Thursday, July 10, 2014

TROLL TARBAWI?????

HEHEHE

"Bro, apa pandanganmu tentang cara terkini umat Islam troll sesama Muslim atas sebab nak menyedarkan mereka golongan yang jahil. Sehingga tidak peduli sama ada gambar yang disiarkan itu adalah gambar dedah aurat, ataupun kata-kata penuh caci maki dan sebagainya yang tidak baik?"

Terima kasih untuk soalan yang agak susah dijawab.

Dulu saya fikir, troll atau parody yang memalukan orang lain atas dasar untuk menyedarkan orang adalah bagus. Ya lah, orang tu tersentap, insaf tak nak buat dah. Dari segi logikanya, akal dan nafsu memang tak ada bantahan. Dapat buat orang gelak, rasa best. Rasa syok saja. Bangga boleh buat orang ketawa berdekah-dekah dan dalam masa yang sama nak betulkan kesalahan orang lain dengan cara troll.

Tetapi, bila difikirkan dengan berlandaskan agama, saya sampai kepada satu soalan kepada diri sendiri iaitu,

"Kalau troll itu baik demi agama, kenapa Rasulullah s.a.w. tidak menggunakan metode tersebut terhadap orang kafir, musyrikin dan munafiqin seluruhnya? Kita tahu betapa teruknya kehidupan jahiliyyah dulu. Lebih dahsyat dari jahiliyyah moden sekarang."

Memang cara dakwah kita berbeza. Tapi, di dalam uslub atau cara dakwah itu sendiri tidak pernah pula saya jumpa dalil yang membenarkan:-

1. Pamerkan gambar aib, aurat seseorang walaupun orang itu sendiri yang mengaibkan dirinya sendiri di khalayak. Betul kita kata itu kan salah orang yang upload tu sendiri, kita nak tunjuk kesalahan dia saja.

Tapi, tunjuk aurat orang itu kepada khalayak pula, adakah dapat pahala? Tidak dapat dosa? Kalau boleh berikan dalil jelas memang terlepas dari dosa, saya pun nak troll jugalah. Berlambak gambar dedah aurat di laman sosial ni boleh dipetik.

2. Kutukan dan makian serta mengajak orang lain pula mengutuk sama.

Dalam kitab mana ya tertulis ajaran kutukan, makian, kejian digalakkan dalam Islam? Kalau ada, kitab itu sudah pasti menyalahi pengutusan Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan akhlak Qurani dan makaarimil akhlak sebaik-baik diri empunya akhlak.

Bila Nabi s.a.w. tak ajar benda ni, jadi kenapa kita buat juga? Bida'ah la kan benda ni?

Boleh jawab dua soalan di atas tak?

Dari orang biasa hinggalah para ustaz hinggalah ke para menteri hingga ke seluruh penduduk dunia nak ditrollnya. Adakah seronok semua benda pun nak dibuat lawak?

Bila kita nak troll diri sendiri pula sehingga terduduk termenung muhasabah keluar air mata di sepertiga malam?

Lebih bagus orang keluar air mata insaf menangis dengar tazkirah atau ceramah yang menyentuh hati tentang agama dari keluar air mata gelak terbahak-bahak.

Hidayah milik Allah. Kalau kita troll lawak tahap maksima pun, hidayah bukan di tangan kita.

Andai kita sampaikan tazkirah yang memboringkan, kalau Allah nak bagi hidayah Dia akan bagi juga. Dalam sepuluh yang kata hadir, mungkin ada seorang yang terkesan ke lubuk hati paling dalam.

Firman Allah yang bermaksud,

“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah kepada siapa yang engkau suka, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.” (Surah Al-Qasas, 28:56)

Firman Allah lagi,

“Kewajipan engkau tidak lain hanyalah menyampaikan.” (Surah As-Syura, 42:48)

Inti yang disampaikan pula bagaimana? Dengan sabar atau dengan maki orang?

Mari semak firman Allah yang satu lagi,

“Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah Al-Asr, 103:3)

Maaf andai ada yang tidak selesa dengan post ni.

Tapi percayalah, mana mungkin seseorang Muslim boleh rasa selesa buat salah tanpa cuba membetulkan kesilapannya sendiri.

Tulisan ini bukan parody.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML