APA yang diperintahkan Allah pasti mempunyai fadilat, hikmah dan ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya. Hal itu termasuklah dalam amalan berzikir.
Ia perbuatan ringan, namun mempunyai ganjaran besar kepada pengamalnya. Ringan di lidah tetapi berat di ‘Mizan’, begitu kedudukan status amalan zikir dan amat tidak wajar seandainya kita mengabaikannya.
Sahabat Rasulullah s.a.w, Muaz bin Jabal pernah memberitahu, “Tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamatkan seorang hamba daripada azab Allah, melebihi zikir kepada-Nya.”
Jangan kita sangsi apa yang disuarakan Muaz kerana ketika perjalanan sirahnya bersama Rasulullah s.a.w, beliau antara sahabat yang menjadi kesayangan Rasulullah hinggakan pernah satu hari Baginda memberitahu sahabat lain, “Umatku yang paling tahu akan yang halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal.”
Ia penghormatan tertinggi buat Mu’az daripada golongan Ansar yang turut terbabit dalam Perjanjian Aqabah kedua.
Sementara itu, seorang ulama tabiin tersohor, Aun bin Abdullah ada menyampaikan satu cerita, “Pada suatu ketika ketika kami mendatangi Ummu al-Darda’ kami pun berzikir dengannya.
Namun, pada suatu hari yang lain, Ummu al-Darda merasa gelisah sehingga membuatkan sahabat yang bersama berzikir bersamanya berasa hairan.
Mereka berkata, “Adakah kami membuatkanmu berasa bosan, wahai Ummu al-Darda?” Sambil membetulkan kedudukannya di lantai, Ummu al-Darda’ menjawab, “Apakah kalian fikir kalian membuatkanku berasa bosan? Tidak sama sekali wahai sahabat sekalian. Selama hidupku, aku selalu mengharapkan zikir, maka bagiku tiada sesuatu hal pun yang dapat melapangkan dadaku melebihi zikirnya ahli zikir.”
Begitulah pengakuan jujur seorang insan mulia. Siapa yang tidak mengetahui keunggulan Ummu al-Darda’ atau Abu Darda’ ini. Siapakah yang berani menafikan ketokohannya?
Abu Darda’ pernah menceritakan berkenaan riwayat hidupnya. Ceritanya, “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w sewaktu aku menjadi saudagar yang mewah dengan harta kekayaan.
“Keinginanku adalah untuk menjadikan beribadah dan berniaga dapat dihimpunkan pada diriku jadi satu. Tetapi sayang seribu kali sayang, hajat itu tidak kesampaian.
“Lalu, aku mengambil keputusan mengasingkan urusan perniagaan dan menghadapkan diri kepada ibadah. Aku tidak akan berasa gembira sedikitpun jika sekarang aku berjual beli dan mendapat hasil setiap hari 300 dinar, sekalipun kedaiku terletak di muka pintu masjid.”
Sambungnya lagi, “Aku tidak mengatakan kepada kamu Allah mengharamkan jual beli. Hanya aku secara peribadi lebih menyukai supaya aku termasuk dalam golongan yang berniaga dan jual belinya tidak sekali-kali melalaikannya daripada berzikir kepada Allah.”
Dari situ menggambarkan Ummu al-Darda’ seorang yang memiliki keimanan yang kuat sehingga gusar jika urusan perniagaannya menjerumuskan dirinya ke lembah golongan lalai berzikir.
Bagi insan yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga lupa mengingati Allah malah sentiasa membiarkan hati dan jiwa terbelenggu dengan kekalutan urusan duniawi, beliau dengan ikhlas pernah berpesan antara lain, “Sesiapa yang tidak pernah puas terhadap dunia, maka tidak ada dunia baginya.”
Malah satu ketika beliau tidak dapat menahan sebak tatkala melihat ada sesetengah insan tenggelam dalam hawa nafsu mengejar keduniaan.
Sambil merintih perlahan suara insan mulia itu melontarkan kata-kata, “Oh Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada hati yang bercabang-cabang.”
Rupanya luahan suara Abu Darda’ masih dapat didengari sahabatnya, lantas sahabatnya bertanya, “Apakah yang kamu maksudkan dengan hati yang bercabang-cabang itu, wahai Abu Darda’?” Dengan frasa kata yang ringkas Abu Darda’ menjawab, “Memiliki harta benda di setiap lembah.”
Ada lagi peringatan bermanfaat yang disampaikan Abu Darda’, kata beliau, “Alangkah hinanya makhluk di sisi Allah, apabila mereka meninggalkan kewajipannya terhadap Allah.
Selagi mereka teguh sebagai umat perkasa, mereka berjaya mempunyai kekuatan, kemudian apabila mereka tinggalkan amanah Allah, maka jadilah mereka orang yang hina dan kecundang.”
Apa yang dikatakan Abu Darda’ memang benar dan kita sedang menyaksikan fenomena masyarakat Islam masa kini banyak dilekakan dengan keduniaan sehingga terpaksa mengejar masa demi memartabatkan diri sebagai manusia hebat dari segi material.
Tetapi bagaimana dengan alunan jiwa untuk ukhrawi yang kekal abadi? Sudah tentu salah satu amalan yang perlu dibudayakan ialah mengamalkan zikir.
Ia mampu membentuk jiwa yang kaya dengan iman, takwa dan jati diri insan yang diredai Ilahi. Imam Ibnu Taimiyyah berkata, “Barang siapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih daripada penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur, dia akan memperoleh pelbagai hikmah.”
Ada cerita lagi, ada seorang datang menemui Rasulullah lalu berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat (ajaran) Islam itu sudah terlalu banyak bagiku, maka khabarkanlah untukku, sesuatu yang agar aku boleh berpegang teguh padanya?”
Seperti biasa Rasulullah tidak pernah menghampakan sebarang pertanyaan daripada sahabat mahupun sesiapa saja di kalangan umatnya. Lalu nasihat Baginda, “Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Justeru, dalam kesibukan kita pujuklah rasa dan hati kita supaya tidak cuai dalam mengamalkan zikir kepada Allah. Jadikanlah amalan zikir sebagai penawar jiwa dan penyejuk hati.
No comments:
Post a Comment