemerintah perlu bertegas agar generasi muda yang semakin terkenal dengan gejala sosial dan akhlak yang runtuh tidak akan menjadi "perosak" agama pada masa mendatang. 

RENUNGAN : 

Nasihat dari Ibnul Qoyyim Al-Jauziyah untuk memohon pada Allah agar menghidupkan hati kita.: 

Sungguh aneh orang yang punya keperluan dan memohon agar Allah memenuhinya, namun ia tak memohon untuk menghidupkan hatinya agar tidak terjangkit kebodohan, agar disembuhkan dari penyakit syahwat dan syubhat; sebab jika hati telah mati maka ia tak akan merasakan kedurhakaan kepada Allah.(Ibnul Qoyyim Al-Jauziyah) 

Semoga Allah menambahkan kebaikan mata kita dengan melihat zat Allah yang mulia di akhirat nanti. Dan dengan mata ini lah kita menangis kerana rindu dan takut dengan Allah swt. 

Amin.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML