Jika kita cek balik diri kita banyak benda tak betul. Kalau ilmu di dada pula sepertinya ilmu feqah zero, ilmu tauhid minus 3, ilmu tasawwuf lagi minus 10, akhlak plus 1 sahaja, sedangkan semua ilmu itu kita pernah belajar ketika sekolah dulu. Kita lupa ilmu tersebut sebab kita tak amalkan.
Apatah lagi ilmu solat yang kita amalkan, praktiskan setiap hari 5 kali. Adakah solat tersebut berjaya atau sudah mampu membendung, mencegah, mahupun menjadi perisai kepada perkara maksiat dan dosa? Adakah solat tersebut mampu melenturkan diri kita menjadi seorang mukmin yang takut dan cinta kepada Allah.
Susah. Susah. Memang susah! tetapi berusahalah...tetaplah berusaha tanpa jemu. Sedangkan Allah tidak melihat kesan/hasil malah Allah mengira setiap usaha yang kita gigihkan dengan penuh kesabaran.
Itulah tarbiyyah (didikan) yang berharga daripada Allah SWT.
MARI INGAT SEMULA
Sudahkah kita ketahui faedah pertama dari solat?
Mari cek balik.
1. “Mensucikan hati daripada segala dosa seperti penyakit-penyakit hati” : kerana pada solat itu kita menghayati kerendahan diri kita, berhajatnya dan terasa hina dan dina hati kita kepada kehebatan kebesaran Allah SWT. Sebabnya jiwa dan nafsu yang terkandung di dalam diri, karakter atau sifatnya adalah selalu ingin meninggi, takabur dan ingin megah. Maka dengan penghayatan di atas tadi di dalam solat, sucilah hati kita dari segala macam keaiban.
2. “Membuka pintu rahsia dari alam jabarut” : apabila kita hayati solat itu dengan khusyuk, ikhlas serta dengan penghayatan Al-Ihsan, Insyaallah rahsia dari alam yang tidak kita lihat dan rahsia kebesaran Allah akan disingkap dan dibukakan oleh Allah buat kita.
3. “Tempat munajat terhadap Allah” : Faedah ketiga yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Athaillah Askandary. Beliau merumuskan dalam Hakikat Kalam Hikmahnya yang ke-119 bahawa :
“Solat itu merupakan tempat berbisik-bisik (munajat) antara hamba dengan Allah SWT dan tambangan sesuatu yang sifatnya suci. Dalam solat terdapat berbagai lapangan rahsia dan begitu bersinar di dalamnya dengan berbagai sinar cahaya.”
Penjelasannya?
Dalam solat seseorang hamba dapat berdialog dengan berbisik, antaranya dengan Allah, dia membisikkan segala sesuatu kepada Allah melalui zikirNya, bacaannya yang diikuti dengan hati dan perbuatannya. Sedangkan tanggapan bisik yang sifatnya dialog itu dari Allah SWT.
Allah memberikan pemahaman ke dalam hati hambaNya sekalian dan membuka pada hati hambaNya rahsia-rahsia alam malakut dan jabarut sesuai dengan ukuran limpahanNya, melihat kepada besar kecilnya penghayatan hamba itu dalam pelaksanaan solatnya.
Inilah pengertian Hadis Nabi SAW yang berbunyi :
“Orang yang melakukan solat itu bererti berbisik-bisik yang bersifat dialog (munajat) terhadap TuhanNya.”
Dan inilah pula pengertian yang dapat kita fahami dari sabda Rasulullah SAW dalam Hadis Qudsi :
“Allah telah berfirman : Aku bahagikan solat itu antaraKu dan antara hambaKu dan berhaklah bagi hambaKu apa-apa ia mohonkan.
Apabila hamba itu berkata: Al-Hamdulillaahi rabbil ‘alamin
Allah menjawab: Aku telah dipuji oleh hambaKu.
Kemudian apabila hamba itu mengatakan : Arrahmanirrahiim
Allah menjawab: HambaKu telah memuliakan akan Daku.
Kemudian apabila dia mengatakan : Maaliki yaumiddiin
Allah menjawab : HambaKu telah menyerahkan (kedaannya) kepadaKu.
Kemudian apabila dia mengatakan: Iyyaaka na’budu wa iyyaka nasta’in
Allah menjawab: Inilah antaraKu dan antara hambaKu (dia menyembahKu dan Aku membantunya).
Kemudian apabila dia mengatakan: Ihdinash-shiraathal mustaqim, (hingga akhir ayat)
Allah menjawab: Inilah buat hambaKu dan berhaklah bagi hambaKu apa-apa yang ia mohonkan.”
Terharu kita.
Seronok bukan bila kita sudah tahu akan jawapan-jawapan Allah kepada setiap lafaz yang kita ungkapkan?
Ibarat seorang kekasih yang sedang seronok berbalas sms dengan pasangannya.
Dengan demikian maka jelas bahawa kita bersolat, ertinya bermunajat kepada Allah, memohonkan pendekatan diri kita kepadaNya. Mantaplah kecintaan hati kita itu, yang mana bersih daripada kekeruhan, kekerasan, sehingga bersambunglah kecintaan kita dengan Allah yang kita cintai dalam keadaan kemurnian dan kesucian.
4. “Tambangan atau tempat kesucian hati dan jiwa” : oleh sebab itu maka munajat kita dalam solat bertolak daripada hati yang suci dan jiwa yang murni. Kesucian hati dan kemurnian jiwa adalah lebih tinggi dan lebih halus daripada munajat itu sendiri. Kerana itulah maka salah seorang ahli fikir Islam dan Tasawuf bernama Umar Ibnul Faaridh (1180-1234H.) kelahiran Kaherah mengungkapkan syairnya sebagai berikut :
“Dan sungguh benar aku bersunyi diri serta yang tercinta, dan antara kami rahsia yang lebih halus dari angin segar apabila berhembus”.
Inilah kesucian hamba terhadap Tuhannya sehingga Dia tidak mempertaruhkan hambaNya kepada lainNya. Apabila jalinan kesucian ini telah sempurna dan kecintaan dari hamba kepada Allah merupakan kecintaan yang agung, barulah jiwa si hamba dibersihkan Allah dari segala macam hijab dan terbukalah pintu antara hamba dengan Tuhannya. Pada waktu itu jiwanya tidak sempit lagi menghadapi segala macam ujian.
5. “Keluasan lapangan berbagai rahsia dari alam maya” : kerana jiwa orang bersolat telah merasa tenang dan senang. Ia dapat berfikir dalam keluasan cahaya dari jiwa itu sendiri berkelana dalam alam malakut dan alam jabarut.
6. “Terpancar padanya cahaya rahsia Dzat Allah dan cahaya daripada sifat-sifat Allah” : dengan demikian terarahlah penghayatan batin seorang hamba kepada Allah sehingga ia lupa selainNya. Ini disebut dengan “Al-Fana”. Dan kerana sifat-sifat Allah mempengaruhi batinnya maka dia lupa dia adalah manusia dan inilah yang disebut dengan “Al-Baqa”. Maka di satu sudut dia sangat berpegang kepada Hablun minallaah dan di sudut lain dia tidak meremehkan Hablun minannaas.
MUHASABAH DIRI
Alangkah indahnya solat, pada lahiriahnya memanglah merupakan perintah Allah wajib terhadap hamba-hambaNya. Tetapi pada hakikatnya solat merupakan hubungan yang intim dan indah antara hamba dengan yang Maha Pencipta. Maka solat itu nilai dasarnya merupakan kesyukuran kita selaku hambaNya, yang dibezakan Allah dari makhluk-makhluk lainnya, sehingga jadilah kita ini sebagai khalifahNya, khususnya di atas permukaan bumi ini.
Semoga keindahan solat dapat kita rasakan dengan izin Allah dan redhaNya.
Amin. Sumber: Buku Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf (Al-Hikam) oleh Prof. Dr. K.H. Muhibbudin Waly
p/s : ini perkara/ilmu pertama yang saya belajar di...tentang solat dan ketenangannya.
No comments:
Post a Comment