Tuesday, January 7, 2014

SYAITAN MUSUH UTAMA ORANG BERIMAN

Orang Mukmin Sentiasa Berwaspada Terhadap Hasutan Dan Godaan Syaitan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Siapakah musuh kita yang paling utama? Musuh utama kita adalah apa yang dikatakan musuh oleh Allah SWT .

Firman Allah SWT maksudnya : “Bukankah Aku telah memerintahkan kamu wahai anak cucu Adam iaitu agar kamu jangan menyembah (mengikuti godaan dan rayuan) syaitan, sesungguhnya dia bagi kamu adalah musuh yang nyata. Dan hendaklah kamu hanya menyembah (patuh) padaKu. Inilah yang lurus”. (Surah Yasin ayat 60-61)

Berdasarkan ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa iblis dan syaitan adalah musuh kita yang paling utama sekali. Dia enggan sujud menghormati datok kita Adam. Sikapnya yang sombong itu akhirnya mendapat kemurkaan Allah SWT. Allah SWT mengutuk Iblis. Dan Iblis tahu bahawa yang menjadi sebab utama dia dikutuk adalah kerana Adam a.s. Iblis dendam kepada Adam a.s lalu dia memohon kepada Allah SWT agar Dia mengizinkannya untuk menggoda Adam dan anak cucunya. Permohon Iblis itu dikabulkan oleh Allah SWT. Dan semua kita tahu bahawa Adam dan Hawa dikeluarkan oleh Allah SWT dari syurga adalah kerana tipu daya Iblis (laknatullah ‘alayhi). Iblis terus bekerja keras untuk memesongkan anak cucu Adam dari jalan Allah yang lurus. 

Allah SWT memanggil manusia dalam ayat ini dengan istilah: “Wahai anak cucu Adam”, bukan dengan istilah “wahai manusia”. Ini memberi isyarat agar kita hendaknya selalu ingat tentang peristiwa pahit yang pernah menimpa datok kita Adam dan Hawa, yang kerana tipu syaitanlah mereka akhirnya dikeluarkan dari syurga.

Allah SWT menyuruh kita agar menyembah-Nya iaitu dengan mematuhi suruhanNya dan menjauhi laranganNya.

Di dalam solat kita di wajibkan membaca surah al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari semalam. Di dalam surah al-Fatihah terdapat doa kepada Allah SWT pada ayat ke enam berbunyi :

  اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Maksudnya : "Tunjukilah kami jalan yang lurus."

Jalan yang lurus bermaksud jalan kebenaran, jalan Islam dan jalan yang diredai oleh Allah SWT bukannya jalan sesat dan menyesatkan iaitu jalan iblis dan syaitan.

Firman Allah SWT maksudnya : “Segala kebenaran adalah dari Tuhanmu, oleh sebab itu janganlah kamu ragu-ragu lagi”. (Surah al-Baqarah ayat 147)

Allah SWT perintah setiap muslim  untuk mengerjakan solat, puasa, menutup aurat, ihsan kepada ibu bapa dan menerima hukum-hukum-Nya semua peraturan ini   datang daripada Allah SWT, maka itu semua adalah Al-Hak atau kebenaran. Oleh sebab itu syaitan akan berusaha agar kita jangan melakukan perintah –perintah itu. Begitu juga dengan larangan jangan berzina, homosex, onani, merogol, berjudi, minum arak, berkata bohong. Semuanya datang daripada Allah SWT. Oleh sebab itu bisikan yang mendorong kita agar melakukan dosa-dosa itu adalah datangnya dari syaitan.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT menjelaskan kepada kita bahwa syaitan ada dua jenis iaitu syaitan dari jenis jin dan syaitan dari jenis jenis manusia. Lihat firman Allah dalam surah Al-an’aam 112 (yang bermaksud):

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu ada musuh, iaitu syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia”.

Pertama : Untuk kita menjauhi syaitan dikalangan jin :

Terdapat empat pintu utama yang ditunggu-tunggu oleh jin dan syaitan untuk merasuki manusia. Empat pintu itu ialah:
Terlalu marah
Terlalu gembira/ seronok/ leka
Terlalu dukacita
Terlalu syahwat
Selain itu, syaitan mudah menghasut manusia apabila ia dalam keadaan kenyang, terlalu sayangkan harta dunia, melakukan sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa, terdetik di dalam hati perasaan hasad dengki dan lain-lain lagi.

Sebenarnya banyak lagi pintu masuknya syaitan jika dikaji secara terperinci. Untuk itu, adalah lebih baik untuk sentiasa membentengi diri dengan zikrullah (mengingati Allah) setiap masa dan jauhilah sifat-sifat tercela.

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang diajarkan Nabi SAW boleh kita amalkan :

1. Banyakkan membaca doa perlindungan kepada Allah SWT . Membaca doa perlindungan daripada Allah SWT seperti terdapat di dalam al-Quran surah al-Mukminun ayat 97-98.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah :'Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan, dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, agar mereka tidak mendekatiku'."

Baca doa perlindungan : Auzubillahi minas syaitannir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syitan yang direjam)

2. Baca "bismillahirahmanirrahim" setiap perbuatan yang hendah dilakukan.

3. Banyakkan berzikir dan berdoa , seperti doa-doa yang di ajarkan oleh Nabi SAW. (doa makan, doa masuk tandas, doa sebelum berjimak, doa naik kenderaan, doa keluar rumah dan lain-lain lagi)

4. Banyakkan bersedekah dengan ikhlas.

5. Banyakkan bertaubat kepada Allah SWT.

6. Banyak membaca al-Quran. (terutama ayat Kursi,  surah al-Baqarah dan Surah Ali-Imran)

7. Sentiasa berwuduk.

8. Banyakkan solat malam.

9. Sentiasa memberi salam , ketika masuk kerumah atau ketika berjumpa saudara muslim yang lain.

10. Amalkan membaca zikir al-Mathurat Kubra waktu pagi dan petang. 

Kedua : Untuk kita jauhkan syaitan dikalangan manusia.

1. Perlu berhati-hati mencari kawan kerana kawan yang jahat akan mendorong untuk melakukan maksiat dan dosa.

Allah juga memerintahkan agar selalu bersama dengan orang-orang yang baik. Allah SWT berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar(jujur)." (Surah At- Taubah ayat 119).

Dalam ayat di atas Allah SWT memerintahkan orang yang beriman supaya bersama-sama (berkawan) dengan orang-orang yang benar (jujur) .

Oleh sebab itu kita mestilah hati-hati kalau mencari kawan. Bahwa sesungguhnya kawan-kawan yang suka mengajak kita melakukan maksiat, sebenarnya mereka adalah syaitan dari jenis manusia. Atau dengan kata lain mereka telah ditonggangi olih syaitan jin untuk memesongkan kita dari jalan yang lurus.

2. Jangan mengambil orang kafir, zalim dan fasik sebagai pemimpin.

Hakikat sebenarnya pemimpin di kalangan orang kafir, zalim dan fasik adalah terdiri daripada syaitan yang berbentuk manusia. Pemimpin seperti ini banyak mendorong kita kepada maksiat dan dosa, berusaha untuk menghalang untuk menegakkan kebenaran Islam di dalam masyarakat. Mereka benci kepada alim ulama dan sentiasa menentang hukum hudud dan banyak memberi alasan untuk merelisasikan Islam dalam kehidupan.

Firman Allah SWT.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim."(Surah al-Maidah ayat 51)

Ulama menyatakan bahawa bukan setakat dilarang kita mengambil orang kafir sebagai pemimpin tetapi orang zalim dan fasik juga dilarang kita mengambilnya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama jauhi diri kita daripada godaan dan hasutan syaitan dikalangan jin dan juga hasutan syaitan dikalangan manusia. Kedua-duanya boleh membawa kita kepada kemurkaan Allah SWT dan menjauhkan kita daripada syurga-Nya di akhirat nanti.






No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML