Monday, December 23, 2013

Tanda-tanda Hati Yang Hidup


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidupkanlah hati ini dengan sentiasa mengingati Allah SWT, bersihkan hati dengan zikirullah, muraqabah setiap saat dan ketika dan ketika di malam yang gelap gelita munajatlah kepada yang Maha Esa, mohonlah keampunan di atas dosa-dosa yang di lakukan, insya Allah hati akan menjadi lembut dan terbina kekuatan yang luar biasa, iaitu kekuatan perhubungan dengan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)

Hati perlu di bentuk supaya sihat dan mulia dengan Islam.Hati yang rabbani adalah hati yang setiap ketika dan saatnya berhubung dengan Allah SWT  dan mematuhi segala titah perintahNya.

 Di antara tanda-tanda hati yang hidup :

1.Sentiasa mengingati dan berzikir kepada Allah SWT.

2.Kuat berpegang pada ajaran Islam.

3.Menjauhi larangan Allah SWT dan meninggalkan perkara yang sia-sia.

4.Bersih dari hasad dengki, cepat marah dan menipu.

5.Reda dengan sistem hidup Islam.

Fauzan bin 'Ayat(ahli sufi) pernah berkata "Apabila iblis berjaya mencapai salah satu dari tiga perkara berikut dari anak Adam maka iblis tidak akan tuntut lain-lain perkara dari anak Adam .

Tiga perkara tersebut adalah seperti berikut :

1.Terpedaya dengan diri sendiri.

2.Merasai amalan-amalannya melebihi kerja-kerja orang lain.

3.Terlupa dengan dosa-dosa sendiri"

Al- Sauri pernah menasihati anak muridnya "Sekiranya kamu tidak mahu sifat ujub berada pada dirimu maka janganlah kamu suka pada pujian orang. Jika kamu mahu pada pujian-pujian mereka dan ingin orang memandang kerja-kerjamu dengan martabat yang tinggi, maka itu adalah ujub"

Al-Fadhil bin Iyadz  berkata "Meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia, riak namanya. Dan membuat sesuatu amalan kerana manusia, syirik hukumnya. Dan dinamakan ikhlas itu ialah Allah SWT menyelamatkan engkau dari kedua-duanya."

Nabi Isa a.s pernah berkata maksudnya " Berapa banyak api lampu-lampu yang dipadamkan oleh angin ribut, tetapi berapa banyak lagi ibadat yang telah dipadamkan oleh angin ujub. Segala amalan soleh mendapat cahaya (nur) daripada Allah SWT tetapi ia akan menjadi gelap sekiranya ribut ujub melanda api itu, walaupun dengan satu tiupan"

Sahabat ya ng dimuliakan,
Memohon keteguhan iman adalah antara doa yang paling banyak di panjatkan Nabi SAW  dalam munajat-munajat baginda. Iman kita ada kalanya naik dan ada kalanya turun. Adalah amat malang jika permulaan hidup berada dalam takwa, tetapi di akhirnya mati dalam "su' ul khatimah", maka nerakalah tempat kembalinya.

Maksud hadis sahih riwayat al-Bukhari, Nabi SAW bersabda maksudnya "Sesungguhnya amalan kamu di nilai pada bahagian akhirnya" mafhum dari hadis ini bermaksud jika diakhirnya baik, maka syurgalah tempatnya, demikian sebaliknya jika buruk, nerakalah tempatnya.

Oleh itu Nabi SAW  mengajar kita sentiasa berdoa : "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Mu iman yang tidak akan lepas (murtad), nikmat yang tak akan habis dan menyertai Nabi Muhammad SAW di syurga yang paling tinggi selama-lamanya" (Hadis riwayat Ibn Hibban)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML