Friday, April 11, 2014

KENALI DAN JAUHI AJARAN SESAT DI MALAYSIA

بِسْمِ اللهِ الرَحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلحَمْدُ لِلهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

Memandangkan banyaknya ajaran sesat yang timbul dalam masyarakat dengan pelbagai jenis ajaran dan kefahaman, kemuncaknya mengaku menjadi tuhan.
Maka Dr. ABDUL BASIT telah mengambil inisiatif meminta beberapa orang pelajar subjek NUZUM di KIAS (Jazahumullahu Khaira) untuk meringkaskan risalah yang dikeluarkan oleh MAIK dengan tajuk ‘Memerangi Ajaran Sesat’, yang diterbitkan pada Bulan September 1987 untuk menjadi bacaan, panduan dan rujukan kepada masyarakat agar terhindar dari ajaran sesat tersebut.
Akhukum, AAM, Hari Asyura 1435 H



 Ajaran sesat muncul dalam masyarakat Islam hasil dari perancangan rapi yang ditaja oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam dan mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam menerusi perbezaan dan percanggahan fahaman.

Di negara kita, ajaran sesat memang telah dikesan sejak dahulu lagi dan pengaruhnya meresap masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi gerakan batiniah atau yang bertopeng di sebalik nama tarikat-tarikat Sufiah yang dikenali di kalangan masyarakat negara ini. Ajaran tersebut lazimnya bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh guru atau pembawa ajaran itu yang dianggap mursyid serta kononnya mempunyai martabat yang tinggi pada pandangan pengikut-pengikutnya. Guru itu sendiri adakalanya menggunakan ilmu batiniah untuk meyakinkan pengikut-pengikutnya seperti menunjuk kekebalannya, mengeluarkan air dari jari, boleh merawat penyakit ganjil dan sebagainya.

Ada juga yang mendakwa boleh menghilangkan diri (ghaib) dari pandangan orang ramai, pergi ke suatu tempat dalam sekelip mata, mikraj ke langit beberapa kali, pergi bertemu Rasulullah SAW untuk menerima ajarannya, tidak pernah tidur semenjak sekian lama, tahu niat hati orang lain terutama pengikut-pengikutnya dan lain-lain lagi. Tujuannya berbuat demikian adalah untuk menarik kepercayaan orang ramai supaya menjadi pengikutnya.

Di Kelantan, kebanyakan ajaran sesat diseludup masuk dari luar seperti negara jiran. Ajaran tersebut bergerak secara sulit dengan mempengaruhi mereka yang jahil tentang ilmu agama. Selalunya taktik yang digunakan untuk mempengaruhi pengikut ialah dengan mengemukakan pertanyaan-pertanyaan untuk memerangkap kemudian membiarkan orang itu dalam keadaan tertanya-tanya untuk beberapa ketika misalnya:-
1.        Kenapa Allah SWT memfardukan sembahyang Zohor empat rakaat, tidak tiga atau dua?
2.        Apa maksud ‘Ba’ dalam awal ayat Bismillahhirrahmannirrahim?
3.        Apa Muhammad awal dan Muhammad akhir?
4.        Nama Allah yang diketahui umum ialah 99, apakah nama Allah yang ke 100?
5.        Apa makna Alif, Dal, Mim pada nama Adam atau Mim, Ha, Mim, Dal, pada nama Muhammad?

Pertanyaan yang direka-rekakan itu menimbulkan rasa ingin tahu dalam hati orang yang dipengaruhi itu kerana sebelum itu mereka belum pernah mendengar dari mulut guru-guru agama atau alim ulama. Untuk mengetahui jawapan tersebut, seseorang itu mestilah memenuhi syarat tertentu seperti berikrar tidak akan mendedahkan rahsia pengajaran yang dianggap ‘isi’ itu, mematuhi semua cakap dan arahan guru tanpa membantah, dan lain-lain syarat lagi termasuk meminum air jampi. Keengganan mematuhi syarat-syarat yang diberikan itu menyebabkan seseorang itu dianggap tidak layak menerima ilmu yang disifatkan sebagai inti dari segala agama. Begitulah cara yang selalu dilakukan oleh pembawa ajaran sesat supaya ajarannya tidak bocor ke pengetahuan orang ramai yang dikira bukan ahlinya.

Pengajaran biasanya dibuat di rumah pengikut atau di surau (balaisah) kepunyaan kumpulan mereka sendiri, bukan di masjid sebagaimana yang lazim dilakukan oleh guru-guru agama. Di sana mereka berkumpul dan mengadakan majlis zikir dan pengajaran cuma diselit-selitkan sahaja atau diadakan pada waktu-waktu tertentu setelah berpuas hati bahawa dalam majlis tersebut dan tidak ada orang luar yang cuba menyamar untuk mencari rahsia. Jika dalam majlis tersebut ada orang yang tidak dikenal atau disyaki, maka pelajaran langsung tidak akan diadakan bahkan majlis tersebut bersurai begitu sahaja.
Satu-satunya  pengajaran khusus yang disampaikan kepada individu tertentu tidak boleh dimaklumkan kepada orang lain tanpa izin guru hatta sesama pengikutnya sendiri. Alasannya ialah kerana darjah seseorang itu tidak sama dan mereka tidak semuanya layak menerima ajaran yang kononnya isi itu kecuali kepada mereka yang sesuai sahaja mengikut penilaian guru mereka sendiri. Pengajaran hanya disampaikan secara lisan tanpa berpandukan kitab-kitab tertentu. Jika ada pun, buku tersebut ditulis sendiri oleh guru berkenaan dan penggunaannya amatlah terbatas supaya tidak jatuh ke tangan orang lain.

Guru ajaran sesat menggunakan berbagai muslihat untuk menundukkan pengikutnya supaya patuh kepada segala arahan dan kehendaknya. Kesetiaan pengikutnya diukur dengan pengorbanan yang dicurahkan terhadap guru. Semakin banyak pengorbanan yang diberikan kepada guru semakin tinggilah pula penghormatan guru terhadap pengikut berkenaan dan semakin rapatlah hubungan mereka. Sebaliknya pula, sedikit pengorbanan yang diberikan mereka semakin rendah dan jauhlah hubungannya dengan guru dan pengikut. Oleh itu tidak hairanlah jika terdapat guru ajaran sesat memiliki kesenangan serta kemudahan yang diperlukannya kerana itu semua diperolehi hasil dari pengorbanan pengikut setianya. Bagi mereka, syafaat guru adalah merupakan suatu ganjaran yang amat diharapkan.

Di samping berusaha membentuk jiwa pengikut-pengikut supaya kasih dan taksub terhadap ajaran yang dianuti, pembawa-pembawa ajaran sesat tidak lupa mempengaruhi mereka supaya bersikap benci terhadap sesiapa jua yang cuba menentang kegiatan mereka termasuk guru-guru agama, alim ulama, undang-undang, pihak berkuasa agama dan lain-lain. Kononnya usaha suci mereka itu ditekan dan dihalang oleh golongan yang tidak mahu kepada kebenaran. Segala hujah yang dibawa oleh guru ajaran sesat untuk menegakkan kepalsuannya itu memang diterima oleh para pengikutnya tanpa berfikir lagi. Dari sinilah lahirnya rasa simpati terhadap diri guru mereka yang dianggap tidak bersalah itu.

Keadaan ini menimbulkan sikap memberontak dalam diri pengikut-pengikut ajaran sesat terhadap pihak berkuasa alim ulama dan mereka lantas mengambil sikap memulau segala program keagamaan yang ditaja oleh orang lain yang bukan dari golongan mereka seperti kuliah-kuliah agama, perayaan agama, sembahyang Jumaat, sembahyang jemaah di masjid atau surau, majlis perkahwinan dan sebagainya. Sama ada disedari atau tidak, kumpulan penganut ajaran sesat itu telah menggugat perpaduan masyarakat dan menjejaskan keharmonian hidup akibat dari perbezaan pegangan ajaran agama antara mereka dan orang ramai. Pernah terjadi krisis rumahtangga bila salah seorang dari pasangan suami isteri enggan menyertai kumpulan tersebut. Demikianlah kesan yang wujud di dalam masyarakat akibat dari pengaruh ajaran sesat yang merbahaya itu.

Tidak syak lagi gerakan ajaran sesat itu jika dibiarkan membiak akan mencetuskan suasana yang menggugat keselamatan negara seperti apa yang berlaku di Batu Pahat, Johor pada 16hb. Julai, 1980. Dalam peristiwa itu banyak nyawa telah terkorban dan cedera apabila kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh seseorang yang mengaku sebagai Imam Mahdi menyerang balai polis Batu Pahat. Motif serangan itu adalah semata-mata menunjukkan kekuatan mereka sebagai pejuang kebenaran kononnya, kerana terpengaruh dengan dakwaan ketua mereka bahawa orang yang beramal dengan ajaran itu akan menjadi kebal. Peristiwa seperti itu tidak mustahil akan berlaku lagi, jika masyarakat mengambil sikap tidak peduli terhadap gerakan ajaran sesat yang berlaku di kawasan mereka.



SEJARAH PERKEMBANGAN AJARAN SESAT DI KELANTAN
Semenjak dulu lagi umat Islam di negeri Kelantan sedang dilanda ajaran sesat yang kebanyakannya dibawa masuk dari luar Kelantan. Sekitar tahun 50-an, 60-an dan 70-an muncul ajaran yang digelar ilmu isi, ajaran Tok Janggut, amalan subud, ajaran Haji Ibrahim Tok Gedong dari selatan Thailand, Tarikat Naksyabandiah Kadirun Yahya, ajaran Hassan Anak Rimau dan lain-lain lagi termasuk ajaran Tajalli yang dibawa oleh Ahmad Laksamana dan ajaran Mat Nor Kua Supa.

Kelahiran ajaran tersebut secara tak langsung menjadi kayu pengukur yang dapat menentukan tahap kelemahan seseorang muslim sejauh mana kemampuan mereka menilai antara ajaran yang hak dan batil.Apa yang nyata, segelintir masyarakat tanpa mengenal peringkat telah terkeliru lalu menerima ajaran dan pegangan ajaran sesat dengan menganggap sebagai sebahagian dari ajaran Islam kerana jahil tentang hakikat sebenar ajaran Islam.

Sebagai contoh mereka terperangkap dalam gerakan ajaran sesat iaitu dapat menerima konsep pengajaran yang bercanggah dengan syara’ seperti:-
1.         Sembahyang hanya memadai dengan niat sahaja tanpa perlu dikerjakan seperti yang disuruh oleh syara’, sehingga ianya boleh dilakukan sambil berjalan, sambil makan, sambil bekerja dan sebagainya.
2.         Manusia keseluruhannya dari Allah SWT dan akan kembali menjadi Allah seolah-olah mereka adalah satu juzuk dari zat Allah, bukannya makhluk ciptaan Allah. Pegangan seperti ini sama dengan ajaran Buddha yang mendakwa kononnya manusia yang suci dan tidak berdosa akan kembali bersebati dalam zat Tuhannya.
3.         Mengerjakan haji di Makkah sunat sahaja bukan wajib, sebagaimana dakwaan Hassan Anak Rimau. Dakwaan itu terang-terangan bertentangan dengan rukun Islam yang ke-lima yang tidak pernah dipertikaikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, kecuali mereka yang menyeleweng dan terpengaruh dengan ajaran sesat.

Percanggahan-percanggahan yang amat keterlaluan dengan syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sudah jelas membuktikan bahawa ajaran tersebut sengaja direka oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk memesongkan ajaran Islam yang sebenarnya. Itulah sebab pembawa ajaran sesat tidak mempunyai kitab-kitab rujukan yang tertentu yang diakui sebagai sandaran kepada butir-butir pengajarannya. Ada juga yang mendakwa bahawa ajarannya berlandaskan kitab-kitab Tasauf karangan ulama-ulama Tasauf yang terkenal, tetapi akibat dari kelemahan dirinya memahami isi kandungan kitab-kitab tersebut menyebabkan berlakulah penyelewengan. Hal itu banyak terjadi pada mereka yang hendak cuba memahami ilmu tersebut padahal mereka tidak mempunyai asas pengetahuan yang cukup untuk mencapai ilmu yang tinggi dan rumit itu, apa lagi jika usaha tersebut dilakukan secara sendiri sahaja tanpa bimbingan dari guru yang mursyid.


Ciri-ciri ajaran salah dan mengenal pasti kesalahan-kesalahan.
Agama Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW, yang memberikan kepada manusia bimbingan, pegangan, amalan-amalan serta hukum hakam, yang dinyatakan di dalam "Hadis Jibril" yang ditentukan ruang lingkupnya sebagai "Iman", "Islam" dan "Ihsan", yang kemudiannya dihuraikan dengan terperinci segala kepenuhan dan kedalaman dengan segalanya oleh para ‘ulama, sebagai merangkumi segi-segi ‘aqidah, syariah dan ajaran serta amalan rohaniah yang dipanggil tasauf. Ia kemudiannya berkembang menjadi ilmu-ilmu asasi Islam, yang berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah serta menimbulkan penafsiran-penafsirannya di kalangan ahli-sunnah pelbagai segi fahaman dan amalan serta nilai-nilai Islam yang meliputi itu.

Maka takdirnya oleh kerana beberapa faktor sejarah dan manusiawi, timbullah penyelewengan-penyelewengan yang melibatkan bidang-bidang "Iman", "Islam" dan "Ihsan" tadi dengan dakwaan ilmu kebatinan atau kerohanian yang tulen, padahal sebenarnya ia adalah sesat serta menyesatkan.

Aliran-aliran yang sesat dan menyesatkan itu, yang terkeluar daripada ajaran Islam sebenar yang terdapat di seluruh Nusantara ini, berasal daripada aliran-aliran dari kawasan-kawasan pusat sejarah umat ini sendiri.
Di Malaysia juga timbul ajaran-ajaran sesat itu termasuk di negeri Kelantan. 
Antara aliran-aliran atau ajaran-ajaran yang sesat yang akan dibicarakan di sini ialah aliran Hassan Anak Rimau, aliran Tajalli Haji Ahmad Laksamana, dan ajaran Muhammad Nor Kua Supa.

TA'RIF AJARAN SESAT
Mungkin bermanfaat jika dita'rifkan terlebih dahulu apa yang kita maksudkan ajaran sesat itu. 
Mungkin secara umumyanya ajaran salah atau ajaran sesat itu boleh ditakrifkan sebagai mana-mana ajaran, pegangan, atau amalan serta keyakinan yang dianuti atau diamalkan oleh seseorang Islam, ataupun orang bukan Islam, yang mendakwa kononnya ia adalah berdasarkan ajaran Islam, atau tidak berlawanan dengan pegangan dan amalan Islam, sedangkan pegangan, keyakinan, fahaman, serta amalan itu adalah berlawanan dengan Akidah dan Syariah Islamiah, sebagaimana yang dihuraikan oleh imam-imam di kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Takrifan yang umum ini mudah–mudahan boleh membantu dalam menentukan samada mana-mana ajaran, fahaman atau amalan itu adalah sesat atau salah atau sebaliknya disisi ajaran dan amalan Islam sebenarnya.

Nampaknya pengertian ajaran sesat sebagaimana yang terdapat dalam Enakmen Negeri Kelantan No.2 tahun 1996, seksyen 69 juga boleh termasuk ke dalam pengertian umum ini iaitu: “Barangsiapa mengajar, menghurai di mana-mana sahaja sesuatu ajaran atau menjalankan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan hukum Syara’ atau mana-mana fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis (maka itu dikirakan sebagai ajaran salah atau sesat.”

Berdasarkan kepada neraca aqidah dan syariat itulah, maka boleh ditentukan sesuatu ajaran itu sesat atau salah atau pun sebaliknya.

BEBERAPA KESIMPULAN TENTANG AJARAN SESAT
Insya’Allah, dalam bab ini akan dijelaskankan beberapa tajuk asas berkenaan ajaran-ajaran sesat yang telah dibicarakan dalam halaman-halaman yang sebelum ini, sebagaimana yang jelas kepada para-para berikutnya.

1. Ajaran sesat atau salah ialah mana-mana ajaran atau pegangan serta amalan dan keyakinan yang dianut atau diamalkan oleh seseorang Islam, atau pun bukan orang Islam, yang didakwa ianya adalah berdasarkan ajaran Islam, sedangkan pegangan, keyakinan, fahaman serta amalan itu berlawanan dengan aqidah dan syariah Islamiah ,sebagaimana yang dihuraikan oleh kalangan imam-imam Ahli-Sunnah wal Jamaah. Berdasarkan kepada neraca aqidah dan syariah itulah maka boleh ditentukan sesuatu ajaran itu sesat ataupun salah atau sebaliknya.

2. Ajaran sesat atau salah itu muncul dalam masyarakat Islam mungkin hasil daripada perancangan musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk merosakkan Islam dan menimbulkan perpecahan serta kesesatan dalam masyarakat Islam, termasuk masyarakat Islam di negeri Kelantan ini.

3. Ajaran-ajaran sesat itu tersebar di bawah nama gerakan kebatinan atau tarikat sufiah, dengan ajaran padahal ianya adalah berlawanan daripada ajaran sufiah sebenarnya dan ajaran kebatinan hakiki yang ada dalam Islam.

4. Guru-guru atau pembawa ajaran-ajaran sesat yang salah itu biasanya dianggap oleh para muridnya sebagai seorang yang mursyid dan ada yang mendapat penghormatan dari kalangannya  dengan cara menunjukkan kekebalan ataupun kemampuan merawat penyakit-penyakit yang ganjil-ganjil, atau kemampuan mengghaibkan diri dan sebagainya.

5. Antara kaedah-kaedah mengajar yang menjerat murid-muridnya, para guru itu memulakan pengajian secara tidak fomal dengan mengadakan soalan-soalan yang pelik untuk menunjukkan kelebihan-kelebihannya dalam kefahaman agama, misalnya ditanyakan: Kenapakah sembahyang Asar itu empat rakaat, tidak tiga atau dua? Apakah maksud “ba” pada awal “Bismillah”? Apakah Muhammad awal? Dan apakah Muhammad akhir? Apakah nama Allah yang keseratus? Makna huruf-huruf alif – dal – mim  pada nama Adam? Huruf-huruf mim-ha-mim – dal pada nama Muhammad? Demikianlah seterusnya.

6. Pertanyaan-pertanyaan itu menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan murid-murid yang tidak pernah mendengar persoalan–persoalan itu dari kalangan orang biasa, lalu ia terperangkap, dan akhirnya menjadi pengikut yang setia, lalu ia diajar “ilmu isi” itu.

7. Murid-murid dikehendaki supaya mematuhi arahan guru dengan tidak boleh membantah, dan ia dikehendaki meminum air jampi.

8. Pengajaran ilmu sesat atau salah itu tidak dilakukan di tempat-tempat terbuka seperti masjid-masjid atau madrasah-madrasah yang digunakan umum, bahkan di rumah-rumah para pengikutnya atau di madrasah khas yang dibina oleh pengikut-pengikut ilmu itu.

9. Ajaran ilmu “isi” itu disampaikan pada lewat malam, bila sudah dipastikan tidak ada orang-orang yang tidak diingini berada dalam majlis itu; jikalau ada orang-orang yang tidak diingini maka perbincangan dengan guru adalah berkisarkan hal-hal yang biasa sahaja.

10. Sesuatu rahsia ilmu isi yang disampaikan kepada seseorang murid tidak boleh disampaikan kepada orang lain. Kerana dikatakan bahawa martabat seseorang itu adalah miliknya masing-masing dan tidak sama.

11. Pengajaran ilmu “isi” itu disampaikan secara lisan, bukan melalui kitab-kitab terkenal. Kitab-kitab terkenal hanya disebut sahaja untuk menimbulkan kepercayaan di kalangan mereka yang hadir.

12. Murid-murid dididik untuk menjadi taksub kepada gurunya dan menunjukkan kasih yang teramat sangat kepada gurunya dengan berbagai cara, sehingga murid-murid sanggup mengorbankan harta untuk kepentingan guru. Semakin banyak harta yang dikorbankan semakin dekat murid dengan guru itu, dan semakin terjamin kedudukan rohaninya.

13. Para alim ulama dan guru-guru  serta ustaz-ustaz yang menentang aliran sesat mereka itu dikatakan sebagai orang-orang yang “tidak sampai” kepada ilmu hakikat yang sebenarnya. Para alim ulama dianggap sebagai penentang-penentang kepada ilmu yang hak, bahkan ada ketikanya sehingga alim ulama dihalalkan darahnya oleh golongan yang sedemikian ini.

14. Gerakan sedemikian menimbulkan kerosakan rumahtangga dan ketegangan dalam masyarakat serta perpecahan. Bahkan ada yang meyebabkan pembunuhan sebagaimana yang berlalu di Batu Pahat, Johor, pada 16hb Julai 1980, kalaulah laporan tentang peristiwa itu benar.

15. Antara unsur-unsur am ajaran sesat itu ialah:            
·           -pengajaran adalah secara rahsia, tidak terbuka.
·           -pegangan tentang ketuhanan berlawanan dengan pegangan Ahli-Sunnah: contohnya diajarkan bahawa tujuan manusia beribadat dan beramal adalah untuk menjadi tuhan semula, semua tuhan. Dia Tuhan, aku tuhan. Ini berlawanan dengan ajaran sebenar, iaitu Allah SWT adalah tuhan yang menjadikan, dan manusia adalah makhluk yang dijadikan.
·           -Kenyataan tentang hukum syarak berlawanan dengan al-Quran dan Hadis: misalnya sembahyang boleh dilakukan dengan niat sahaja, haji ke Mekah tidak wajib, zakat adalah hukum rekaan pemerintah, bersekedudukan dengan wanita ajnabi tidak haram jika diizinkan, semua ini berlawanan dengan nas-nas syara’.
·           -Sikap dan tindakan-tindakan guru ilmu sesat ini menunjukkan penentangan terhadap ilmu-ilmu Islam yang diakui dan ulama yang muktabar.
·           -Huraian-huraian dan tafsiran-tafsiran ayat-ayat al-Quran dan Hadis bukan berdasarkan kaedah-kaedah ilmu yang diakui tetapi berdasarkan andaian atau agakan hawa nafsu si guru itu.
·           -Perkara-perkara yang diajar bercampur aduk dengan khurafat-khurafat dan ilmu kebatinan yang karut,yang membawa kepada kesesatan dan kekufuran.
·           -Pengajaran yang diserapkan itu menimbulkan ketaksuban kepada guru dan kumpulan tertentu itu sehingga mereka menganggap mereka sahaja yang benar di dalam dunia ini dan orang lain semuanya salah.
·           -Unsur-unsur di atas itu menunjukkan bahawa bila ianya ada pada mana-mana kumpulan, di bawah nama apa sahaja, itu menunjukkan bahawa kumpulan yang berkenaan itu adalah kumpulan yang mengajar ilmu yang sesat atau ilmu salah yang mesti dijauhi.

16. Antara ajaran-ajaran Hasan Anak Rimau dari Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan, ialah seperti berikut:-
·           -Diri kita adalah Tuhan, Allah. Bila seorang muridnya melihat wajahnya dalam cermin, kata Tok Hassan “Itulah Tuhan”
Sudah tentu ini adalah ajaran yang kufur, kerana manusia adalah makhluk yang dijadikan, bukan Tuhan, bagaimanakah makhluk yang lemah boleh menjadi Tuhan yang menjadikan? Ini adalah mustahil.

·           -Hasan Anak Rimau mengaku telah mikraj sehingga sampai ke sebelah sana Sidratul-Muntaha, dan bila ditanya tentang Tuhan, jawabnya, Tuhan ialah kita sendiri.
Ini juga mustahil, sebab manusia adalah makhluk yang dijadikan. Tentang mikraj itu mustahil, sebab hanya nabi sahaja yang mikraj.

·           -Hasan Anak Rimau menyatakan kita tidak perlu beriman kepada Nabi Muhammad SAW sebab ia sama seperti kita juga, bahkan kita boleh melebihinya.
Pegangan ini terkeluar daripada agama Islam, kerana kita wajib beriman dengan Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang jelas dari ayat al-Quran yang bermaksud: “Muhammad adalah pesuruh Allah”. Adapun persamaan kita dengan nabi itu adalah dalam hal makan minum dan sebagainya sahaja, bukan dalam hal pangkat menjadi nabi dan sifat maksum, tidak melakukan dosa. Mustahil kita boleh melebihi Nabi SAW, sebab pangkat tertinggi  itu dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.

·           -Dia mengajarkan bahawa zikir lebih utama daripada sembahyang lima waktu, dan seseorang yang mendapat zauq, ilham dan kasyaf, maka sembahyang lima waktu akan gugur dengan sendirinya, tidak wajib lagi keatasnya.
Sembahyang adalah “tiang agama” sebagaimana yang jelas daripada hadis, dan juga “kepala ibadat”. Bagaimanakah zikir menjadi lebih afdhal daripadanya? Sembahyang adalah wajib, walhal zikir adalah sunat, bagaimanakah zikir lebih afdhal daripadanya? Orang yang meninggalkan sembahyang boleh dihukumkan dengan hukum bunuh, bila cukup syarat-syaratnya, walhal orang yang tidak berzikir tidak boleh dihukum bunuh. Bagaimanakah dikatakan zikir lebih afdhal daripada sembahyang?
Lagipun, kalau seseorang mendapat kasyaf yang sebenar, iaitu dibukakan oleh Allah Taala tabir alam ghaib, dan ia mengalami zauq, iaitu merasai lazat dalam ibadat, dan ia mendapat ilham, iaitu mendapat fahaman yang sebenar melalui malaikat ilham dan lainnya, mestilah ia lagi kuat dan bersungguh menunaikan solat. Bagaimanakah dikatakan ia tidak perlu solat?

·       -Ia mengajarkan bahawa anak muridnya sahaja yang masuk syurga, orang lain itu hanya seperti babi sahaja.
Syurga dikurniakan oleh Allah mengikut rahmatNya kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, mustahil syurga milik anak-anak muridnya. Bahkan anak-anak murid Hasan ini yang tidak mengikut syariat dan sunnah dan beriktiqad zindik, bukan menjadi penghuni syurga, bahkan mungkin sebaliknya, na’uzubillahiminzalik.

·           -Tok Hasan mengaku anak kunci syurga berada di dalam tangannya.
Pengakuan itu adalah mustahil, sebab anak kunci syurga tidak ada dalam tangan makhluk, bahkan ditangan Allah SWT sahaja. Allahlah yang memasukkan makhluk ke dalam syurga atau sebaliknya. Nabi Muhammad SAW yang seumpama itu pun tidak memegang anak kunci syurga, ini pula Tok Hasan yang tidak mengikut syariat dan tidak beriman kepada Allah Azzawajalla dengan keimanan yang sebenar sebagaimana yang diajarkan oleh imam-imam Ahli-Sunnah wal-Jamaah.

·           -Hasan Anak Rimau mengajarkan bahawa solat Jumaat tidak wajib, dan ia sendiri solat jarang-jarang di hadapan orang sahaja.
Memang Hasan tidak percaya kepada hukum syariat termasuk kewajipan sembahyang Jumaat. Ajaran demikian membawa kepada kekufuran sebab wajibnya sembahyang Jumaat adalah tetap dengan nas daripada al-Quran, Hadis, dan Ijma’ ulama umat ini.

·           -Ada berita menyatakan bahawa Tok Hasan ini tidak pandai sembahyang  jenazah.
Kalaulah sembahyang wajib yang lima waktu, dan hukum syariat serta sembahyang Jumaat tidak diambil berat, maka munasabah sekali ia tidak ambil berat tentang sembahyang jenazah sehingga ia tidak tahu melakukannya.

·           -Tok Hasan mendakwa ia mikraj tujuh kali, dan ia duduk “catak” (bertinggung) di atas ‘Arasy.
Dakwaan demikian membawa kepada kekufuran, oleh kerana sesiapa yang mikraj hanya dengan roh sahaja. ‘Arasy tidak boleh dihubungkan dengan makhluk, ianya dihubungkan dengan Allah.

·           -Tok Hasan mengajarkan bahawa dalam diri Adam ada nur a’zam, dan kerana kita ini keturunan Adam, maka kita juga mempunyai nur a’zam yang menyebabkan malaikat sujud kepada Adam. Kerana kita ada nur itu maka kita Tuhan, dia Tuhan, kita Tuhan, semua Tuhan.
Ini adalah ajaran zindik, sebab yang dimasukkan ke dalam Adam as adalah sesuatu daripada roh ciptaan Tuhan, makhluk, bukan Tuhan. Kalau dikatakan Tuhan ada dalam diri kita bermakna Tuhan bertempat, dan ini mustahil. Sesiapa yang percaya Tuhan berada dalam dirinya, bertempat dalam dirinya, maka terkeluar ia daripada agama Islam. Na’uzubillahiminzalik.

·           -Tok Hasan mengajarkan bahawa hukum syariat seperti wajib sembahyang, puasa dan zakat adalah ciptaan pemerintah, tidak ada kena-mengena dengan Tuhan (oleh itu tidak wajib ditaati).
Ini adalah fahaman yang silap, karut, membawa kepada kekufuran .Hukum-hukum itu semua adalah wajib dengan nas al-Quran, Hadis, dan ijma’ atau persepakatan ulama ummat ini. Tok Hasan yang jahil dan tidak mengerti nas serta sejarah mengatakan demikian.

·           -Beliau ada mengajarkan bahawa al-Quran yang ada ini bukan sebenar, al-Quran yang sebenar adalah lain.
Al-Quran yang ada sekarang ini adalah jelas al-Quran yang sebenarnya sebagaimana yang terbukti dalam sejarahnya dari awal lagi. Oleh itu ianya adalah al-Quran yang sebenarnya sebagaimana yang jelas dari nas alQuran, Hadis dan Ijma’. Tok Hasan yang jahil tentang perkara ini semua telah mengatakan sedemikian rupa.

·           -Beliau mengajarkan bahawa hari Kiamat tidak akan berlaku, sebab Tuhan tidak bodoh hendak membinasakan alam ini selepas ia menjadikannya.
Tentang kiamat itu wajib berlaku berdasarkan kepada nas al-Quran, Hadis, dan Ijma’. Bahkan dari segi ilmu fizik cara moden pun disebut bahawa pada suatu masa mesti alam ini akan binasa. Tok Hasan adalah seorang yang jahil murakkab, yang jahil dan tidak mengerti bahawa dirinya jahil, padahal dia ingin berbicara tentang perkara seperti ini, dengan itu ia menyesatkan orang lain.

·           Dia juga dilaporkan sebagai mengajar bahawa dunia dan akhirat adalah kita sendiri, dunia adalah anggota kita yang lahir dan akhirat anggota kita yang batin dalam tubuh kita.
Ini juga pegangan yang sesat dan menyesatkan, sebab dunia dan akhirat jelas ada, dan ini jelas dengan pengalaman, dengan nas al-Quran, Hadis, dan ijma’. Tentang diri kita ini ada alam zahir dan ada alam ghaib padanya itu adalah misalan sahaja, untuk tujuan pengajaran tertentu.

·           Beliau juga mengatakan bahawa para ulama tidak mengajarkan ilmu beliau itu kerana mereka hendak menipu orang ramai, padahal mereka mengamalkan untuk mereka sendiri.
Sebenarnya ini adalah tuduhan yang tidak ada alasan langsung. Para ulama tidak mengajarkan ilmu seperti yang diajarkan oleh Tok Hasan oleh kerana ilmunya adalah ilmu yang sesat dan zindik, yang membawa kepada kekafiran. Yang sebenarnya menipu manusia adalah Tok Hasan yang mengajarkan ilmu dengan cara yang berlawanan dengan al-Quran, sunnah dan ijma’ serta pengalaman yang diakui di kalangan mereka yang ahli di dalamnya.

17. Antara ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Ahmad Laksamana di Kelantan kepada murid-muridnya ialah seperti di bawah ini:
·           Matlamat mengaji ilmu hakikat ialah untuk menjadi Allah.
Jelas kita ini manusia, dan oleh itu kita makhluk yang dijadikan oleh Tuhan. Yang menjadikan kita ialah Tahan. Bagaimana pula makhuk boleh menjadi Tuhan? Tentang ilmu makhluk, ilmu itu adalah ilmu yang menghuraikan hakikat perhubungan antara hamba dan Tuhan, dan bagaimana caranya hendak mencapai martabat yang sama tinggi dengan Tuhan. Tidak ada ulama hakikat yang mengatakan bahawa tujuan ilmu hakikat diajarkan ialah untuk membawa manusia menjadi Tuhan. Itu adalah ajaran zindik.

·           Dia mengajarkan, “Diriku ini ialah Allah dan kepadanya kena balik (kembali) menjadi Allah semula.”
Sebagaimana yang dikatakan diatas, kita adalah makhluk, bukan Tuhan, kita dijadikan, dan bukan menjadikan. Bagaimana makhluk menjadi Tuhan? Jangankan dari segi agama, dari segi logik pun fikiran demikian adalah tidak munasabah. Satu perkara lagi, dimanakah sifat-sifat Allah SWT yang ada pada kita? Sifat Qadim? Baqa? Wahdaniyyah? Sudah tentu tidak ada kerana kita hanyalah makhluk.

·           Beliau mengajarkan, “Diri kita adalah diri Tuhan.”
Kata-kata ini juga bercanggah dengan aqidah Islamiah, dan tidak munasabah pada akal, kecuali kepada orang yang gila.

·           Beliau dilaporkan telah mengajar, “Selagi kita takut jadi kafir, selama itu kita tidak berjumpa dengan Islam.”
Kata-kata ini adalah berlawanan dengan al-Quran, Sunnah dan Ijma’,  kerana kita diajarkan oleh nas-nas supaya mengelak dri kita daripada kekufuran pada pegangan, perbuatan dan percakapan. Dengan mengelak diri kita daripada kekufuran itu,maka selamatlah Islam kita. Sebaliknya, jika kita bersama dengan kekufuran – dalam percakapan, perbuatan atau pegangan – maka kita menjadi kafir. Na’uzubillahiminzalik.

·           Beliau dilaporkan mengajar, “Tanpa Muhammad, (maka) wajib Tuhan tak ada.”
Nabi Muhammad SAW adalah hamba yang dijadikan oleh Tuhan, dan oleh itu ia makhluk yang diadakan selepas daripada tidak ada. Sebelum ada Muhammad SAW. Allah SWT sedia kala ada. Bagaimana dikatakan bahawa tanpa Muhammad, Allah tidak ada? Ini adalah kata-kata zindik yang juga tidak logik langsung dari segi fikiran yang waras. Kata-katanya sedap di dengar disisi nafsu tetapi karut dan sesat.

·           Beliau dilaporkan berkata “Kalau kita tidak menjadi Tuhan, maka wajib tak kenal Tuhan.”
Ini kata-kata yang sesat dan menyesatkan. Pertamanya mustahil kita “menjadi” Tuhan, sebab Tuhan adalah Tuhan bukan dengan “menjadi”. Keduanya, tidak ada nas dalam Islam yang menyatakan kaedah mengenal Tuhan ialah dengan “menjadi” Tuhan. Kaedah itu bukan kaedah, tetapi suatu kesesatan yang nyata dan kata-kata yang zindik. Mengenal Tuhan adalah dengan mengenal sifat-sifatnya, serta dengan mengenal hukum-hukumNya serta membersihkan hati daripada sifat-sifat keji, dan bila hati bersih maka Allah  SWT kurniakan pengenalan itu kepada seseorang itu.

·           Beliau mengajarkan “Muhammad itu adalah kita”.
Ajaran ini adalah menyesatkan, oleh kerana Muhammad SAW adalah nabi dan rasul, kekasih Tuhan, dan kita ini bukan nabi dan rasul, tetapi orang biasa yang wajib mengikut nabi dan rasul itu. Jadi Muhammad SAW adalah Muhammad, dan kita adalah kita. Jadi dimanakah alasan yang menyebabkan seseorang itu boleh berkata; Muhammad adalah kita?

·           Beliau mengajarkan bahawa ejaan bagi “Islam” alif-sin, lam–mim itu  bermaksud : Alif : Allah, sin: salam, sejahtera, lam-alif : syahadat tauhid : lailaha illallah, dan mim : syahadat rasul : Muhammadur Rasulullah.
Ini adalah huraian yang tidak berdasarkan kepada nas dan tidak ada dalil yang membolehkan seseorang itu menghuraikan maksud itu demikian.

·           Beliau mengajarkan bahawa hakikat sembahyang ialah berdiri menyaksikan hakikat diri sendiri, untuk menyaksikan pada diri bahawa tidak nyata pada diri melainkan Allah, diri yang batin, dan Muhammad adalah diri yang zahir.
Ini adalah huraian tentang hakikat sembahyang yang sesat dan menyesatkan. Kita adalah hamba yang berdiri di Hadrat Allah, bagaimanakah kita menyaksikan Allah Taala pada diri? Allah adalah Allah, kita adalah kita, kita bermunajat dengan Allah SWT, bukan menyaksikan Allah pada diri. Dan Muhammad adalah rasul kita, dan kita bukan Muhammad SAW.

·           Diajarkan oleh beliau bahawa rukun sembahyang yang tiga belas itu adalah diambil sempena daripada sendi manusia yang besar.
Ini adalah huraian tentang rukun sembahyang yang tidak ada dalil dan sandaran langsung. Dari manakah didapati huraian seperti ini? Demikian juga ajarannya yang mengatakan bahawa Allah mengisyaratkan sembahyang zohor, Muhammad mengisyaratkan sembahyang Asar, dan seterusnya, ini semua tidak bersandarkan kepada nas-nas yang nyata dan oleh itu ianya tertolak. Ini semua berpunca daripada khayalannya sendiri.
18.Antara ajaran-ajaran sesat yang hampir serupa ialah apa yang disampaikan oleh Muhammad Nor Kua Supa, Paloh Rawa, Kelantan. Antara  ajaran itu ialah seperti berikut :
·           Katanya “Tuhan ada dalam diri kita.”
Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas ini adalah kenyataan zindik yang menjadikan seseorang kafir, sebab yang ada dalam diri kita ialah makhluk ciptaan Allah SWT, roh, dan bukan Tuhan, sebab Tuhan tidak bertempat.

·           Beliau juga mengajarkan “Kita kena ‘fana’kan diri kita yang bererti kita kena tinggalkan Syara’, kerana kita sudah sampai ke alam baqa, maka Syariat tidak berguna lagi.”
Fana diri sebagaimana yang dihuraikan oleh arifin ialah bila seseorang yang ikhlas beramal itu sampai kepada satu peringkat, apabila ia mengalami yang sebenar hanya ada ialah Allah sahaja, ia merasakan dirinya sendiri tidak ada. Itu fana diri, bukan ia meninggalkan syara’, bahkan orang yang mencapai pengalaman ini adalah orang yang beramal dengan syara’ dengan sehabis sempurna. Mana boleh dikatakan bahawa jika kita fana diri bererti meninggalkan syara’? Apa maksud “sampai ke alam baqa” sedangkan orangnya belum mati? Kalau mati barulah syara’ tidak diamalkan lagi, kerana mati. Tetapi ini orang yang hidup? Nabi Muhammad SAW yang sampai Mikraj ke alam sana, bila ia pulang ke dunia ia beramal dengan syara’, siapakah yang lebih tinggi bila dibandingkan dengan Nabi Muhammad SAW? Ini adalah ajaran zindik yang menjadikan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam.

·           Beliau mengajarkan, “tidak boleh (di) ceraikan perkataan la ilaha illa’Llah dengan (atau daripada) Muhammadun Rasulullah, kalau (di) cerai (kan), (nescaya orang yang berkenaan itu) menjadi kafir”.
Kalau maksudnya ialah kalau seseorang mengucap syahadah sekerat sahaja, dengan mengatakan la ilaha illa’llah sahaja, syahadatnya tidak sah, itu betul; atau maksudnya kalau seseorang itu percaya kepada la ilaha illallah sahaja, tidak percaya kepada muhammadun Rasulullah, maka ia kafir, itu benar; kalaulah maksudnya kalau seseorang itu bertahlil la ilaha illallah sahaja, tidak menyambung dengan Muhammadun Rasulullah, ia menjadi kafir, itu tidak betul; yang sebenarnya, adalah baik dari segi adab tahlil, bila seseorang itu mengatakan la ilha illa’llah Muhammadun Rasulullah; seperkara lagi, kalau maksudnya ialah seseorang itu jikalau ia menerima al-Quran sahaja dan ia menolak hadis Nabi SAW maka ia menjadi kafir, ini benar. Wallahua’lam.



19.   Antara ajaran dan amalan yang sedang merebak yang menjejaskan keimanan dan amalan seseorang ialah ajaran-ajaran dan amalan-amalan secara Syiah Imamiah. Antara ajaran mereka itu adalah sebagai berikut:
·           Mereka percaya kepada imam mereka yang dua belas orang itu yang mereka percayai maksum, dan melintasi darjat para rasul dan malaikat muqarrabin, sebagaimana yang ada dalam kitab mereka, al-Kafi dan al-Hukumah al-Islamiah oleh Khomeini.
Mengikut ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah, yang maksum adalah hanya para nabi dan rasul a.s. Pegangan yang mengatakan imam dua belas itu melintasi nabi dan rasul adalah pegangan yang sesat dan menyesatkan.

·           -Mereka percaya bahawa imam dua belas di kalangan mereka itu mempunyai kekuasaan di atas semua zarah alam ini, iaitu semua atom-atom ini terletak di bawah kekuasaan mereka, kerana mereka itu dikatakan mempunyai khilafah takwiniyah atau kuasa khilafah ke atas seluruh alam ini.
Pegangan sedemikian ini juga adalah batil dan tidak ada puncanya dalam nas-nas yang diakui. Pegangan ini memahamkan bahawa imam-imam mereka itu mempunyai kekuasaan seperti tuhan. Ini boleh membawa kepada kesyirikan. Pegangan ini merosakkan keimanan seseorang itu, Na’uzubillahiminzalik.

·           -Diajarkan di dalam kitab al-Kafi yang berkedudukan sebagai Hadis al-Bukhari di kalangan kita, bahawa para imam mereka yang dua belas itu mengetahui semua ilmu malaikat, ilmu para nabi dan rasul, serta ilmu semua manusia, dan mereka paling mengatahui tentang perkara yang mendatangkan maslahat untuk manusia, mereka tidak silap dan lupa.
Jelas sekali bahawa sifat-sifat yang sedemikian itu mewas-waskan kepada kita tentang sifat Maha Mengetahui yang ada pada Allah SWT sahaja. Pegangan demikian adalah merupakan sifat Maha Mengetahui yang ada pada Allah SWT sahaja. Pegangan demikian merupakan pegangan syirik. Ianya hendaklah ditolak.

·           -Dalam kitab al-Kafi mereka juga menyebutkan bahawa imam mereka yang dua belas itu boleh memilih tarikh kematian mereka sendiri.
Jelas sekali pegangan demikian bertentangan dengan al-Quran  sebab dinyatakan dalam quran dalam ayat yang bermaksud “Dan bila datang ajal mereka maka mereka tidak memperlewatkannya sesaat dan juga mereka tidak boleh menyegerakan walaupun sesaat.” Bagaimanakah dikatakan mereka boleh menentukan tarikh maut mereka sendiri walhal ajal maut di tangan Allah Azzawajalla?

·       -Dalam al-Kafi juga disebutkan bahawa orang-orang syiah mempunyai mushaf Fatimah, dan al-Quran disisi mereka itu adalah tiga kali ganda daripada al-Quran yang biasa ini. Disebutkan oleh ulama mereka yang bernama al-Tabarsi bahawa antara surah yang tidak ada dalam al-Quran biasa ialah surah al-Wilayah.
Al-Quran yang dipanggil mushaf Uthmani yang ada pada kita sekarang adalah al-Quran yang diterima daripada Nabi SAW dan tidak ada al-Quran lain lagi yang diterima daripadanya. Ini jelas dinyatakan dalam kitab-kitab berkenaan dengan hal sedemikian ini seperti al-Itqan oleh al-Suyuti. Pegangan tentang Quran lain ada lagi iaitu adalah pegangan Syiah Imamiah yang tidak ada nas yang diakui yang memberi keterangannya.

·       Dalam Kasyful Asrar karangan al-Khomeini disebutkan bahawa selepas wafat Nabi SAW maka para sahabat menjadi murtad, melainkan beberapa orang sahaja seperti Ali, Salman, Miqdad dan Abu Zar (Allah meredhai mereka semuanya).
Pegangan Khomeini yang berpegang kepada syiah Imamiah ini adalah pegangan yang tidak berasas. Tidak ada ayat al-Quran dan hadis yang menyebutkan tentang murtadnya para sahabat dengan kewafatan baginda itu SAW. Ini adalah pegangan sesetengah orang syiah Imamiah yang tidak berdasarkan kepada nas-nas yang diakui.

·           Syiah Imamiah juga menuduh sahabat-sahabat sebagai fasik, itu sekurang-kurangnya, atau tidak mengetahui agama, sebagaimana yang jelas daripada kitab Sab’ah minas Salaf. Antara yang dikatakan fasik itu ialah Abu Bakar, Umar, Uthman, Aisyah, Habsah, Muawiyah dan Yazid. (Allah meredhai mereka semuanya).
Tidak syak lagi bahawa pegangan yang demikian itu adalah berlawanan dengan al-Quran, Hadis, dan pendapat ulama Ahli Sunnah, yang berpendapat semua sahabat adalah adil. Perbezaan pendapat mereka itu adalah ijtihad mereka masing-masing. Pegangan yang ada pada mereka itu adalah pegangan yang sesat dan menyesatkan.

·           Mereka percaya bahawa al-Mahdi, imam mereka yang dua belas, yang bernama Muhammad bin Hasan al-Askari, akan muncul pada akhir zaman dan memerintah dunia dengan adil.
Pegangan yang sedemikian adalah tidak berasaskan nas-nas yang boleh diterima. Memang al-Mahdi adalah berdasarkan kepada riwayat yang dari segi maknanya mutawatir, akan tetapi al-Mahdi itu namanya ialah Muhammad bin Abdullah, sebagaimana yang ditegaskan dalam beberapa hadis yang kuat riwayatnya. Dan, bagaimanakah seseorang yang telah hilang lebih seribu tahun lalu muncul kembali menjadi al-Mahdi? Ini adalah pegangan yang tidak munasabah.

·       Mereka menuduh al-Bukhari ada memuatkan hadis-hadis yang mengandungi pegangan kafir, misalnya yang menyebutkan bahawa di akhirat kelak Allah akan membuka labu betis-Nya untuk dilihat oleh makhluk sekalian.
Sebenarnya, ini timbul oleh kerana salah faham mereka, atau sengaja disalah-fahamkan. Maksud hadis tersebut ialah masa itu adalah masa yang sedemikian mengejutkan sehingga diumpamakan keadaan yang menyebabkan orang-orang perempuan mengangkat kain dari betis mereka berlari-lari untuk menyelamatkan diri, atau pun maksudnya ialah Allah ‘mentajallikan’ diri-Nya setakat yang dikehendaki-Nya, sebagaimana yang diisyaratkan dalam Tafsir al-Baidawi contohnya. Bukanlah bermakna bahawa golongan Ahli Sunnah percaya bahawa Allah mempunyai labu betis yang di buka-Nya pada Hari Kiamat.

·           Mereka mempunyai pegangan bahawa pemerintah yang sah ialah pemerintahan yang direstui oleh imam mereka sahaja, semua yang lain adalah tidak sah dan mesti digulingkan. Oleh itu mereka mengeksport revolusi ala Iran ke mana-mana. Bahkan mereka menganggap kerajaan khulafa ar-Rasyidin tidak sah, yang sah hanya kerajaan Ali b. Abi Thalib.
Pegangan yang demikian itu adalah pegangan yang tidak disokong oleh nas-nas yang boleh dipegang. Kerajaan Islam di bawah Khulafa ar-Rasyidin adalah sah, termasuk kerajaan Ali, demikian juga sah kerajaan khalifah-khalifah Umayyah dan Abbasiyyah, demikian juga pemerintahan-pemerintahan kemudiannya seperti yang ada di Istanbul dan lain-lain. Pegangan Syiah Imamiah sedemikian rupa membawa implikasi yang berbahaya dari segi keselamatan negeri-negeri di mana mereka berada, dan bukan sahaja implikasi buruk dari segi agama Islam.

·           Golongan Syiah Imamiah mengamalkan kahwin mut’ah dan mereka anggapkan ini adalah halal.
Dari segi ajaran Syariat Ahli Sunnah kahwin mut’ah ini; iaitu nikah dengan menentukan waktunya, dengan tidak ada walinya, adalah tidak sah dan haram, dan membawa kepada zina. Ini disepakati dalam mazhab yang empat sebagaimana yang jelas dalam kitab Al-Fiqh alal Mazhab al-Arba’ah antaranya.

20. Ajaran sesat cara baru yang disebarkan oleh seseorang yang menamakan dirinya sebagai        “Abdul Manan Harun” adalah ajaran sesat yang merbahaya.
Antara ajaran itu ialah:
·           Beliau merayu kepada mereka yang mengaku umat Islam supaya membuang “tuhan-tuhan” seperti Syafie, Hanbali, Ghazali, Hanafi, Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud, serta “tuhan-tuhan” lain yang dipertuhankan oleh manusia dengan kembali kepada Allah SWT, dan mengikut kitabnya, al-Quran (dengan tidak disebutkan Sunnah Nabi SAW).
Jelas pengarang risalah ini tidak percaya kepada sunnah sebab beliau menyuruh orang-orang Islam kembali kepada Quran sahaja. Ini adalah berlawanan dengan Quran sendiri sebab Al-Quan menyebut nabi S.A.W. diutuskan untuk menyampaikan kepada manusia apa yang diwahyukan kepadanya dan menghuraikannya kepada manusia.
Imam-imam dan ulama yang disebutkan oleh pengarang risalah itu bukannya disembah sebagai Tuhan, oleh itu mereka tidak boleh dikatakan “tuhan-tuhan” kerana mereka bukan barang sembahan. Mereka dihormati kerana ilmu dan perjalanannya oleh kerana ilmu mereka dan perjalanan mereka adalah benar sebagaimana yang dibuktikan oleh sejarah. Kalau kita tidak mengikut mereka yang benar, siapa lagi yang kita akan ikut. Adakah mengikut mereka yang benar dilarang al-Quran? Tidak, bahkan al-Quran menyuruhnya di dalam ayat yang bermaksud, “Bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.” Atas dasar inilah mereka diikuti, bukan disembah sebagai Tuhan. Pengarang ini adalah seorang yang jahil yang tidak tahu membezakan antara apa itu Tuhan dan apa yang bukan Tuhan .

·       Antara ajaran sesat pengarang ini katanya, “Bukankah mereka yang menganut agama ahli Sunnah wal-Jamaah telah mencari pertunjuk dari mereka…dan ini menjadikan mereka Tuhan?
Agama yang dipegang oleh umat Islam ialah agama Islam bukan agama Sunnah wal-Jamaah. Yang Sunnah wal-Jamaah itu ialah mazhabnya, iaitu mazhab yang hak berpandukan kepada ajaran Rasul dan Sunnahnya serta ajaran para sahabat yang diasuh oleh baginda SAW. Petunjuk yang dicari adalah daripada Allah, bukan manusia, sebab manusia tidak boleh memberi pertunjuk. Yang manusia boleh lakukan ialah menyampaikan ilmu, itu sahaja, yang memberi petunjuk hanyalah Allah SWT. Kita umat Islam membaca kitab-kitab ulama untuk mendapatkan huraian-huraian tentang al-Quran dan as-Sunnah sebab mereka adalah ahli ilmu. Dan orang-orang Islam tidak menjadikan ulama itu sebagai sembahan. Itu adalah kekeliruan pengarang ini sendiri.

·       Kata pengarang yang sesat ini dalam risalahnya antara lain ialah: “Bukankah hukum-hukum syarak atau undang-undang syariat sekarang bercanggah dengan al-Quran, dan dikarang serta ditulis oleh Tuhan-Tuhan jenis manusia yang dinamakan Taghut?”
Hukum-hukum Islam yang ada dalam kitab-kitab fiqh itu adalah karangan-karangan para ulama yang ahli dalam ilmu syariat. Mereka mengarang kitab-kitab itu untuk memberi bantuan kepada manusia memahami untuk hukum-hukum Allah SWT, takut-takut manusia disesatkan oleh penulis-penulis jahil seperti pengarang risalah ini, mereka bukanlah tuhan-tuhan yang disembah. Kitab-kitab mereka diterima oleh umat Islam kerana kitab mereka itu kandungannya benar dan tidak menyeleweng. Bagaimanakah mereka itu dipanggil Taghut oleh pengarang ini? Yang sebenarnya Taghut itu ialah pengarang risalah ini, bukan para ulama itu.
Pengarang risalah yang jahil ini hendaklah mengetahui bahawa ulama-ulama yang menyeleweng dalam huraian-huraian mereka, kitab-kitab mereka tidak digunakan oleh umat Islam sebagai kitab panduan. Aliran mereka telah pupus ketinggalan zaman.

·           Pengarang risalah itu juga menulis, “….mereka mengaku mereka Islam dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah, “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu Rasulullah.”….Katanya “Adakah dalam lafaz ini mereka membuat pengakuan “Aku Islam kepada Allah” (walhal) Allah telah mengajar kita bagaimana hendak melafaz cara bagaimana untuk menjadi Islam…”
Nampaknya pengarang ini tidak bersetuju cara memeluk Islam ialah dengan mengucap dua kalimat syahadah, beliau mahu syahadah itu berbunyi, “Aku Islam kepada Allah”, dan bukan dengan membaca syahadah yang biasa dipakai itu. Ini adalah ajaran yang sesat dan menyesatkan, kafir dan mengkafirkan orang yang berpegang kepadanya. Cara memeluk Islam dengan mengucap syahadah itu adalah berdasarkan kepada as-Sunnah yang sekuat-kuatnya dalam riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya. Dan itu diterima dari awal lagi. Fahaman pengarang ini nampaknya didapati daripada ia membaca terjemahan al-Quran yang ada padanya itu. Sebab itulah katanya Allah Taala mengajarkan cara mana hendak memeluk Islam itu dengan menyebut ayat yang bermaksud “Aku Islam kepada Allah”, maksud ayat itu sebenarnya ialah: “Aku tunduk kepada Allah (dalam agama Islam)”. Sebenarnya ayat itu bukan menunjukkan cara memeluk Islam tetapi menunjukkan nabi pada zaman dahulu kala telah menundukkan dirinya kepada Allah SWT dalam agama sebenarnya. lanya berbentuk cerita, khabar, bukan berupa menunjukkan cara memeluk agama Islam. Tetapi oleh kerana pengarang ini jahil dan tidak mahu mengaji, beliau menyangka itulah caranya “syahadah” yang diajarkan oleh Allah, yang berlainan daripada apa yang diamalkan oleh ulama.

·           Beliau menyatakan bahawa mereka yang menyaksikan bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW adalah orang-orang munafik, katanya: “Mereka tergolong daripada (sepatutnya, “kedalam”. p) orang-orang munafik kerana sentiasa naik saksi bahawa Muhammad itu Rasulullah SAW (6:31) seolah-olah Allah SWT tidak tahu Muhammad itu rasulnya dan sambil menggunakan lafaz-lafaz ini untuk menyesatkan manusia-manusia”  (63:2).
Jelas sekali bahawa pengarang ini tidak mempelajari tafsir al-Quran mengikut punca-punca yang sebenarnya. Yang dikatakan munafiqin yang menyatakan Muhammad Rasulullah adalah mereka yang tidak Islam sebenarnya, yang berpura-pura berkata Muhammad pesuruh Allah, walhal mereka tidak percaya kepadanya. Ertinya yang ditujukan oleh ayat itu ialah mereka yang munafik, yang berpura-pura Islam, yang menggunakan syahadah itu untuk menyesatkan orang lain, dan untuk mencari kepentingan. Ayat ini bukan melarang manusia mengucap syahadah, kerana memang mengucap syahadah itu disuruh, sebagaimana yang jelas dalam hadis-hadis sahih. Pengarang yang jahil ini sesat dan menyesatkan orang lain.

·           Beliau juga mengatakan “Taghut-taghut muktabar mereka telah mengubah cara solat yang diajarkan oleh Allah (17:110). Bukankah ini jelas mereka mempertuhankan Syafie, Hanbali, al-Ghazali, Hanafi, Bukhari, Muslim….dan yang lain-lain sebagai tuhan mereka?
Jelas sekali bahawa pengarang ini tidak peduli kepada nas-nas yang menjadi pegangan ulama dalam mempelajari dan memahami Islam. Berkenaan dengan sembahyang, maka jelas itu adalah berdasarkan kepada bimbingan Nabi SAW sendiri, sebagaimana yang diterangkan dalam Kitabus-Solah dalam al-Bukhari, Muslim, dan sebagainya yang merupakan catitan sejarah yang tidak boleh dipersoalkan lagi kesahihannya. Pengarang ini mahu kita memahami bahawa sembahyang itu mengikut apa yang disebutkan di dalam al-Quran, atau pun terjemahan al-Quran sahaja. Ini adalah sesat dan menyesatkan, kafir dan mengkafirkan. Tentang sembahyang ini tidak perlu timbul sebagai persoalan lagi, sebab ianya adalah berdasarkan nas-nas Quran, Sunnah dan Ijma’.
Itulah yang muktamadnya. Dan pengarang risalah yang jahil ini tidak boleh mengubah itu semua. Dan, sebagaimana yang telah dijelaskan, tidak ada sesiapa di kalangan Ahli-Sunnah yang menyembah imam-imam sebagaimana yang diisyaratkan oleh pengarang jahil ini. Hanya Allah sahaja yang menyelamatkan kita daripada fitnah-fitnah dajjal akhir zaman ini. Wallahua’lam.     
   


BEBERAPA  LANGKAH  YANG  PERLU  DIAMBIL
Setiap mukalaf dan ahli masyarakat Islam hendaklah mengambil langkah-langkah untuk menyelamatkan dirinya daripada cengkaman atau pengaruh ilmu-ilmu sesat yang sedang merebak dalam masyarakat Islam kita sekarang ini, sebagaimana juga, perlulah setiap orang untuk menyelamatkan dirinya dari terpengaruh dengan agama-agama yang selain daripada Islam, sebab hanya agama Islam sahaja yang diterima oleh Allah SWT. Antara langkah-langkah itu ialah sebagaimana yang disebutkan di dalam perenggan-perenggan yang berikutnya.

Pertamanya, hendaklah tiap-tiap mukalaf diberi pendidikan Islam yang memadai dalam bidang-bidang akidah, syariah, dan akhlak, demi membentuk peribadi Islam yang baik, dan yang akan membolehkannya mengelakkan diri daripada aqidah dan amalan-amalan yang sesat. Perlaksanaan pendidikan demikian ini, pada paras sekurang-kurangnya yang menjadi tanggungjawab semua pihak, terutama keluarga, pusat-pusat pendidikan yang mengajarkan ilmu-ilmu yang bukan ilmu-ilmu syariah, dan seterusnya. Pelajaran Islam itu boleh dijayakan juga di dalam masjid-masjid, madrasah-madrasah, musalla-musalla, demikianlah seterusnya, sehinggalah pada tempat-tempat kerja, termasuk kilang-kilang dan bengkel-bengkel.

Kedua, sebagai penekanan yang khusus, hendaklah ibu-bapa mengambil berat tentang pendidikan agama yang sedemikian rupa bagi anak–anaknya, baik lelaki dan perempuan, dan juga hendaklah mereka mengambil berat tentang kawalan yang sewajarnya ke atas gerak-geri mereka supaya mereka itu tidak menyeleweng dari segi aqidah dan amalannya.
  
Ketiga, hendaklah pihak-pihak yang berwajib mengambil langkah-langkah sepatutnya, baik yang terdiri daripada badan-badan agama yang bukan rasmi, termasuk juga pihak berkuasa, supaya kesilapan-kesilapan dalam pegangan dan amalan itu disebarkan supaya dimengerti oleh masyarakat Islam, dan langkah-langkah yang berkesan hendaklah diambil oleh semua pihak supaya ilmu-ilmu sesat itu tidak berkembang dan dielakkan oleh ahli masyarakat.

Keempat, hendaklah pemuka-pemuka ilmu sesat itu dikenakan tindakan yang tegas ke atas mereka mengikut lunas-lunas syariat Islam sebenarnya, termasuklah hukuman-hukuman yang menahan mereka sehingga mereka bertaubat, ataupun bila sabit kesalahannya, maka dikenakan hukuman yang lebih berat lagi daripada itu. Ini boleh dilakukan, Insya’Allah, dengan adanya kerjasama semua pihak. Perlulah diperhatikan bahawa penyebaran ilmu sesat ini adalah lebih berbahaya daripada dadah yang ditakuti itu, sebab, jikalau dadah membinasakan jasad manusia, maka ajaran sesat membinasakan zat insaniah itu sendiri sehingga ke alam yang kekal abadi.

Kelimanya, antara lainnya, hendaklah adab-adab berkenaan dengan perhubungan ahli-ahli zindik dan ahli-ahli bidaah sesat, seperti kaum yang tidak mengambil berat tentang hukum syara’ ini, atau kaum yang mengajarkan ilmu bahawa kita ini adalah tuhan, disebarkan supaya orang ramai mengerti adab-adab itu dan beramal dengannya. 
Antara adab itu ialah apa yang diterangkan oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali, semoga Allah meredhainya, di dalam kitab al-lhya’ nya, (juz ll, 166-167 ). Katanya:
“Keduanya ialah bidaah (sesat, seperti tidak memakai syara’ atau mengajar manusia menjadi tuhan dan sebagainya) yang menyeru (orang lain) kepada bidaahnya itu. Kalaulah bidaahnya itu adalah sedemikian yang menjadikan ia itu kafir kerananya, maka keadaannya itu adalah lebih berat lagi daripada kafir zimmi, kerana ia tidak mengakui kedudukannya dikenakan membayar jizyah dan ia tidak dilembutkan perhubungannya dengan itu kerana perjanjian dengan orang-orang kafir zimmi itu.

“Kalau bidaahnya itu adalah bidaah yang tidak menjadikannya kafir, maka kedudukannya itu, antara dia dengan Allah adalah lebih ringan daripada kedudukan orang kafir, itu pasti, tetapi dalam hal mengingkarinya maka itu lebih berat daripada kedudukan orang kafir, kerana kejahatan pada orang kafir itu tidak melimpah (kepada orang yang tidak kafir). Maka sesungguhnya orang Islam beriktiqad orang-orang itu sebagai kafir, maka dengan itu mereka tidak peduli kepada kata-katanya, kerana ia tidak mengaku dirinya beragama Islam dan berpegang kepada aqidah yang hak.

“Adapun ahli bidaah (yang menyeru kepada bidaah sesatnya, walaupun tidak kafir, lebih-lebih lagi kalau bidaahnya kafir) yang menyeru kepada bidaahnya dan mengaku bahawa seruannya itu adalah hak, maka ia menjadi sebab kesesatan orang ramai. Dan kejahatan itu padanya melimpah kepada orang lain. Maka adalah mustahab, atau baik, dizahirkan kemarahan terhadapnya, dan ditujukan permusuhan dengannya serta memutuskan hubungan dengannya, serta  menghinanya dan merendahkannya, kerana bidaahnya itu, dan menjadikan orang lain liar daripada bergaul dengannya adalah lebih berat.

“Kalaulah (orang bidaah yang demikian itu) memberi salam kepada seseorang di tempat sunyi, maka tidak mengapa menjawab salamnya (kalau bidaahnya tidak membawa kepada kekufuran), (tetapi) kalaulah anda mengetahui bahawa berpaling daripadanya dan diam daripada menjawab salamnya menjadikan ia merasa buruk bidaahnya sendiri dan memberi kesan dalam menjadikannya meninggalkan bidaahnya itu, maka tidak menjawab salam itu adalah lebih utama, kerana menjawab salam itu walaupun hukumnya wajib, ia menjadi gugur kerana ada tujuan yang sekecilnya yang ada maslahat di dalamnya, sehingga (gugur wajib menjawab salam itu) apabila seseorang itu berada dalam bilik mandi, atau ia berada dalam qadha hajat, dan (disini) tujuan untuk  menjauhkan dirinya daripada bidaah itu adalah lebih mustahak lagi daripada tujuan-tujuan ini.

“Kalaulah (ahli bidaah itu) berada dalam satu kumpulan maka tidak menjawab salamnya adalah lebih utama untuk meliarkan (menjauhkan) orang lain daripadanya dan untuk menunjukkan keburukan bidaah itu pada pandangan mata mereka. Demikian juga lebih utama untuk berhenti daripada berbuat baik kepadanya serta memberi pertolongan kepadanya terutama dalam perkara yang boleh dilihat oleh orang ramai…..

“Ketiganya ahli bidaah yang awam (yang bukan berdakwah kepada bidaahnya itu) yang tidak mempunyai kemampuan untuk berdakwah kepada manusia bidaahnya itu, dan tidak dibimbangi ianya diikuti oleh orang lain, maka keadaanya itu adalah lebih senang (daripada keadaan orang diatas tadi); maka (dalam hal orang yang demikian ini) hendaklah ianya tidak diperburukkan dengan perangai kasar terhadapnya dan dengan menghinanya, bahkan handaklah ia diberi layanan dengan lemah-lembut dengan memberi nasihat. Sesungguhnya hati orang kebanyakan (atau orang awam itu) cepat berubah. Maka kalaulah memberi nasihat tidak mendatangkan faedah, maka berpaling daripadanya untuk menunjukkannya keburukan bidaah itu pada pandangannya sendiri, maka berpaling daripadanya itu adalah lebih baik lagi. Maka kalaulah diketahui bahawa itu tidak memberi kesan oleh kerana tabiatnya yang sudah keras dan pegangannya (yang paling sesat itu) sudah mendalam dalam jiwanya, maka berpaling daripada itu adalah lebih utama, kerana sesuatu bidaah itu apabila tidak ditunjukkan dengan bersangatan buruknya itu, maka ia merebak di kalangan orang ramai, dan kerosakannya menjadi merata.”



Inilah antaranya nasihat yang diberikan oleh imam al-Ghazali yang arif ini tentang cara bagaimana kita berhadapan degan golongan bidaah yang sesat – atau yang membawa kepada kekafiran – yang ada dalam masyarakat kita. Kalaulah sikap ini diamalkan maka ajaran sesat ini tidak akan berkembang dalam masyarakat Islam dan ianya akan terhapus, dengan izin Allah SWT.

Hendaklah nasihat yang sedemikian ini difahami, dan adab-adab yang disarankan ini dijadikan pegangan dan amalan yang berkesan. Insya’Allah kita akan mendapat pertolongan daripada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Wallahua’lam.



وصلّى الله علي سّيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسّلم

والحمد لله ربّ العالمين

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML