Wednesday, March 12, 2014

KENAPA RAMAI YANG MEMILIH NERAKA

Kenapakah Ramai Yang Memilh Neraka?



Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita tanya kepada sesiapa saja manusia di dunia ini bila sudah meninggal dunia kemanakah dia hendak pergi?
Ia akan jawab mereka ingin masuk ke Syurga. Kemudian apabila kita tanya lagi soalan kedua adakah dia sudah membuat persiapan untuk memasuki Syurga? Maka kita akan bertemu dengan banyak jawapan. Ada mengatakan masih muda lagi nanti kalau sudah  tua baru hendak bertaubat dan membuat amal ibadah, ada jawapan mengatakan belum cukup persediaan dan mungkin ada yang tidak menjawabnya kerana sedang seronok dengan kehidupan di dunia dan tidak mahu fikirkan lagi bab kematian.

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya ; "Semua umatku akan masuk ke dalam Syurga, melainkan orang yang enggan.
Sahabat merasa hairan lalau bertanya : "Ya Rasulullah ! Siapa yang tidak suka masuk Syurga?
Maka Rasulullah s.a.w menjawab : "Sesiapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk Syurga dan sesiapa yang menyalahi ajaranku (sunnah) maka orang itulah yang tidak mahu masuk Syurga."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas marilah sama-sama kita renungkan di manakan nasib kesudahan kita nanti? Adakah kita akan di masukkan ke dalam Syurga atau di campakkan ke dalam Neraka?

Di dalam kehidupan dunia yang penuh tipu daya ini, apakah yang ingin kita cari sebenarnya? Adakah kekayaan, kemewahan, kesenangan yang kita kecapi menjamin untuk kita masuk ke dalam Syurga? Ataupun semua ini menjadi sebagai perangkap kepada kita untuk di campakkan ke dalam Neraka? Tetapi kenapalah ramai manusia memilih untuk dijadikan bahan bakar api Neraka?
Persoalannya adakah kita percaya kepada hari akhirat yang pasti akan berlaku? Sejauh manakah keimanan kita semua beriman kepada Allah s.w.t.

Cuba kita semua bayangkan betapa dahsyatnya seksaan yang paling ringan di Neraka dengan bahang bara api diletakkan dibawah tapak kaki pun sudah boleh mendidihkan otak yang ada di atas kepala, apatah lagi kalau seksaan yang lebih berat. Rasanya tidak ada seorang pun yang mampu berdiri di atas bara api yang panas sehingga boleh menggelegakkan otak yang ada di kepala. Kalau kita tersentuh sedikit sahaja api di dunia ini pun kita sudah menjerit kepanasan dan kita tidak mampu menahannya walaupun masa seminit, cuba bayangkan betapa pedihnya seksaan api Neraka yang berterusan tanpa henti-henti.

Oleh itu marilah kita meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t., perbanyakkan bertaubat dan beristighfar memohon keampunan kepada Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t. menerima semua amalan yang kita kerjakan.

Sahabat yang dihormati,
Di ceritakan bagaimana suasana yang mengerikan pada hari kiamat nanti, seorang demi seorang manusia akan dihadapkan kepada Allah s.w.t. di "Mahkamah Qadhi Rabbun Jalil". Tidak ada seorang jua pun yang sanggup menolong orang lain, walaupun dia ada sahabat karibnya sewaktu di dunia dahulu, ataupun anak dan isterinya. Pada masa itu tiada lagi pembantu peribadi dan tiada lagi peguam bela.Kalau di dunia mungkin boleh mencari peguam yang terbaik untuk membela nasib tuduhan terhadapnya tetapi tidak pada hari tersebut. Manusia pada ketika itu ada yang tidak berpakaian tetapi mereka tidak sempat untuk memikirkan malu atau tidak kerana masing-masing takut dengan bakal hukuman yang akan di jatuhkan oleh Allah s.w.t. terhadap perbuatannya ketika di dunia.

Selain itu, apabila membicarakan tentang berapakah dalamnya jurang api Neraka? Rasanya tidak mampu kita menghitung berapakah dalamnya jurang api Neraka yang di tempuh oleh perjalanan kepantasan batu besar yang jatuh dalam masa 70 tahun lamanya. Apa yang lebih mengerikan lagi ialah apabila jurang yang teramat dalam ini dipenuhi dengan bermacam-macam bentuk seksaan dan apabila sampai saatnya nanti pintu Neraka itu akan di tutup serapat-rapatnya. Maka pada ketika itu, tidak ada seorang pun di antara penghuninya yang dibenarkan keluar daripadanya. Seksaan demi seksaan, habis satu jenis seksaan masuk pula pada jenis seksaan yang lain dan begitulah seterusnya. Alangkah malangnya bagi mereka yang mendapat seksaan tersebut.

Walau bagaimanapun , ada tujuh golongan yang akan dinaungi Allah s.w.t. di bawah Arasy Allah s.w.t. yang mulia di hari akhirat nanti..Mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan bertuah ini seperti hadis Nabi s.a.w di bawah :

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:” Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. 1. Pemimpin yand adil. 2. Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah s.w.t. 3.  Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid. 4. Dua  lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah s.w.t. 5. Lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan 'Aku takutkan Allah' . 6. Seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya. dan 7. Seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah s.w.t.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat,
Manusia yang jauh daripada rahmat Allah akan mengalami sakit jiwa. Jiwanya tidak tenang dan sukar untuk  menerima  kebenaran dan sentiasa sibuk dengan kesenangan hidup di dunia yang melekakan. Hatinya dibaluti dengan cinta harta, cinta tahta dan cinta wanita yang semakin menebal di dalam sanubarinya. Mereka tetap memilih jalan ke Neraka dan merasa bangga dan terus berkubang dengan lumpur kekafiran dan hanyut bergelumang dengan lautan maksiat yang akhirnya mereka akan di bawa oleh arus seterusnya menghantarkannya mereka ke pintu api Neraka. Na'uzubillahiminzalik.

Oleh itu marilah sama-sama kita berdo'a kepada Allah s.w.t. agar kita dikurniakan 'husnul khatimah" (penutup yang baik) iaitu mati dalam keadaan beriman kepada Allah s.w.t dan dapat mengucapkan kalimah "Laa illaha illalah" di akhir hayatnya. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari Neraka Jahannam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahannam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.

Kita juga memohon perlindung dengan Allah s.w.t daripada "Suul khatimah" (penutup yang buruk) atau mati dalam keadaan berlumuran dengan dosa dan kesalahan.

Muhasabahlah diri kita sekarang ini kerana sesudah kita bertemu Allah s.w.t nanti tidak ada gunanya penyesalan pada masa itu. Pintu taubat masih terbuka dan Allah s.w.t sentiasa bersedia menerima taubat dan permohonan keampunan daripada hamba-hamba-Nya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML