Saturday, September 27, 2014

CINTA YANG UTAMA

Cinta yang utama!

Dengan Nama Allah, Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Tuhan yang tiada sekutu bagiNya, Pentadbir alam semesta, Pemberi Rezeki kepada hambaNya, Pengampun dosa-dosa kecil dan besar. Selawat dan salam kepada kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat, keluarga baginda, salaffussoleh, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan seluruh muslimin muslimat yang akidahnya mentauhidkan Allah. 

.............................................................................................................................



Sila klik http://www.youtube.com/watch?v=72GhFmbvdsw sambil membaca. Dan dengar semula selepas habis membaca.

Tiba - tiba hari ini, Allah menggerakkan hati saya untuk berbicara tentang HATI

Ya, HATI yang membuatkan para ilmuwan dalam bidang masing - masing termasuk doktor, alim ulama dan ahli falsafah cuba meneka, yang mana satu dimaksudkan sebagai HATI, adakah jantung? paru - paru? liver? 

Tidak kisahlah mana satu yang dimaksudkan, namun ketahuilah HATI itu ada di dalam dada dan bukan di kaki, bukan di tangan bukan di kepala.

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada." (22:46)

Biar di mana sekalipun letaknya di dalam dada kita, bagaimana sekalipun rupanya, tiga segikah, empat segikah, bulatkah...ia sangat penting. 

Penting untuk dijaga dengan baik.

Jika tidak dijaga dengan baik, maka rosaklah keseluruhan anggota yang lain.

Dari An Nu'man bin Basyir r.a dia berkata, saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Ketahuilah, bahawa dalam setiap tubuh manusia terdapat segumpal daging, jika segumpal daging itu baik maka baik pula seluruh badannya, namun jika segumpal daging tersebut rosak (buruk), maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah, gumpalan darah itu adalah hati." 
(Sahih Bukhari dan Muslim)

Berapa banyak kali perkataan 'HATI' diulang - ulang di dalam al Quran dan hadith?

Wahai saudaraku, ketahuilah, hati itu sentiasa berbolak - balik, berubah - ubah, tenang dan gelisah dan bisa jadi ia menyekutukan Allah! Nauzubillahiminzalik!

Seringkali saya mengingatkan diri sendiri, hati ini bisa berubah, usah dibangga - bangga dengan segala kebaikan yang kita lakukan. 

Sedangkan Nabi s.a.w sering berdoa agar ditetapkan hati. Inikan pula hati kita yang solatnya masih tunggang langgang.

Syahr bin Hausyab ia berkata, aku katakan kepada Ummu Salamah r.a : 

"Wahai Ummul mukminin, apakah doa Rasulullah s.a.w yang paling sering (dibacakan), apabila ada denganmu?" 

Ia berkata, doa beliau yang paling sering adalah: 

"YAA MUQALLIBAL QULUUB, TSABBIT QALBII 'ALAA DIINIKA" (Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu). 

Ummu Salamah berkata, wahai Rasulullah, betapa sering anda berdoa: 

"YAA MUQALLIBAL QULUUB, TSABBIT QALBII 'ALAA DIINIKA" 

Beliau berkata: 

"Wahai Ummu Salamah, sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun melainkan hatinya berada diantara dua jari diantara jari-jari Allah, barang siapa yang Allah kehendaki maka Dia akan meluruskannya dan barang siapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya."
(Dinilai sahih dalam sunan Tirmidzi)

Wahai saudaraku, usahlah mengharapkan kepada manusia untuk memahami kegembiraan kita, kesedihan kita, kesunyian kita, ketakutan kita. 

Haraplah pada Allah, tawakal pada Allah, mintalah padaNya, salurkan semua itu dalam doa, nescaya hati kita akan tenang.

"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." (13:28)

Namun, kita perlu bergerak dan mencari, bukannya menunggu hidayah itu datang dengan sendiri. 

Syed Qutb dalam tafsirnya ketika membicarakan ayat ini berkata, "Maka, faktor paling penting ialah mempersiapkan hati untuk menerima petunjuk, usaha untuk mendapatkannya dan pencariannya untuk mendapatkan petunjuk itu. Sedangkan hati yang tidak bergerak itu, maka jauhlah ia daripadanya (hidayah)"



Soal hati ini adalah sungguh subjektif.

Ia sungguh subjektif sehingga ke hari ini kita masih tidak mampu mengenal apa sebenarnya yang diinginkan oleh hati kita ini.

Terkadang begini, terkadang begitu, terkadang kuat, terkadang lemah.

Namun saya tidak ingin menyentuh kepada penyakit hati, ketenangan hati, dan lain - lain.

Saya ingin berbicara tentang cinta hakiki.

Saya suka dengan lagu 'Kerana Cinta', terbuai - buai jugalah perasaan ini sebenarnya. 


Cinta itu cahaya sanubari
Kurniaan tuhan fitrah insani
Dan dimana terciptanya cinta
Di situ rindu bermula

Cinta itu tidak pernah meminta
Tetapi memberi sepenuh rela
Rasa bahagia biarpun sengsara
Berkorban segala-gala

Semua kerana cinta
Yang pahit manis di rasa
Menghibur nestapa merawat luka
Damai di jiwa

Terpadam api benci permusuhan
Terjalinlah kasih sayang
Begitulah cinta yang di idamkan
Tanpa nafsu yang mencemarkan

Dan jangan pula kerana bercinta
Kita pun leka entah ke mana
Dan jangan pula kerana bercinta
Tergadai semua maruah agama

Cinta yang sejati hanya cintakan Illahi
Cinta ayah bonda tulus suci selamanya
Cintakan saudara masa berada hanya sementara
Cinta sesama insan suburkan dengan ketaqwaan.


Cinta itu adalah fitrah. Setiap manusia inginkan perasaan disayangi dan menyayangi.

Seorang ibu sayang pada anaknya, seorang anak murid kasihkan gurunya, hinggakan dikatakan dalam hadith bahawa segla jenis kasih sayang didunia ini hanyalah 1/100 sahaja daripada kasih sayang Allah.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Allah menjadikan rahmat (kasih sayang) seratus bahagian, maka dipeganglah disisi-Nya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkan-Nya satu bahagian ke bumi. Daripada yang satu bahagian inilah seluruh makhluk berkasih sayang sesamanya, sehinggakan seekor kuda mengangkat kakinya kerana takut anaknya akan terpijak olehnya." 
(Sahih Bukhari) 

Lupakah kita pada cinta dan kasih sayang Allah kepada kita?

Daripada 'Umar bin Al Khaththab r.a  bahawasanya dia berkata, Rasulullah s.a.w pernah memperolehi beberapa orang tawanan perang. Tiba-tiba ada seorang perempuan dari padamereka mencari bayinya dalam kelompok tawanan itu, maka ia mengambil dan membuainya serta menyusuinya. Melihatkan hal itu Rasulullah s.a.wbertanya kepada kami: 

"Menurut kalian, apakah perempuan itu sanggup mencampakkan bayinya ke dalam api?" 
Kami menjawab: 

"Demi Allah, sesungguhnya ia tidak akan sanggup mencampakkan anaknya ke dalam api selama ia masih sanggup menghindarkannya dari api tersebut." 
Lalu Rasulullah bersabda: 

"Sungguh, kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya melebihi kasih sayang perempuan itu terhadap anaknya." 
(Sahih Muslim)

Nah! Siapa meragui kasih sayang Pencipta kita kepada kita? 

Dosa sebanyak mana pun, Allah tetap akan mengampuni hambaNya yang sering lupa dan lemah seperti kita ini. Itupun jika kita sempat bertaubat, jika tidak? Oleh itu, jangan sengaja berbuat dosa dengan alasan Allah maha pengampun.

Adakah kita tahu, lebih kurang 1400 tahun dahulu, telah ada manusia yang mencintai kita, merindui kita, lebih awal daripada ibu ayah kita mencintai kita bila kita dikandungkan di dalam perut?  

Siapakah lagi kalau bukan kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w! 

Cinta kepada Rasulullah s.a.w adalah cinta kedua selepas cinta kepada Allah.



Daripada Anas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Saya berharap untuk bertemu dengan saudara saudaraku", 

(Anas bin Malik) berkata: para sahabat Nabi s.a.w bertanya: 

"Bukankah kami adalah saudara-saudara Tuan?" 

Rasulullah s.a.w bersabda : 

"Kalian adalah sahabatku, sedang yang dinamakan saudaraku adalah mereka yang beriman kepadaku walau tidak (pernah) melihatku ". 
(H.R Ahmad - sanadnya mempunyai perawi yang tidak dikenali) 

Untuk membuktikan kita mencintai Allah, maka cintailah dan ikutilah kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w.

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (3:31)

Dalam surah Ali Imran, ayat 31, Imam Ibnu Katsir berkata, " ayat yang mulia ini menghukumi setiap orang yang mengaku mencintai Allah, tetapi dia tidak mengikut jalan hidup yang diajarkan Nabi Muhammad s.a.w. Maka orang seperti itu adalah berdusta, sehinggalah dia mengikuti syariat Nabi s.a.w dan agama yang dibawanya dalam semua perkataan dan perbuatan."

Syed Qutb pula berkata, " sesungguhnya cinta kepada Allah itu bukan hanya pengakuan mulut dan bukan khayalan dan angan - angan. Tetapi ia harus disertai sikap mengikuti Rasulullah s.a.w, melaksanakan petunjuknya dan melaksanakan manhajNya dalam kehidupan. Iman adalah taat kepada Allah dan RasulNya dan melaksanakan peraturan Allah yang dibawa Rasul itu."

Mari menghidupkan sunnah baginda s.a.w. Ikut sedikit demi sedikit.



Maka, siapakah yang harus kita cintai terlebih dahulu? Kepada siapakah harus hati ini diserahkan sepenuhnya?

Daripada Anas bin Malik r.a, ia mengatakan, ketika aku dan Nabi s.a.w keluar dari masjid, kami menemui seseorang di pintu masjid dan ia bertanya: 

"Ya Rasulullah, bilakah hari kiamat tiba?" 

Nabi s.a.w menjawab: 

"Apa yang telah kau persiapkan?" 

Rupanya orang tadi berusaha menenangkan diri lantas mengatakan: 

"Ya Rasulullah, saya tidak mempersiapkannya dengan banyak puasa, banyak solat dan banyak sedekah, hanya aku cinta pada Allah dan rasul-NYA" 

Maka Nabi s.a.w bersabda: 

"Engkau bersama orang yang kau cintai!" 
(Sahih Bukhari & Muslim) 

Mahu ikut Nabi s.a.w atau mahu ikut mereka yang jauh daripada sunnah baginda s.a.w?

Siapa cinta kita selepas Allah dan Rasul?

Cintailah dahulu Allah dan KekasihNya, maka kita akan tahu siapa yang perlu dicintai selepas itu. 

Usah melangkau terlampau jauh dengan mencintai diri kita sendiri, ibubapa, kekasih dan melupakan Pemilik cinta kita yang sebenarnya. Jika itu yang berlaku, tidak sempurna iman kita.

Daripada Abdullah bin Hisyam r.a berkata, kami pernah bersama Nabi s.a.w yang saat itu beliau memimpin tangan Umar bin Khattab, kemudian Umar berkata: 

"Ya Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai dari segala-galanya selain diriku sendiri." 

Nabi s.a.w bersabda: 

"Tidak, demi Dzat yang jiwa berada di Tangan-Nya, hingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri."  

Maka Umar berkata: 

"Sekarang demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri."  

Maka Nabi s.a.w bersabda: 

"Sekarang (baru benar) wahai Umar." 

(Sahih Bukhari)

Daripada Anas bib Malik r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Tidaklah salah seorang dari kalian beriman hingga aku lebih dia cintai daripada anaknya, orang tuanya dan manusia semuanya." 
(Sahih Muslim)

Cintailah Allah dan RasulNya terlebih dahulu!

Ayuh mencuba!




No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML