Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.
Alhamdulillah pagi ini berkesempatan mendengar kuliyah Ustaz Nouman Ali Khan seperti di bawah. Saya dapati kebanyakan isi kuliyah beliau ada persamaannya dengan Kuliyah Ustaz Kariman pada sebahagiannya dan ada juga perspektif yang berbeza. Bagi kuliyah di bawah ini saya dapati ada persamaan pendapat tentang pintu Syurga dan pintu Neraka.
Lama dulu pernah dengar ceramah oleh ustaz Kariman tentang keberkatan Bulan Ramadhan dan saya pernah menulis di blog ini. Dalam mukaddimahnya ustaz huraikan hadis yang popular iaitu hadis sahih Abu Hurairah:
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Nabi bersabda : “Apabila tiba bulan Ramdahan dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu”..
Ustaz berkata sepintas lalu kita boleh bertanya apakah bila Ramadhan belum tiba pintu-pintu syurga tidak dibuka? Dan neraka tidak ditutup manakala syaitan bebas. Cuba fikir katanya; terbuka pintu syurga dan tertutup pintu neraka dalam hadis ini berlawanan dengan ayat al-Quran dalam Surah Az-Zumar ayat 71 menunjukkan bahawa pintu neraka sentiasa ditutup apabila calun ahli neraka sampai ke pintu neraka barulah pintu itu dibuka. Dalam ayat 73 pula dinyatakan pintu syurga sentiasa terbuka. Syurga sentiasa terbuka dan pintu neraka sentiasa ditutup walaupun dunia belum kiamat. Ini bermakna sekarang dan dulu lagi perkara ini berlaku.
“Dan orang-orang kafir akan dihalau ke Neraka Jahanam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini? Mereka menjawab: Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir”. (Az-Zumar [39] : 71)
Maksud ayat ini ialah pintu neraka sentiasa tertutup, apabila ahli-ahli neraka yang digiring ke neraka sampai barulah pintu neraka dibuka. Dan ayat di bawah pula menyatakan bahawa pintu syurga telah sedia terbuka dan penjaga pintu syurga mengalu-alukan ketibaan ahli-ahli syurga.
“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk)”. (Az-Zumar [39] : 73)
Kata ustaz lagi Hadis yang diakui sahih ini nampak seperti berlawanan dengan ayat-ayat al-Quran jadi sudah tentu ada sesuatu yang Nabi nak beritahu kita. Syaitan dibelenggu, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka apabila Ramadhan tiba. Ini bermakna syaitan tak berdaya / tak ada kemampuan lagi / lemah untuk menyesatkan manusia apabila tiba bulan Ramadhan.
Kenapa? Sebab semua amalan manusia (umat Islam) pada bulan Ramadhan mengarah ke syurga, iaitu bulan ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Ramai yang bersolat terawih, beriktikaf, bertadarus, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini mendapat ganjaran berlipat ganda dengan kemurahan Allah SWT; bukan kerana bulan Ramadhan itu musuh syaitan. Selain itu kata ustaz lagi bukan syaitan lemah kerana bulan Ramadhan tetapi kerana amalan ikhlas umat Islam. Jikalau kita berpuasa kita tak beritahu orang, tak ada siapa yang tahu. Ini berbeza dengan amalan lain seperti solat, zakat, haji bersedekah. Jadi puasa ini adalah amalan ikhlas. Syaitan dan Iblis tidak akan dapat menyesatkan hamba Allah yang ikhlas seperti yang dinyatakan oleh Allah swt dalam surah al-Hijr ayat 39 hingga 42.
“Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas Allah berfirman: Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). (al-Hijr [15] : 39 - 42)
Ustaz Nouman Ali Khan juga bercakap tentang pintu syurga. Dengarlah kerana pendapatnya juga sama dengan apa yang diberitahu oleh Ustaz Kariman cuma Ustaz Nouman tak kaitkan dengan hadis.
Allah berkehendakkan semua manusia memasuki Syurga sebab itulah Allah membaeritahu bahawa pintu Syurga sentiasa terbuka dan nanti dialu-alukan masuk ke dalamnya. Manakala ahli Neraka dihalau, diasak/ditolak ke dalamnya selepas pintu dibuka. Betapa Allah tidak mahu kita masuk Neraka dan dengan sebab itu pintu Neraka sentiasa tertutup. Sungguh indah kalamullah.
Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka;
(Penjaga neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir dan penderhaka itu): " Ini ialah serombongan (orang-orang kamu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu ". (Ketua-ketua itu berkata): " Mereka tidak perlu dialu-alukan, kerana sesungguhnya mereka pun akan menderita bakaran neraka ".
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment