Saturday, September 27, 2014

KAHWIN ???? NI JAWAPAN SAYA



Jika berbicara tentang kahwin ini, ramailah teruna, dara, janda mahupun duda yang membulat biji matanya. Yang muda mahu kahwin, yang tua mahu tambah 'cawangan'. Yang tadinya tidur, segera segar apabila topik ini dibincangkan.

Semua orang ingin berkahwin, melengkapkan sebahagian daripada agama, melengkapkan keperluan biologi dan sebagai teman hidup yang mententeramkan jiwa. Dan ada juga yang masih belum terfikir untuk berkahwin kerana komitmen kepada pelajaran, ilmu, pekerjaan dan sebagainya.

Itu tidak menjadi masalah, kerana situasi setiap orang berbeza - beza. Ada yang memerlukan berus gigi di waktu ini kerana mulutnya busuk, ada pula yang memerlukan minyak rambut di waktu yang sama kerana rambutnya kering. Ada pula orang pada waktu ini lapar, dan ada orang pada waktu ini mengantuk.

Tapi sampai pada satu tahap, mereka pasti memerlukan kepada perkahwinan, cuma cepat atau lambat sahaja.

Namun ada juga segelintir yang terlintas dalam fikiran dan hati bahawa mereka tidak mahu berkahwin selama - lamanya dengan alasan perkahwinan itu menyusahkan. Cukuplah jika saya katakan mereka itu golongan yang melampaui batas.

Rasulullah s.a.w sendiri dalam hadith yang sahih melarang kita daripada 'berniat' untuk hidup membujang.

Daripada Anas r.a bahawa sekelompok orang daripada kalangan sahabat Nabi s.a.w bertanya kepada isteri-isteri Nabi s.a.w mengenai amalan beliau yang tersembunyi. Maka sebahagian daripada mereka pun berkata, 

"Saya tidak akan menikah." Kemudian sebahagian lagi berkata, "Aku tidak akan makan daging." Dan sebahagian lain lagi berkata, "Aku tidak akan tidur di atas tilamku." 

Mendengar ucapan-ucapan itu, Nabi s.a.w memuji Allah dan menyanjung-Nya, kemudian beliau bersabda: 

"Ada apa dengan mereka? Mereka berkata begini dan begitu, padahal aku sendiri solat dan juga tidur, berpuasa dan juga berbuka, dan aku juga menikahi wanita. Maka siapa yang saja yang membenci sunnahku, bererti bukan daripada golonganku." 
(Sahih Muslim)

Perasaan sunyi pasti hadir dalam diri seorang manusia yang belum berkahwin. Mustahil siapa yang tiada rasa kesunyian sedangkan Adam a.s pun merasakan kesunyian dan dihadirkan Hawa untuk menjadi isterinya dan menjadi pendamping yang setia di dalam syurga Allah (sebelum diturunkan ke dunia).

Sebenarnya, isu perkahwinan, cerai, zina, berdua-duaan, rogol, sumbang mahram dan buang bayi telah menjadi isu yang sangat kritikal pada zaman ini. 

Sebagai ahli sebuah NGO di Malaysia, kami sentiasa peka dengan perkara seperti ini dan mendapati ia semakin membarah dalam kalangan masyarakat di Malaysia khususnya.

Ingat satu perkara, kita bukan berada di negara barat yang membenarkan seks bebas untuk melempiaskan nafsu mereka, tapi kita berada di negara majoriti Islam yang sangat ketat mengharamkan zina dan lain-lain. 

Penyelesaian yang Islam beri bukanlah seks bebas seperti negara barat, tetapi Islam memberi kita satu solusi yang lebih indah iaitu PERNIKAHAN.



Namun sayangnya, pernikahan kini dipersulitkan. Bukan dipersulitkan oleh musuh Islam, tapi dipersulitkan oleh kita sendiri dan disebabkan itulah kadar jenayah rogol, zina dan pornografi adalah tinggi di negara - negara Islam.

Fuh! Panjangnya pendahuluan. Mari kita masuk ke dalam persoalan - persoalan ringkas pula.

1) Perlukah saya berkahwin?

Ya, perlu. Jangan sesekali mengatakan bahawa anda tidak ingin berkahwin kerana itu ditegah oleh Nabi s.a.w (rujuk hadith di atas). Jika anda tidak terfikir untuk berkahwin buat masa ini, maka ianya adalah normal kerana keperluan dan diri anda masih tidak memerlukan kepada pendamping buat masa ini mungkin kerana sibuk menuntuk ilmu seperti Imam Nawawi yang tidak sempat bernikah kerana terlalu sibuk dengan ilmu. 

Namun saya sarankan supaya anda sudah mula berfikir dari sekarang kerana cabaran semakin berat di luar sana.

Daripada 'Alqamah berkata, ketika aku sedang berjalan bersama 'Abdullah r.a, dia berkata: Kami pernah bersama Nabi s.a.w yang ketika itu Beliau bersabda: 

"Barangsiapa yang sudah mampu (menafkahi keluarga), hendaklah dia kahwin (menikah) kerana menikah itu boleh menundukkan pandangan dan boleh menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak sanggup (menikah) maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu akan menjadi benteng baginya". 
(Sahih Bukhari)

2) Umur berapa saya perlu berkahwin?

Kenapa tanya saya? Tanya diri anda sendiri. Jika anda rasa anda sudah bersedia, maka silakan, jika anda masih ragu-ragu, maka banyakkan memohon petunjuk kepada Allah. Ada orang umur 15 tahun sudah terfikir untuk bernikah, ada orang umur 80 tahun pun masih ingin bernikah. Tidak kisah umur anda berapa, Islam tiada halangan asalkan jangan menghampiri zina (bercouple, bersentuhan dan sebagainya).

3) Saya tiada duit untuk berkahwin

Bangun sekarang! Pergi cari kerja, jangan duduk hisap rokok goyang kaki lepas itu mengadu tiada duit! Guna akal, kerana itu aset paling berharga. Bekerja sendiri lebih baik daripada duduk mengharapkan bantuan.


Darpadai Zubair Al 'Awam r.a daripada Nabi s.a.w bersabda: 

"Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sungguh seorang daripada kalian yang mengambil talinya lalu dia mencari seikat kayu bakar dan dibawa (dipikul) dengan belakang badannya kemudian dia menjualnya lalu Allah mencukupkannya dengan kayu itu lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, baik manusia itu memberinya atau menolaknya". 
(Sahih Bukhari) 

Zaman ini, mustahil kita kata kita tiada duit. Paling teruk pun, kutip tin kosong, dan anda mampu  jual untuk mendapatkan duit. 

Jangan bagi alasan bodoh untuk terus bergelumang dalam dosa 'bercouple' tanpa ikatan sah. Nafkah itu wajib bagi suami, menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan. Kalau tahu diri tiada duit, jangan berlagak macam orang kaya. Cukuplah menunaikan nafkah yang wajib. Yang paling penting ilmu. Baca tafsir ayat dibawah. http://zawaaj.tripod.com/tafsir.htm

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (24:32)

4) Ibubapa saya tidak benarkan saya berkahwin

Banyak kali saya sudah nasihatkan kepada ibubapa zaman ini. Tolonglah didik anak pakcik makcik, ikut zaman mereka, jangan layan mereka seolah - olah mereka hidup di zaman 60-an. 

Lihat sekeliling pakcik, dengan panggung wayang, internet tanpa batas dan dengan batas pergaulan yang semakin dicemari. Rasanya, pakcik sendiri pun tidak akan mampu menahan diri daripada godaan dunia. Sebab itulah, nikahkan anak pakcik. Sekali anak pakcik sudah ber'couple', menonton video lucah, itu tandanya dia sudah terdedah kepada bahaya zina. 

Kalau anak pakcik minta izin untuk bernikah, bersyukurlah kerana mereka ingin memelihara diri daripada godaan dunia. (Anda sendiri tahu bagaimana hebatnya godaan zaman ini)

Buat sahabat - sahabat yang mengalami situasi ini, bersabarlah, inilah ujian Allah untuk menguji. Jangan marahkan ibubapa kerana mungkin mereka tidak mengetahui, muhasabah diri dan ingat, apabila kita ada anak, jangan susahkan anak kita untuk bernikah.

Daripada Jabir r.a bahawasanya, Rasulullah s.a.w pernah melihat seorang wanita, lalu beliau (segera) mendatangi isterinya, iaitu Zainab yang sedang menyamak kulit, untuk melepaskan rasa rindunya. Sesudah itu, beliau pergi menemui para sahabatnya, lalu beliau bersabda: 

"Sesungguhnya wanita itu datang dan pergi bagaikan (seumpama) syaitan. Maka apabila kamu melihat seorang wanita (sehingga membangkitkan syahwat), datangilah isterimu, kerana yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatimu."

(Sahih Muslim, Sunan Tirmidzi, Sunan Abu Daud & Musnad Ahmad - Jalur daripada Sahih Muslim)


5) Isteri saya lebih tua daripada saya

Tidak kisahlah isteri lebih tua daripada anda, jangan kahwin dengan perempuan yang masih isteri orang sudahlah.

6)  Saya sudah terlanjur, apa harus saya lakukan?

Pertama sekali, bertaubatlah, insafi kelemahan diri kita sebagai manusia. Kembalilah kepada Allah kerana kasih sayang Allah itu sangat luas. InsyaAllah dosa kita akan diampunkan jika kita benar - benar bertaubat. Kemudian, elakkan daripada terus melakukan dosa zina itu, berkahwinlah, kerana apabila kita melakukan perkara yang halal, maka pahala untuk kita. Lebih indah perhubungan yang sah daripada terkinja - kinja berpegangan tangan dengan lelaki yang bukan suami kita.

7) Saya takut masyarakat pandang serong jika saya kahwin awal

Manusia, biasalah. Kita korek hidung lubang belah kiri, mereka pasti akan komen, "Kenapa tidak korek belah kanan?". Dan bila kita korek hidung belah kanan, mereka komen, "Kenapa korek belah kanan?". Usah hiraukan pandangan mereka, kerana kita lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Cari redha Allah, jangan cari redha manusia.

8) Apa persediaan paling penting untuk kahwin?

Paling penting adalah persediaan ilmu kita tentang hidup berumah tangga dan munakahat. Kumpul duit sampai sejuta tidak bermakna sekiranya ilmu itu tiada. Ibarat orang yang tunggang langgang sembahyang sampai bengkak kaki, tapi tidak tahu membaca al fatihah.

9) Saya tidak cantik, tiada siapa mahu.

Jika anda rasa anda tidak cantik, memang patutlah tiada orang mahu. Cuba ubah minda itu, bukankah Allah sudah menyebutkan dalam surah At-Tiin bahawa manusia itu adalah sebaik - baik kejadian? Muhasabah diri, insyaAllah esok lusa ada yang datang.

10) Kenapa orang zaman sekarang lebih suka memilih untuk ber'couple' daripada memilih untuk berkahwin.

Kenapa orang memilih membaca komik lebih daripada membaca Quran? Jawapannya kerana dosa itu dijadikan 'indah' pada pandangan kita.

Jadi, tugas kita adalah memahamkan mereka, memudahkan mereka bernikah dan sebagainya. Dan tahniah untuk kerajaan Selangor 2013 yang memberi insentif untuk pasangan berkahwin.

11) Walimatulurus terlampau mahal

Siapa suruh sewa sampai 8 khemah? Siapa suruh beli baju 3 pasang persalinan? Siapa suruh sewa pelamin? Siapa suruh bagi hantaran? Siapa cakap walimatulurus mahal? Anda fahami apa itu walimatulurus, maka anda akan tahu bahawa ia sangat mudah dan tidak membebankan. Cukup dengan memberi makan dan memuliakan tetamu , memalukan kompang dan perkara sunnah yang lain, maka 500 orang tetamu pun boleh dijamu dengan kos tidak sampai RM 3 ribu. Tidak percaya? Percayalah.

12) Suami saya ingin berpoligami

Muhasabah diri, kenapa suami anda ingin berpoligami dan tanamkan dalam minda anda bahawa, jika poligami itu buruk, kenapa Allah menghalalkannya? Ketahuilah, setiap yang berlaku ada sebabnya, maka, carilah sebabnya. Dan jangan menghalang suami untuk berpoligami tanpa sebab yang kukuh dan mengikut emosi, takut - takut kita mengharamkan sesuatu yang halal.

13) Apa ciri calon suami/isteri yang baik?

Carilah mereka yang solat 5 waktu sehari semalam tanpa tinggalkan walau 1 waktu. Itulah calon yang baik. Miskin macam mana pun, rupa macam mana sekalipun, perkara utama adalah, selidikilah solat 5 waktu mereka.

14) Bila berkahwin, tidak boleh 'enjoy'?

Orang mukmin, tidak akan fikir untuk buang masa 'enjoy'. Mereka ada misi, visi dan objektif yang perlu dicapai di dunia dan akhirat kerana bagi mereka, mereka boleh enjoy sepuas - puasnya di syurga kelak. Maka, ubah minda anda.

15) Bila penulis blog ini hendak berkahwin?

InsyaAllah, semoga dipermudahkan urusan dan semoga dipertemukan jodoh yang boleh membawa cinta ini hingga ke syurga Allah. 

Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (25:74) 

Syed Qutb berkata ketika mentafsirkan ayat ini berkata, ini adalah perasaan fitrah keimanan yang mendalam. Perasaan senang (suka) untuk menambah bilangan orang - orang (anak - anak) yang berjalan di jalan Allah. Dan yang pertama adalah keturunan dan pasangan mereka. Kerana mereka adalah orang yang terdekat dengan mereka dan amanah yang pertama akan ditanyakan kepada mereka.

Dan ingat! Mereka yang bernikah semata - mata dengan niat untuk memelihara agama, kehormatan diri dan menjauhkan diri daripada maksiat dan godaan dunia, PASTI akan di tolong Allah. Maka, jangan ragu - ragu, jangan risau soal rezeki, soal penceraian dan lain - lain. Allah pasti bantu mereka yang ikhlas niat kerana Allah! Betulkan niat itu.

Daripada Abu Hurairah r.a  berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Ada tiga orang (golongan) yang berhak (akan) di tolong oleh Allah; orang yang berperang di jalan Allah, seorang budak mukatab yang ingin merdeka dengan melaksanakan kesepakatan bersama tuannya serta seorang lelaki yang bernikah dengan tujuan menjaga kehormatan diri (semata-mata kerana redha Allah)" 
(Dinilai hasan dalam Sunan Ibnu Majah, Sunan Nasai'e dan Musnad Ahmad - Jalur Ibnu Majah)



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML