Sunday, September 28, 2014

CUMA LIMA KALI SEHARI JE BOH!!!!!!

Bismillahirrohmanirrohim, alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh muslimin.


....................................................................................................................................


Mengerjakan solat secara berjemaah sebanyak lima waktu sehari itu bukan kerja mudah.

Bukan semudah pergi menonton wayang di pawagam, bukan semudah menghafal sebaris perkataan.

Lebih - lebih lagi pada zaman teknologi ini, semuanya sibuk bekerja, belajar, dan pelbagai urusan lain yang perlu diselesaikan sehinggakan solat berjemaah itu diletakkan sebagai pilihan terakhir untuk dilakukan di waktu lapang.

Itu pun mujur kalau buat.

Hanya orang yang hebat sahaja mampu melakukannya. Ya, yang hebat SAHAJA.

Saya tidak kata satu waktu, tapi lima waktu.

Memang saya 'respect' pada orang yang mampu istiqomah melakukannya sedangkan dirinya sendiri juga sibuk menguruskan urusan duniawi.

Cuba lihat amalan solat berjemaah kita.

Berapa hari dalam sebulan kita mampu solat lima waktu secara berjemaah.

Sujud syukur saya kalau dalam sehari itu mampu berjemaah lima waktu.

Banyak kelebihan solat berjemaah, tapi hati kita kadangkala tertutup.

Sungguh, itu bukan mudah.

Itu belum lagi kita berbicara tentang khusyuknya solat!

Daripada 1000 orang yang berjemaah di masjid, berapa ramai yang merasai nikmat khusyuk dalam solat?

Rasanya sejak saya mula solat hinggalah sekarang, rasanya sekali dua sahaja saya mampu menghadirkan khusyuk dalam solat.

Yang lain? Kejap fikir 'assignment', kejap fikir itu kejap fikir ini. Ampunilah kami yang seringkali lalai ya Allah.

Malu pada diri saya sendiri yang berbicara tentang solat berjemaah dan khusyuk dalam solat, tapi saya sendiri tunggang langgang.

Cukuplah sekadar itu, mari kita turun ke pangkat yang lebih rendah iaitu solat lima waktu sehari semalam.

Cukuplah saya katakan bahawa anda seorang yang hebat jika ada mampu solat lima waktu sehari.

Tidak kisahlah jika anda solat sepantas kuda, pakaian selekeh macam pengemis, solat di akhir waktu ataupun solat dalam bilik.

Anda tetap seorang yang hebat kerana mampu solat lima waktu sehari semalam di saat orang lain, ramai yang kecundang!

Ya, ramai yang tidak mampu solat walaupun hanya lima waktu.

Kajian yang dilakukan juga menunjukkan bahawa lebih kurang 80% orang Islam di Malaysia tidak solat lima waktu.

Sedih bukan?



Pernah satu ketika, sekumpulan kawan - kawan saya menonton wayang di saat maghrib.

Semuanya tidak menghiraukan waktu maghrib tapi ada seorang yang bangun, berwuduk di atas sinki dan solat di pintu belakang sewaktu adegan tembak menembak di layar putih!

MasyaAllah, hebat sungguh anak muda itu, sampaikan saya sendiri malu saat mendengar kisah ini.

Sebab itu, bila ditanya orang macam mana ingin berubah, macam mana ingin itu ini.

Jawapannya mudah, peliharalah solat lima waktu itu.

Tidak perlu bersusah payah solat sunat, dan lain-lain.

Mantapkan dahulu solat lima waktu, jangan tinggalkan, selepas itu barulah beranjak ke tahap seterusnya seperti solat di awal waktu, jika sudah berjaya, solat pula di masjid, selepas itu cuba khusyuk.

Ibadah ini perlukan masa untuk dilatih, dan perlu berperingkat.

Bukannya solat pun tidak cukup lima waktu, kita sudah mula solat sunat.

Selalu juga saya dengar wanita yang ingin mencari calon suami yang silap dalam meletakkan kriteria.

Anda tidak perlu mengharap dia kaya, kacak, alim, soleh dengan pakaiannya, solat sunat tiap malam, penyayang dan sebagainya.

Anda perhatikan solatnya, jika dia tidak pernah meninggalkan solat lima waktu, maka itulah lelaki yang baik.

Yang lain itu adalah bonus tambahan untuk anda.

Sekian coretan ringkas, semoga kita sama - sama memelihara solat lima waktu, InsyaAllah.

Wallahua'lam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML