Wednesday, July 16, 2014

TENANG : SAKINAH, MAWADDAH DAN RAHMAH


 Assalamualaikum wbt.

Sebelum ini saya dah sentuh mengenai ketenangan adalah faktor penting yang dicari dalam diri setiap pasangan.

Kali ini saya detailkan sikit. Namun, saya cuba untuk tulis seringkas mungkin.

Sebelum itu, saya minta anda tarik nafas dalam-dalam kemudian hembuskan perlahan-perlahan. Tenang-tenangkan diri anda. Buangkan segala masalah yang kusut di kepala selama 5 minit.



Saya buka dengan firman Allah menerusi Surah al-Baqarah ayat 187 yang begitu bermakna sekali:



Terjemahan:


    Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu.

Suka untuk saya sentuh, 'pakaian' di sini bukan hanya berkisar pada kepuasan batin semata-mata dalam rumahtangga, tetapi merangkumi kesemua aspek. Ibarat sepasang mata, tidak selesa jika hanya melihat dengan satu mata sahaja tetapi perlu kepada kiri dan kanan untuk melihat dengan jelas dan seimbang.

Dalam konteks ini, saya lebih suka untuk bawa anda meneroka 90 darjah sudutnya. Hanya satu sudut dan selebihnya anda boleh fikirkan sendiri. Kesemua aspek 'pakaian satu sama lain' ini cenderung kepada ketenangan, ketenteraman, kelapangan hati. Kita senang bila suami atau isteri kita bantu kita, support kita dari segi moral-material-kewangan. Kita suka bila pasangan kita ada di sisi kita masa kita susah dan sedih, kongsi suka dan duka sama-sama. Semua gerak geri pasangan dan tindak balas pasangan pada kita buat hati kita rasai sesuatu. Ketenangan.

Di dalam al-Quran, kriteria pasangan sudah disebutkan dengan jelas. Yakni ada tiga kriteria utama selain faktor solehah dan beriman. Disebutkan dengan jelas dalam Surah al-Ruum ayat ke-21, firman Allah:-



Pertama, faktor Sakinah yang diambil dari "litaskunuu ilaiha". Sakinah ertinya tenteram. Dengan kata lain, tenteram apabila wujudnya kepercayaan dalam rumahtangga. Dia percayakan dirimu sepenuhnya dan kamu percayakan dia setulusnya. Tidak menipu antara satu sama lain. Jujur seadanya. Dia memahami, kamu memahami. Walaupun kamu mungkin berbeza minat dan perwatakan dengan pasangan, tapi hati selari seiring seia sekata. Pendek kata, dengan adanya faktor Sakinah, rumahtangga yang dibina akan berlangsung dengan tenang dan damai.

Kedua, faktor Mawaddah. Kata Mawaddah telah disebut sebanyak 29 kali dalam pelbagai kata kerja dan kata terbitan di dalam al-Quran. Mawaddah pula secara literalnya bererti kelapangan dan kekosongan hati. Tepat lagi adalah kelapangan dada, kosong jiwa dari kehendak yang buruk. Ibnu 'Abbas r.a. menafsirkan Mawaddah adalah cinta seorang lelaki yakni seorang yang bergelar suami terhadap isterinya. Pada pandangan saya, Mawaddah ini tidak akan timbul kecuali setelah pernikahan yang sah. Syeikh Hamka dalam Tafsir al-Azhar pula menafsirkan kata wadda atau yawaddu yang berkaitan dengan Mawaddah, sebagai ingin-inginlah-ingin sekali, suka atau tersangat suka dan kata wuddan dimaknakan sebagai percintaan. Jadi, maksudnya Mawaddah ini dalam kefahaman saya adalah suatu percintaan yang mencetuskan rasa tenteram dan tenang dalam hati-hati setiap pasangan yang telah berkahwin. Kata M.Quraish Shihab, jika mencintai dan mengkehendaki sesama pasangan sesuatu yang baik dalam hubungan, sesuatu yang boleh menimbulkan cinta dan kasih pula pada Allah, maknanya Mawaddah telah menghiasi hati. Malah, ia lebih dari sekadar cinta malah melengkapi antara satu sama lain. Mana yang kurang, pasangan akan cuba tampung dan backup. Kelebihan pasangan menutup kelemahan pasangan. Malah, dari Mawaddah jugalah terhasilnya Sakinah pada pandangan M.Quraish Shihab. Inilah hikmah sebuah perkahwinan. Pasangan yang dibina bersama rasa Mawaddah dan Sakinah menjadi hiburan hikmah untuk sesuatu perkahwinan. Suamilah penghibur, isterilah penenang dan saling bergiliran watak antara keduanya.

    "Seperti halnya tubuh boleh terasa bosan atau letih, hati juga alami yang sama. Oleh sebab itu, berilah hati hiburan yang mengandungi hikmah." ( Sayyidina Ali bin Abi Talib )

Ketiga, faktor Rahmah. Ibnu 'Abbas menafsirkan al-Rahmah sebagai kasih sayang suami terhadap isterinya, yakni ketika isterinya ditimpa kesusahan, keburukan dan kesukaran. Namun difahami di sini, al-Rahmah bukan rasa simpati, tetapi tercetus dari kelembutan hati yang paling dalam, rasa yang terus-menerus ada dalam hati terhadap pasangan lawannya, kehalusan budi pekerti dan kemuliaan tingkah laku. Maknanya, Rahmah adalah rasa yang tumbuh untuk melayan suami atau isteri dengan sebaik-baik layanan. Dan ya, kesemua tulus ikhlas. Bukan simpati semata-mata.

Sebuah kisah yang menarik dicatatkan mengenai faktor Rahmah ketika zaman Sayyidina Umar al-Khattab, beliau tealh didatangi oleh seorang lelaki yang mahu menceraikan isterinya. Maka Amirul Mukminin Umar bertanya kepada lelaki tersebut apakah sebabnya. Maka lelaki itu menjawab, "Kerana aku tidak mencintainya lagi." Maka apa kata Umar? Umar berkata dengan nada tegas, "Celaka kamu! Bukankah kamu membina dan membangun rumahtanggamu atas dasar cinta? Maka di manakah penjagaan dan rasa malumu?"

Nikah kerana cinta semata-mata, inilah hasilnya.

    Yakni saya fahami, masa yang beredar menyebabkan cinta juga pudar dan layu. Cinta juga menjadi tua. Inilah kerana tidak ada faktor al-Rahmah. Cinta atas dasar batang tubuh cinta semata-mata akan memudar dan terus melayu. Tetapi cinta atas dasar cintakan Allah lalu cintakan pasangan, akan terus menerus bersambungan dan menjadi lebih kukuh hingga ke akhir hayat. Inilah cinta al-Rahmah. Bukan cinta biasa. Cinta yang damai, tenang dan tenteram tidak mampu diraih dengan level cinta biasa-biasa.

Jadi, ketiga-tiga faktor yakni Sakinah, Mawaddah dan Rahmah menghasilkan impak yang menakjubkan sekali dalam rumahtangga yang soleh dan bertunjangkan iman berlandaskan Islam. Apakah kesan terbesarnya? Ya, ketenangan, ketenangan dan ketenangan.

    Walaupun pasangan tidak memiliki paras rupa yang menawan, tidak mempunyai harta yang banyak, kerja yang membanggakan dan pencapaian yang mengagumkan. Tapi kerana tingginya mujahadah dan kasih sayangnya pada Allah dan agama, terbitnya wajah dan susuk tubuh atau jiwa yang menenangkan. Super-tenang. Suami tenang bila melihat isteri. Isteri damai tenteram melihat si suami. Anak-anak redup pandangan pada ayah dan bonda. Akhir sekali, keluarga yang Sakinah, Mawaddah dan Rahmah terwujud dalam rumah yang sederhana.

Jadi, optimislah. Buangkan pemikiran pesimis hidup ini perlukan wajah yang menarik, tubuh yang menawan, rupa bak artis-artis popular Korea dan sebagainya, kerja yang bergaji mewah, rumah dan kereta besar-besar; semua ini pakej yang diidamkan oleh kesemua orang dalam dunia ni. Ini semua tidak perlu kita tekankan dengan amat melampau. Cukup dengan rupa sederhana, hidup sederhana.

    Optimislah bahawasanya hati yang beragama melahirkan wajah yang beragama dan memancarkan sinar agama. Benar. Sinaran wajah yang meredupkan pandangan, sejuk mata kasar dan mata hati melihatnya. Tenang dan damai. Lihat sahaja sudah tenang. Apatah lagi memilikinya.


Semua dari agama. Terbit dari agama.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML