Wednesday, October 29, 2014

SAUDARAKU, AKU HANYA KASIHAN



Saudaraku, di sini kita bersuka-ria.. Bersenang-lenang menikmati kemodenan, pembangunan, keamanan.. Setiap hari hidup ini diisi dengan ketawa, kegembiraan dan keceriaan.. Saat ditimpa sedikit masalah, mulut kita tak pernah berhenti merungut, mengamuk, marah tak tentu pasal, malah ada juga yang menyalahkan takdir!



Di sini, setiap hari makanan dan minuman tak pernah kehabisan.. Malah melimpah-ruah.. melebihi apa yang kita perlukan.. Malah, tanpa rasa bersalah kita membuang makanan yang masih elok, masih boleh dimakan, atas alasan "Pagi tadi punya, lagipun tak sedap!" Ya Allah....

Saudaraku, di Malaysia hampir semua rakyatnya hidup dengan kesenangan... Rumah kita bak istana, bangunan negara seperti ingin menggapai langit, kadang-kala sebuah keluarga mempunyai dua tiga buah rumah.. MasyaAllah, syukur atas kurniaan Allah di bumi bertuah ini.. Alhamdulillah..

Saudaraku, pernahkah kita terfikir?? Saat sesuatu ada di depan mata, tidak pernah hati atau mulut melafaz syukur. Paling koman pun, "Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah..".. Namun, bila sesuatu itu hilang, kecoh sedunia.. Itulah, inilah, lebih teruk jika kita menuduh orang lain mengambilnya.. MasyaAllah..

Hari ini kita diulit kekayaan, kesenangan, dan kegembiraan.. Mana tahu, esok lusa hanya air mata yang menjadi peneman.. Tidak berniat langsung untuk menakutkan, namun bukti sudah jelas di depan mata... Betapa saudara kita di Palestin teraniaya, terseksa, cedera, syahid.. Ya Allah, KITA HANYA KASIHAN!! 



Saudaraku yang dirahmati Allah, bayangkan andai kita berada di tempat yang sama seperti mereka.. Setiap hari, ada ahli keluarga yang pergi menghadap Illahi, betapa kegembiraan sesuatu yang hampir mustahil, rasa-rasanya apakah ertinya setiap kali Syawal buat mereka? Kegembiraan atau kesengsaraan? 'Kuih raya' atau bedilan bom yang menjadi sajian di pagi raya? Solat Aidilfitri dengan tangisan kegembiraan atau rintihan kesakitan??

Bayangkan pula bagaimana mereka manahan lapar dan dahaga setiap kali bulan Ramadhan? cuaca yang panas, tenaga yang hampir habis digunakan untuk melarikan diri dari kehancuran? Ya Allah, kita hanya kasihan!! Saudaraku, hari ini anak-anak, muda remaja, semakin lupa... Lupa pada kehidupan diibaratkan seperti roda.. Jika esok, Allah ingin kita rasa seperti apa yang saudara kita di sana rasa, bagaimana?? Bersediakah kita?? Bukankah Allah Yang Maha Menguasai??



Belum lagi menyentuh soal kebuluran, SETIAP HARI berpuluh-puluh orang meninggal dunia di Somalia disebabkan kebuluran.. Mereka terseksa, lapar dan dahaga, sakit, cedera.. Pernah ke kita mengambil tahu?? Pernah tak kita cuba memahami apa yang mereka rasa? Ada kah sumbangan diberi kepada mereka melalui tabung-tabung yang disediakan??

Saudaraku, jika di sini makanan dibuang atas alasan "Tak sedap, kurang manis, pahit sangat, lemak sangat, murah sangat!" Tapi , mereka yang di sana berlutut, menangis mengharapkan sebutir nasi, setitis air buat menghilangkan perit dan dahaga...Ya Allah, aku di sini hanya kasihan Ya Allah!!



Saudaraku yang dirahmati Allah, andai seminit yang lalu kita masih tidak peka tentang kebajikan SAUDARA kita di sana, apa kata seminit selepas ini dan buat selama-lamanya kita menjadi rakan terbaik buat mereka.. Tak perlulah kita menghantarkan bantuan makanan, perubatan, keselamatan kepada mereka seandainya tiada berkemampuan, cukuplah sepotong doa yang paling ikhlas daripada kita buat mereka.. Bukankah itu lebih baik dari melupakan mereka terus...

Bukankah tercatat dalam sejarah.. Seorang sahabat berjalan di sebuah kampung yang dibelenggu kefakiran, kesusahan, kemarau hingga tiada sumber makanan.. Lalu sahabat ini menadah tangan sambil merenung langit malam di daerah itu..

"Ya Allah, alangkah baiknya jika awan yang banyak ini ditukarkan kepada gandum supaya mereka di sini dapat makan dengan cukup." 

Di akhir cerita kehidupan sahabat ini, beliau dimasukkan ke syurga berbekalkan dengan hanya sepotong doa ini.. MasyaAllah, tidak mahukah kita??

Saudara, hakikat kehidupan seperti roda.. Mungkin hari ini kita kaya dengan keamanan, kesenangan, kemewahan dan nikmat kehidupan.. Ucapkanlah syukur sementara masih berkesempatan, gunakan nikmat ini sebaiknya.. Jangan tunggu lagi, gunakan apa yang kita ada untuk meluaskan empayar Islam.. Tak perlu sehingga mengangkat senjata menentang kemunafikan, kemungkaran, kita tidak berkemampuan..

Lihat diri kita saudara, apa yang ada pada kita? FB sudah pasti, blog dan tweeter hampir semua pun ada.. jadi gunakan semua ini.. Sebarkan Islam, gunakan medan ini sebagai jalan untuk berdakwah, berjihad.. TOLONG saudara kita di sana dengan menggunakan kemudahan ini.. BOIKOT segala peralatan, makanan yang menyumbang kepada kesengsaraan mereka... bukankah semua ini saham di Akhirat kelak? bukankah itu juga jihad?



Saudaraku, Rasulullah di zamannya sentiasa memerangi kebuluran, Rasulullah menangis melihat umatnya kesakitan.. Walau jauh beribu batu dari Madinah, namun demi sesuatu yang digelar kasih sayang, Rasulluah menggadai nyawa bersama para sahabat membela nasib umatnya.. Itu Rasullulah, sehebat-hebat manusia. Kita yang terlalu lemah ini, cukuplah mendoakan yang terbaik buat mereka..

Dahulu, Rasulullah bersama para sahabat berjuang untuk membebaskan dan menakhluki kerajaan Islam.. serata dunia menjadi kepunyaan Islam, namun mengapa agaknya hari ini Palestin hanya tinggal sekangkang kera???????? Apa yang telah berlaku kepada pahlawan hari ini???? Di mana semangat Salahuddin Al-Ayubi? Umar Al-Khattab? Lupakah pada semangat Rasulullah????



Kesimpulannya saudaraku, janganlah kita terlalu senang dengan kemudahan hari ini, kerana mungkin esok sudah terhampar tikar kesukaran untuk kita.. Cubalah untuk memahami penderitaan mereka dengan akal, hati yang paling tulus.. Tolonglah saudaraku, berikan sumbangan seadanya kepada saudara kita di sana.. Kasihanilah mereka, hubungan antara anak dan ibu terpisah kerana kesengsaraan yang dilukis rejim zionis.. suami dan isteri kehilangan anak, ahli keluarga dirampas daripada mereka.. apa yang kita lakukan buat mereka?? benar, kita hanya kasihan...

Jangan gelar diri kita saudara kepada mereka seandainya tiada langsung usaha kita buat kegembiraan mereka.. Jangan ungkap perkataan kasihan buat mereka andai tiada usaha untuk menghilangkan kesedihan hati mereka.. Cubalah untuk menjadi denai di tengah hutan, walau kehadirannya tidak masyhur, kadang kala langsung tidak ada orang perasan, namun dena di tengah hutan memberi harapan buat kehidupan.. Alirannya memberi ketenangan, kelegaan kepada mereka yang sesat di hutan..

Di antaramu, akulah yang paling lemah dan tidak tahu.. Jadi, perbetulkanlah aku jika khilaf tutur kataku.. Bahasa menyinggung perasaanmu... Salah tafsiranku mengenai sesuatu hal..

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML