Jauhilah Syirik Kepada Allah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dosa yang paling besar disisi Allah SWT. adalah syirik kepada-Nya. Syirik terbahagi dua iaitu syirik besar (akbar) dan syirik kecil (tersembunyi). Allah SWT. tidak akan ampunkan dosa mereka yang mati dalam keadaan syirik kepada-Nya.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'aam ayat 82)
Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rsulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab, "Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar petuah Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).
Sahabat yang dihormati,
Pertama : Syirik besar (akbar) adalah menyekutukan Allah dengan yang lain.
Misalnya dalam agama Kristian ada tuhan anak, tuhan emak dan tuhan bapak. Semua agama penyembah berhala, yang menjadikan patung-patung berhala sebagai perantaraan dengan Allah SWT. dan menganggap dewa-dewa mempunyai kuasa seperti Tuhan. Mempercayai dan meyakini bahawa jin-jin dan syaitan mempunyai kuasa yang boleh mudaratkan manusia dan meminta pertolongan kepadanya. Termasuk syirik besar (akbar) juga meyakini undang-undang ciptaan manusia lebih baik dan lebih adil daripada undang-undang ciptaan Allah SWT.
Kedua : Syirik kecil (yang tersembunyi)
Syirik kecil adalah syirik yang berlaku disebabkan perasaan riyak iaitu membuat sesuatu ibadah untuk mendapat pujian manusia bukan di laksanakan kerana Allah SWT.
Rasulullah SAW. keluar menemui sahabat-sahabatnya ketika mereka sedang berbincang tentang Masih Dajjal, maka baginda bersabda, "Maukah kalian saya memberi tahu yang lebih saya takutkan dari Al-Masih Dajjal?" Mereka menjawab, "Ya". Maka baginda menjawab, "Iaitu syirik yang tersembunyi." Mereka bertanya, "Apakah syirik tersembunyi itu?". Baginda menjawab,"Seseorang berdiri untuk solat dan memperbagus solatnya ketika dilihat oleh orang lain." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Didalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Yang paling saya takutkan terhadap umatku adalah syirik kecil (ashghar)".
Para sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu hai Rasulullah?"
Maka, baginda menjawab, "Riyak. Allah SWT berfirman kepada mereka pada hari kiamat ketika semua manusia telah diberikan semua balasannya, 'Pergilah kepada orang-orang yang kalian beramal di dunia kerananya, dan lihatlah apakah kalian akan mandapatkan balasan dari mereka?" (Hadis Riwayat Ahmad)
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu kita hendaklah jauhilah semua jenis syirik, samaada syirik besar atau pun syirik kecil. Hanya hati-hati yang beriman, bertakwa dan ikhlas sahaja akan dapat menghindari dirinya daripada syirik kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment