Memang sifat manusia.
Bila jumpa orang yang baik, kita rasa tidak setara dengannya. Maka, rasa rendah diri itu mulai wujud secara spontan. Misalnya, bila berjumpa rakan yang lebih alim dan tinggi ilmunya, kita respek dan hormatinya serta rasa tidak layak langsung andai ada yang cuba membeza-bezakan antara dia dan diri kita.
Begitu juga andai jumpa calon yang baik. Baik agamanya. Baik pekertinya. Siapa tak suka? Suka tu memang suka. Tapi bila disuluh ke arah diri sendiri,
"Ya Allah, tidak layaknya aku untuk dirinya."
Lantaran kurangnya pahala dan banyaknya dosa.
Lantaran kurangnya ilmu dan banyaknya maksiat.
Lantaran teruknya akhlak dan jarangnya baiki diri.
Saya teringat rasa tidak layak ini juga selalu dirasakan penghuni neraka. Apabila telah selesai dihukum di dalam api neraka dan habislah segala dosanya dimamah api yang menjulang selama berjuta atau berpuluh juta tahun lamanya, penghuni neraka ini juga merasakan tidak layak untuk masuk ke Syurga. Namun, tidak juga mahu kekal selama-lamanya di dalam neraka. Sebagaimana direkod dalam sebuah hadis:
Dari Abdullah bin Mas'ud katanya:
"Bersabda Rasulullah s.a.w.
"Saya mengetahui orang yangterakhir keluar dari neraka dan terakhir pula masuk syurga; iaitu seorang lelaki keluar dari api neraka sambil merangkak."
Berkata Allah Taala kepadanya :
"Pergilah engkau masuk syurga!"
Orang itu pun segera berjalan. Sesampai di sana, dilihatnya seolah-olah syurga telah penuh sesak, orang itu lalu kembali kepada Allah dan berkata,
"Ya Allah! hamba dapati syurga itu telah penuh sesak,"
Berkata Allah Taala kepadanya,
"Pergilah masuk!"
Orang itu kembali lagi dan dilihatnya masih dalam keadaan penuh, kerana itu ia kembali pula mengadap Allah menceritakan keadaannya seperti semula. Demikianlah orang itu pulang pergi berkali-kali antara syurga dan hadrat Allah Taala. Akhirnya berkata Allah kepadanya :
"Masuklah engkau ke dalam syurga ini! Untukmu seluas dunia dan ditambah sepuluh kali seluas dunia."
Maka orang itu berkata,
"Apakah Tuhanku mengejek hamba? Sedang Tuhanku Raja."
Kata Abdullah:
"Saya lihat Rasulullah S.A.W. tertawa sehingga nampak gerahamnya seraya berkata : "Orang itulah yang dikatakan penghuni syurga yang terendah darjatnya".(Hadis Sahih riwayat Muslim)
**
Siapa yang tak ingin hidup bersama orang-orang yang baik?
Siapa yang tak inginkan Syurga?
Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah Ta’ala berfirman,
"Syurga itu disediakan bagi orang-orang soleh, kenikmatan di dalamnya tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pula pernah terlintas dalam hati. Maka bacalah jika kalian menghendaki firman Allah Ta’ala (yang ertinya),
"Tak seorang pun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.”(QS. As Sajdah [32] :17) (HR. Bukhari & Muslim)
Tunggu apa lagi. Ubahlah dirimu ke arah lebih soleh. Tidak kiralah sama ada dengan bertemankan orang yang baik atau tidak. Jika berteman dengan orang yang baik, insya-Allah dipermudahkan kerana orang itu mungkin boleh menegur andai tersilap, memberi motivasi dan dorongan andai patah semangat, memberi kasih sayang dan cinta di saat hati mulai rasa tawar untuk berubah. Dengan bertemankan orang yang baik, akhirnya jalan ke arah mardhatillah (keredaan Allah) itu lebih smooth.
Berjemaah lebih baik dari berseorangan. Berdua lebih baik dari berseorangan.
Sambut saja huluran kasihnya.
Hiduplah dengan lebih bererti.
Lakukan semuanya kerana Allah.
Tidak salah beri peluang pada diri sendiri. Tidak salah pentingkan diri sendiri. Allah berikan nikmat dan hak bahagia kepada diri masing-masing. Bersyukurlah pada Allah. Sabarlah hadapi semuanya dengan tabah dan tenang sepanjang proses perubahan.
Hidup di dunia ini terlalu singkat.
Pilihlah yang menuntun dirimu di akhirat.
No comments:
Post a Comment