Sunday, December 21, 2014

CARA RASULULLAH S.A.W TERTAWA DAN BERGURAU

Imam at-Tirmidzi di dalam kitabnya yang masyhur, Syama’il Muhammadiyyah telah menyenaraikan beberapa hadith yang menggambarkan cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tertawa dan bergurau.  Berikut adalah beberapa hadith yang dipetik dari kitab tersebut:

Cara Rasulullah Tertawa

`Abdullah bin al-Harith berkata yang maksudnya:

“Aku tidak pernah melihat seseorang yang tersenyum lebih banyak daripada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.”  
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

`Abdullah bin al-Harith berkata yang maksudnya:

“Tidaklah ketawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam melainkan hanya tersenyum.”  
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

Abu Dzar berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:




“Sesungguhnya, aku tahu orang yang pertama masuk ke dalam syurga dan yang paling akhir keluar dari neraka.  Pada Hari Akhirat nanti, seseorang akan dipanggil lalu perintah diberikan kepada malaikat:  “Tunjukkan kepadanya dosa-dosa kecil yang sudah dia lakukan dan sembunyikanlah dosa-dosa besarnya.”
Orang itu diberitahu:  “Pada hari sekian…kamu telah melakukan ini… dan ini…”
Dan orang itu akan mengaku semuanya.  Pada masa yang sama, dia juga berasa bimbang dengan dosa-dosa besarnya.  Selepas itu, perintah selanjutnya (kepada malaikat):  “Berikanlah kepada dia pahala kebaikan bagi menggantikan setiap kesalahan yang dilakukannya.”
Orang itu berkata:  “Sesungguhnya masih ada lagi dosa-dosaku yang tidak diperlihatkan.”
Abu Dzar berkata:  “Pada masa itu, aku melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tertawa sehingga ternampak gigi geraham Baginda.”  
(HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Jarir bin `Abdullah berkata yang maksudnya:

“Semenjak aku memeluk Islam, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tidak pernah menghalang aku mengunjungi Baginda.  Apabila melihatku, Baginda selalu tersenyum.”  
(HR al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

`Abdullah bin Mas`ud melaporkan, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya aku mengetahui penghuni neraka yang paling akhir keluar, iaitu seseorang yang keluar dari situ dengan merangkak.  Lalu, dia mendapat perintah, “Pergilah ke Syurga.”  Orang itu pun pergi ke Syurga.  Namun, dia melihat sudah ada orang di rumah-rumah  yang ada di Syurga.  Dia mengadu kepada TUHANnya, “Wahai TUHANku, sudah ada orang di rumah-rumah itu.”

Orang itu ditanya, “Adakah kamu ingat kehidupanmu semasa di dunia?”  Dia menjawab, “Ya.”  Lalu dia diperintahkan kepadanya, “Bayangkanlah (kemahuanmu)!”  Orang itu pun membayangkan keinginannya.  Kemudian, TUHAN berkata kepadanya, “Kamu mendapat apa yang kamu mahukan, bahkan sepuluh kali ganda daripada yang ada di dunia.”  Orang itu membalas, “Wahai TUHANku!  Adakah ENGKAU sedang mempermain-mainkan aku, padahal ENGKAUlah Sang Penguasa?”

`Abdullah bin Mas`ud berkata:  “Ketika itu, aku melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tertawa sehingga terlihat gigi geraham Baginda.”  
(HR al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

Cara Rasulullah Bergurau

Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah berkata kepadanya yang maksudnya:

“Wahai pemilik dua telinga.”  
(HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Rasulullah memanggil Anas begitu kerana Anas merupakan seorang pendengar yang baik.  Ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sedang bergurau dengan Anas.

Anas bin Malik berkata yang maksudnya:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bergaul rapat dengan kami, sehingga Baginda pernah berkata kepada adikku yang masih kecil dengan berkata:  “Wahai Abu `Umair, apakah yang sedang dilakukan oleh nughair (sejenis burung yang berparuh merah?””  
(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

Syarah kepada hadith di atas boleh dibaca di sini, in sya’ ALLAH:

Abu Hurairah berkata yang maksudnya:

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?”  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab, “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.”  
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.

Anas bin Malik berkata yang maksudnya:

Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam supaya dibawa menaiki tunggangan.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata kepada lelaki itu, “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.”  Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?”  Lalu dijawab oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, “Bukankah unta betina yang melahirkan unta yang lain?””  
(HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Anas bin Malik melaporkan yang maksudnya:

Ada seorang lelaki dari kampung yang bernama Zahiran.  Pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan membawa hadiah dari kampungnya.  Apabila beliau pulang, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam memberi pun bekal kepadanya.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata, “Zahiran adalah kampung untuk kita dan kita adalah kota untuknya.”

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sangat suka  kepada Zahiran walaupun beliau tidak mempunyai wajah yang menarik.  Pada suatu hari, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pergi bertemu dengan Zahiran ketika beliau sedang menjalankan perniagaannya.

Tiba-tiba, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam memeluk Zahiran dari belakang. Zahiran tidak dapat melihat siapakah orang yang memeluknya dari belakang itu.  Beliau berkata, “Siapakah ini?  Lepaskanlah aku!”  Beliau lalu menoleh dan mengetahui rupa-rupanya Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang berada di belakangnya.  Tanpa membuang masa, Zahiran merapatkan lagi badannya dengan dada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bagi meraih keberkatan.

Kemudian, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata, “Siapakah yang mahu membeli hamba sahaya ini?”  Zahiran membalas, “Wahai Rasulullah, demi ALLAH, saya ini tidak laku.”  Jawab Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, “Tetapi di sisi ALLAH, kamu bukan tidak laku.”  Atau “Tetapi di sisi ALLAH, kamu sangat berharga.”  
(HR at-Tirmidzi dan Ahmad) – Hadith ini bertaraf sahih.

Hasan al-Basri berkata yang maksudnya:

Seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada ALLAH agar aku dapat masuk ke Syurga.”  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab, “Wahai ibu fulan, Syurga itu tidak dihuni oleh orang tua.”  Mendengar jawapan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, wanita itu pergi dari situ sambil menangis.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam kemudian bersabda, “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke Syurga dengan keadaan usia tua.  Sesungguhnya ALLAH Ta`ala berfirman:  

إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً. فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا. عُرُبًا أَتْرَابًا

(Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya)”  
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.

Semoga dengan meneliti hadith-hadith berikut dapat kita memperbaiki diri kita dalam hal tertawa dan bergurau lalu mencontohi cara insan mulia, Rasulullah sallAllahi `alaihi wasallam lakukannya, in sya’ ALLAH.

ِAllahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.

Sekadar berkongsi,

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML