Diriwayatkan dari Jabir Radhiyallahu ‘anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah ia masuk ke tempat mandi tanpa mengenakan sarung penutup aurat. Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia membawa masuk isterinya ke tempat mandi umum. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia duduk di meja hidangan yang disuguhnya khamr di atasnya. [Hadits hasan, riwayat at-Tirmidzi (2801) dari jalur Laits bin Abi Sulaim, dari Thawus, dari Jabir r.a.]
Di dalam hadith di atas, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam melarang lelaki mendedahkan aurat ketika mandi di tempat umum. Walaupun ia satu pengetahuan yang umum diketahui oleh seorang muslim, namun masih ramai yang melanggarnya. Sangat menyedihkan.
Turut juga disentuh di dalam hadith itu ialah larangan bagi wanita untuk tidak memasuki tempat mandi umum kerana walaupun mungkin wanita tidak mandi di sana, tetapi kelibat lelaki yang bermandi-manda di sana boleh dilihat. Hal ini saya rasa ramai terlupa, termasuklah diri saya. Ya mungkin kita yang lelaki muslim ini menutup aurat ketika memandi-manda di kolam renang, sungai atau pantai, tetapi rupa-rupanya ada larangan untuk wanita muslimah dari masuk ke tempat sebegitu.
Kehormatan isteri dan saudara-saudara perempuan kita bisa rosak akibat mata manusia yang melihatnya. Sifat cemburu si lelaki Muslim mesti berfungsi dalam memelihara kehormatan isterinya dan saudara-saudara perempuannya. Jika sifat cemburu ini sudah tidak ada, maka apalagi istilah yang wajar dilontarkan ke muka lelaki itu, melainkan dayus.
Menyentuh soal larangan terhadap wanita dari memasuki tempat mandi umum, saya terbayangkan kolam renang, sungai, pantai dan ‘water world’ yang pernah saya lawati bersama keluarga. Astaghfirullah, memang dahsyat suasana di sana. Usah disebut tentang wanita yang tidak menutup aurat atau yang berpakaian seksi atau nipis. Kaum lelakinya juga ada yang tidak memakai baju dan berseluar dalam sahaja. Astaghfirullah…! Insaf! Insaf!
Saya teringat akan hadith yang mana Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menyuruh Aishah radhiAllahu ‘anha duduk di sebalik tabir walaupun yang bercakap dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam ketika itu adalah seorang yang buta. Apabila ditanya kenapa disuruh buat begitu, maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Sungguhpun dia tidak nampak engkau kerana dia buta, tetapi engkau dapat melihatnya”. Lihatlah, betapa ISLAM jaga sungguh hal ini. Malangnya kita pada zaman mutakhir ini memandangnya sebagai hal yang remeh.
Beberapa dalil berikut membicarakan hal yang sama:
Diriwayatkan dari Abu Ayyub al-Anshari r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan tamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia masuk ke tempat pemandian (umum) tanpa sarung penutup aurat. Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dari kalangan isteri-isteri kalian, maka janganlah ia masuk ke tempat mandi (umum).”
Ia berkata: “Aku mengangkat hadits ini kepada ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pada masa kekhalifahannya. Maka beliau mengeluarkan perintah kepada Abu Bakar bin Muhammad bin ‘Amr bin Hazm agar menanyakannya kepada Muhammad bin Tsabit tentang hadits ini, kerana ia termasuk orang yang dipercayainya. Lalu ia pun bertanya kepada Muhammad bin Tsabit. Kemudiannya ia menulis surat kepada Umar tentang kebenaran hadits tersebut. Maka Umar pun melarang kaum wanita masuk ke tempat mandi (umum). [Hadits sahih, riwayat Ibnu Hibban (5597)]
Diriwayatkan dari ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Jauhilah tempat yang disebut hammaam (tempat mandi umum)!”
Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, di tempat pemandian itu, kotoran bisa hilang dan penyakit bisa sembuh.” Rasulullah s.a.w. berkata: “Barangsiapa memasukinya, hendaklah menutup auratnya.” [Hadits hasan, riwayat at-Thabrani, al-Hakim, al-Bazzar]
Diriwayatkan dari Ummud Darda’ r.a., ia berkata: Suatu ketika aku keluar dari tempat pemandian, tanpa sengaja aku bertemu dengan Rasulullah s.a.w.. Baginda bertanya:
‘Dari mana engkau wahai Ummud Darda’?’ ‘Dari tempat mandi.’ Jawabku.
Lalu baginda berkata:
‘Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, siapa saja dari kalangan wanita yang membuka pakaiannya di (tempat) selain rumah ibunya melainkan ia telah merobek tirai antara dirinya dengan ar-Rahmaan.’” [Hadits shahih, riwayat Ahmad (VI/361 dan 362), ad-Dulabi dalam al-Kuna wal Asmaa']
Hadith tentang kisah Ummu Darda’ ini dapat dipelajari darinya tentang sifat berhati-hati yang mesti ada pada wanita tatkala ingin menyalin pakaian. Dengan teknologi canggih hari ini, kerisauan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam ini semakin berganda menggunung sepatutnya dirasai oleh muslimin dan muslimat. Bila-bila sahaja wanita boleh dieksploitasi dengan adanya telefon bimbit berkamera, cctv dan lain-lain peranti yang disalahgunakan oleh manusia-manusia yang jahat dan kotor hatinya.
Justeru, para wanita janganlah dengan sewenang-wenangnya menyalin pakaian mereka di tempat yang bukan mereka kenali seperti di tandas, di tempat menyalin pakaian, di hotel atau di mana-mana pun. Kerana sifat itu bakal merobek tirai dirinya dengan Tuhan.
Baca juga tentang MALU di sini: http://drhalimi.blogspot.com/2014/04/milikilah-sifat-malu.html
Kesimpulan yang saya dapat buat hasil dari mengambil manfaat dari beberapa hadith di atas berkenaan tajuk ini ialah:
- Lelaki mesti tutup aurat tatkala mandi di tempat umum.
- Wanita mesti tutup aurat tatkala mandi di tempat mandi yang dikhaskan untuk wanita.
- Melihat kepada suasana tempat mandi umum itu, wanita hendaklah mengelak dari memasukinya bagi menjaga kesucian Iman dan pandangan.
- Lelaki hendaklah peka dengan maruah dan kehormatan isteri, anak-anak perempuan dan saudara-saudara perempuan mereka dan melindungi mereka.
- Wanita hendaklah memelihara sungguh-sungguh sifat malu dan mesti sentiasa berhati-hati di dalam setiap perbuatan, khususnya yang melibatkan aurat dan maruah mereka, contohnya ketika menukar pakaian.
Mudah-mudahan catitan ini bisa memberi manfaat buat diri saya dan anda semua dalam kita menempuh kehidupan ini untuk menjadi muslim yang lebih baik da yang lebih tepat dengan ajaran agama, amin.
(Hadith-hadith di atas telah saya petik dari nota FB yang dikirimkan oleh Nurul Izzati Ishak. Disalin dari “Ensiklopedi Larangan” jilid 1 Bab Ghusl (Mandi), di bawah tajuk “Haram Hukumnya Laki-laki Memasuki Tempat Pemandian Umum Tanpa Sarung Penutup Aurat dan Haram Hukumnya Wanita Memasuki Tempat Pemandian Umum Meskipun Memakai Sarung Penutup Aurat”, halaman 315. Terima kasih buat beliau.)
No comments:
Post a Comment