Friday, April 11, 2014

KITA MASIH ISTIMEWA DAN BERNILAI....

Seorang pensyarah berdiri di hadapan kelas. Beliau mengeluarkan sekeping wang kertas bernilai RM50. Kemudian dia bertanya kepada pelajar-pelajarnya.


"Siapa mahu wang ini?"


Kesemua pelajar mengangkat tangan.


"Saya akan beri wang ini kepada salah seorang daripada kamu tapi biar saya buat begini dulu kepada wang kertas ini"


Pensyarah itu lalu merenyukkan dan menggumpal wang kertas tersebut.


"Sekarang siapa yang masih mahu wang kertas ini?" tanya pensyarah itu kepada pelajar-pelajarnya.


Masih ada yang mengangkat tangan. Bukan senang nak dapat RM50 secara percuma. Kemudian pensyarah tersebut menjatuhkan wang kertas yang bergumpal itu ke lantai lalu memijak dengan kasut. Wang kertas itu sekarang menjadi lebih teruk keadaannya dari tadi, bergumpal dan kotor.


"Ada sesiapa yang masih mahukan wang kertas ini?"


Sungguh hairan, masih ada yang mengangkat tangan, bermakna masih ada yang mahukan wang kertas yang telah bergumpal dan kotor itu.


"Wahai pelajar-pelajarku, kamu telah mempelajari sesuatu yang amat bernilai hari ini, lebih bernilai dari wang kertas ini. Tidak kira apa yang telah saya lakukan kepada wang kertas ini tapi kamu masih mahukannya kerana kamu tahu nilai wang kertas ini tidak berubah walaupun keadaannya sudah menjadi teruk begini. Nilainya tetap RM50"


Sesungguhnya dalam kehidupan kita samada kita sedar atau pun tidak, kita pernah mengalami kejatuhan, kerenyukan dan disalut oleh debu-debu kekotoran disebabkan kesilapan yang kita lakukan atau disebabkan persekitaran yang tidak begitu meransang kita ke arah positif. Keadaan ini boleh menyebabkan kita berputus asa dan merasakan diri kita tidak berguna. Walau seteruk mana sekalipun keadaannya, kita mesti selalu ingat dan sedar bahawa kita masih bernilai dan nilai diri kita tidak pernah hilang. Bersihkan diri dari kekotoran, lurutkan diri dari segala renyukan dan gumpalan dan ingatlah kita masih bernilai kepada orang-orang yang kita sayang dan orang-orang yang menyayangi kita .


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML