Saturday, April 12, 2014

ANCAMAN DAJJAL MODEN DAN WOMEN'S LIB

Dajjal adalah suatu fitnah yang cukup berat bagi orang yang akan bertemu dengannya, kerana itulah Rasulullah saw telah mengajar kepada kita agar sentiasa berdoa di akhir solat dengan doa ini:
Maksudnya:

"Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan berlindung dengan-Mu daripada fitnah Al-Masih Dajjal".

         


Rasulullah SAW telah berwasiat dalam hadisnya agar kita meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada fitnah dajjal diakhir tahiyyat setiap kali menunaikan solat. Dajjal yang ditakuti itu akan muncul di akhir zaman, sebagai salah satu dari tanda-tanda qiamat yang besar. Pada waktu itu ramai manusia yang tidak beriman atau yang goyah imannya di atas dunia ini akan menjadi pengikutnya, mempercayai bahawa ia adalah tuhan.

Mestika J1 Siri 19; Alamat Qiamat; Dajjal, Ya'juj Ma'juj, Imam Mahdi & Akhir Umur Dunia
Lihat Kuliah di sini

Menurut Rasulullah SAW juga, dajjal yang buta sebelah matanya tetapi mempunyai kuasa-kuasa misteri yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Dia boleh mendengar dengan telinganya apa yang diucapkan di hujung dunia sana, boleh melihat dengan mata sebelahnya itu apa yang berlaku dalam dunia ini, dia boleh berjalan mengelilingi dunia dalam masa beberapa hari sahaja, boleh mengeluarkan khazanah-khazanah seperti emas dan perak dari perut bumi dengan mudahnya, boleh menurunkan hujan dan menumbuhkan tanam-tanaman, boleh memati dan menghidupkan kembali orang yang telah mati.
[Lihat: Nihayah Al-Aalam 249]

     Dari Hudzaifah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

"Dajjal ialah orang yang buta sebelah matanya iaitu sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya yang kerinting serta dia membawa Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka bagi orang Islam dan beriman kepada Allah SWT." 
[Hadis riwayat Muslim].

Maka sesiapa yang lemah imannya akan percaya bahawa dia adalah tuhan yang sebenarnya dan akan sujud patuh mengikut perintahnya, tapi sebaliknya orang yang kuat imannya akan dapat membaca tulisan di dahinya: ‘kaf, fa, ra’, iaitu kafir, dan mereka yakin bahawa ianya hanyalah satu penipuan untuk menguji keimanan manusia.

     Dari Qatadah, beliau mendengar daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak ada seorang nabi kecuali ia telah memperingatkan kaumnya terhadap sang pendusta yang buta sebelah mata. Ketahuilah bahawa dajjal itu buta sebelah matanya sedangkan Tuhanmu tidak buta sebelah mata dan di antara kedua matanya tertulis "kaaf", "faa", "raa". 
[Hadis riwayat Muslim].

Walaupun dajjal sebenar dengan segala macam fitnah yang akan dibawanya akan muncul di akhir zaman sewaktu hampirnya qiamat, namun Rasulullah SAW telah mengajar umatnya agar beramal dengan doa tersebut, mungkin kerana sebelum itu akan ada fitnah-fitnah –semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua darinya- yang serupa dengannya walaupun lebih kecil berbanding dengan fitnah dajjal yang hakiki.

Dajjal Moden:



Kali ini kita akan melihat perspektif tentang dajjal moden ini melalui hasil perbincangan di antara Syeikh Ibnu Bulaihid – yang merupakan tumpuan orang-orang Badwi di Najdi dan penduduk sekitarnya yang mahu belajar dan mendengar ilmu darinya – dengan seorang penulis yang terkenal di Arab Saudi iaitu Muhammad Asad yang berasal dari Austria. 

Beliau datang ke Saudi pada zaman pemerintahan Al-Malik Abdul Aziz dan merupakan seorang sahabat Almarhum yang sangat dihormatinya. Beliau mencatatkan perbincangan tersebut dalam bukunya yang masyhur: ‘The Road to Mecca (Makkah)’.

Buku ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul: ‘At-Torik Ila al-Islam’. Dengan pengalamannya sebagai orang barat (Western man) yang non-Muslim sebelum ini, beliau mengibaratkan huraian dajjal yang disebutkan di dalam hadis itu sebagai satu huraian yang menepati tentang kemajuan teknologi dunia moden hari ini (sebelum datangnya dajjal akhir zaman yang hakiki). Iaitu tentang kehidupan manusia hari ini yang telah luput maruahnya, hilang segala pertimbangan dan kaitan dengan asal-usul kejadiannya.

Katanya: “Tidakkah huraian dajjal di dalam hadis Rasulullah di atas tadi begitu jelas sebagai satu penghuraian yang tepat tentang kemajuan teknologi moden hari ini?



1)Ianya bermata satu, iaitu hanya melihat kepada satu aspek kehidupan sahaja iaitu kemajuan / perkembangan material (material progress), ia tidak peduli akan perkembangan rohani (spiritual side).

2)Dengan bantuan mesin / alat-alat ciptaan yang canggih membolehkan manusia melihat dan mendengar tanpa batasan melebihi kemampuan semula jadinya, juga boleh melalui jarak atau sempadan yang tidak terhad dalam masa yang singkat. Ini terbukti dengan ciptaan telefon, kapal terbang, jet, satellite, internet dan sebagainya.

3)Kemajuan sains juga boleh mengadakan hujan tiruan, menumbuhkan tanaman dengan cepat dan mengeluarkan khazanah-khazanah yang tidak disangka dari perut bumi seperti emas, perak, bijih dan minyak dari dasar laut tanpa apa-apa kesukaran.

4)Teknologi perubatan pula boleh menyembuhkan orang sakit tenat yang seolah-olah telah mati, manakala peperangan dengan alat-alat canggih yang dicipta melalui sains moden (contohnya bom nuklear) boleh memusnahkan banyak nyawa manusia dalam masa yang singkat sahaja.

Kemajuan dan kecanggihan material ini sungguh memukau dan berkuasa sehinggakan orang yang tidak beriman atau lemah imannya akan mempercayai itulah tuhan dalam bentuknya. Inilah yang dikatakan bertuhankan wang, emas dan kehidupan semata-mata untuk mengejar kepuasan nafsu kebendaan dan material. Bukannya menyedari dan menginsafi bahawa kemajuan tamadun (civilization) manusia serta perkembangan teknologi dan sains itu adalah anugerah dari tuhan, tetapi sebaliknya semakin ramai manusia di dalam kejahilan mereka mula memikirkan bahawa itulah akhir halatujunya dan sesuatu yang wajar diburu dan dipuja.

Tetapi mereka yang sedar akan Penciptanya, tujuan kewujudannya di dunia ini, akan bertambah kuat imannya dan sesungguhnya jika mengikut dajjal bererti menafikan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Atas kesedaran erti dajjal inilah juga antara sebab-sebab yang membawanya ramai manusia kepada Islam, Ad-Din yang haqiqi. Bagi yang celik, kehidupan kafir Barat telah menjadi satu dunia kehidupan dajjal yang memukau dan menyesatkan.

Kemajuan ini tidak mampu lagi mengadakan satu keseimbangan di antara keperluan fizikal manusia, kehidupan masyarakat dan keinginan rohaninya. Etika keagamaan tiada lansung kepentingan di dalam kamus hidupnya, bahkan  hanya dikira sebagai satu muzik latar yang menenangkan, boleh untuk menemani tetapi tidak sesekali untuk mempengaruhi kehidupan ‘sebenar’ mereka.

Kehilangan segala pedoman agama, mereka tidak mendapat faedah dari segi moral akan cahaya ilmu pengetahuan yang dicurahkan oleh kemajuan sainsnya yang agung itu.

Ayat al-Quran ini sangat sesuai sekali bagi menghurai keadaan mereka itu:

قال الله تعالى: {مثلهم كمثل الذي استوقد نارا فلما أضاءت ما حوله ذهب الله بنورهم وتركهم في ظلمات لا يبصرون. صم بكم عمي فهم لا يرجعون }. ( البقرة : 17-18)

Ertinya:
{Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan membiarkan mereka di dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu, buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar).} 
[Al-Baqarah: 17-18].

Kerana buta dalam keangkuhan inilah yang meyakinkan mereka bahawa hanya kemajuan tamadun merekalah yang akan membawa cahaya dan kebahagian dalam kehidupan di dunia ini. Mereka menyebarkan slogan materialistik “Western way of life”, satu kepercayaan bahawa semua masalah kehidupan manusia di dunia ini boleh diselesaikan dikilang-kilang, makmal-makmal dan dengan perangkaan statistik semata-mata.

Wanita dan Dajjal:



Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa di akhir zaman nanti kaum wanita adalah yang paling ramai lari keluar mengikut dajjal.

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

"ينزلُ الدجالُ في هذهِ السبخةِ بمرقناةٍ فيكونُ أكثرَ من يخرجُ إليه 
النساءُ، حتى إن الرجلَ ليرجعَ إلى حميمِه وإلى أمِّه وإلى ابنتِه

 وأختِه وعمَّتِه فيوثقُها رباطًا مخافةَ أن تخرجَ إليه"

Maksudnya: “Dajjal akan turun dari daerah dataran bergaram yang bernama Marriqanah. Yang paling ramai akan menjadi pengikutnya adalah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki akan bersegera pulang ke rumahnya untuk melihat/menjaga isteri, ibu, anak perempuan, saudara perempuan dan ibu saudaranya, kemudian diikatnya mereka kerana bimbang jika mereka keluar (lalu) bertemu Dajjal dan menjadi pengikutnya.” 
[HR. Ahmad (7/190) dan disahihkan oleh Ahmad Syakir].

Akhir zaman itu telah tiba sekarang. Ini sekali lagi bertepatan dengan fenomena manusia hari ini, di mana kaum wanita tidak lagi lekat diam di rumah, tetapi turut keluar dari rumah dengan pelbagai tugasan dan tujuan, samada yang harus atau tidak. Tetapi tidak dapat dinafikan keluarnya wanita dari rumah hari ini adalah lebih banyak menjurus kepada kesan negatif daripada yang positif.

Di tengah perpecahan dan keruntuhan dunia Islam sekarang ini, kita dapat menyaksikan betapa banyaknya kekuasaan yang hendak menarik, sekaligus mengeluarkan wanita dari agama dan Syariat Nabinya ke jalan yang amat jauh dari jalan yang diredhai Allah, diantaranya adalah lantangnya suara seruan kepada kebebasan wanita.

Lalu keluarlah kaum wanita ini yang kononnya disokong oleh mereka yang berfikiran liberal, menuntut dan memperjuangkan sesuatu yang diluar fitrah dan tabie kejadian mereka. Para penyeru kebebasan wanita mutakhir ini, bertambah lantang dan berani, berusaha sedaya upaya menodai kehormatan dan kedudukan para wanita yang telah diangkat oleh Islam.

Semua ini pada umumnya adalah untuk menyeret wanita supaya mempunyai kedudukan yang setaraf dengan kaum lelaki, agar wanita meninggal serta menanggalkan hijab (pakaian dan tudung) muslimahnya, agar wanita bekerja di sektor-sektor pekerjaan yang dulunya khas untuk kaum lelaki, agar wanita berhias secantik mungkin, agar bertambah ayu, seksi, feminin dan menawan  ketika keluar dari rumahnya.

Mereka para pejuang kebebasan wanita ini mahu agar para wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam segala bidang kehidupan, baik dalam pendidikan, pekerjaan, ekonomi mahupun dalam pemerintahan.

Sedangkan hak wanita sudah amat sempurna di dalam Islam. Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam bidang pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik dan kemasyarakatan. Panduan umum al-Quran dan al-Sunnah terhadap kedudukan wanita adalah sama dengan lelaki dari segi kemanusiaannya, iaitu kedua-duanya mempunyai sama hak dan sama kewajipan dalam melaksanakan tugas-tugas agama sebagaimana firman Allah Taala:

Maksudnya:
{Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari satu jiwa.} 
[Surah al-Nisa’:1].

Hak-hak ini semua tidak terdapat dalam fahaman mereka yang menamakan dirinya “fahaman moden”, yang menyeru ‘Kebebasan Wanita’ itu. (Bahkan sebaliknya) mereka mengatakan bahawa Islam menghilangkan hak-hak wanita dan memenjarakannya di dalam rumah.

Apakah kerana Islam tidak menjadikan wanita sebagai “barangan murah” yang dapat dinikmati oleh setiap pandangan mata dan pemuas nafsu mereka yang rosak moral itu? Inikah kebebasan yang mereka perjuangkan? Dan inikah hak yang mereka tuntut?
Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW:

ما تركت بعدي في الناسِ، فتنةً أضرُّ على الرجالِ من النساءِ

“Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada fitnah kaum wanita.” 
[HR Muslim].

Maka dengan itu dajjal moden telah muncul untuk menguasai nafsu manusia. Manusia sudah mulai melangkah, bertindak sendiri merealisasikan segala tanda-tanda yang disebut oleh Rasulullah SAW itu.

Sekali lagi marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhi dan diselamatkan dari fitnah dajjal ini, samada yang nyata iaitu Dajjal yang hakiki atau dalam apa-apa bentuk penjelmaannya sekalipun. Sesunguhnya ia adalah satu fitnah yang amat dahsyat!!! Amin.

Wallahu a’lam. 


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML