“Dunia ini penjara bagi orang-orang mukmin, tetapi syurga bagi orang kafir. Apa pilihan kita? Penjara atau syurga di dunia ini?” soal Ustazah Halimah sambil berjalan dari depan sehingga ke belakang kelas melewati meja anak-anak muridnya.
“Penjara...” serentak anak-anak muda itu menjawab dengan semangat.
Ustazah Halimah tersenyum panjang. “Benarkah begitu anak-anak? Apakah kamu semua benar-benar terasa hidup dalam penjara? Atau kamu sebenarnya mengejar syurga dunia?”
Tiba-tiba Fatehah yang merupakan penolong ketua kelas bangun berdiri. “Ya benar Ustazah. Sememangnya kita sudah menganggap kita hidup secara islam keseluruhannya. Tetapi sebenarnya masih terdapat dikalangan kita yang tidak mampu untuk mengawal nafsu duniawi sehingga melupakan hukum haram dan halal, ustazah. Contohnya berapa ramai pelajar-pelajar sekolah ini yang bercinta tanpa pengatahuan pihak sekolah. Mereka bijak menyembunyikan kerana takut akan hukuman yang akan diterima jika tertangkap. Akan tetapi... mereka tidak sedar yang hukuman dari Allah Azza wa Jalla adalah lebih berat dan tak mungkin dapat dielakkan.” Hujahnya dengan bersemangat lantas kembali duduk di bangkunya.
“MasyaAllah Tabarakallah, Fatehah...” Ustazah Halimah masih terseyum. “Benar kata kamu Fatehah. Perkara ini sangat penting untuk diperkatakan. Sememangnya cinta antara remaja sekolah semakin meluas dan tidak terkecuali dengan sekolah kita yang memegang title sekolah agama. Jika diluar sana mungkin ada remaja yang kurang kesedaran hukum agama. Lemah imannya. Akan tetapi saya amat kecewa jika ada dikalangan mukmin dan mukminah dalam kelas ini yang atau sekolah ini yang masih meneruskan perkara maksiat seperti itu. Bukankah kalian semua sudah dididik dengan ayat-ayat Allah setiap hari, diperdengarkan dengan hadis-hadis Rasulullah pada setiap hari. Melagukan asma ul husna pada setiap hari di perhimpunan. Tetapi masih lagi terjebak.”
“Saya ada soalan.” Firdaus mengangkat tangan.
“Silakan...”
“Bolehkan Ustazah jelaskan, apa hukumnya lelaki dan perempuan bukan muhrim yang berhubung atas urusan kerja atau untuk mengadu masalah-masalah?”
Ketika itu ramai yang mengangguk menandakan mereka turut ingin mengatahui jawapannya.
“Islam itu mudah. Ia tidak menghalang kita untuk mengeratkan silaturahim kerana kita semua adalah bersaudara. Akan tetapi perkara yang haram tetap akan haram dan tidak akan berubah menjadi makhruh. Jika perbualan itu singkat dan sememangnya semata-mata kerana kerja boleh diterima. Jika mula bercakap tentang masalah-masalah lain yang boleh dibincangkan sesama kawan sejenis tidak perlulah. Luahkan masalah anda kepada sahabat sejenis bukannya kepada yang berlawan jenis. Kononya masalah lelaki perlu diluahkan kepada wanita kerana kononya wanita lebih memahami. Itu sudah salah... kerana dari yang kecillah akan menjadi lebih besar. Persahabatan antara lelaki dan perempuan perlu mengikut syarak.”
Aku menunduk rapat apabila isu itu dibangkitkan. Sedikit sebanyak hatiku terusik. Memori lama mula mengusik kalbu menganggu sanubariku. Ahh... tabahlah hati.
“ADUH... perkara ini sungguh merunsingkan saya! Kata-kata Ustazah Halimah kembali buat saya kusut” tiba-tiba Siti Mustika atau kami suka memanggilnya Tika merungut dalam perjalanan ke hentian bas di depan sekolah.
“Semestinya... kamu harus ingat, yang haram itu tetap haram dan tak mungkin berubah menjadi makruh.” Tukas Puteri Nur Hafsah. Hafsah itu nama yang diberi bapanya. Hafsah adalah nama salah seorang isteri Rasulullah s.a.w merangkap anak Amirul Mukminin yang kedua Saidina Umar ra.
Aku ketawa kecil sambil menggeleng kepala melihat kedua orang sahabatku yang paling akrab sejak kami di tingkatan 1 lagi. Kini mereka bersama-sama lagi di tingkatan 6 atas dan tidak lama lagi mereka akan menamatkan pengajian dan masing-masing mungkin akan berubah haluan.
“Bukan harus lagi Hafsah...” aku mencelah sambil memandang Hafsah.
“Tetapi wajib!” serentak aku dan Hafsah menyambung. Memuncung Mustika dibuatnya dan kami terus ketawa mengusiknya. Walaupun kata-kata kami berbaur kebenaran namun kami tidak menyampainya dalam keadaan yang serius. Kami memahami perasaan Mustika. Sangat mengerti!
“Iya... tetapi kami kan tidak bercinta seperti pasangan lainnya. Dia pun budak tahfiz kan... Lukman banyak mengajar saya apa yang saya tak tahu. Saya pun macam tu juga. Kami sama-sama berkongsi ilmu. Itu pun masih salah?” Mustika berhenti berjalan dan duduk di bangku yang disediakan pihak sekolah di kawasan lapang tidak jauh dari pintu pagar sekolah itu.
Aku turut melabuhkan punggung disebelahnya. Dan Hafsah sekadar berdiri memandang sahabat kami yang seorang ini. Sungguh dilema nampaknya.
“Mustika... cinta itu tidak salah. Tetapi orang yang bercinta itu yang salah. No love story in Islam before married. Itulah hakikat yang perlu kita semua terima walaupun ianya pahit. Tetapi... pahit itu kan ubat.” Hafsah mendahului aku untuk memberi pujukan. Atau lebih kepada nasihat sebenarnya.
“Betul tu... memang kamu couple islamik. Tetapi isu itu cuma matlamat yang menghalalkan cara. Bukankan Allah telah berfirman, jangan menghampiri zina. Maknanya hampir pun sudah haram apatah lagi melakukan zina itu. Nauzubillahiminzalik...”
Mustika tiba-tiba berubah sebak. “Saya sayang dia. Saya tahu semua ni salah... tapi saya sayang sangat dia.”
Hafsah mengerdipkan matanya yang mulai bergenang. Aku cuma menarik nafas dan berusaha untuk lebih kuat walaupun hakikatnya aku bukanlah setabah ini.
“Lukman budak tahfiz, Tika. Bukankah dia sendiri pernah beritahu setiap kali awak dan dia berjumpa pasti dia akan hilang satu juzuk Al-Quran. Sampai kena hafal balik. Awak tak kesian kat dia ke?” Hafsah mengambil tempat disebelah kanan Mustika sambil memegang bahu sahabat kami itu.
“Ingatlah... apa pun keputusan awak, Tika. Awak kena fikirkan dulu kebaikan agama. Bukan kebaikan untuk diri kita sendiri. Jika memang dia jodoh awak, pasti akan tiba masanya awak akan dipertemu dengannya pada waktu yang sesuai, tempat yang baik dan dalam keadaan yang diredai-Nya. Percayalah... jika kita mencintai Allah. Maka Allah akan mendorong orang yang di cintai-Nya untuk mencintai kita. InsyaAllah...” aku cuba menangkan hati si gadis manis berkulit cerah itu.
“Terima kasih An-nissa...” Mustika memegang tanganku. Kemudian dia berpaling kepada Hafsah dan mengungkapkan perkara yang sama.
“Tika... kamu perlu mencontohi sahabat kita yang seorang ini...” Hafsah merenung aku penuh makna. “Dia telah banyak melakukan pengorbanan.”
Aku tersenyum. “Itu perkara kecil kan? Bukankah rasul terangung kita pernah berkata dalam kemenangan sebuah peperangan menentang orang kafir. Selepas ini kita ada peperangan yang lebih besar. Para sahabat bertanya. Perang apakah ya Rasulullah? Baginda menjawab, perang melawan hawa nafsu.”
************
2 tahun lalu...
Pelajar-pelajar berpusu di kawasan dewan sekolah untuk mengambil keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia, SPM. Ketika itu aku sudah memegang sekeping kertas yang menjadi bukti kesungguhan aku selama 5 tahun bergelar pelajar di sekolah ini. Sekolah agama elit yang agak tersohor utara tanah air.
Aku masih belum mahu pulang. Sebentar tadi aku sudah pun berpelukan bersama guru-guru dan rakan-rakan yang sudah agak lama tidak bertemu sepanjang tempoh menunggu result. Aku ke perhentian bas ditemani sahabatku Hafsah.
Penantian aku berakhir apabila beberapa buah motorsikal berhenti di hadapan kami. Beberapa remaja lelaki itu membuka helmet masing-masing.
“Amacam result kau Ustazah An-nissa Sufia?!” soal lelaki itu sambil menjenguk ke tanganku yang tetap memegang kertas itu. Aku pantas mengalihkan tanganku ke belakang.
Hafsah pula hanya tersenyum-senyum dan berdiri agak kebelakang.
“Assalamualaikum!” aku tersengih. Main terjah aje mereka ini.
“Waalaikumsalam.” Serentak mereka menjawab sambil tersenyum seperti kerang busuk.
“Mana... bak la saya tengok.” Pinta lelaki itu dengan wajahnya yang kacak. Putih kemerahan apabila disimbah cahaya mentari.
“Ala... nak malu pulak. Tahulah genius. Mat-mat motor macam kami ni lain la cerita. Balik rebus aje result tu bagi biawak makan.” Kata salah seorang rakannya dan ketawa mereka serentak meletus.
Aku mencebik. “Awak Encik Abid... tunjuk dulu result awak kat saya.” Aku sengaja bermain tarik tali dengan sahabat aku yang seorang ini. Kami dahulu satu kampung dan bersekolah rendah yang sama. Kemudian aku dan sekeluarga berpindah ke Pulau Pinang. Sejak itu kami sudah terputus hubungan apatah lagi setelah aku memasuki sekolah agama. Terus aku melupakan hasrat untuk mencari semula sahabat sepermainan aku dahulu. Ternyata takdir Allah itu hebat! Tidak perlu mencari kerana dia pasti akan datang dengan petunjuk dari Rabb. Tahun lepas kami bertemu secara kebetulan di atas bas.
“Awak la tunjuk dulu... lady first!” dia sengaja memancing aku.
Aku mengalah. Lantas aku menghulurkan result aku itu dengan hati-hati. Bimbang akan berlaku persentuhan yang selalu aku jaga dalam persahabatan kami selama setahun ini.
“Meletop!” Abid melopong. Lantas kawan-kawannya berebut-rebut untuk melihat sehingga hampir terbalik motor mereka.
Aku sempat melirik melihat Hafsah yang sudah ketawa kecil dengan telatah mereka. Walaupun brutal dengan title mat motor namun mereka sebenarnya baik. Bila-bila masa sahaja mereka boleh datang menghulurkan bantuan. Contohnya dahulu aku tinggal di asrama dan mereka inilah yang selalunya menjadi mangsa untuk kami memesan barang-barang yang dibeli diluar. Kadang-kadang mereka menghantar makanan apabila aku merungut mengidam apa-apa. Contohnya seperti KFC atau Mc Donald! Aku dan Abid kadang-kadang berhubung melalui telefon awam yang tersedia di dalam kawasan asrama. Itu pun cukup terkawal.
“Ha... nak tengok result awak pulak.” Aku menadah tangan.
“Nah!” Abid menyerahkannya kepada aku sambil menghidupkan enjin motor.
Aku terus melihat keputusannya. Dahiku berkerut. “Ini saya punya la!”
“Bye! Jumpa lagi ya ustazah!” sekelip mata Abid memecut pergi sambil menyarung topi keledarnya. Rakan-rakannya turut memecut sambil ketawa melihat aku yang sudah terkena.
“Ish! Teruk betullah... jaga la awak Abid!” aku berdengus marah.
Hafsah juga sudah ketawa lepas di belakang. Aku memusingkan badan dan mempamerkan wajah yang masam kepadanya.
“Unik betullah kawan-kawan awak tu, An. Tapi... dia orang nampak baik walaupun... yelah mat motor.”
Aku mengangkat bahu. “Macam itulah... walau seteruk mana pun Abid. Saya berkawan dengan dia kerana Allah. Mudah-mudahan dia dapat pertunjuk. Saya selalu doakan dia. Supaya suatu hari nanti dia jadi seorang yang berguna.” aku yakin Hafsah dapat melihat wajahku yang gundah.
“An... hati-hati. Jangan melabuhkan hati ditempat yang salah. Ya, saya tahu Abid tu baik. Tetapi... awak tak boleh bersama dengan dia. Awak dan dia berada di haluan yang berbeza.” Ujar Hafsah yang sememangnya amat mengerti.
“Tak adalah... saya cuma anggap dia kawan.”
“Dari mata awak, An-nissa... senyuman awak boleh tipu saya. Tapi... mata awak tak mampu menyembunyikan kata-kata hati awak.”
Aku terdiam. Terkedu dan terkesima semuanya bercampur baur. Abid... haluan kami terlalu berbezakah?
*********
MALAM itu aku termenung di dalam bilik. Selepas pertemuan petang tadi dengan Abid dan rakan-rakannya. Aku jadi tidak keruan. Entah kenapa hatiku begitu berdegup kencang apabila terpandang wajahnya. Adakah ini cinta atau hanya perasaan anak-anak sekolah?
“Adik akak buat apa tu?” tiba-tiba aku disapa. Tersentak aku dibuatnya dengan kehadiran Kak Hawa. Kakak sulungku yang kini masih menjadi mahasiswa di Cairo. Dan dia pulang kerana sedang bercuti semester.
“Petang tadi...” aku mengumpul semangat. “Nissa berjumpa dengan Abid, kak.”
“Masya Allah... kenapa masih berjumpa. Ibu dan abah kan sudah pesan jangan bergaul dengan mereka.” Kak Hawa ternyata terkejut sehingga berkerut dahinya yang putih melepak. Wajahnya amat jelita sehingga mewajibkannya berniqab. Supaya terjauh dari fitnah dan pandangan dari lelaki yang mempunyai penyakit dalam hati.
“Mereka itu baik, kak. Nissa tidak sampai hati nak beritahu nak putus kawan. Sebab dulu dia orang banyak bantu Nissa dengan kawan-kawan.” Aku mula terasa air mataku tertumpah.
“Bukan putus kawan. Cakaplah perkara yang sebenar, tiada persahabatan antara lelaki dan wanita tanpa tujuan. Nissa selalu berjumpa dengan mereka atas urusan tidak penting seperti hantar barang dan tanya khabar. Itu sudah jatuh hukum haram. Kerana Nisa boleh aje minta tolong abah atau kawan-kawan perempuan lain yang tinggal kat luar untuk belikan barang. Nisa... sedarlah. Hukum yang Allah tetapkan itu sudah cukup cantik dan indah untuk kita ikuti. Ya... sekarang ramai remaja yang sudah terbiasa bergaul dengan lelaki bukan muhrim. Dengan alasan tidak mengapa bukannya bercinta. Cinta atau bukan ia tetap haram. Seperti mana kita membuka aurat di depan sepupu mahupun abang ipar. Itu semuanya haram walaupun kita sudah anggap mereka itu seperti saudara.”
“Sepertinya mana juga dengan cinta... cinta itu fitrah tetapi cinta sebelum kahwin itu fitnah!” sambungnya setelah beberapa saat kerana aku masih lagi menangis.
“Nissa... Nissa sayang dia, kak.” Akhirnya aku meluahkan juga apa yang terpendam.
“Subhanallah...” Kak Hawa memekup mulutnya latas menarik aku dalam pelukannya.
“Sayang... dengar sini. Akak faham perasaan itu. Semua kita pasti akan diuji oleh perkara-perkara ini. Tidak terkecuali akak, malah abang Humam kita. Akan tetapi terserah kepada kita bagaimana kita mahu mentadbir diri kita sendiri. Jika kita kalah dengan nafsu, maka kita akan binasa. Jika bertahan kita juga akan mendapat pahala sayang...” pujukan Kak Hawa terasa mengalir sejuk ke dalam hatiku walaupun aku masih tidak mampu menahan tangisan.
“Pahala yang bagaimana, kak?” soalku dalam serak.
“Pahala jihad... jihad melawan hawa nafsu.” Kak Hawa tersenyum sambil menyeka air matanya.
Aku melepaskan pelukan Kak Hawa dan memandangnya dengan pilu. “Akak sudah berjihad?”
“Alhamdulillah... akak dapat melepaskan cinta itu kerana dijemput Dia.”
“Maksud akak?” aku makin keliru. Semestinya aku yang masih mentah mana mungkin akan fahami bahasa orang dewasa malah berilmu seperti Kak Hawa.
“Allah menjemput akak untuk mencintai-Nya. Allah menjemput akak untuk kembali kepada-Nya. Jadi...setelah menemui cinta yang lebih hakiki, maka cinta kepada makhluknya pasti akan mudah dilepaskan.” Kak Hawa masih tersenyum. Kelihatan penuh ketenangan di wajahnya.
“Kenapa akak lepaskan?” aku ingin tahu lebih.
“Dik... Cinta manusia, manusia akan pergi. Cinta kumbang, kumbang akan lari. Cinta bunga, bunga akan layu. Cintailah Allah... Dia tetap ada tidak pernah mati. InsyaAllah... tidak perlu akak mencari cinta. Kerana jodoh akak pasti akan datang. Bagaimana caranya akak cuma mampu berdoa supaya dipermudahkan oleh Rabb dan pertemuan itu dalam keadaan yang diredai-Nya.”
*********
Aku menunggu Abid di tempat biasa. Hari ini aku tidak ditemani sesiapa. Aku mengambil keputusan yang paling berani untuk berjumpa berdua sahaja dengan Abid. ‘Ya Allah permudahkanlah urusan aku. Ya Rabb berikanlah aku kekuatan.’ Aku tidak putus-putus berdoa.
Abid tiba dengan senyuman yang amat manis. Aku terkedu sehingga terasa ingin menangis. Aku sudah terjatuh sayang. Aku sudah melabuhkan hati di waktu dan juga mungkin orang yang salah. Setiap wanita pasti inginkan seorang lelaki yang mampu menjadi pemimpin dalam gubuk rumahtangga. Yang mampu menjadi imam tika solat, menjadi ayah kepada anak-anak yang soleh dan solehah dan seorang suami yang mencintai Allah dan rasul-Nya melebihi isterinya. Itulah lelaki impian Kak Hawa. Dan aku aku sendiri tidak mampu membayangkan perkara sejauh itu lagi ketika di usia seperti ini.
“Kak Mah, teh tarik satu, kaw punya!” jerit Abid kepada Kak Mah. Tauke warung itu yang selalu menjadi tempat lepak Abid dan rakan-rakannya. Abid memakai jaket tanpa lengan dengan t-shirt putih di dalamnya. Seluar jeans pula koyak-koyak dan rambut tercacak seperti terkena petir. Sekali imbas memang menyakitkan mata aku. Akan tetapi ada satu daya tarikannya yang entah kenapa mengkaburkan segala kekurangannya itu. Aku mengeluh.
Ya... kekacakannya. Itulah yang membuat aku tertarik sejak bertemu semula ketika diusia remaja. Jika di zaman sekolah rendah dahulu masing-masing comot.
‘Yang penting bukannya kacak dik, cukuplah wajahnya ada ‘nur’. Pasti akan cerah hati kita memandangnya. Itulah cinta bukannya nafsu.’ Kata-kata Kak Hawa tiba-tiba menyapa deria dengar aku.
“Awat ni Ustazah An-nissa Sufia? Cek tengok macam banyak masalah ja!”
Aku tidak berani memandangnya. Lagipun aku sentiasa merendahkan pandangan jika berhadapan dengan lelaki akan tetapi lain pula caranya jika aku bertemu Abid. Aku seperti ralit memandang wajahnya. Kali ini biarlah aku tidak melihat wajah itu.
“Dia mai dah malu dia... ni hang dok dengan aku la. Bukan orang lain! Nak malu buat apa!”
“Ish, awak ni.” Aku mengangkat muka dan menentang matanya.
Sesaat mata kami bertentang. Abid terlebih dahulu melarikan matanya. Aku pula sudah terasa debar di hati. ‘Astagfirulullahalazim...’ aku cuba mengawal riak wajahku.
“Er... aku nak cepat ni. Kau apa cerita ni?” Abid bertukar gelisah. Serba tidak kena dia dibuatnya.
“Awak tahu kan... saya...” aku terasa bibirku bergetar sama hebat dengan jantungku yang terlalu laju mengepam darah. “Saya... saya ni belajar agama. Tapi, saya dah langar peraturan sebagai seorang pelajar sekolah agama malah yang paling besar saya dah langgar hukum Allah.” Aku berhenti setakat itu untuk menanti riaksinya.
Abid ketawa kecil. “Nanti, nanti.” Abid mengangkat tangannya seperti menyuruhku stop. “Aku faham...” Abid mengangguk. “Aku ni sampah masyarakat aje. Mana sesuai nak berkawan dengan kau kan?”
“Ya Allah, Abid. Bukan macam tu saya tak pernah anggap awak macam tu.”
Perbualan kami terhenti sejenak apabila pekerja Kak Mah menghantar minuman yang dipesannya tadi.
“Kalaulah saya ni budak sekolah arab, Maahad Tahfiz ke. Mesti awak tak malu dengan saya kan?” sambungnya kemudian dengan selamba menghirup teh tariknya itu.
“Tak... bukan!” aku menepis kata-katanya. ‘Kenapa ni? Kenapa dia tak mengerti?’
“Tak apa. Saya faham. Saya tak kisah pun. Awak ada ke, awak tak ada ke sama aje. Kita kan kawan. It’s okay.”
Aku terkedu. Sungguh aku terkedu tika ini. “Awak memang... anggap saya macam kawan biasa kan?”
“Absolutely right! Okeylah... awek aku dah lama tunggu aku tu. Merajuk pulak kang susah. Aku pergi dululah.” Abid bangun berdiri dan aku turut bangun.
“Awak... awak tak nak ucap apa-apa sebelum pergi?” aku menahan sebak. Apatah lagi mendengar perkataan ‘awek’ yang baru disebutnya.
“Macam ni Ustazah An-nissa Sufia. Hidup la lebih baik dari saya. Carilah orang yang lebih baik dari saya. Dan ingat la pesan saya ni, mencintai orang yang tidak mencintai kita itu parah, dan mensia-siakan yang mencintai kita itu padah. Assalamualikum.” Ucapnya dengan tenang malah sempat dia melemparkan sebuah senyuman terakhir kepada aku sebelum keluar dari warung itu dan terus menghilang.
Aku terduduk kembali, aku menangis tanpa memeperdulikan orang sekeliling yang memerhati. Biarkan! Hari ini aku ingin sematkan sebagai hari yang paling mendukacita dalam hidup aku, malah mungkin hari yang paling memalukan! Aku sudah tidak peduli lagi!
*********
Hari ini...
Aku tersenyum melihat kemesraan Kak Hawa dan Abang Farhan, sepasang pengantin baru yang sangat bahagia. Pulang sahaja dari Cairo tahun lepas selepas tamat pengajiannya Kak Hawa bertunang. Dan dua bulan lepas mereka melansungkan perkahwinan dalam suasana yang sederhana. Apa yang penting mendapat keberkataan. Kata Ibu, tidak perlu berhabis untuk majlis yang grand akan tetapi ‘tetamu terhormat’ iaitu malaikat rahmat tidak berkunjung. Manakan tidak, adakah malaikat rahmat akan masuk ke majls yang ada bunyi-bunyian lagu yang melalaikan, atau majlis yang tetamu lelaki dan wanita bercampur. Alhamdulillah... walimatulurus yang dibuat oleh abah dan ibu mendapat pujian dari sahabat-sahabat abah yang rata-ratanya orang-orang alim dan para ulama. Walaupun abah tidak berbangga akan tetapi abah berharap perkara ini boleh menjadi contoh kepada orang lain.
Berbalik kepada cerita Kak Hawa. Ketika abangku Humam menemani Kak Hawa ke klinik kerana demam, doktor wanita yang bertugas tiada dan terpaksa ke bilik rakan kongsinya iaitu Dr. Farhan. Rupanya Dr. Farhan sahabat lama Abang Humam. Terjadi kebetulan yang lur biasa di situ. Ternyata rencana Allah itu lebih hebat dari apa yang manusia rancang. Ditakdirkan Dr. Farhan jatuh hati kepada Kak Hawa dan terus menghubungi abangku beberapa hari kemudian untuk menyampaikan hasratnya. Sudah jodoh... Kak Hawa juga sebenarnya sudah jatuh hati ketika kali pertama melihat Dr. Farhan.
Aku menghampiri Kak Hawa yang keseorangan apabila Abang Farhan bangun untuk ke bilik air. Kami duduk di ruang tamu bersama ibu dan abah. Abang Humam pula berada di luar negara atas urusan kerjanya sebagai juruterbang.
“Kak... Nissa happy sangat tengok kakak sekarang. Mungkin inilah hikmah yang akak tunggu selama ni.” Aku membisik supaya ibu dan abah yang menonton ceramah agama di TV itu tidak mendengar kata-kataku.
“Alhamdulillah... Allah pasti akan menunaikan janjinya kepada hambanya yang bersabar. IsnyaAllah... Nissa akan menjumpainya apabila tiba masanya kelak.” Kak Hawa mengenggam tanganku erat.
“Bagaimana dengan permohonan kemasukan ijazah kamu, An-nissa?” Soal abah secara tiba-tiba. Ibu juga terus melarikan matanya dari tertacap di kaca TV dan menumpu perhatian kepada aku.
“Alhamdulillah abah... semuanya sudah selesai. Cuma tunggu keputusan dalam dua bulan lagi.”
Abah kelihatan mengangguk berpuas hati.
“Kenapa kamu memilih Jakarta, sayang? Tidak mahu mencuba di Cairo atau Jordan?” Ibu pula menyoal dan aku hanya tersenyum.
“Setelah tiga malam berturut-turut Nissa bermusyawarah dengan-Nya. Itu jawapan yang paling Nissa rasa sesuai ibu, abah. Mudah-mudahan ada kebaikan yang menanti di masa hadapan, isnyaAllah.” Aku meluahkan dengan yakin dan aku lihat Kak Hawa juga turut meyampaikan senyuman setuju. Ya, aku bakal menamatkan pengajian di tingkatan enam atas beberapa bulan saja lagi dan sahabat aku seperti Hafsah san Mustika masing ingin menyambung di Cairo jika ada rezeki. Cuma aku sahaja yang bertukar angin. Apa yang pasti aku mahu pengalaman yang berbeza dengan saudaraku yang lain.
“Di mana pun kita belajar, niat harus betul kerana Allah. Barulah ilmu yang dituntut itu berkat kemudiannya menjadi bermanfaat. Sebaik-baik ilmu adalah ilmu yang dimanfaatkan di jalan Allah.” Celah Abang Farhan yang baru tiba di ruang tamu, dia mengambil tempat di sebelah kiri Kak Hawa kerana aku duduk di tempatnya tadi di sebelah kanan. Aku mengangguk mengerti. Abang Farhan adalah kelulusan universiti di mesir dalam bidang perubatan.
“Amin... mudah-mudahan.” Sambung Kak Hawa.
“Abah yakin anak abah yang seorang pasti akan membawa pulang kejayaan, InsyaAllah. Pergilah nak... abah dan ibu sentiasa merestui.” Ujar Abah.
Aku bertambah semangat mendengar sokongan dari keluarga tercinta yang menaruh harapan besar kepadaku. Aku ingin berjaya, seperti Abang Humam yang menjadi juruterbang dan selalu menghantar jemaah haji ke Makkah mahupun Madinah. Kak Hawa pula kini menjadi guru agama di sekolah, walaupun kerjanya tidak bergaji lumayan. Kak Hawa tetap mencintai kerjayanya itu. Mendidik para mujahid dan mujahidah masa hadapan. Kemudian, aku juga ingin berjaya seperti abah. Abah menjadi pembantu Mufti negeri menyambung jejak datukku yang pernah menjadi Mufti. Ibu... ibu pula adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Dahulu ibu juga pernah bekerja sebagai peguam. Namun berhenti setelah melahirkan aku untuk menumpukan kepada keluarga. Aku mahu menjadi seperti mereka. Ya Allah permudahkanlah...
*********
Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.
Aku melangkah sopan menuju keluar dari dewan kuliah dengan penuh buku-buku ditangan. Hari ini Prof Ahmad Jaya seperti ingin mendera kami pula dengan menyuruh membawa beberapa buah buku-buku rujukan serta kitab yang berkaitan dengan pengajian dalam kelas pada hari ini. Bilik kuliah yang terletak di hujung sebelah kanan di Fakulti Syari’ah dan Hukum semakin jauh aku tinggalkan. Aku berjalan untuk kembali ke kolej kediaman. Alhamdulillah... walaupun sudah di semester akhir aku masih berpeluang tinggal di dalam universiti. Ini kerana aku agak aktif dalam persatuan-persatuan dan memegang beberapa jawatan terpenting.
“Bagaimana perkembangan novel kamu ya, An-nissa?” Soal sahabatku Mawardah. Gadis kelahiran bumi serambi makkah yang amat cantik dan manis.
Kami berjalan bersama menyusuri kawasan Falkulti Ushuluddin untuk ke kawasan kolej kediaman kami yang terletak tidak jauh dari kawasan falkulti tersebut.
“Alhamdulillah... sudah di peringkat akhir. Ini semua bantuan dan tunjuk ajar dari semua sahabat dan para pensyarah kita. Sungguh... saya banyak belajar tentang ilmu penulisan di sini.”
“Syukur... berdakwah melalui penulisan amat berkesan pada ketika ini. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar. Amin...” Ujar gadis itu dengan ceria.
Aku hanya mampu mengangguk dan senyum. Ya, inilah sesuatu yang aku tidak sangka yang mampu aku lakukan walaupun hasilnya masih samar-samar. Tiga tahun aku mengkaji tentang penulisan akhirnya aku hampir berjaya menyiapkan sebuah novel islamik. Semuanya dengan izin-Mu Rabb. Terima kasih Tuhan!
**********
Masa yang berlalu membuatkan aku semakin matang dan mulai memahami rencana Allah dalam hidup aku. Benar kata-kata ustazah dahulu ketika aku di alam sekolah yang diambil dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; Dunia ini penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. Aku bahagia... aku amat bahagia hidup dalam penjara yang luas ini. Aku bebas berjalan namun ada hadnya. Aku bebas mencari ilmu tetapi ada landasannya, aku bebas bergaul namun tetap ada batasnnya.
Jika kita mahu mencium syurga akhirat perlulah kita mengorbankan syurga dunia. Jika kita tetap mahukan kenikmatan dunia bersiap sedialah kita untuk penjara di neraka. Sesungguhnya Neraka itu seburuk-buruk penjara untuk mereka yang ingkar sehingga tiada lubang sekecil jarum pun untuk melarikan diri. Warden penjaranya bukan sebarangan malah mereka adalah malaikat Allah yang tidak pernah ingkar dengan suruhan-Nya dan akan melayan penghuninya dengan sekasar-kasarnya melibihi di penjara dunia.
Kini aku semakin dewasa. Setelah menamatkan pengajian sarjana di Jakarta. Aku bekerja sebagai pembantu pensyarah di Universiti Sains Malaysia untuk mendidik anak-anak bangsa. Di samping itu aku menjadi penulis dan karyaku sudah diterbitkan. Syukur, aku mendapat rezeki dari Allah dengan keberkatan doa sehingga berjaya meyampaikan dakwah melalui bidang ini. Alhamdulillah...
“Sudah tiba masanya An-nissa memulakan hidup baru, sayang. Jika Nissa tidak ada calon. Serahkanlah kepada abah. Yang penting Nissa bersetuju dengan pilihan kami.” Tutur ibu dengan penuh teratur pada malam itu selepas makam malam.
Aku terkedu sebentar. Sudah agak lama ibu tidak mengeluarkan isu ini kerana aku pernah mengatakan aku tidak bersedia suatu masa dahulu. Kini isu ini bangkit lagi, bagaimana aku harus putuskan?
“Nissa... Nissa serahkan saja kepada abah dan ibu.” Ujarku perlahan. Mungkin inilah yang terbaik. Ibu ternyata gembira sehingga mengalirkan air mata. Aku turut sebak. Oh, Tuhan. Jika ini bisa memberi kebahagiaan pada kedua orang tuaku, aku reda ya Rabb.
*********
Sebulan sudah aku menjadi tunangan orang. Hatiku masih hambar, malah masih keliru walaupun sudah berkali-kali aku menunaikan solat istikharah. Aku hanya mampu berdoa supaya keputusan ini adalah yang terbaik. Zamrul adalah nama tunanganku, bekerja sebagai guru agama di sebuah madrasah. Lulusan Universiti Al-Azhar sama seperti Kak Hawa. Rupa parasnya baik, aku cuma melihatnya sekali ketika majlis pertunangan itu. Selepas itu kami lansung tidak bertemu mahupun berhubung. Namun, aku terkejut pada suatu hari aku mendapat panggilan darinya.
“Awak tak kisah ke, saya ni cuma guru pondok. Awak kan pensyarah.”
Aku tiba-tiba terasa hairan. Kenapa ayatnya seperti ingin memprovok, kenapa mesti mempersoalkan perkara itu yang sudah lama aku ketahui.
“Susah atau senang itu ujian dari Allah. Dan apa-apa sahaja yang datang dari Allah itu sebenarnya yang terbaik untuk kita. Saya rela hidup sederhana jika itu lebih membuatkan saya tawaduk, daripada saya hidup senang dan itu akan membuatkan saya ujub dan riak.” Balasku tenang.
Aku terdengar hela nafasnya menghembus perlahan. “Kalau saya mahu awak berhenti kerja awak setuju atau tidak?”
Aku terdiam sebentar. Ya, Allah... mengapa aku diuji sebegini? “Jika itu yang terbaik... untuk agama, untuk awak, malah untuk rumahtangga kita. Saya rela...”
“Rela atau reda?”
Hatiku semakin sesak. Mengapa Zamrul seolah-olah ingin mengujiku?!
“Maafkan saya... saya ikhlas terima awak, jadi awak tak perlu risau dengan apa yang terjadi masa hadapan. Saya akan cuba untuk menjadi isteri solehah walaupun ianya sesukar mana. Tetapi, seandainya awak ragu-ragu dengan saya. Lebih baik awak melipatkali gandakan istikharah. Yang baik itu datang dari Allah, yang lemah itu datang kita. Assalamualaikum.” Aku terus memutuskan talian.
*********
Sebelum melansungkah pernikahan di hujung bulan ini aku tidak sanggup lagi menahan rasa resah yang menggunung. Lantas aku membuat keputusan untuk pergi menunaikan umrah selama dua minggu. Keputusan aku itu tidak dibantah oleh abah dan ibu kerana mereka mengerti perasaan aku. Aku perlu benar-benar tenang sebelum menjalani hidup baru. Sudah lama aku berdoa dan setiap malam aku bermimpikan Kaabah Baitullah. Sehingga hatiku menjadi amat tenang. Allah menjemputku sehingga hatiku sungguh terasa ditarik-tarik untuk kesana.
Penerbangan yang mengambil masa beberapa jam itu membuatkan aku terleka memikirkan masa hadapanku dengan Zamrul. Manakala disebelahku Abang Humam yang menemani. Turut menyertai Kak Hawa dan suaminya. Mereka duduk di hadapan kami. Aku terlelap sebentar namun aku termimpikan sesuatu sehingga aku terjaga. Aku beristigfar berkali-kali. Aku terlihat seseorang di dalam mimpiku. Subhanallah...
Pesawat yang kami naiki akan mendarat di Madinah, oleh itu kami niat ihram di miqat yang terhampir iaitu di Bir 'Ali. Setiba sahaja di tanah suci kedua umat islam itu aku terus sebak. Sehingga hampir terjatuh melutut, mujurlah Abang Humam memaut tanganku. Aku terasa amat hiba, dan hatiku berdegup-degup. Demi Tuhan, sudah lama hatiku tidak berdegup sekencang ini dan kali terakhir adalah...
“Kita akan pergi berjumpa dulu dengan tour guides kita. Kawan saya dah urus semuanya dah.” Ujar Abang Farhan sambil memunggah bagasinya.
“Orang arab ke?” tanya Abang Humam. Aku hanya mendengar.
“Tak, pelajar Malaysia yang buat part time. Budak Universiti islam Madinah.”
“MasyaAllah... hebatlah. Bukan senang nak masuk universiti tu. Semuanya pelajar terpilih yang ditaja kerajaan Arab Saudi. Setahun berapa ratus orang aje yang terpilih. Abang dulu pun tak dapat. Memang macam nak menagis jugaklah.” Luah Abang Humam tanpa segan.
Aku hanya tersenyum. Manakala Kak Hawa ketawa kecil. “Sebab tu abah frust. Yelah abah kan alumni univesiti tu.”
Abang Humam mencebik kemudian dia ketawa. Nak buat macam mana, rezeki di tangan Tuhan.
Hampir seminggu kami di Tanah Suci aku semakin terasa jiwaku terisi. Aku terlupa segala masalah yang selama ini membelenggu. Aku banyak beriktikaf sehingga lewat malam di Masjidil Haram. Memuji-muji Allah sehingga terasa kering bibirku. Esok pula kami akan melawat sekitar luar kawasan Masjidil Haram.
“Kita akan pergi ke Padang Arafah dimana terletaknya Jabal Rahmah. Tapi, saya akan serahkan kepada kawan saya. Saya terpaksa balik ke kampus kerana ada urusan.” Ujar Ahmad Safwan ketika kami berkumpul di hadapan bas.
“Di mana dia sekarang?”soal Abang Farhan.
“InsyaAllah... dia tunggu di Jabal Rahmah.” Beritahu pemuda itu sambil bersalam dengan Abang Humam dan juga abang ipar aku. Kemudian dia terus berlalu pergi.
“Eh! Nanti macam mana kita nak cam kawan dia?” tiba-tiba Kak Hawa bersuara.
“Padang Arafah kan... tempat mustajab doa.” Aku menyampuk sambil tersengih. Kemudian mereka turut mengangguk mengerti maksud yang aku sampaikan. Segalanya akan dipermudahkan di bumi Allah yang penuh barakah ini, InsyaAllah.
*********
Jabal Rahmah yang terletak di Padang Arafah adalah tempat pertemuan Adam dan Hawa yang sudah sekian lama terpisah setelah diturunkan dari syurga. Untuk melihat batu putih tempat penanda pertemuan penuh bersejarah itu aku perlu mendaki bukit batu yang agak curam. Kak Hawa tidak mahu memanjatnya dan sememangnya lelakilah yang selalunya naik sehingga ke atas. Wanita pula jarang, mungkin aku ini terlebih brutal la pulak!
Aku berjaya sehingga ke atas. Aku terasa sebak sekali lagi. Disinilah... pertemuan yang paling indah pernah terjadi untuk bapa dan ibu kita Adam dan Hawa. Aku memejam mata untuk berdoa. Lama...
“Assalamualaikum...”
Aku pantas membuka mata. Sapaan dari belakang itu aku terdengar dengan jelas. Aku perlahan-lahan menoleh.
“Wa... waalaikumsalam...” terketar-tetar bibirku menjawab salam itu. Mataku segera ditundukkan. Subhanallah... ya Rabb, pertemuan apakah ini? Semua ini benar-benar sama seperti dalam mimpiku itu... ketika aku di atas kapal terbang meredah awam biru.
“Apa khabar Ustazah An-nissa Sufia?” pemuda lengkap berjubah itu berdiri tegak di depan aku dengan tangannya dikilas ke belakang.
“Alhamdulillah... baik.” Aku terasa air mataku menitis sehingga jatuh ke batuan. Ya, Allah...ya Allah... ya Allah... aku cuba menyeru kekuatan.
“Subhanallah... terima kasih ya Rabb.” Aku terdengar getar suaranya menyebut kalimah itu sehingga mencucuk sehingga ke dasar hatiku yang paling dalam.
********
Kami semua duduk semeja di meja bulat sebuah restoran. Abang Humam dikananku, Kak Hawa dikiri. Manakala pemandu perjalanan kami duduk berhadapan denganku.
“Dengar cerita, Abid kawan zaman sekolah An-nissa. Tak sangka ya kebetulan macam ni. Masya Allah...” ucap Abang Humam yang ternyata gembira.
“Ya, sebenarnya kebetulan juga saya kena ganti Safwan. Mujur saya tak ada kuliah beberapa hari ni.” Kata Abid dengan tenang.
Perasaanku mulai kacau bilau. Bagaimana Abid boleh menjadi pelajar universiti Islam Madinah yang tersohor ini. Subhanallah... hamba Allah yang dahulu aku pernah menyangka tiada masa hadapan itu kini berada di depanku. Seorang mahasiswa yang belajar di bumi suci yang penuh barakah. Adakah lagi tempat yang lebih baik dari tempat ini untuk menuntut ilmu? Tanah yang bersemadinya tubuh manusia yang paling mulia Allah ciptakan di muka bumi. Mereka bebas untuk membuat umrah atau haji pada setiap tahun, semestinya mereka adalah manusia-manusia yang terpilih menjadi tetamu Allah untuk menuntut ilmu di tempat ini. Subhanallah...
“Dulu belajar di mana?” soal Abang Farhan pula.
“Aa...” Abid kelihatan serba salah. Aku sempat menangkap anak matanya.
“Awak belajar kat mana dulu? awak tak pernah beritahu saya pun kan nama sekolah awak?” tembak aku dengan pantas. Aku mulai merasai sesuatu.
“Maafkan saya, An-nissa Sufia. Saya dulu memang pelajar Maahad Tahfiz. Saya malu nak beritahu awak. Yela... kan saya suka join dengan mat-mat motor.” Luahnya jujur.
Aku tersandar di kerusi dengan lemah. Ya, Allah... hanya itu yang aku mampu katakan. Dan aku dapat merasakan tangan kiri Kak Hawa mengenggam erat tangan kananku memberi sedikit kekuatan.
**********
Dua tahun kemudian...
Wanita berkot kemas dengan lilitan selendang berwarna kuning emas duduk dengan tegak sambil tersenyum di hadapan camera. Setelah jurukamera itu memberi isyarat wanita itu terus memulakan bicaranya.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... alhamdulillah kita bertemu semula dalam rancangan Kerjaya Muslimah. Pada minggu ini kita ada seorang wanita yang kita jemput untuk berkongsi rahsia kejayaan beliau yang sedang berada di kemuncak sekarang ini. Beliau adalah Cik An-nissa Sufia, apa khabar?” Soal pengacara itu dengan ramah.
“Alhamdulillah, baik.” Aku menjawab ringkas.
“Alhamdulillah... Cik An-nissa Sufia ini seperti sudah dikenali ramai ya. Seorang penulis muda yang berdakwah melaui penulisannya. Baru-baru ini filem yang diadaptasi dari novelnya sudah memecah panggung dan menjadi filem terbaik tahun ini. Malah fenomenanya menghampiri kehebatan filem unsur islam dari Indonesia yang pernah gah suatu masa dahulu. Jadi, kita mahu beliau kongsikan sedikit tentang bagaimana beliau boleh menghasilkan sebuah karya bermutu seperti itu yang benar-benar berkesan di hati penonton dan pembaca. Silakan...”
“Alhamdulillah syukur kepada Rabb, yang meminjamkan kebolehan itu kepada saya. Sebenarnya... saya pernah berlajar di Jakarta. Di sana saya mengenali beberapa tokoh penulisan novel-novel islam yang merupakan pensyarah-pensyarah saya. Mereka benar-benar hebat ya, saya menimba sebanyak mungkin ilmu dari mereka. Cerita tentang cinta dalam islam ini perlu ditulis dengan benar-benar. Matlamat tidak menghalalkan cara. Salah seorang guru saya menasihati, jika mahu menulis novel cinta islam perlu ingat sesuatu. Tiada cinta sebelum nikah. Titik! Itu katanya... jadi salah jika kita menulis kisah cinta remaja menurut islam atau sebagainya. Itu tetap salah dan kita perlu jujur dalam berdakwah. Apabila kita jujur maka Allah pasti akan menolong kita.”
“MasyaAllah... hebat ya hebat. Ini yang saya suka ingin meminta pendapat Cik An-nissa. Boleh terangkan kepada penonton remaja diluar sana yang keliru dengan dongeng cinta islamik itu?” Soal pengacara itu dengan berhemah.
Aku tersenyum sebelum meneruskan bicara. “Ya, benar. Itu dongeng belaka, zina itu ada bayak cabangnya. Saya juga pernah disoal tentang ini oleh pelajar saya. Mereka berkata. Kami bercinta demi Allah, kami tidak seperti pasangan lain. Kami tidak berjumpa malah jika berhubung pun berbicara tentang hal-hal agama. Saya katakan kepada mereka. Iya benar... semua itu enak dipandang manusia, apa kamu fikir apabila Allah izin itu bermakna Allah suka? Dengan izin Allah kamu dapat bercinta, ya semua yang berlaku pasti dengan izin Allah. Akan tetapi ingatlah... jangan guna nama Allah untuk perkara yang terang-terang dilarangnya. Berdosa! Apabila kamu merindui kekasih kamu, itu zina hati. Apabila kamu menyatakan rindu kepada kekasih kamu, itu zina lidah. Dan apabila kamu melihat gambar kekasih kamu untuk melepaskan rindu, itu zina mata. Dan apabila kamu mendengar kata-kata rindu dari kekasih itu, itu zina telinga! Mustahil pasangan bercinta itu tidak rindukan kekasihnya kan?”
********
Usai sahaja sesi wawancara itu aku bersedia untuk pulang. Sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam kereta yang diparkir di basement bangunan stesyen televisyen itu aku ditegur.
“Tahniah... untuk kejayaan filem itu.” lelaki itu menghulurkan sejambak bunga.
“Maaf... saya tidak boleh terima bunga ini. Walau apapun tujuannya. Terima kasih, saya harap hidup awak sentiasa diberkati Allah.” Aku terus memberi salam dan terus meminta diri.
Dalam perjalanan itu air mataku berguguran. Sungguh, aku benar-benar tidak menyangka hidup aku diuji sebegini hebat. Walaupun luarannya aku kelihatan tabah, hakikatnya aku juga wanita biasa. Dua tahun lalu, ketika bertemu kembali dengan insan yang pernah bertakhta di hatiku di zaman anak-anak sekolah, aku mula merasai perasaan yang sudah lama aku kuburkan itu kembali tumbuh dan hidup. Hanya Allah sahaja yang tahu.
“Saya dengar awak sudah bertunang, An-nissa Sufia...” tenang Abid menghantar pertanyaan ketika itu. Aku yang baru sahaja selesai solat isyak mahu melangkah pulang ke hotel untuk mengemas barang kerana esokan hari kami akan pulang ke Malaysia. Tiba-tiba aku dan Kak Hawa bertemu Abid di depan pintu King Abdul Aziz. Jantungku seperti mahu luruh namun aku hanya mampu beristigfar. ‘Janganlah kau bertindak yang tidak-tidak wahai hati.’
Aku menoleh sekilas memandang Kak Hawa yang berdiri di sebelah. Wanita itu tidak mampu menjawab bagi pihak aku. “Ya... insyaAllah, hujung bulan ini majlis nikahnya.” Bergetar bibirku menuturkannya. Mataku mula bergenang. Entah kenapa aku mudah bersedih!
“Alhamdulillah... semoga An-nissa Sufia berbahagia bersama bakal imammu. Semoga awak menjadi ratu di hatinya di dunia ini, dan menjadi bidadarinya di mahligai Jannah kelak. InsyaAllah.”
Aku masih tidak memanggung memandangnya, oleh itu air mataku sekali lagi menitis ke lantas Masjidil Haram yang dingin. Kak Hawa pantas memaut bahuku.
“Saya harap... air mata awak itu akan menjadi mutiara hikmah di syurga kelak, An-nissa Sufia. Saya minta diri dulu... assalamulaikum.”
Tatkala aku memanggung kepala kelibat Abid sudah hilang disebalik para jemaah lain. Ketika itulah lututku bergoyang dan aku terjatuh dilantai.
“Nissa sudah mempertahankan agama... InsyaAllah pasti bahagia yang menanti.” Itulah kata-kata Kak Hawa yang aku hanya mendengarnya samar-samar.
Aku tidak menyangka, kepulangan aku ke tanah air memberi seribu ketenangan. Aku melepaskan rahsia hatiku di Tanah Suci dan aku kembali dengan hatinya penuh kesedian. Aku ingin khbarkan kepada ibu dan abah yang aku benar-benar sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri tanpa ragu-ragu lagi. Aku yakin, Abid cuma satu persingahan untuk aku belajar apa itu cinta yang sebenar di sisi Allah.
“An-nissa... bersabarlah.” Ibu membuka bicara ketika aku sedang sibuk memunggah barang-barang. Ketika itu ibu datang bersendirian ke dalam kamarku. Aku memandang ibu tanpa berkata-kata. Aku dapat mengagak ada sesuatu yang tidak baik.
“Zamrul... mahu putuskan pertunangan. Katanya dia tidak serasi dengan kamu. Keluarganya datang semalam untuk memohon maaf.”
**********
Hidup ini sangat rumit. Kerana Allah tidak akan membiarkan kita merasakan diri kita beriman sedangkan kita masih belum diuji. Dunia ini pentas ujian dan rumah musibah. Tetapi aku tidak pernah menganggapnya begitu, bagi aku dunia ini pentas untuk mentarbiah diri dan rumah untuk muhasabah diri. Selang dua tahun aku putus tunang, Zamrul ingin kembali menabur janjinya. Aku bukannya berdendam, tetapi aku tidak mahu tersalah percaturan lagi. cukuplah... kali ini aku serahkan segalanya kepada Tuhan.
Aku memasuki perkarangan rumahku dan ternyata seluruh keluargaku tersenyum menyambutku. Pastilah mereka juga menonton rancangan itu secara lansung. Macam-macam ucapan yang aku terima namun semuanya aku kembalikan kepada Allah. Dia lebih berhak mendapat pujian itu.
“Zamrul mahu melamarmu sekali lagi, Nissa.”
Aku terdiam mendengar suara abah. Lantas aku hanya mampu memohon semangat dari Rabb.
“Tetapi abah sudah menolaknya...”
“Alhamdulillah...” aku mengucap syukur. Ibu pantas memelukku.
Malam itu Abang Humam menghubungiku. Rinduku pada satu-satunya abangku itu terubat. Dia tidak melepaskan peluang untuk ucapkan tahniah kepadaku.
“Nanti abang belikan hadiah ya, special untuk adik abang tersayang.”
Aku ketawa, seperti anak-anak kecil pula aku dilayan. “Nissa nak yang besar ye. Abang kat mana ni? Minggu lepas kat Paris...”
“Abang sampai Jeddah pagi tadi...”
Terus darahku tersirap. Jantungku iba-tiba berdegup seperti pernah aku rasai suatu ketika dahulu.
“Emm... ada seseorang yang abang kenal kebetulan naik flight abang nanti. Dia nak balik ke Malaysia. Nissa nak cakap dengan dia?”
“Apa... aa... abang!” aku cuba memanggil abangku tetapi...
“Assalamualaikum, Ustazah An-nissa Sufia.”
Aku memejam mata serapat-rapatnya, hampir terjatuh telefon bimbitku itu mendengar suaranya. “Waalaikumsalam...”
“Saya dengar awak dah jadi penulis berjaya...”
“Abid!” aku memanggil namanya dengan pantas. Aku menarik nafas dan aku yakin dia pasti terkejut mendengar aku memotong kata-katanya.
“Ya, An-nissa Sufia. Awak ada apa-apa nak cakap ke?”
“Bismillahirrahmanirrahim.... Muhammad Abid bin Abdullah, sudi tak awak terima saya... sebagai isterimu di dunia ini, dan bidadarimu di syurga kelak” Sekali lafaz. Aku tidak tahu... tetapi lidahku seperti berkata sendiri tanpa dapatku kawal. Subhanallah...
Tut...tut....
Aku membuka mata perlahan-lahan. Talian terputus. Terketar-ketar tanganku ketika itu. Ya Allah... aku hampir menangis. Apa yang sudah aku katakan sebentar tadi?
“Hello, Nissa.” Abangku menghubungiku kembali. Ketika itu aku hanya terdiam dan bingung. Seperti rohku berterbangan di angkasa dan semangatku tercabut.
“Apa yang Nissa cakap kat dia?” desak abangku.
“Nissa... melamar dia...”
“Subhanallah.... Nissa, Abid tengah bersujud di depan Kaabah sekarang.”
“Subhanallah... terima kasih ya Rabb...” aku terus menangis dan melutut lalu sujud menghadap kiblat. Subhanallah... subhanallah... subhanallah...inikah cinta?!
p/s: sy ykin cerpan sy ini byk kekurgn, itu semestinya kerana yg baik semuanya dtg dr Allah dan yg lemah dtg dari sy sendiri. Oleh itu, mana yg baik ambillah utk jdikan teladan, dan yg buruk tinggalkan utk sy baiki. insyaAllah.
No comments:
Post a Comment