Sunday, February 23, 2014

GOLONGAN MULIA DISISI ALLAH

Golongan Bukan Nabi Yang Dimuliakan Allah

Rasulullah s.a.w. berkata dalam wasiatnya kepada Abu Hurairah, "Wahai Abu Hurairah! Hendaklah engkau mengikut jalan suatu kaum. Jika manusia lain merasa takut, mereka tidak takut. Jika manusia mencari keselamatan dari api Neraka, mereka tidak takut."

Abu Hurairah bertanya, "Siapakah mereka itu? Terangkan dan jelaskan mereka itu padaku hingga aku dapat mengenalinya."

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Suatu kaum dari umatku di akhir zaman. Mereka berkumpul pada Hari Qiyamat di tempat berkumpulnya para Nabi. Jika manusia memandang mereka, manusia mengira bahawa mereka adalah para Nabi dari keadaan yang mereka lihat hinggalah aku beritahukan kepada mereka nanti. Aku katakan, "Umatku, umatku." Maka para makhluk mengetahui bahawa mereka bukanlah para Nabi. Mereka berlalu seperti kilat dan angin. Pandangan mata yang hadir kagum dengan cahaya mereka."

Abu Hurairah berkata, "Wahai Rasulullah, kemukakan padaku apakah amalan mereka. Mudah-mudahan aku dapat mengikuti mereka."

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Wahai Abu Hurairah, kaum itu menempuh jalan sukar hingga sampai pada tingkatan para Nabi. Mereka memilih lapar setelah Allah memberikan (peluang) kepada mereka untuk (sentiasa) kenyang, memilih pakaian kasar setelah Allah memberi mereka pilihan berbagai pakaian, dan memilih haus setelah Allah memberi mereka rasa puas.

"Mereka meninggalkan itu semua kerana mengharap apa yang ada di sisi Allah (redha dan nikmat Syurga). Mereka tinggalkan yang halal kerana takut banyak dihisab. Mereka mempergauli manusia dengan badan-badan (lahir) mereka, tetapi itu tidak menyibukkan (hati) diri mereka (daripada mengingati Tuhan mereka). Para Nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka kepada Tuhan. Kebahagiaan bagi mereka! Kebahagiaan bagi mereka! Aku ingin agar Allah mengumpulkan aku bersama mereka."

Kemudian Rasulullah s.a.w. menangis kerana rindu kepada mereka. Lalu baginda berkata, "Jika Allah hendak mengazab penghuni bumi lalu memandang mereka, maka Dia berpaling dan tidak jadi menurunkan azab. Barangsiapa berpaling dari jalan mereka, maka ia akan terbeban kerana kerasnya azab."

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML