GAMBAR HIASAN |
Tuhan pun ada menyatakan Rasul itu tidak lain, malah dari kalangan kamu. bermakna dari kalangan manusia yg makan. minum, sakit demam,, cuma nabi s.a.w. lebih daripada manusia biasanya dan ianya dikatagorikan manusia luar biasa kerana dilantik menjadi Rasul dan terpelihara dari dosa.iaitu maksum... Dan mempunyai mujizat2nya. dan dalam mujizat yg nabi s.a.w. perolehi tiada satu pun yg mengatakan nabi s.a.w. tiada bayang, yg adanya, ada sejenis pokok yg membayangi Rasulullah s.a.w. daripada terkena terkena terik matahari. wallahualam.
| Bukti Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam Mempunyai Bayang-Bayang |
Dakwaan mereka yang mengatakan Nabi SAW tidak mempunyai bayang-bayang adalah dakwaan tidak berasas sama sekali, tidaklah mereka yang mendakwa itu mempunyai hujah melainkan palsu dan dusta balaka.
Sebaliknya, telah jelas dari riwayat-riwayat Sahih bahawa Nabi SAW mempunyai bayang-bayang, berikut adalah buktinya:
1) Pengakuan Nabi SAW sendiri
Nabi SAW sendiri mengakui bahawa Baginda mempunyai bayang-bayang, diriwayatkan dari Anas bin Malik, katanya:
بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآَلِهِ وَسَلَّمَ
يُصَلِّي ذَاتَ لَيْلَةٍ صَلاةً ، إِذْ مَدَّ يَدَهُ ، ثُمَّ أَخَّرَهَا ،
فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، رَأَيْنَاكَ صَنَعْتَ فِي هَذِهِ
الصَّلاةِ شَيْئًا ، لَمْ تَكُنْ تَصْنَعُهُ فِيمَا قَبْلَهُ ، قَالَ : "
أَجَلْ ، إِنَّهُ عُرِضَتْ عَلَيَّ الْجَنَّةَ ، فَرَأَيْتُ فِيهَا
دَالَيَةً قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَنَاوَلَ مِنْهَا
شَيْئًا ، فَأُوحِيَ إِلَيَّ أَنِ اسْتَأْخِرْ ، فَاسْتَأْخَرْتُ ،
وَعُرِضَتْ عَلَيَّ النَّارُ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ ، حَتَّى
رَأَيْتُ ظِلِّي وَظِلَّكُمْ فِيهَا ، فَأَوْمَأْتُ إِلَيْكُمْ أَنِ
اسْتَأْخِرُوا ، فَأُوحِيَ إِلَيَّ أَنْ أَقْرِهِمْ ، فَإِنَّكَ أَسْلَمْتَ
وَأَسْلَمُوا ، وَهَاجَرْتَ وَهَاجَرُوا ، وَجَاهَدْتَ وَجَاهَدُوا ،
فَلَمْ أَرَ لَكَ فَضْلا عَلَيْهِمْ إِلا بِالنُّبُوَّةِ ، فَأَوَّلْتُ
ذَلِكَ مَا يَلْقَى أُمَّتِي بَعْدِي مِنَ الْفِتَنِ "
.
Terjemahan:"suatu malam Nabi SAW mengimami kami solat, dan ketika sedang solat Baginda SAW melunjurkan tangan Baginda kemudian Baginda menariknya semula. Maka kami berkata kepada Nabi SAW -selepas solat-: "wahai Rasul Allah! Kami melihat kamu melakukan sesuatu dalam solat yang kami tidak pernah lihat kamu melakukannya sebelum ini", maka Nabi SAW menjawab: "sungguh -semasa solat tadi-, Syurga telah diperlihatkan kepadaku, dan aku melihat dalamnya, buah-buahan yang amat hampir dekat, aku ingin mengambil satu akan tetapi aku diberitahu agar bertahan, maka aku pun bertahan dan tidak mengambilnya, kemudian Neraka diperlihatkan kepadaku, hingga aku nampak bayang-bayangku serta bayang-bayang kamu semua, maka aku berisyarat dengan tanganku untuk kamu semua berundur..."[Hadith Sahih: dikeluarkan Ibn Khuzaimah dalam kitab Sahihnya Mukhtasarul Mukhtasar (2/50), bahkan kata Imam Abu Awanah dalam Ithaf (1063): "هَذَا الْحَدِيثُ يُسَاوِي أَلْفَ حديث - hadith ini menyamai seribu hadith", saya berkata: dan ini adalah isyarat Tashih (pensahihan)]
Sabda Nabi SAW: " حَتَّى رَأَيْتُ ظِلِّي - hingga aku nampak bayang-bayangku" jelas menunjukkan bahawa Baginda SAW mempunyai bayang-bayang, dan ini adalah kata-kata dari bibir Baginda sendiri.
2) Kenyataan dari para isteri Nabi SAW sendiri
Para isteri Nabi SAW sendiri dalam sejumlah hadith menjelaskan mereka melihat jelas bayang-bayang Baginda, antaranya ialah:
1- Dari Zainab
Hal ini dijelaskan oleh 'Aishah, katanya:
أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي سَفَرٍ
لَهُ ، فَاعْتَلَّ بَعِيرٌ لِصَفِيَّةَ ، وَفِي إِبِلِ زَيْنَبَ فَضْلٌ ،
فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "
إِنَّ بَعِيرًا لِصَفِيَّةَ اعْتَلَّ ، فَلَوْ أَعْطَيْتِهَا بَعِيرًا مِنْ
إِبِلِكِ " . فَقَالَتْ : أَنَا أُعْطِي تِلْكَ الْيَهُودِيَّةَ . قَالَ :
فَتَرَكَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَا
الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمَ ، شَهْرَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً ، لَا يَأْتِيهَا ،
قَالَتْ : حَتَّى يَئِسْتُ مِنْهُ وَحَوَّلْتُ سَرِيرِي . قَالَتْ :
فَبَيْنَمَا أَنَا يَوْمًا بِنِصْفِ النَّهَارِ ، إِذَا أَنَا بِظِلِّ
رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُقْبِلٌ .
Terjemahan:"sesungguhnya Nabi SAW pada suatu ketika dalam permusafiran Baginda SAW, unta isteri Baginda iaitu unta Safiyyah jatuh sakit, walaubagaimanapun, isteri Baginda yang lain iaitu Zainab mempunyai unta lebihan. Maka Baginda SAW berkata kepada Zainab: "unta Safiyyah jatuh sakit, sudikah kamu meminjamkan unta lebihan kamu?", maka Zainab menjawab: "perlukah aku beri pinjam kepada si yahudi itu? (Nota: Safiyyah sebelum memeluk Islam, adalah seorang yahudi), mendengarkan jawapan Zainab itu maka Nabi SAW (menjadi sedih dan) meninggalkan Zainab untuk selama 2 atau 3 bulan dan Baginda tidak mahu datang kepada Zainab...- hingga suatu hari - Zainab berkata: "hinggalah satu hari, pada waktu tengah hari, aku dapat melihat kelibat bayang-bayang Rasulullah datang menghampiriku"[Hadith Sahih: dikeluarkan Ahmad (6/132), Syaikh Syu'aib al-Arnaut menDha'ifkan hadith ini, kata al-Arnaut: "إسناده ضعيف لجهاله شميسه - isnadnya Dha'if kerana majhulnya Syameesah", saya berkata: moga Allah memberkati dan mengampuni al-Syaikh Syu'aib, penDha'ifan beliau untuk hadith ini tidaklah tepat, yang zahir bagiku hadith ini Sahih isnadnya, dan Syameesah (disebut juga sebagai Samiyyah) bukanlah majhul, bahkan beliau Thiqah, dinilai Thiqah oleh Imam al-Jihbiz Yahya ibn Ma'in (rujuk: Tarikh Ibn Ma'in, 131/418), bahkan Imam Syu'bah al-Hajjaj meriwayatkan hadith dari Syameesah menunjukkan beliau Thiqah, maklum bahawa Syu'bah al-Hajjaj tidak meriwayatkan melainkan dari mereka yang Thiqah, sekiranya Syameesah benar majhul sekalipun, itu bukanlah alasan kukuh menolak riwayat ini kerana periwayatan majhul diterima dengan beberapa petunjuk antaranya ia jika ia dari wanita dan Syameesah adalah wanita, tiada cacat pada matan, serta tidak menyalahi usul, Allah Maha Mengetahui]
Kenyataan Zainab bahawa dia melihat bayang-bayang Nabi SAW sewaktu Nabi datang kepadanya, adalah jelas menunjukkan Baginda mempunyai bayang-bayang.
2- Dari Safiyyah dalam sebuah hadith yang sangat panjang, disebut:
فلما كان شهر ربيع الاول دخل عليها فرات ظله
Terjemahan:"apabila masuk bulan Rabi' al-Awwal, Baginda SAW datang kepadaku, dan aku nampak bayang-bayang Baginda"[Hadith Sahih: dikeluarkan Ahmad (6/338), Syaikh Syu'aib al-Arnaut menDha'ifkan hadith ini
kerana Syameesah, dan penilaian beliau ini tidaklah tepat sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadith sebelum ini. Bahkan kata al-Haithami selepas mengeluarkan hadith ini : "وفيه سمية روى لها أبو داود وغيره ولم يضعفها أحد وبقية رجاله ثقات - dalam isnadnya terdapat perawi bernama Samiyyah (disebut juga Syameesah), meriwayatkan darinya Abu Daud dan lain-lain, dan tidaklah walau seorangpun mereka menDha'ifkan dia, baki perawi lain adalah Thiqah", saya berkata: bahkan dia dinilai Thiqah oleh Yahya ibn Ma'in, dan Syu'bah meriwayatkan darinya menguatkan lagi petunjuk bahawa dia Thiqah]
Kenyataan Safiyyah, melihat bayang-bayang Nabi SAW sewaktu Nabi datang kepadanya, adalah jelas menunjukkan Baginda mempunyai bayang-bayang.
Konklusi:
Demikianlah antara riwayat Sahih yang membuktikan bahawa Nabi SAW mempunyai bayang-bayang, kenyataan dari para isteri Nabi sendiri, bahkan pengakuan dari Baginda SAW sendiri.
Siapakah yang lebih dekat kepada Nabi SAW melainkan para isteri Baginda sendiri, dan siapakah yang lebih mengetahui akan perihal diri Baginda SAW melainkan diri Baginda sendiri.
Dakwaan bahawa Nabi SAW tidak mempunyai bayang-bayang bukan saja tidak mempunyai hujah serta dalil Sahih, bahkan ia bercanggah dengan riwayat-riwayat yang Sahih lagi jelas.
~ Fathi al-Sakandary / Iskandariah / Mesir ~
No comments:
Post a Comment