SOLAT : TERAPI PENYEMBUHAN SEMULAJADI
Banyak
cabaran nak pastikan amalan solat kita dalam keadaan 'tip-top',
antaranya solat di awal waktu. Ini sebagai motivasi untuk kita lebih
bersungguh mematuhi waktu yang disusun oleh Allah Yang Maha Mengetahui
apa yang baik buat hambaNya.
Setiap peralihan waktu solat
sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan
dicerap melalui perubahan warna alam. Rasanya fenomena perubahan warna
alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi
mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.
SUBUH
Sebagai
contoh, pada waktu subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda
yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem
metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai
rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.
Mereka
yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara
berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi
dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap
oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum
(keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada
tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat
diawal waktu. Bermulanya saja azan subuh, tenaga alam pada waktu itu
berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh
melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang
terlewat subuhnya sebenarnya sudah
mendapat tenaga yang tidak optimum lagi..
ZUHUR
Warna
alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan
kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zuhur. Spektrum warna
pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan
dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang
berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau
terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi
masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit
perut ceria tak ?
ASAR
Kemudian warna alam akan
berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum
warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari
dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah
kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya
kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh
seseorang ini terpisah (tidur la tu ...). Dan jangan lupa, tenaga pada
waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
MAGHRIB
Menjelang
waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap
dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini
kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis
(infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini
amat
bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam
perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat
Maghrib dulu la ...) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada
waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau
warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
ISYAK
Apabila
masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki
fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan
kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.
Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam
kegelisahan.
Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan
sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini
dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam
kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna
putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan
frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh
sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini
dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas
perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah
sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya
bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan
sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem
tubuh.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur
kerana telah dikurniakan syariat solat oleh Allah s.w..t tanpa perlu
kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.. Hakikat ini
seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas
hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana
Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang
sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi
amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya....
Semoga
dengan sedikit perkongsian ini kita semua akan lebih BERSYUKUR kerana
kita dilahirkan sebagai hambaNya dan sebagai ummat Islam..sesungguhnya
kekuasaanNya tiada tolak bandingan
No comments:
Post a Comment