Soal Jawab Agama Siri 18
(Alam Barzakh, Seksa Kubur, Pahala Berterusan, Persediaan Sebelum Mati, Berdoa, Husnul Khatimah, Su'ul Khatimah Dan Lain-lain)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 18 adalah menjawab persoalan alam barzakh, seksa kubur, pahala berterusan,persediaan sebelum mati, berdoa, husnul khatimah, su'ul khatimah, mati syahid, 12 golongan di Padang Mahsyar dan telaga al-Haudh.
341. Soalan. Apabila mati sahaja anak Adam dan masuk ke alam barzakh, siapakah nama malaikat yang akan menyanyakan soalan dan apakah soalan yang akan ditanya?
Apabila mayat dikebumikan dikubur, maka dia akan tinggal keseorangan melainkan yang akan menemaninya adalah amalannya ketika di dunia. Jika banyak amal solehnya termasuk bacaan al-Quran yang dibaca setiap hari dan diamalkan, maka dia akan merasa gembira dan berbahagia, tetapi jika dia membawa amalan dosa dan maksiat dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT maka dia akan berdukacita , sedih dan merasai amat takut untuk berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir.
Di dalam satu riwayat hadis menceritakan bahawa muka Munkar dan Nakir ini adalah amat hitam dan legam lagi kebiru-biruan. Mukanya itu adalah terlalu besar dan lebar. Selain dari itu, jasadnya juga adalah hitam legam serta kebiru-biruan. Mata Munkar dan Nangkir ini adalah merah menyala seperti sebiji periuk tembaga. Di dalam satu riwayat lain, mata Munkar dan Nakir itu dikatakan seperti kilat yang menyambar, bersinar-sinar lagi tajam. Begitu juga keadaan matanya hinggakan tidak ada siapa pun yang boleh menatap matanya itu.
Suara kedua malaikat itu adalah seperti guruh halilintar yang membelah langit malah lebih dahsyat dari itu lagi. Kemudian, apabila malaikat ini bersuara ketika menyoal si mati dari golongan orang-orang yang mukmin tetapi derhaka kepada Allah seperti orang yang mengaku mukmin tetapi tidak sembahyang, tidak puasa, tidak bersedekah, tidak naik haji bila cukup syarat, tidak mahu menunaikan perintah-perintah Tuhan malah melakukan larangan-larangan Tuhan seperti minum arak, main judi, bergaul bebas, berzina, mendedah aurat dan lain-lainnya dan juga bersuara munkar dan nakir kepada orang-orang munafik, orang kafir serta orang-orang musyrik, keluar dai mulut kedua malaikal itu suatu api yang menyambar dan membakar mayat-mayat tadi.
Malaikat yang menanyakan persoalan di amal barzakh adalah Malaikat Munkar Dan Nakir. Malaikat Munkar dan Nakir bertugas menanyai mayat dalam alam kubur tentang siapa Tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya. Sedangkan dalam suatu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menjelaskan bahwa al-Qaulu as-Tsabit dalam Surah Ibrahim ayat 27 adalah jawaban orang Islam terhadap pertanyaan Malaikat di dalam alam kubur.
Firman Allah SWT maksudnya : "Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (al-Qaulu as-Tsabit) (dalam kehidupan ) di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki" (Surah Ibrahim ayat 27)
342. Soalan. Dalam hadis Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Kubur itu sama ada satu taman daripada taman-taman syurga atau satu lubang daripada lubang-lubang neraka. (Hadis Riwayat Tirmizi). Apakah yang dimaksudkan hadis ini minta ustaz jelaskan?
Sebenarnya alam barzakh adalah tempat persingahan sementara sebelumnya berlaku hari kiamat dan berhimpun di Padang Mahsyar. Sesiapa yang sedang berada di alam barzakh akan diperlihatkan setiap pagi dan petang tempat duduknya nanti selepas berlakunya kiamat samaada akan ke syurga atau ke neraka. Di alam barzakh sesiapa yang sudah melihat tempatnya di syurga merasakan bahawa alam barzakh adalah seperti taman-taman syurga, sedangkan mereka yang diperliharkan tempatnya di neraka akan merasakan bahawa alam barzakh adalah seperti lubang-lubang api neraka.
Saidina Uthman, pernah berkata,Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya kubur itu adalah penginapan yang pertama antara penginapan akhirat, sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya maka apa yang akan datang kemudiannya adalah lebih mudah lagi. Seandainya seseorang itu tidak terlepas daripada seksaannya, maka yang akan mendatang adalah lebih sukar”.
Firman Allah dalam Surah al-Mukminun (23) ayat 99-100 maksudnya : "Sehingga apabila tiba maut kepada salah seorang di kalangan mereka, berkatalah ia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku dapat mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Bahkan sesungguhnya ia hanya perkataan yang dia ucapkan, sedang di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula."
Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang akan masuk neraka sudah diperlihatkan tempat duduknya nanti di neraka ketika saat kematiannya.
343. Soalan. Apakah perbuatan seseorang yang boleh menyebabkan dia akan mendapat seksa kubur?
Berdasarkan hadis Nabi SAW mereka yang akan mendapat seksa kubur adalah kerana tidak menjaga kencingnnya iaitu ketika buang air kecil tidak basuh dengan bersih hingga menyebabkan wuduk dan solatnya tidak sah disebabkan najis terdapat pada pakaiannya dan suka menghasut atau mengadu domba. (termasuk juga sesiapa yang suka mendedahkan aib orang lain dan membuat fitnah).
“Daripada Ibn Abbas katanya, Rasulullah SAW melalui dekat salah sebuah kebun di Madinah atau Mekah lalu baginda terdengar suara dua orang yang diseksa di dalam kubur mereka.
Rasulullah SAW. bersabda: “mereka berdua itu diseksa. Tidaklah mereka berdua itu diseksa kerana perkara yang besar. Kemudian baginda bersabda: “benar sekali, salah seorang daripada mereka tidak menjaga kebersihan daripada air kencingnya dan seorang lagi sering mengacum (menghasut supaya bermusuhan).”
Kemudian Rasulullah SAW meminta supaya dibawakan pelepah tamar kemudian baginda membelahnya kepada dua lalu meletakkannya pada setiap kubur itu. Baginda ditanya; Wahai Rasulullah! Mengapa tuan berbuat demikian? Baginda menjawab: “Semoga itu akan meringankan daripada mereka berdua selagi ia tidak kering atau sehinggalah ia kering.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
344. Soalan . Apakah amal soleh yang akan berterusan pahalanya walaupun seseorang telah meninggal dunia dan tinggal di alam barzakh.?
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Sesungguhnya diantara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan. sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai, dan harta yang disedekahkannya "(Hadis Riwaya Ibnu Majah).
Terdapat 7 amal soleh yang ditinggalkan oleh simati yang akan berterusan pahalanya walaupun dia telah berada di alam barzakh.
1. Ilmu yang bermanfaat dan di sebarluaskan :
Menyebarluaskan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, baik melalui pendidikan formal (seperti sekolah, universiti , kolej dan institusi) dan pendidikan tidak formal seperti perbincangan ilmiah, tazkirah di masjid-masjid, ceramah umum, kursus motivasi, program dakwah dan tarbiah dan sebagainya. Termasuk dalam kategori ini adalah menulis buku-buku yang berguna , menulis kitab-kitab agama dan menyebarkan bahan-bahan pendidikan Islam melalui artikal-artikal tazkira samaada di facebook atau blog.
2. Anak soleh yang ditinggalkan :
Mendidik anak menjadi anak yang soleh. Anak yang soleh akan selalu berbuat kebaikan di dunia. Menurut keterangan hadis ini, kebaikan yang diperbuat oleh anak soleh pahalanya sampai kepada orang tua yang mendidiknya yang telah meninggal dunia tanpa mengurangkan nilai atau pahala yang diterima oleh anak-anak tadi. Doa anak yang soleh kepada orang tuanya mustajab di sisi Allah SWT.
3. Mushaf (kitab-kitab agama) yang diwariskannya :
Mewariskan kitab suci al-Quran, kitab tafsir al-Quran, mushaf (buku agama) kepada orang-orang yang dapat memanfaatkannya untuk kebaikan diri dan masyarakatnya. Samaada untuk ahli keluarga dirumah, untuk sekolah-sekolah agama dan maahad tahfiz dan untuk perpustakaan awam. Selagi kitab-kitab tersebut digunakan sebagai bahan bacaan dan rujukan maka orang yang mewakafkan akan mendapat pahala yang berterusan.
4. Masjid yang dibina :
Membangun masjid. Perkara ini selaras dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Barangsiapa yang membangunkan sebuah masjid kerana Allah walau sekecil apa pun, maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang yang membina masjid tersebut akan menerima pahala seperti pahala orang yang mengerjakan amal ibadah di masjid tersebut. Termasuk juga mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid.
5. Rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan :
Membangun rumah musafir atau pondok bagi orang-orang yang bermusafir untuk kebaikan adalah suatu amalan sangat di tuntut. Setiap orang yang memanfaatkannya, baik untuk berehat sebentar mahupun untuk bermalam dan kegunaan lain yang bukan untuk maksiat, akan mengalirkan pahala kepada orang yang membinanya. Termasuk juga kita membina pondok perhentian bas ditepi-tepi jalan yang tidak di bina oleh kerajaan.
6. Sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai.
Mengalirkan air secara baik dan bersih ke tempat-tempat orang yang memerlukannya atau menggali perigi di tempat yang sering dilalui atau didiami orang ramai. Setelah orang yang mengalirkan air itu meninggal dunia dan air itu tetap mengalir serta terpelihara dari kecemaran dan dimanfaatkan orang yang hidup maka ia mendapat pahala yang terus mengalir.
Semakin ramai orang yang memanfaatkannya semakin banyak ia menerima pahala di akhirat. Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa membina sebuah telaga lalu diminum oleh jin atau burung yang kehausan, maka Allah akan memberinya pahala kelak di hari kiamat." (Hadis Riwaya Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah).
7. Harta yang disedekahkannya :
Menyedekahkan sebahagian harta. Sedekah yang diberikan secara ikhlas akan mendatangkan pahala yang berlipat ganda. Selain daripada harta yang diberikan sebagai sedekah, termasuk juga mewakafkan tanah untuk pembangunan pendidikan Islam, rumah anak yatim, maahad tahfiz, tanah perkuburan dan rumah oarng-orang tua. Selagi tanah tersebut digunakan untuk kebaikan maka pahalanya akan berterusan kepada pemberi tanah wakaf tersebut.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya sedekah itu benar-benar dapat memadamkan panas kubur bagi pelakunya, sesungguhnya orang mukmin kelak di hari kiamat hanyalah bernaung dalam naungan sedekahnya. (Hadis Riwayat Al-Tabrani)
345. Soalan. Ibu dan bapa saya telah meninggal dunia. Sebagai seorang anak apakah amalan-amalan yang dapat saya lakukan untuk membantu ibu bapa saya di alam barzakh?
Terdapat 10 amalan yang boleh dilakukan oleh anak yang soleh untuk mengirim pahala kepada kedua ibu bapanya.
1. Mohon keampunan untuk mereka.
Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).
“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ (17) ayat 24)
2. Menunaskan hutang mereka.
3. Laksanakan wasiat/ nazar ibadah yang mereka tinggalkan.
Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”
Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).
4. Melaksanakan rancangan atau janji ibubapa.
5. Meneruskan apa yang baik dan menghentikan apa yang buruk (yang di ajarkan ibu bapa kepada kita)
6. Berhubung dengan orang yang dicintai oleh ibubapa.
7. Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah (pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam) niatkan untuk mereka.
8. Sedekahkan kitab : Kitab suci al-Quran, kitab-kitab agama, buku-buku agama untuk sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.
9. Selalu sedekahkan bacaan al-Quran : Surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri sebagai seorang anak.. Sedekah bacaan al-Quran menurut majoriti ulama ahli sunah waljamaah sampai kepada simati :
10. Beramal dengan amalan Islam. Semua anak-anak yang masih hidup apabila mereka mengamalkan cara hidup Islam dan meninggalkan maksiat dan dosa maka kedua ibu bapanya akan mendapat pahala.
346. Soalan . Apakah persedian yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin itu sebelum dia dia dipanggil pulang oleh Allah SWT, supaya tidak menderita mendapat azab seksa kubur?
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyaa ayat 35)
Terdapat 7 amalan perlu dilakukan sebagai persiapan sebelum tiba saat kematian :
Pertama : Setiap hari hendaklah bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar)” (Surah Al-Anfal ayat 33)
Kedua : Betulkan solat kita dan cuba untuk mendapatkan khyusuk dalam solat.
Jangan lewat-lewatkan solat apabila telah masuk waktu, bagi lelaki sebaik-baiknya solat berjemaah dimasjid. Solat adalah amalan yg pertama dihisab di hari akhirat nanti jika solat di terima maka amalan lain juga akan diterima.
Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Ketiga : Selesaikan semua hutang-piutang.
Roh seorang mukmin yang beriman atau pun roh seorang syuhada akan tergantung diantara langit dan bumi kerana hutangnya yang belum diselesaikan. Jangan tanguh-tanguh untuk membayar hutang.
Apabila mempunyai wang yang cukup terus membayarnya. Salah satu perkara yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan. Anak-anak , isteri dan waris-waris pula tidak tahu ataupun tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut hadis orang yang mati sedangkan ia masih berhutang maka rohnya terapung-apung di antara langit dan bumi.
Dari Abi Hurairah radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.'' (Hadis Riwayat Tirmizi).
Oleh itu tulislah satu surat wasiat dan senaraikan semua hutang-hutang yang ada lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang, serahkan kepada waris terdekat atau pemegang amanah (syarikat yang menguruskan wasiat) apabila mati datang mengejut urusan hutang-piutang ada pihak lain yang akan menyelesaikannya supaya rohnya kembali kepada Allah SWT. dalam keadaan tenang tidak tergantung.
Keempat : Banyakkan sedekah jariah.
Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwaqafkan, termasuk tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan dan mewaqafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, pusat rawatan, masjid dan seumpamanya.
Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh masyarakat umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan samaada ia masih hidup atau pun sesudah meninggal dunia.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad.)
Kelima : Ilmu yang bermanfaat.
Ilmu yang dapat dimanfaatkan maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala ilmu tersebut akan berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun." (Hadis Riwayat Muslim)
Keenam : Anak yang soleh yang mendoakannya .
Anak yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang soleh dan sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya sesudah meninggal dunia. Hadis ini memberi jaminan doa anak yang soleh kepada orang tuanya diterima oleh Allah SWT.
Sebaik-baiknya berdoalah seperti berikut:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيْرًا.
"Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Ketujuh : Meminta maaf kepada semua orang yang kita melakukan kesalahan dan dosa kepada mereka.
Tidak perlu menunggu Hari Raya Aidilfitri baru hendak minya maaf, kerana dosa mengumpat, memfitnah, menyakiti hati orang dan mengambil hak mereka perlu di selesaikan segera dengan meminta maaf. Jika kita telah terambil hak atau barang-barang mereka maka pulangkanlah sebab kematian boleh berlaku bila-bila masa sahaja tanpa kita mengetahuinya.
Oleh itu anak-anak segeralah memohon ampun kepada kedua ibu bapa. Isteri hendaklah segera memohon ampun kepada suami. Murid hendaklah memohon kemaafan kepada guru-guru. Kita hendaklah memohon maaf kepada saudara-mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan sekerja dan sesiapa saja yang kita rasa telah melakukan dosa kerana Allah SWT. tidak akan mengampunkan dosa yang dilakukan sesama manusia.
347. Soalan. Jika seseorang mendapat sakit yang berat dan kritikal apakah cara terbaik dia berdoa kepada Allah SWT.?
Rasulullah SAW melarang umatnya berdoa untuk mati walaupun sedang sakit tenat.
Abu Hurairah r.a menjelaskan, Muhammad Rasulullah SAW bersabda : ” Sekali-kali janganlah kalian meminta mati. Jangan pula mendoakannya sebelum mati itu datang sendiri. Sebab jika kalian telah mati, maka berhentilah kalian beramal. Sesungguhnya bertambah panjang umur seorang mukmin, bertambah pula kebaikan yang dapat diperbuatnya” (Hadis Riwayat Muslim)
Dari Anas bin Malik radhiallahu anhu dia berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda:
لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
“Janganlah seseorang di antara kalian mengharapkan kematian kerana tertimpa kesengsaraan. Kalaupun terpaksa ia mengharapkannya, maka hendaknya dia berdoa, “Ya Allah, berilah aku kehidupan apabila kehidupan tersebut memang lebih baik bagiku dan matikanlah aku apabila kematian tersebut memang lebih baik untukku.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 5671 dan Muslim no. 2680)
348. Soalan. Apakah maksud husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan siapakah yang layak mendapatkannya?
Husnul Khatimah adalah pengakhiran yang baik, iaitu seorang hamba, sebelum meninggal, dunia ia diberi taufik dan hidayah untuk menjauhi semua yang dapat menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Dia bertaubat dari dosa dan maksiat, serta semangat melakukan ketaatan dan perbuatan-perbuatan baik, hingga akhirnya dia meninggal dalam keadaan ini.
Ini berdasarkan hadis sahih dari Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada hamba-Nya, maka Allah memanfaatkannya”. Para sahabat bertanya, “bagaimana Allah akan memanfaatkannya?” Rasulullah SAW. menjawab, “Allah akan memberikannya taufik untuk beramal soleh sebelum dia meninggal.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi dan disahihkan al Hakim dalam Mustadrak)
Husnul khatimah memiliki beberapa tanda, di antaranya ada yang diketahui oleh hamba yang sedang sakaratul maut, dan ada pula yang diketahui orang lain. Tanda husnul khatimah, yang hanya diketahui hamba yang mengalaminya, iaitu diterimanya khabar gembira saat sakaratul maut, berupa reda Allah sebagai anugerah-Nya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: ‘Rabb kami ialah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan):’Janganlah kamu merasa takut dan jenganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.” (Surah Fushshilat, ayat 30)
Ubadah bin Shamid r.a. meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW. bersabda, “Barangsiapa senang untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga senang untuk bertemu dengannya. Dan barangsiapa tidak senang untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga tidak senang untuk bertemu dengannya.”
Aisyah, salah seorang isteri Nabi SAW bertanya, “Kita membenci kematian.”
Nabi SAW bersabda, “Bukan itu yang aku maksud, melainkan orang mukmin ketika dijemput oleh kematian, ia mendapatkan kabar gembira bahawa ia memperoleh reda dan karamah Allah, maka tidak ada sesuatu yang lebih ia sukai daripada apa yang ada di hadapannya sehingga ia amat senang untuk bertemu dengan Allah. Allah pun senang untuk bertemu dengannya. Adapun orang kafir ketika dijemput oleh kematian, maka ia mendapatkan kabar gembira bahawa ia akan mendapatkan azab dan seksa Allah, maka tidak sesuatu yang paling ia benci daripada apa yang ada di hadapannya sehingga ia tidak senang untuk bertemu dengan Allah. Allah pun tidak senang untuk bertemu dengannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Salah satu ciri husnul khatimah orang yang meninggal dunia dahinya berpeluh.
Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah meninggal dunia dan terlihat pada jidatnya (dahi) berpeluh, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat (berpeluh) dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)
349. Soalan. Apakah maksud su'ul khatimah (penyudah yang buruk) dan siapkah yang akan mendapat su'ul khatimah?
Su’ul khatimah (penyudahan yang buruk) adalah meninggal dalam keadaan berpaling dari Allah SWT, berada di atas murka-Nya serta meninggalkan kewajiban dari Allah SWT. Su’ul khatimah ialah apabila sewaktu akan meninggal dunia seseorang dikuasai oleh perasaan was-was yang disebabkan keragu-raguan atau keras kepala atau mencintai keterlaluan terhadap kehidupan dunia yang akibatnya ia harus masuk ke neraka secara kekal jika tidak diampuni oleh Allah SWT.
Sebab-sebab su’ul khatimah secara ringkas antara lain adalah perasaan ragu dan sikap keras kepala yang disebabkan oleh perbuatan atau perkara dalam agama yang tidak pernah dilaksanakan dan sentiasa membelakangkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, menunda-nunda taubat, banyak berangan-angan tentang kehidupan duniawi, senang dan membiasakan maksiat, bersikap munafik dan bersikap sombong , ego dan takbur.
Tidak diragukan lagi, demikian ini akhir kehidupan yang menyedihkan, selalu dikhawatirkan oleh orang-orang yang bertakwa. Terkadang nampak pada sebahagian orang yang sedang sakaratul maut, tanda-tanda yang mengisyaratkan su’ul khatimah, seperti: menolak mengucapkan syahadah, justeru mengucapkan kata-kata buruk dan haram, serta menampakkan kecenderungan padanya dan lain sebagainya.
350. Soalan. Apakah amalan-amalan seseorang yang boleh menyebabkan dia akan mendapat su'ul khatimah (penyudah yang buruk)?
Terdapat beberapa faktor penyebab seseorang itu tergolong dalam golongan yang mendapat su’ul khatimah:
* Mengabaikan ibadat sembahyang (solat fardhu)
* Tidak mengeluarkan zakat bagi membersihkan hartanya
* Derhaka kepada ibu bapa.
* Minum arak.
* Menyakiti orang Islam (suka membuat fitnah dan mendedahkan aib orang lain)
* Suka memecah-belah kaum muslimin.
* Suka mengurangi takaran dan timbangan
* Suka menipu kaum muslimin
* Menyusahkan dan mengelincirkan mereka
* Suka mengaku-ngaku sebagai wali Allah atau suka menghina ulama
* Membuat sumpah palsu dan berdusta atas nama Allah.
* Makan harta anak yatim.
* Makan hasil judi atau sumber rezeki yang haram (rasuah dan merampas hak orang lain)
* Suka melakukan sihir dan menzalimi orang lain.
* Suka melakukan zina (isteri curang dibelakang suami)
* Mengamalkan ilmu sihir dan membela jin kafir untuk tujuan tertentu.
351. Soalan. Apakah perasaan dan harapan yang perlu ada pada orang yang sedang nazak?
Perasaan dan harapan orang yang sedang nazak adalah dia mengharap rahmat Allah SWT dan dia takut balasan buruk di atas dosa-dosa yang telah dilakukannya.
Dari Anas r.a katanya: "Rasulullah SAW telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: "Bagaimana Keadaanmu?" Pemuda itu menjawab: "Aku berharap kepada (rahmat) Allah - Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku". Mendengarkan yang demikian, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti."
352. Soalan. Apakah ucapan terakhir yang perlu diucapkan oleh orang mukmin di saat sedang nazak untuk menemui kematian, untuk melayakkan dia mendapat husnul khatimah?
Nabi SAW bersabda maksudnya : " Ajarlah orang yang hampir mati dikalangan kamu kalimah La ilaaha illallah ." (Hadis Riwayat Muslim 916 dan 917)
Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)
353. Apakah surah di dalam al-Quran jika diamalkan setiap malam dengan izin Allah akan terlepas daripada azab kubur?
Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur."
Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Sebagian surat-surat yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surat yang mengandungi 30 ayat. Surat itu surat Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.”
Untuk mendapat fadilat yang besar di atas surah al-Mulk ini bukan setakat baca sahaja tetapi perlu memahami dan menghayati isi kandungan surah tersebut.
354. Soalan. Apakah keistimewaan orang yang mati syahid?
Terlalu banyak keistimewaan orang yang mati syahid iaitu mati berjihad dijalan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki." (Surah Ali-Imran ayat 169)
Rasulullah bersabda maksudnya, "Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:
1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar(pada hari kiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan."
(Hadis Riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:
1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar
2. melihat tempatnya didalam syurga.
3. dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar
4. merasakan kemanisan iman,
5. dikahwinkan dengan bidadari, dan
6. diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya"
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)
Hadis riwayat Anas bin Malik ra.: Dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah kerana dia dapat kembali ke dunia bukan kerana untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Kerana ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid." (Hadis Riwayat Muslim)
355. Soalan. Selain daripada mati berjihad di jalan Allah SWT mendapat mati syahid, adakah selain daripada itu terdapat kematian yang dikira sebagai mati syahid?
Rasulullah bersabda maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?
Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah."
Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.”
Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)
Rasulullah bersabda maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis Riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)
Walaupun banyak jenis kematian yang di kira sebagai mati syahid tetapi hanya mati syahid berjihad dijalan Allah sahaja yang tidak perlu dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.(menurut pendapat Mazhab Shafie) kerana dosa mereka telah diampunkan. Sedangkan kematian yang lain perlu dijalankan proses pengurusan jenazah seperti biasa.
356. Soalan. Setelah Malaikat Israfil meniup sangkakala kedua dan demikian maka terjadilah Padang Mahsyar. Semua makhluk dihidupkan dan berdiri kembali dari kubur masing-masing. Dan bagaiman hebat dan dahsyat penanggungan serta huru hara dihari itu, ketika ini semua makhluk sejak Nabi Adam dilahirkan sehingga kepada manusia yang terakhir diadakan. Semua ini akan dihimpunkan di Padang Mahsyar itu, sesak dan padat makhluk di Padang Mahsyar itu. Bolehkan ustaz terangkan manusia ketika itu akan terbahagi kepada berapa golongan?
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkala, maka terkejutlah segala yang ada dilangit dan segala yang dibumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan semua mereka datang menghadapi-Nya dengan merendahkan diri.”
(Surah an-Naml ayat 87).
Firman Allah S.W.T. maksudnya :- "Yaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok." (Surah an-Naba' ayat 18)
Adalah diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut di atas pernah ditanyakan oleh Saidina Muaz bin Jabal r.a., katanya, "Ya Rasulullah, apa maksudnya ayat ini?" Maka Rasulullah SAW menangis sebelum menjawab soalan tersebut kerana inilah yang selalu dibimbangkan oleh baginda. Lalu baginda menjawab:
"Ya Muaz, umatku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12 golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki neraka dan hanya 1 golongan sahaja yang akan memasuki syurga.
Adapun 11 golongan yang memasuki neraka adalah seperti berikut:-
1. Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan. Ini adalah kerana mereka suka menyakiti hati jiran tetangga.
2. Mereka yang menyerupai babi. Ini adalah balasan bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat lima waktu.
3. Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala. Inilah balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.
4. Mereka yang keluar darah dari mulutnya. Inilah balasan mereka yang berdusta.
5. Mereka yang berbau busuk seluruh badannya. Ini adalah balasan mereka yang mengaut keuntungan dalam jual beli atas penipuan.
6. Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu. Ini adalah balasan mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.
7. Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulut. Ini balasan mereka yang tidak mahu menyaksikan kebenaran.
8. Mereka yang keluar dalam keadaan terbalik iaitu kepala dibawah dan kakinya keatas. Ini adalah balasan mereka yang berzina serta mati sebelum bertaubat.
9. Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api. Ini balasan mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim.
10. Mereka yang kulitnya penuh kudis dan penyakit2 lain yang menjijikan. Ini adalah balasan mereka yang berani melawan kedua ibu bapanya.
11. Meraka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk, bibirnya berjuntai hingga keperut, dari perut dan pehanya keluar kotoran. Ini adalah balasan mereka minum minuman keras.
Dan satu golongan yang masuk ke syurga ialah:
12. Mereka yang wajahnya bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian mustaqim laksana kilat. Ini balasan orang yang beramal soleh dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat."
357. Soalan. Ketika di Padang Mahsyar bagimanakah keadaan manusia ketika itu?
1. Manusia tidak beralas kaki, tidak berpakaian dan belum berkhitan.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلاً
Maksudnya : “Manusia akan dikumpulkan pada hari kiamat dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian dan belum dikhitan.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim, no. 5102 dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha).
Dan manusia yang pertama kali diberi pakaian adalah Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَنْ يُكْسَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِبْرَاهِيْمُ
“Sesungguhnya orang pertama yang diberi pakaian pada hari kiamat adalah Nabi Ibrahim.” (Hadits Sahih Riwayat Bukhari, no. 4371).
Adapun pakaian yang dikenakannya ketika itu adalah pakaian yang dikenakan ketika mati.
Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu mengatakan, “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
اَلْمَيِّتُ يُبْعَثُ فِيْ ثِيَابِهِ الَّتِيْ يَمُوْتُ فِيْهَا
“Mayit akan dibangkitkan dengan pakaian yang dikenakannya ketika mati.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Hibban dalam Sahih-nya. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shohiih at-Targhib wat-Tarhib, no. 3575)
2. Manusia Digiring Ke Padang Mahsyar.
Manusia digiring ke Padang Mahsyar dengan berbagai keadaan yang berbeda sesuai dengan amalnya. Ada yang digiring dengan berjalan kaki, sebagaimana dikabarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
إِنَّكُمْ مُلاَقُو اللهِ حُفَاةً عُرَاةً مُشَاةً غُرْلاً
“Sesungguhnya kalian akan menjumpai Allah dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian, berjalan kaki, dan belum dikhitan.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari, no. 6043)
Ada juga yang berkendaraan. Namun tidak sedikit yang diseret di atas wajah-wajah mereka.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
إِنَّكُمْ تُحْشَرُوْنَ رِجَالاً وَرُكْبَانًا وَتُجَرُّوْنَ عَلَى وُجُوْهِكُمْ
“Sesungguhnya kalian akan dikumpulkan (ke Padang Mahsyar) dalam keadaan berjalan, dan (ada juga yang) berkendaraan, serta (ada juga yang) diseret di atas wajah-wajah kalian.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, dan beliau mengatakan, “Hadis hasan.” Hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahiih at-Targhib wat-Tarhib, no. 3582).
Abu Said al-Khudri radhiyallahu ‘anhu mengatakan bahawa ada seseorang berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam,
يَا رَسُولَ اللهِ كَيْفَ يُحْشَرُ الْكَافِرُ عَلَى وَجْهِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ؟ قَالَ: أَلَيْسَ الَّذِي أَمْشَاهُ عَلَى رِجْلَيْهِ فِي الدُّنْيَا قَادِرًا عَلَى أَنْ يُمْشِيَهُ عَلَى وَجْهِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ؟!
“Wahai Rasulullah, bagaimana boleh orang kafir digiring di atas wajah mereka pada hari kiamat?” Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab: “Bukankah Rabb yang membuat seseorang berjalan di atas kedua kakinya di dunia, mampu untuk membuatnya berjalan di atas wajahnya pada hari kiamat?!” Qatadah mengatakan, “Benar, demi kemuliaan Rabb kami.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari, no. 6042 dan Muslim, no. 5020).
3. Ketika Matahari Didekatkan Dengan Jarak Satu Batu.
Ketika manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar, matahari didekatkan sejauh satu batu dari mereka, sehingga manusia berpeluh, hingga peluh tersebut menenggelamkan mereka sesuai dengan amalan masing-masing ketika di dunia.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
تُدْنَى الشَّمْسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْخَلْقِ حَتَّى تَكُوْنَ مِنْهُمْ كَمِقْدَارِ مِيْلٍ، قَالَ سُلَيْمُ بْنُ عَامِرٍ : فَوَاللهِ، مَا أَدْرِي مَا يَعْنِي بِالْمِيْلِ أَمَسَافَةَ اْلأَرْضِ أَمْ الْمِيْلَ الَّذِي تُكْتَحَلُ بِهِ الْعَيْنُ، قَالَ : فَيَكُوْنُ النَّاسُ عَلَى قَدْرِ أَعْمَالِهِمْ فِي الْعَرَقِ فَمِنْهُمْ مَنْ يَكُوْنُ إِلَى كَعْبَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُوْنُ إِلَى رُكْبَتَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُوْنُ إِلَى حَقْوَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يُلْجِمُهُ الْعَرَقُ إِلْجَامًا، وَأَشَارَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ إِلَى فِيْهِ
“Pada hari kiamat, matahari didekatkan jaraknya terhadap makhluk hingga tinggal sejauh satu batu.” –Sulaim bin Amir (perawi hadis ini) berkata: “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang dimaksud dengan batu. Apakah ukuran jarak perjalanan, atau alat yang dipakai untuk bercelak mata?” Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sehingga manusia terseksa dalam peluhnya sesuai dengan kadar amal-amalnya (yakni dosa-dosanya). Di antara mereka ada yang peluhnya sampai kedua mata kakinya. Ada yang sampai kedua lututnya, dan ada yang sampai pinggangnya, serta ada yang tenggelam dalam peluhnya.” Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memberikan isyarat dengan meletakkan tangan ke mulut baginda.” (Hadits Sahih Riwayat Muslim, no. 2864)
358. Soalan. Siapakah golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy semasa di himpunkan di Padang Mahsyar?
Terdapat 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy ketika ramai manusia menderita yang amat dahsyat di Padang Mahsyar sebagaimana hadis daripada Nabi SAW.
Hadis yang diriawayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW itu bersabda yang bermaksud: "Terdapat 7 golongan manusia yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya iaitu:
1. Pemimpin yang adil;
2. Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT;
3. Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid;
4. Dua lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT;
5. Lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan," Aku Takutkan Allah";
6. Seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan
7. Seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.”
(Hadis Riwayat Muslim)
359. Soalan. Bagaimana keadaan kolam air Rasulullah SAW bernama Al-Haudh di Padang Mahsyar?
Dalam kitab Syarah Aqidah At-Tahawiyyah dinyatakan berdasarkan hadis-hadis, sifat kolam air (Al-Haudh) ini adalah seperti berikut :
1. Sebuah kolam yang besar, tempat minum yang mulia, ia adalah lanjutan daripada minuman dalam syurga daripada kolam Al-Kauthar. Airnya lebih putih dari susu, lebih sejuk dari ais, lebih manis dari manisan lebah dan lebih harum dari kasturi.
2. Luasnya adalah sangat luas, panjang dan lebarnya adalah sama, jarak di anatara kedua tebingnya kadar perjalanan sebulan dan setiap kali diminum ia bertambah luas.
Sabda Nabi Sallallhu ‘Alaihi Wasallam :” Kolam air aku ini (luasnya) perjalanan satu bulan. Airnya lebih putih dari susu. Baunya lebih harum dari kasturi. Alat penceduknya (bertaburan) seperti bintang-bintang di langit. Siapa yang dapat meminumnya ia tidak akan dahaga selama-lamanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
360. Soalan. Kenapa ada segolongan umat Rasulullah SAW dihalang meminum air telaga Al-Haudh ?
Telaga Al-Haudh adalah di sediakan untuk orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya . Apabila mereka datang ketelaga tersebut dan minum airnya maka mereka tidak akan dahaga selama-lamanya. Tetapi ada segolongan umat yang hidup menjadi umat Rasulullah SAW tetapi mereka ini adalah orang yang engan dan sombong tidak mahu mengikut syariat yang di bawa dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, maka mereka dihalang daripada meminum air di telaga Al-Haudh
Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi Sallallahu’ Alaihi Wasallam bersabda,
أنا فرطكم على الحوض فليرفعن إلي رجال منكم حتى إذا أهويت لأناولهم اختلجوا دوني فأقول أي رب أصحابي يقول لا تدري ما أحدثوا بعدك
Aku mendahului kalian di atas Al Haudh dan sekelompok manusia dari kalian akan diangkat kepada Al Haudh, kemudian mereka terpisah dariku, maka aku katakan: “Wahai Rabbku selamatkan sahabatku.” maka dikatakan: “Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang mereka ada-adakan sesudah kematianmu.” (Hadis Riwayat Bukhari (6576) dan Muslim (2279)
Oleh itu kalian perlu insaf dan sedar bahawa terlalu banyak amalan yang kita lakuakn bertentangan dengan sunat Nabi SAW,maka perlulah bertaubat dan kembali mentaati Allah SWT dan mengikut sunah Nabi SAW.
No comments:
Post a Comment