Tuesday, July 15, 2014

KELUARKANLAH KAMI!!!! MATIKANLAH KAMI !!!!!

 Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah, pujian yang menyamai nikmat-nikmatNya dan mencukupi kelebihanNya. Wahai tuhan kami bagiMu segala pujian sebagaimana layak bagiMu kedudukan, keagungan dan kebesaran kekuasaanMu. Maha suciMu yang tak mampu kami mengira berapa banyak puji-pujian ke atasmu seperti yang Engkau puji ke atas diriMu sendiri. Maka layak bagiMu segala pujian sekiranya telah Engkau redhai dan bagiMu juga pujian selepas keredhaan itu.

Ya Allah sampaikan selawat serta salam ke atas junjungan nabi Muhammad keluarganya, sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya sehingga ke hari kiamat.

Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Kariim memberitahu kita bahawa ahli-ahli neraka akan membuat ungkapan "keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia)".


Antara ayat-ayat yang menyatakan demikian ialah:


    Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) (Al-Mu'minuun 23:99)


    "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).(Al-Mu'minuun 23:100)

    Mereka menjawab: "Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab-sebab kecelakaan kami, dan dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat.(Al-Mu'minuun 23:106)

     "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim." (Al-Mu'minuun 23:107)

Allah membalas permohonan ahli-ahli neraka dengan firmannya:

    (Allah) berfirman: "Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu! (Al-Mu'minuun 23:108)


Ahli-ahli neraka juga meminta kepada penjaga neraka supaya mematikan mereka; namun dijawab oleh malaikat bahawa mereka akan tetap kekal dalam neraka:

    Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): "Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!" Maalik menjawab: "Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!" (Az-Zukhruf 43:77)


Ahli-ahli neraka akan minta kepada Allah melalui malaikat supaya diringankan azab walaupun untuk sehari:

    Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: "Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari". (Ghaafir 40:49)


Lihat apa yang dijawab oleh malaikat penjaga neraka:

    Malaikat penjaga neraka menjawab: "Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?" Mereka menjawab: "Ya, telah datang". Malaikat itu berkata: "Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja". (Ghaafir 40:50)


Firman berikutnya:

    Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan". (Faatir 35:37)


Allah berfirman:

    Mereka menjawab: "Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?" (Ghaafir 40:11)


Begitu juga dengan firman di bawah mereka mohon untuk kembali ke dunia:

    Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". (As-Sajdah 32:12)


Untuk permohonan ini Allah menjawab:

    Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)". (As-Sajdah 32:13)


Ahli neraka membuat permohonan seperti berikut dan Allah menempelak bahawa bukankah mereka telah  dipanjangkan umur dan mereka juga telah membuat perjanjian semasa berada di dunia:


    Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut agama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan? (Ibrahim 14:44)


Sesungguhnya kita harus takut dan bimbang dengan persediaan mengharungi lautan kehidupan dunia untuk menuju hari yang harta dan anak pinak tidak berguna lagi. Sudah bersediakah kita?

Di neraka terlalu banyak fenomena yang berlaku dalam sehari.

Bayangkan sehari di sana bersamaan berapa tahun di sini.

Ya Allah, aku tak layak ke syurgaMu namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu, ampunilah dosa-dosaku bak pepasir di pantai....

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML