Soal Jawab Agama Siri 11
(Nikmat Syurga )
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 11 adalah menjawab persoalan kenikmatan di dalam syurga dan siapakah yang layak memasukinya.
201. Soalan : Sila terangkan kenikmatan syurga yang dinyatakan dalam al-Quran.dan hadis?
Firman Allah SWT maksudnya : (Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata; Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, – Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; – Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain). (Surah Al-Waaqi’ah (56) ayat 15-26)”
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah bersabda ; “Kelompok pertama yang akan masuk ke syurga akan bercahaya seperti bulan purnama. Di syurga, mereka tidak akan meludah, membuang hingus atau membuang air besar. Bejana mereka dibuat daripada emas. Sikat dari emas dan perak, alat pemanggang (dupa) dari kayu cendana, harum peluh mereka bagaikan wangi kasturi. Setiap penghuninya memiliki dua isteri, kulitnya sangat licin dan wajahnya teramat cantik. Mereka tidak akan berselisih faham, hati mereka bersatu dan mereka mengagungkan Allah setiap pagi dan petang.” (Hadis riwayat Bukhari.)
Satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah SWT berfirman: “Aku sudah menyediakan buat hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga serta belum pernah terlintas oleh hati seseorang."
202. Soalan : Apakah nama-nama syurga dan syurga terdapat berapa tingkat dan apakah nama syurga yang paling tinggi sekali?
Nama-nama syurga adalah :1. Syurga Firdaus 2. Syurga 'Adn 3. Syurga Na'iim 4. Syurga Na'wa 5. Syurga Darussalaam 6. Syurga Daarul Muaqaamah 7. Syurga Al-Muqqamul Amin dan 8. Syurga Khuldi
Syurga mempunyai 100 tingkat dan syurga tertinggi sekali adalah Syurga Firdaus.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahwa syurga itu ada 100 tingkat, yang pertama dari perak, ke-2 dari emas, ke-3 dari mutiara, selebihnya 97 tingkat adalah penuh dengan kelezatan dan kenikmatan yang tidak boleh dibayangkan oleh akal manusia.
Setiap tingkat berbeza-beza pula. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan “Al-Firdaus”.
Nabi SAW. memerintahkan ummatnya untuk berdoa memohon Firdaus melalui sabdanya, “Jika kalian meminta pada Allah mintalah kepada-Nya Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling utama, dan merupakan tingkatan tertinggi dari syurga, diatasnya terdapat ‘Arsy Ar Rahman dan dari Firdaus itulah memancar sungai-sungai syurga”.
Dalam kitab Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah, serta Sahih Ibnu Hibban, disebutkan hadis dari Abu Said, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ahli syurga yang berada pada tingkat tertinggi dapat melihat orang yang berada pada tingkat di bawahnya, seperti mana melihatnya bintang yang tertinggi di langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk golongan yang menikmatinya". (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
203. Soalan : Apakah ciri-ciri yang melayakkan seseorang untuk memasuki Syurga Firdaus?
Syurga teratas dan paling istimewa akan didiami oleh para nabi dan Rasul Allah serta orang-orang mukmin yang soleh yang memiliki amalan terbaik ketika di dunia. Rasulullah S.A.W. mengajarkan kepada kita agar ketika memohon syurga kepada Allah Ta’ala, maka mintalah Syurga Firdaus.
Mereka yang paling layak untuk memasuki Syurga Firdaus adalah mereka yang memiliki 7 ciri-ciri amal soleh :
1. Sentiasa khusyuk dalam solat
2. Mengelak dari perkara yang tidak memberi faedah (sentiasa mengerjakan amal soleh)
3. Membayar zakat
4. Menjaga kehormatan dirinya (tidak berzina)
5. Menjaga Amanah
6.Menunaikan janji
7. Menjaga solat
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang cari dibalik itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampau batas. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal didalamnya." (Surah al-Mukminun ayat 1-11)
204. Soalan : Siapakah yang layak untuk mendapat nikmat syurga?
Syurga adalah tempat istirehat yang sebenarnya. Satu tempat istimewa yang disediakan oleh Allah SWT. kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan telah mengabdikan diri mereka sepenuhnya ketika didunia. Banyak terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. yang menceritakan tentang nikmat dan keseronokan tempat tinggal di syurga Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : "(Untuk mereka) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa"
(Surah an-Nahl ayat 31)
Dari Iyadh bin Himar r.a, bahawa sesungguhnya didalam khutbahnya Rasulullah SAW. bersabda, “Ahli syurga ada 3 golongan, iaitu para penguasa yang menggunakan kekuasaannya untuk keadilan dan kebenaran, seseorang yang penyayang dan lembut hatinya kepada siapa saja dan orang muslim yang menjaga diri dari kemaksiatan. Sedangkan ahli neraka ada lima golongan iaitu: orang lemah yang tidak peduli sesamanya, para pengkhianat, penipu yang memperdaya keluarga dan harta orang lain, kikir dan pendusta, serta orang yang berakhlak tercela” (Hadis Riwayat Muslim)
205. Soalan :Apakah makanan yang menjadi hidangan pertama kali untuk penghuni syurga?
Makanan yang menjadi hidangan pertama kali penghuni syurga adalah hati ikan.
Diriwayatkan dari Rasulullah SAW. bahawa baginda ditanya,"Makanan apakah yang menjadi hidangan pertama kali penghuni syurga?" Baginda menjawab, "Hati ikan."
Ditanya kembali. "Kemudian apa lagi setelah itu?" Baginda menjawab,"Bagi mereka disembelihkan sapi syurga yang biasa makan di tepian syurga." Kemudian baginda ditanya lagi, "Apakah minuman mereka?" Maka, baginda menjawab, "Dari mata air syurga yang bernama Salsabila." (Hadis Riwayat Muslim).
206. Soalan : Bagaimana keadaan manusia ketika bertemu Allah SWT. di hari akhirat ?
Semua manusia akan dihidupkan oleh Allah SWT. Kesemua amalan-amalan manusia daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besar amalan, samaada yang baik atau yang buruk , yang nyata atau pun yang tersembunyi akan di dedahkan di hadapan Allah SWT . Bagi seorang muslim mukanya akan berseri-seri kerana gembira sebaliknya pula seorang kafir akan dihancur-leburkan hingga berwarna hitam pekat.
Diriwayatkan dari Rasulullah SAW. bahawa baginda ditanya, "Apakah yang diperbuat oleh Tuhan kita ketika kita menemui-Nya? Baginda menjawab," Kalian dihidupkan di sisi-Nya, lembaran-lembaran jalan hidup kalian ditampakkan dihadapan-Nya, tidak ada hal sekecil apa pun yang tersembunyi di balik hati kalian. Demi Allah, Tuhan kalian tidak pernah salah sedikitpun dalam menghisab amal kalian. Seorang muslim mukanya berseri-seri laksana kain yang putih bersih, adapun seorang kafir dihancur-leburkan seperti arang yang berwarna hitam pekat."(Hadis Riwayat Ahmad).
207. Soalan : Apakah jenis-jenis mata air yang mengalir di syurga ?
Terdapat beberapa jenis mata-air di syurga iaitu sungai dari madu yang murni, sungai dari arak yang tidak memabukkan, sungai dari susu yang tidak berubah rasa dan air jernih yang belum berubah rasanya.
Rasulullah SAW. ditanya, seperti apakah mata air yang mengalir di syurga? Maka, baginda menjawab," Mata air dari madu yang murni, sungai-sungai dari khamar (arak) yang tidak menyebabkan mabuk dan penyesalan, sungai-sunagai dari susu yang tidak berubah rasanya, air jernih yang belum berubah dan buah-buahan. Demi Allah, kalian tidak pernah melihat kenikmatan ini di dunia dan tidak ada sedikitpun yang serupa dengannya."
(Hadis Riwayat Ahmad).
208. Soalan : Apabila seseorang memasuki syurga adakah dia akan bertemu dan dinikahkan semula dengan isterinya semasa di dunia?
Benar, apabila seseorang di izinkan oleh Allah SWT untuk memasuki syurga maka dia akan dinikahkan semula dengan isterinya ketika di dunia jika isterinya juga ahli syurga. Jika isterinya bukan ahli syurga maka dia akan dinikahkan dengan wanita solehah ahli syurga yang lain. Wanita dunia (yang menjadi isteri ahli syurga) ini akan menjadi ketua bidadari bermata jeli. Wajahnya lebih cantik daripada bidadari bermata jeli. Perhubungan intim di syurga tidak mengeluarkan air mani dan tidak menyebabkan kehamilan.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Adakah kita akan mempunyai isteri di syurga?" Maka, baginda menjawab, " Orang-orang yang soleh akan dinikahkan dengan wanita-wanita yang solehah. Kalian akan merasakan kenikmatan sebagaimana isteri-isteri kalian juga akan merasakan kenikmatan waktu di dunia. Perbedzaannya, hubungan intim di syurga tidak menyebabkan kehamilan." (Hadis Riwayat Ahmad)
209. Soalan : Bagaimana keadaan seorang ahli syurga ketika dia bersama-sama dengan isteri-isterinya di syurga ?
Sahabat bertanya kepada Nabi SAW, "Apakah kita berhubungan badan dengan isteri-isteri kita di syurga? Maka, baginda menjawab, "Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seorang lelaki mampu berhubungan badan dengan seratus bidadari pada satu pagi." (Imam Hafidz Abu Abdullah al-Maqdisi mengatakan bahawa perawi hadis ini adalah sahih).
"Apakah penghuni syurga saling menikah?" Maka, baginda menjawab, "Nafsu syahwat mereka tidak pernah putus dan kemaluan mereka tidak pernah lemas serta dorongan seksual mereka sangat kuat sekali."
"Apakah ada hubungan badan di syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ya, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Apabila ia telah berdiri dari isteri-isteri-Nya (telah selesai dari hubungan badan), mereka kembali perawan seperti semula." (Perawi hadis ini adalah sahih dengan syarat Ibnu Hibban)
210. Soalan : Apakah dia "Al-Kautsar." ?
Al-Kautsar adalah telaga indah dikelilingi kubah-kubah mutiara yang berlorong-lorong dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW di syurga. Airnya ini lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.
قَالَ رَسُوْلُ الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَيْنَمَا أَنَا أَسِيرُ فِي الْجَنَّةِ، إِذَا أَنَا بِنَهَر،ٍ حَافَتَاهُ، قِبَابُ الدُّرِّ الْمُجَوَّفِ، قُلْتُ: مَا هَذَا يَا جِبْرِيلُ...؟، قَالَ: هَذَا الْكَوْثَرُ، الَّذِي أَعْطَاكَ رَبُّكَ، فَإِذَا طِينُهُ مِسْكٌ أَذْفَرُ،
(صحيح البخاري)
Sabda Rasulullah SAW : “Ketika aku berjalan di syurga, maka kulihat telaga indah, dikelilingi kubah-kubah mutiara yang berlorong-lorong, kukatakan : “Apa ini wahai Jibril..?”, ia menjawab :”Ini telaga Al-Kautsar, yang diberikan untukmu dari Tuhanmu wahai Muhammad (SAW). Maka kulihat pasirnya dari misik yang harum dan wangi”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Diriwayatkan dalam Shahih Al Bukhari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda tentang telaga Kautsar : “ Aku melihat cawan-cawan yang mengelilingi telaga Al Kautsar yang jumlahnya lebih banyak dari bintang di langit”.
Dalam riwayat yang sahih disebutkan bahawa jika satu cawan pecah, dan pecahan cawan itu jatuh ke bumi maka pecahan itu jauh lebih indah dan lebih berharga dari segala perhiasan yang ada di bumi.
211. Soalan : Jika seorang wanita yang pernah berkahwin lebih dari satu suami di dunia dengan siapakah dia akan bersama di syurga?
Diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa baginda ditanya , "Seorang wanita yang telah menikah dengan lebih dari dua atau tiga laki-laki, bersama siapakah ia tinggal di antara mereka di syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ia akan memilih yang paling mulia akhlaknya."
Apabila seorang wanita ketika di dunia memiliki dua atau lebih suami, maka kelak di syurga dia dipersilakan untuk memilih siapa di antara suami-suaminya yang dia inginkan untuk menjadi pendampingnya di syurga, asalkan suaminya itu tergolong dari ahli syurga. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa dia akan bersama suaminya yang terakhir. Ini disebut oleh hadis Rasulullah SAW maksudnya : “Wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir” (Hadis Riwayat Al-Albani)
212. Soalan : Adakah penghuni syurga tidak tidur?
Dari Jabir bin Abdillah dan Abdullah bin Abi Aufa r.a Rasulullah SAW bersabda :" Tidur adalah saudaranya kematian, dan ahli syurga tidak tidur" (Albani dalam Silsilah ash-Shahihah no. 1087)
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka). Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan. Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta. (Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.” (Surah Yasin ayat 55 – 58)
213. Soalan. Adakah di syurga ada kenderaan?
Di syurga ada kuda dari permata yang akan menjadi kenderaan penghuni syurga.
"Apakah di syurga ada kuda?" Maka, baginda menjawab, "Apabila masuk syurga, kalian disiapkan seekor kuda tunggangan dari permata, yang mempunyai dua sayap, membawa terbang kemanapun kalian kehendaki di syurga."
214. Adakah wanita dunia lebih mulia dari bidadari dan bagaimana pula kehebatan bidadari bermata jeli?
Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda SAW menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.” Saya bertanya, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda SAW menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (Hadis Riwayat. Ath-Thabrani)
Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi pandangan, yang tidak pernah tersentuh oleh manusia dan jin sebelumnya” (Surah ar-Rahman ayat 56)
215. Soalan : Apakah amalan yang menyebabkan seseorang layak masuk syurga dan apakah amalan seorang wanita memudahkannya untuk memasuki syurga?
Dari Abu Hurairah bahwa Nabi SAW pernah ditanya mengenai hal apa yang paling banyak memasukkan manusi ke dalam syurga, baginda menjawab : ‘’Takwa kepada Allah dan berakhlak baik.'’(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban dalam shahihnya.)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
216. Soalan : Adakah seorang yang tua ketika di dunia apabila memasuki syurga umurnya menjadi muda?
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Setiap lelaki yang masuk syurga akan diberi 72 bidadari; tidak peduli pada umur berapa dia mati, ketika dia masuk syurga dia akan menjadi seorang berumur 30 tahun dan tidak akan tambah tua. Lelaki di syurga akan diberi keperkasaan yang sama dengan keperkasaan seratus orang lelaki." (Hadis Riwayat Tirmizi)
217. Soalan : Apakah nikmat yang paling besar di miliki oleh ahli syurga?
Terdapat satu hadis qudsi : Shuhaib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda : “Jika calon ahli syurga telah masuk kedalam syurga, Allah SWT berfirman, ‘ Hai ahli syurga! Apakah kalian ingin sesuatu yang lebih dari nikmat ini?’
Mereka menjawab, ‘Bukankah Engkau telah mencermelangkan muka kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari neraka?’ Maka, disingkaplah hijab. Maka, tidak ada kenikmatan yang lebih mereka senangi dari pada memandang Tuhan mereka.”
(Hadis ini sahih. Ia dikeluarkan oleh Muslim (181), Ahmad (4/333), At-Tirmidzi (2552), dan Ibnu Majah (187).)
Jika ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah memberi mereka kemampuan dan kekuatan untuk melihat Zat-Nya. Dapat melihat Zat Allah ini adalah nikmat ahli syurga yang paling besar. Dalil yang membenarkan bahawa ahli syurga akan dapat melihat Zat Allah adalah firman-Nya dalam Al-Quran, maksudnya : "Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat,” (Surah Al-Qiyamah ayat 22-23).
218. Soalan : Adakah di syurga ada tempat untuk penghuni syurga berjumpa dan berbincang?
Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Said bin Musayyab yang bermaksud: Bahawa sesungguhnya ia (Ibnu Musayyab) bertemu dengan Abu Hurairah pada suatu hari.
Maka Abu Hurairah berkata kepadanya: "Aku mohon kepada Allah untuk dikumpulkan-Nya antara aku dan engkau di pasar syurga". Maka berkatalah Said: "Apakah di syurga ada pasar?" Jawabnya: "Ya, ada."
Dalam riwayat yang lain pula menyebut (yang bermaksud): Sesungguhnya dalam syurga itu ada pasar yang tidak ada padanya jual beli. Akan tetapi apabila sampai ahli syurga di dalamnya, duduklah mereka bersandar di atas mutiara lembut dan tanah dari kasturi. Ketika itu mereka saling berkenalan dalam syurga seperti mereka di dunia. Mereka saling menyebut mengenai ibadat mereka terhadap Tuhan dan bagaimana keadaan mereka menghidupkan malam dengan sembahyang dan berpuasa pada siang hari. Bagaimana kefakiran di dunia serta kekayaannya dan bagaimana keadaannya mati.
Begitulah keadaan pasar di syurga berbeza dengan pasar di dunia. Ahli syurga bertemu di pasar itu pada Jumaat dan keadaan penghuni syurga semakin hari semakin cantik.
Hadis riwayat Muslim daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di syurga ada pasar yang dikunjungi penghuninya setiap Jumaat, lalu bertiuplah angin dari arah utara yang menerpa wajah dan pakaian mereka, sehingga mereka semakin tampan (cantik) itu, lalu keluarga mereka berkata: Demi Allah kamu semakin cantik. Mereka menjawab: Demi Allah kamu juga semakin bertambah cantik setelah kami tinggal pergi."
219. Soalan : Adakah di syurga Allah SWT akan bertemukan kita dengan anak cucu, ibu bapa, ahli keluarga dan zuriat keturunan kita?
Firman Allah SWT:
بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَنٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآ أَلَتْنَهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَىْءٍۢ ۚ كُلُّ ٱمْرِئٍۭ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌۭMaksudnya :
"Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.(Surah Ath-Thuur ayat 21)
Dari surah tersebut dengan jelas kita memahami bahawa keluarga daripada anak cucu orang yang beriman akan dapat bersama-sama berkumpul pada suatu tempat di syurga, asalkan mereka mengikuti orang tua mereka di dalam hal keimanan yakni beramal soleh dan ketakwaannya.
220. Soalan : Adakah kita akan dikumpulkan bersama orang yang kita cinta di akhirat nanti?
Benar, kita akan dikumpulkan bersama-sama orang yang kita cintai di dunia. Jika kita mencintai artis, penyanyi, pemain muzik, pelakun, pelawak , ahli sukan,atau pemimpin yang rasuah dan zalim maka kita akan dikumpulkan bersama-sama mereka. Sebaliknya pula jika kita mencintai Rasulullah SAW, para sahabat, alim ulama dan orang soleh maka kita juga akan dikumpulkan bersama-sama mereka.
Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a. : Ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW : “Bilakah kiamat itu tiba?”
Rasulullah bersabda : “Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?”
Lelaki itu menjawab : “Cinta Allah dan Rasul-Nya.”
Rasulullah menjawab : “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 4775)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap mukmin yang beriman dan bertakwa akan bertemu di syurga orang yang dicintai ketika di dunia dahulu.
Apabila ditanya oleh Nabi SAW kepada Arab Badwi apakah persiapan beliau untuk menghadapi kiamat, beliau menjawab dia mencintai Allah dan Rasul-Nya. Jika benar apa yang beliau ucapkan maka di hari akhirat nanti beliau akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT mencintai dan meredainya.
Begitu juga jika beliau mencintai Rasul-Nya maka beliau akan bertemu dan berkumpul bersama-sama baginda di syurga.
Jika di dunia kita mencintai Rasulullah SAW, para sahabat baginda, alim ulama, orang-orang soleh, para mujahid Islam, orang-orang mukmin, ibu bapa, isteri, anak-anak, ahli keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan insyaa Allah kita akan bertemu dengan mereka di dalam syurga , salah satu tempatnya adalah di Pasar Syurga setiap hari Jumaat.
Tanda kita mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mengikut sunah dan ajaran Rasulullah SAW dan banyak berselawat ke atas baginda maka kita akan bertemu dan dikumpulkan bersama baginda.
Nabi SAW menyuruh umatnya apabila ingin mencari sahabat maka carilah sahabat yang soleh kerana sahabat yang soleh bukan sahaja akan membantu menyelamatkan kita ketika di dunia tetapi dia juga akan memberi syafaat ketika di hari akhirat nanti.
Nabi SAW mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)
No comments:
Post a Comment