Wednesday, December 31, 2014

YA ALLAH, JANGAN JADIKAN KAMI ORANG YANG ZALIM DAN MENZALIMI

Salam mawaddah sahabat2ku sekalian.

moga sentiasa di bawah lindunganNya,amiiin.

Syukur,Allah telah menggerakkan hati ana untuk menulis lagi di petang yang berbahagia ini.ana nak kongsikan sikit..sedikit buah fikiran ana,ilham daripada Yang Esa..alhamdulillah.

firman Allah s.w.t dalam surah An-Nahl:85 yang bermaksud,


"dan apabila orang zalim telah menyaksikan azab,maka mereka tidak mendapat keringanan dan tidak(pula) diberi penangguhan."

melalui keterbatasan akal ana ini,definisi zalim ialah lawan kepada adil.jika dulu ustaz/ah selalu menyebut bahawa..adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya.maka yang dikatakan zalim pula ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.zalim juga bilamana tidak melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan.


ya..kita senang sekali mengatakan bahawa sekoloni penjajah itu adalah zalim kerana terlihat jelas bagaimana mereka menguasai dan merampas hak2 penduduk peribumi tanah yang dijajah..kita juga senang sekali mengatakan bahawa seorang pembunuh itu adalah zalim kerana mengambil nyawa mereka yang tidak bersalah sesuka hatinya..kita juga senang sekali mengatakan bahawa seorang pemerintah itu zalim bilamana dia menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menindas rakyat yang diperintahnya..kita juga mungkin senang sekali mengatakan bahawa seorang ayah atau ibu itu adalah zalim kerana telah mendera dan mengabaikan anak2 yang menjadi amanah buat mereka..kita juga barangkali senang mengatakan bahawa seorang suami itu zalim bilamana dia tidak memberi nafkah yang sempurna kepada isteri yang menjadi amanah buatnya..kita juga barangkali senang mengatakan bahawa seorang anak itu zalim apabila dia tidak menjaga kebajikan kedua ibu bapanya saat mereka telah tua atau uzur..

namun..siapa yang peduli untuk mengatakan bahawa melakukan perkara kejahatan dan maksiat itu adalah suatu kezaliman?siapa peduli bahawa tidak solat di awal waktu dan membuka aurat itu juga zalim?siapa pula peduli tidak belajar bersungguh itu juga zalim?siapa peduli memungkiri janji itu juga zalim?dan banyak lagi kezaliman yang telah dilakukan tanpa sedar.

Oohh..mengapa aku tega menzalimi diriku..sahabat2,kita tega menzalimi diri tanpa sedar.kecil atau besar bukan ukurannya,yang zalim tetap dikira zalim.Allah telah berfirman bahawa setiap jiwa pasti menemui titik akhirnya dan manusia akan diberi ganjaran setimpal dengan perbuatannya..

jalan keluarnya adalah kembali ke landasan yang benar..bertaubat selagi ada kesempatan.jangan ambil mudah perkara yang nampak mudah dan perkukuhkan asas2 islam dalam diri kita.

duhai diri..ingatlah dunia ini ibaratnya tempat menumpang teduh dalam perjalanan menuju ke kampung akhirat yang abadi.

Ya Allah..jangan jadikan daku orang yang zalim.

wallahu'alam.
Read More

BENARKAH TIDAK SAMPAI PAHALA BACAAN AL-QURAN KEPADA ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA??

Benarkah Tidak Sampai Pahala Bacaan Al-Quran Kepada Orang Yang Meninggal Dunia.?

Telah dinukilkan oleh Imam Ibnu Katsir di dalam kitab tafsirnya, Tafsir Al-Qur’an Al-Azhim, tentang pendapat Imam Al-Syafi’i berkenaan dengan tidak sampai pahala bacaan Al-Qur’an kepada si mati. Nukilan ini seterusnya menjadi sesuatu yang masyhur dari kalangan para ulama mazhab Syafi’i.

Kelihatan pendapat Imam Al-Syafi’i yang dinukilkan itu sempat mencetuskan kontroversi yang berpanjangan. Senario ini mengundang persoalan sama ada membaca Al-Qur’an di perkuburan lalu menyampaikan pahala bacaan tadi kepada si mati termasuk sesuatu yang bid’ah atau sunnah.

Ibnu Katsir telah berkata di dalam kitab Tafsir Al-Qur’an Al-Azhim:

{ وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى } أي: كما لا يحمل عليه وزر غيره، كذلك لا يحصل من الأجر إلا ما كسب هو لنفسه. ومن وهذه الآية الكريمة استنبط الشافعي، رحمه الله، ومن اتبعه أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى؛ لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم؛ ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه، ولا أرشدهم إليه بنص ولا إيماء، ولم ينقل ذلك عن أحد من الصحابة، رضي الله عنهم، ولو كان خيرا لسبقونا إليه، وباب القربات يقتصر فيه على النصوص، ولا يتصرف فيه بأنواع الأقيسة والآراء، فأما الدعاء والصدقة فذاك مجمع على وصولهما، ومنصوص من الشارع عليهما. وأما الحديث الذي رواه مسلم في صحيحه، عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاث: من ولد صالح يدعو له، أو صدقة جارية من بعده، أو علم ينتفع به"

Sebagaimana dosa seseorang tidak boleh dipikulkan oleh orang lain, demikian pulalah pahala, seseorang tidak akan memperoleh pahala melainkan daripada usahanya sendiri. Dan menerusi ayat tersebut Imam Al-Syafi’i rhm berkesimpulan bahawa pahala bacaan (Al-Qur’an) tidak sampai atau diserahkan kepada orang yang telah mati, kerana itu bukan amalan atau hasil usahanya. Oleh itu, Rasulullah SAW tidak menganjurkan hal tersebut kepada umatnya dan tidak menggalakkan mereka untuk melakukannya, dan tidak pula memberikan petunjuk kepada mereka sama ada daripada nas atau isyarat. Demikian juga tidak pernah diriwayatkan bahawa para sahabat melakukan hal yang demikian. Kalau perbuatan tersebut merupakan kebaikan pasti mereka telah mendahului dalam melakukannya. 

Oleh kerana perbuatan mendekatkan diri kepada Allah (termasuk membaca Al-Qur’an kepada si mati) mesti didasari oleh nas-nas agama, bukan dengan analogi dan fikiran (pendapat) orang. Adapun untuk doa dan sedekah ulama sepakat bahawa keduanya boleh sampai kepada si mati, di samping ada nas syarak mendasari hal tersebut. Dan hadis tentang itu diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahihnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah amalnya, melainkan tiga perkara iaitu anak soleh yang mendoakannya, sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat.” (Hadis Riwaya Muslim)

Para ulama telah menganalisis pendapat Imam Al-Syafi’i yang telah dinukil oleh Imam Ibnu Katsir ini. Lalu, mereka memberikan pelbagai macam komentar. 

ANALISA PERTAMA: ANALISIS TERHADAP SURAH AN-NAJM AYAT 39

وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى

Maksudnya, 
“Dan sesungguhnya seseorang tidak akan memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” 
(Surah an-Najm ayat 39)

Sebenarnya ayat ini mempunyai pelbagai tafsiran oleh para ulama. Berikut antara komentar ulama tentang ayat tersebut:

1. Ayat ini telah dimansukhkan oleh Surah At-Thur ayat 21. Demikian pendapat Ibnu Abbas yang direkodkan oleh Imam Jalaluddin Al-Suyuti di dalam kitab tafsirnya, Al-Durr Al-Mantsur.

2. Ayat ini telah dikhususkan.

3. Ayat ini bercerita tentang syariat umat terdahulu.

4. Ayat ini dikhususkan kepada orang kafir, bukan orang mukmin.

5. Ayat ini dikhususkan kepada orang yang hidup (insan), bukan yang telah mati.

Setelah Sheikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah cuba menyebutkan pendapat para ulama lain di dalam kitabnya Al-Ruh tentang penafsiran ayat ini lalu beliau melemahkan semua pendapat yang telah disenaraikan. Ini kerana beliau mempunyai pendapat tersendiri yang amat rapat dengan pendapat Imam Al-Syafi’i dan gurunya Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Menurut Sheikh Ibnul Qayyim, surah an-Najm ayat 39 itu menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan memberikan balasan pahala melainkan dengan amal dan usahanya sendiri. Sekaligus membuktikan keadilan Allah SWT.

Sungguhpun begitu, Sheikh Ibnul Qoyyim berpendapat bahawa boleh menghadiahkan pahala kepada si mati. Ini akan diberitahu nanti.

ANALISA KEDUA: ANALISIS PENDAPAT IMAM AL-SYAFI’I 

“Sebagaimana dosa seseorang tidak boleh dipikulkan oleh orang lain, demikian pulalah pahala, seseorang tidak akan memperoleh pahala melainkan daripada usahanya sendiri. Dan menerusi ayat tersebut Imam Al-Syafi’i rhm berkesimpulan bahawa pahala bacaan (Al-Qur’an) tidak sampai atau diserahkan kepada orang yang telah mati, kerana itu bukan amalan atau hasil usahanya.”

Sheikh Ibnul Qoyyim telahpun memberikan jawapan tentang hal ini di dalam kitabnya Al-Ruh. Demikianlah kata-kata dan pendapatnya:

فأخبر تعالى أنه لا يملك إلا سعيه

“Allah SWT memberitahu bahawa seseorang itu tiada memiliki sesuatu kecuali dari hasil usahanya sendiri.”

Kemudian Sheikh Ibnul Qoyyim melanjutkan pembicaraannya:

وأما سعى غيره فهو ملك لساعيه فإن شاء أن يبذله لغيره وإن شاء أن يبقيه لنفسه وهو سبحانه لم يقل لا ينتفع إلا بما سعى وكان شيخنا يختار هذه الطريقة ويرجحها.

“Adapun usaha orang lain, maka itu hak orang yang mengerjakannya. Jika dia suka hendak memberikannya kepada orang lain terserah kepadanya sendiri, kalau tidak maka hak itu adalah kepunyaannya sendiri yang disimpannya untuk dirinya sendiri. Allah Ta'ala tiada mengatakan tidak boleh dimanfaatkan kecuali apa yang diusahakannya semata. Dan tuan guru kami yakni Ibnu Taimiyah, telah memilih cara ini dan memberatkannya (menguatkannya).”

Lihatlah jawapan Ibnul Qoyyim ini! Bukankah ianya benar? Cubalah anda memahami dengan baik akan surah an-Najm ayat 39 dengan pendapat Imam Al-Syafi’i dan disertai penjelasan Imam Ibnul Qoyyim. Anda dapat lihat bahawa kata-kata Imam Al-Syafi’i tadi “…
tidak sampai atau diserahkan kepada orang yang telah mati, kerana itu bukan amalan atau hasil usahanya.” 

Telah dijawab oleh Ibnul Qoyyim bahawa memang itu bukan usaha orang yang telah mati, sebab itu tidak sampai. Tetapi, pahala bacaan al-Qur’an tadi kepunyaan pembuat amal yang masih hidup, dan pembuat amal berhak untuk memberikan pahala tersebut kepada orang yang telah mati.

Adakah secara mutlak bacaan al-Quran tidak sampai pahalanya jika di sedekahkan kepada arwah di alam barzakh? Terdapat beberapa pendapat pahala bacaan al-Qur’an boleh sampai kepada orang yang telah mati padahal al-Qur’an menyebutkan bahawa seseorang tidak akan memperoleh melainkan atas usahanya sendiri? 

Berikut ini adalah huraiannya:

“Kita kena faham bahawa ayat Al-Qur’an merupakan sesuatu yang benar dan menunjukkan sesuatu yang PASTI. Memang merupakan sesuatu yang PASTI bahawa kita akan mendapat kebaikan atas usaha atau amalan kita sendiri. Adapun hadiah pahala daripada orang lain adalah bentuk yang TIDAK PASTI, dan kita tidak tahu sama ada orang lain akan memberikan pahalanya kepada kita ataupun tidak. Kita tidak tahu, mungkin sahaja setelah kematian kita nanti, kita menyangka ada orang ingin hadiahkan pahalanya kepada kita padahal realitinya belum tentu dan ianya merupakan BENTUK YANG TIDAK PASTI. Jadi, adakah kita perlu mengharapkan sesuatu yang BELUM PASTI? Maka, oleh sebab itu kita perlu memperbanyakkan amal sendiri dan tidak bergantung atau terlalu mengharapkan belas kasihan orang lain. Ini kerana apabila kita sendiri beramal, maka kita memperoleh sesuatu balasan amal yang PASTI. Nah, oleh sebab itu Al-Qur’an hanya menyebutkan sesuatu yang PASTI. Supaya kita memperbanyakkan amal sendiri ketika hidup di dunia ini. Sungguhpun begitu, jika memang ada orang lain menghadiahkan pahalanya kepada kita, maka kita akan memperoleh hadiah pahala itu. Wallahu a’lam bis shawab”.

ANALISA KETIGA

“Oleh itu, Rasulullah SAW tidak menganjurkan hal tersebut kepada umatnya dan tidak menggalakkan mereka untuk melakukannya, dan tidak pula memberikan petunjuk kepada mereka sama ada daripada nas atau isyarat.”

Maksud pernyataan di atas ialah Rasulullah SAW tidak menganjurkan membaca al-Qur’an kepada orang yang telah mati. Dan tiada dalil yang menunjukkan bahawa dianjurkan membaca Al-Qur’an kepada orang yang telah mati.

Para ulama telah berusaha menjawab tentang hal ini dengan dalil-dalil yang baik. Namun, dalil ini telah mendapat kritikan daripada sebahagian pihak, tetapi disokong oleh sebahagian pihak yang lain. Maka, dalam hal ini sikap berlapang dada patut diutamakan.

وَعَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس ).

Maksudnya, "Daripada Ma’qil bin Yasar bahawasanya Nabi SAW bersabda: Bacakanlah ke atas orang yang telah meninggal dunia surah Yasin!"
(Hadis Riwayat Abu Daud dan lain-lain)

Hadis ini telah dinilai Daif oleh Imam Ad-Daruqutni. Namun, Imam Abu Daud tidak menilainya Daif. Dan ianya telah dinilai Sahih oleh Imam Ibnu Hibban. Berkata sebahagian ulama bahawa hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan membaca Surah Yasin kepada orang yang sedang nazak, bukan kepada orang yang telah mati.

Tentang masalah itu telah dijawab oleh Dr. Abd Malik Abd Rahman As-Sa’di di dalam kitabnya, Al-Bid’ah fi al-Mafhum Al-Islami Al-Daqiq:

“Lafaz mayyit disebut secara hakikat ke atas seorang yang telah keluar rohnya daripada jasad. Dan digunakan secara majaz ke atas orang yang sedang nazak. Ini bererti dia masih lagi hidup dan bukannya telah mati. Kalau dilihat di dalam Kaedah Usuliyyah, diharuskan menggunakan satu lafaz secara hakikat atau majaz, maka tidaklah menjadi tegahan sekiranya digunakan mawtakum ke atas seorang yang sedang nazak dan seorang yang telah mati dengan sebenarnya, kerana pahala bacaan tetap sampai kepadanya dan dia merasa senang sebagaimana seorang yang nazak merasa senang terhadap bacaan surah tersebut.

Mereka menafsirkannya kepada makna majaz semata-mata kerana mengkiaskannya dengan hadis Rasulullah SAW yang lain:

"Ajarkanlah orang-orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan kalimah La ilaha illallah." 

Yang dimaksudkan dengan mawtakum di sini ialah mereka yang hampir mati, bukannya seorang yang benar-benar telah mati. Dijawab ke atas hujah di atas: Perkataan yang bererti: Ajarkanlah(لقنوا) , sudah cukup menjadi bukti yang mengubahnya daripada hakikat ke majaz, kerana apabila diminta ‘Ajarkan’ supaya seorang yang hampir mati itu dapat mengucapkannya sebelum rohnya keluar, bukan selepas keluar roh.

Lebih-lebih lagi terdapat sebuah hadis lain yang menyatakan maksudnya
"Sesiapa yang perkataannya di dunia diakhiri dengan kalimah La ilaha illallah, nescaya akan masuk syurga". 

Di atas dasar ini tidak ada faedah diajarkannya selepas keluar roh atau selepas kematiannya. Manakala hadis Yasin menggunakan lafaz yang bererti: Bacakanlah ( اقْرَءُوا) ia! Perkataan ini sesuai untuk seorang yang hampir mati dan seorang yang telah mati, kerana kedua-duanya merasa senang dengan surah tersebut, di samping pahalanya tetap sampai sekiranya dia telah mati. Inilah yang diperkatakan oleh Al-Muhib At-Tabari dan lain-lain.”

Sebenarnya terdapat hadis lain yang menyokong hadis tadi iaitu:

لِمَا رَوَى أَنَسٌ مَرْفُوعًا قَالَ: مَنْ دَخَلَ الْمَقَابِرَ فَقَرَأَ فِيهَا يس خُفِّفَ عَنْهُمْ يَوْمَئِذٍ وَكَانَ لَهُ بِعَدَدِهِمْ حَسَنَاتٌ

Maksudnya,
"Daripada Anas r.a. secara marfu’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca surah Yasin, nescaya diringankan azab daripada mereka (ahli kubur) pada hari tersebut dan diberikan kebaikan yang banyak mengikut bilangan ahli kubur kepada si pembaca tadi. 
(Diriwayatkan oleh Sohibul Khilal dengan sanad beliau, telah disebutkan demikian itu oleh Ibnu Qudamah dalam al-Mughni juga disebutkan oleh pengarang kitab Tuhfatul Al-Ahwazi. Menurut Dr. Ali Jum'ah dengan hadis inilah Imam Hanbali berhujah).

Hadis lain:


عَنْ عَلِيٍّ مَرْفُوعًا { مَنْ مَرَّ عَلَى الْمَقَابِرِ وَقَرَأَ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ إحْدَى عَشْرَةَ مَرَّةً ، ثُمَّ وَهَبَ أَجْرَهُ لِلْأَمْوَاتِ ؛ أُعْطِي مِنْ الْأَجْرِ بِعَدَدِ الْأَمْوَاتِ }

Maksudnya,
"Daripada Ali RA secara marfu’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang melalui kawasan perkuburan, kemudian ia membaca Surah al-Ikhlas 11 kali dengan niat menghadiahkan pahalanya kepada para penghuni kubur, ia sendiri akan memperoleh sebanyak yang diperoleh semua penghuni kubur itu.
(Diriwayatkan oleh Ar-Rafi’i dan As-Samarqandi. Juga disebutkan di dalam kitab Tazkirah al-Qurtubi)

Hadis lain:

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : { مَنْ دَخَلَ الْمَقَابِرَ ثُمَّ قَرَأَ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ ، وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ، وَأَلْهَاكُمْ التَّكَاثُرُ ، ثُمَّ قَالَ : إنِّي جَعَلْتُ ثَوَابَ مَا قَرَأْتُ مِنْ كَلَامِكَ لِأَهْلِ الْمَقَابِرِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ؛ كَانُوا شُفَعَاءَ لَهُ إلَى اللَّهِ تَعَالَى }

Maksudnya,
"Daripada Abu Hurairah RA berkata: Bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang memasuki kawasan perkuburan kemudian ia membaca Al-Fatihah, Al-Ikhlas dan At-Takatsur, lalu berdoa: Ya Allah, ku hadiahkan pahala bacaan firman-Mu ini kepada ahli kubur yang terdiri dari kalangan Mukminin dan Mukminat. Maka mereka akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat. (Mathalib Syarh Ghoyatul Muntaha)

Berkata Sheikh AlHamid AlHusaini:
“Hadis-hadis tersebut di atas dijadikan dalil yang kuat oleh para ulama”

Pertanyaannya:

“Mungkinkah Imam Al-Syafi’i belum sempat bertemu dengan hadis-hadis ini?” Wallahu a'lam, Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Ayuh, kita lanjutkan kepada analisis seterusnya!

ANALISA KEMPAT 

“Demikian juga tidak pernah diriwayatkan bahawa para sahabat melakukan hal yang demikian. Kalau perbuatan tersebut merupakan kebaikan pasti mereka telah mendahului dalam melakukannya.”

Sebenarnya pernyataan ini telah dijawab oleh para ulama dengan bersandarkan pada kisah dan dalil. Ikuti kisah ini:

“Al-Khallal berkata: Telah dikhabarkan kepadaku oleh Hasan bin Ahmad Al-Warraq:

Telah diceritakan kepadaku oleh Ali bin Musa Al-Haddad dan dia seorang yang sangat jujur. Dia berkata:

Pernah aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah al-Jauhari menghadiri pengebumian jenazah. Tatkala mayat itu telah dimakamkan, seorang lelaki yang kurus duduk di samping kubur sambil membaca Al-Qur’an. Melihat kejadian itu Imam Ahmad bin Hanbal berkata kepadanya:

Hai, sesungguhnya membaca Al-Qur’an di samping kubur itu bid’ah!. Maka ketika kami keluar dari kawasan perkuburan berkatalah Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal:
Wahai Abu Abdillah, bagaimana pendapatmu tentang Mubassyar al-Halabi?
Imam Ahmad menjawab:
Beliau seorang yang Tsiqah (Dipercayai).
Apakah engkau ada meriwayatkan sesuatu daripadanya?
Muhammad bin Qudamah berkata:
Ya, telah dikhabarkan kepadaku oleh Mubassyar dari Abdurrahman bin Ala’ bin Al-Lajlaj dari bapanya bahawa dia berwasiat apabila telah dikuburkan nanti supaya dibacakan di sisi kepalanya permulaan pada surah al-Baqarah dan pada pengakhirannya dan dia berkata:
Aku telah mendengar Ibnu Umar berwasiat dengan yang demikian itu. Mendengar riwayat tersebut Imam Ahmad berkata:
Kembalilah dan katakan kepada lelaki itu agar meneruskan pembacaannya tadi.”

Lihat! Imam Ahmad yang pernah berguru dengan Imam Al-Syafi’i sudah mengetahui bahawa pembacaan Al-Qur’an di perkuburan adalah Bid’ah. Lalu, beliau mengubah pendapatnya itu setelah mendengar hadis berkenaan wasiat Ibnu Umar r.a. tadi.

Ramai yang bertanya tentang taraf hadis wasiat Ibnu Umar r.a. itu sama ada Sahih atau Daif? Jawapannya ialah Sanadnya Hasan seperti yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Al-Adzkar.

وروينا في سنن البيهقي بإسناد حسن أن ابن عمر استحبَّ أن يقرأ على القبر بعد الدفن أوّل سورة البقرة وخاتمتها

Maksudnya, "Diriwayatkan di dalam Sunan Al-Baihaqi denagn sanad Hasan bahawa Ibnu Umar menyukai agar dibaca di atas perkuburan sesudah pengebumian permulaan pada surah Al-Baqarah dan pada pengakhirannya.


ANALISA KELIMA

“Oleh kerana perbuatan mendekatkan diri kepada Allah (termasuk membaca Al-Qur’an kepada si mati) mesti didasari oleh nas-nas agama, bukan dengan analogi dan fikiran (pendapat) orang.”

Tentang hal ini telah dikemukakan banyak dalil yang ada di atas. Dalil-dalil itu kebanyakannya tidak dinilai Daif dan sebaliknya dijadikan hujah oleh para ulama bahawa boleh sampainya pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati. 

ANALISIS KEENAM

“Adapun untuk doa dan sedekah ulama sepakat bahawa keduanya boleh sampai kepada si mati, di samping ada nas syarak mendasari hal tersebut. Dan hadis tentang itu diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahihnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah amalnya, melainkan tiga perkara iaitu anak soleh yang mendoakannya, sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat.”

Para ulama telah memberikan komentar terhadap pernyataan sebegini. Dan komentar yang diberikan oleh para ulama terlalu banyak.

Sering kita mendengar bahawa setiap kali kematian ahli keluarga, teman kita di ruangan Facebook memohon belas ihsan supaya kita sudi menghadiahkan surah al-Fatihah kepada si mati. Persoalannya sekarang ialah sama ada hukumnya boleh ataupun tidak? Takkan anda masih berpendirian bahawa ianya tidak boleh? Padahal, para ulama bersetuju sampai tidak diketahui siapa yang tidak bersetuju bahawa nama lain bagi surah al-Fatihah ialah Al-Doa (Doa). Maka, sudah tentu boleh menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah kepada si mati.

Lalu, bagaimana dengan surah atau ayat yang lainnya? Adakah tidak akan sampai kepada si mati kerana bukan Al-Doa? Hal ini memerlukan perincian yang lebih luas.

Imam An-Nawawi berkata di dalam kitabnya Al-Adzkar:


أجمع العلماء على أن الدعاء للأموات ينفعهم ويَصلُهم ( في " ج " : " ويصل ثوابُه " ) . واحتجّوا بقول اللّه تعالى : { وَالَّذِينَ جاؤوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنا اغْفِرْ لَنا ولإِخْوَانِنا الَّذين سَبَقُونا بالإِيمَانِ } [ الحشر : 10 ] وغير ذلك من الآيات المشهورة بمعناها وفي الأحاديث المشهورة كقوله صلى اللّه عليه وسلم : " اللَّهُمَّ اغْفِرْ لأهْلِ بَقِيعِ الغَرْقَدِ " (رواه مسلم) وكقوله صلى اللّه عليه وسلم : " اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنا وَمَيِّتِنَا " ( أبو داود وغير ذلك). واختلف العلماء في وصول ثواب قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعي وجماعة أنه لا يَصل . وذهب أحمدُ بن حنبل وجماعةٌ من العلماء وجماعة من أصحاب الشافعي إلى أنه يَصل والاختيار أن يقولَ القارىءُ بعد فراغه : " اللهمّ أوصلْ ثوابَ ما قرأته إلى فلان واللّه أعلم . ويُستحبّ الثناء على الميت وذكر محاسنه.

Maksudnya, "Telah ijmak (sepakat) ulama bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka ianya berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr ayat 10: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami…” Juga ada diriwayatkan daripada hadis yang masyhur, bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi ahli Baqi’ al-Gharqad.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim). 

Doa Rasulullah SAW yang lain: “Ya Allah, ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kami…” Hadis riwayat Abu Daud dan lainnya. 

Imam An-Nawawi melanjutkan: Tentang bacaan al-Qur;an, terdapat perbezaan pandangan. Apa yang masyhur daripada mazhab Syafi’I bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Akan tetapi sekumpulan sahabat Imam Al-Syafi’i sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya orang yang membaca al-Qur’an selepas selesai membacanya hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada Fulan…” dan juga disunatkan memuji dan menyebut kebaikannya.

Demikian ulasan Imam An-Nawawi tentang cara yang baik bagi menyampaikan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati adalah dengan berdoa.

Imam Al-Qurtubi pula berpendapat akan keharusan menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati kerana membaca Al-Qur’an termasuk dalam Sedekah. Dan sedekah memang akan sampai kepada si mati.


عَنْ أَبِى ذَرٍّ عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ « يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى ».

Maksudnya, "Daripada Abu Dzar daripada Nabi SAW bahawa baginda telah bersabda: Setiap pagi ada kewajipan bersedekah untuk setiap ruas. Maka setiap ucapan Tasbih adalah sedekah. Setiap ucapan Tahmid adalah sedekah. Setiap ucapan Tahlil adalah sedekah. Dan setiap ucapan Takbir adalah sedekah. Menganjurkan kebaikan adalah sedekah. Mencegah kemungkaran adalah sedekah. Dan memadai dari itu semua solat dua rakaat sunat Dhuha." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis Sahih ini telah dijadikan dalil oleh Imam Al-Qurtubi bahawa pembacaan al-Qur’an termasuk kategori sedekah. Dan sedekah memang telah disepakati tanpa ada perbezaan pendapat bahawa sampainya pahala itu kepada si mati. Namun, saya secara peribadi berpendapat bahawa hadis yang berikut ini lebih patut dijadikan dalil. Hadis berikut ini adalah Hadis Sahih Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم « كُلُّ سُلاَمَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ ، يَعْدِلُ بَيْنَ الاِثْنَيْنِ صَدَقَةٌ ، وَيُعِينُ الرَّجُلَ عَلَى دَابَّتِهِ ، فَيَحْمِلُ عَلَيْهَا ، أَوْ يَرْفَعُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ ، وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ ، وَكُلُّ خَطْوَةٍ يَخْطُوهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقَةٌ ، وَيُمِيطُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ »

Maksudnya,
"Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap ruas tulang tubuh manusia berkewajipan atasnya sedekah. Setiap hari matahari terbit, lalu engkau mengadili manusia yang bertengkar adalah sedekah. Engkau membantu seseorang naik ke atas binatangnya ataupun mengangkat baginya barang-barangnya ke atasnya adalah sedekah. Perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah yang engkau hayunkan untuk pergi menunaikan solat adalah sedekah. Dan engkau menghilangkan bahaya dari jalanan adalah sedekah.
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ

Ertinya:
“Perkataan yang baik atau kalam yang baik adalah sedekah.”

Muslim manakah yang enggan mengakui bahawa kalamullah (Al-Qur’an) adalah kalimah atau kalam yang baik? Benar. Semua mengakui bahawa kalamullah merupakah kalam yang baik. Maka sekaligus ianya termasuk sedekah. Dan sedekah boleh sampai kepada si mati.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

أحسن الكلام كلام الله

Ertinya:
“Sebaik-baik kalam (perkataan) ialah kalamullah.”
(Hadis Riwayat Al-Nasa'i)

Oleh yang demikian, jelas sudah kepada kita bahawa pendapat yang muktamad ialah sampainya pahala bacaan Al-Qur’an kepada si mati. Ini sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab Al-Bujairimi Minhaj:


( قَوْلُهُ : أَنَّهُ لَا يَصِلُ ثَوَابُهَا ) ضَعِيفٌ وَقَوْلُهُ : وَقَالَ بَعْضُ أَصْحَابِنَا يَصِلُ مُعْتَمَدٌ .

“Perkataan: Sesungguhnya tidak sampai pahala bacaan adalah Daif sedang perkataan: Dan sebahagian Ashab Syafi’i mengatakan sampai adalah MUKTAMAD.”


وَيَصِلُ ثَوَابُ الْقِرَاءَةِ إذَا وُجِدَ وَاحِدٌ مِنْ ثَلَاثَةِ أُمُورٍ ؛ الْقِرَاءَةِ عِنْدَ قَبْرِهِ وَالدُّعَاءِ لَهُ عَقِبَهَا وَنِيَّتِهِ حُصُولَ الثَّوَابِ لَهُ

Berkata Syeikh Muhammad Ar-Ramli:


1. Pembacaan dilakukan di sisi kuburnya.
2. Berdoa untuk mayat sesudah membaca Al-Qur’an yakni memohon agar pahalanya disampaikan kepadanya.
3. Meniatkan sampainya pahala bacaan itu kepadanya.”
“Sampai pahala bacaan jika terdapat salah satu dari tiga perkara iaitu: 
(Hasyiatul Jamal)

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

_________________________________________________

Sumber Rujukan:

1. Tafsir Al-Qur'an Al-Azhim. Imam Ibnu Katsir.
2. Tafsir Ad-Durr Al-Mantsur. Imam Al-Suyuti.
3. Al-Ruh. Sheikh Ibnul Qoyyim.
4. Al-Bayanul Qowim Litashih Ba'dhil Mafahim. Dr. Ali Jum'ah.
5. Al-Bid'ah fi Al-Mafhum Al-Islami Al-Daqiq. Dr. Abd Malik Abd Rahman As-Sa'di.
6. Al-Arba'in Al-Nawawiyyah. Imam An-Nawawi.
7. Al-Itqan fi Ulum al-Qur'an. Imam Al-Suyuti.
8. Tazkirah Al-Qurtubi. Imam Al-Qurtubi.
9. Mu'jizatul Qur'an. Imam Mutawalli Al-Sya'rawi.
10. Riyadh Al-Solihin. Imam An-Nawawi.
11. Argumentasi Ulama Syafi'iyyah. Ustaz Hj. Mujiburrahman.
12. Al-Fiqh Al-Manhaji 'Ala Mazhab Al-Syafi'i. Mustafa Al-Bugho, Mustafa Al-Khen, Ali Al-Syarbaji.
13. Hasyiatul Jamal.
14. Bujairimi ala al-Minhaj.
15. Al-Muktamad. Muhammad Az-Zuhaili.
16. Al-Umm. Al-Syafi'i.
17. Al-Mughni. Ibnu Qudamah al-Maqdisi. 
18. Liku-liku Bid'ah dan Masalah Khilafiyyah. AlHamid AlHusaini.
Read More

Tuesday, December 30, 2014

HIKMAH DI SEBALIK SAMBUTAN MAULIDUR RASUL




Maulidur Rasul berasal dari perkataan Arab (kelahiran Rasul) di mana ia merupakan hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim) bertarikh 12 RABIUL AWAL TAHUN GAJAH bersamaan dengan 23 APRIL 571 MASIHI. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala (S.W.T). Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulidur Rasul atau Maulid Harta.

Kini sambutan Maulidur Rasul telah memasuki tahun 1436 HIJRAH pada 3 JANUARI 2015 MASIHI. Lazimnya pada setiap tahun umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (S.A.W), kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.

Tokoh dan Teladan Agung Sepanjang Zaman



Apabila ditanya siapakah yang disifatkan sebagai tokoh agung yang berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia, rata-rata akan memberi jawapan yang bersifat pelbagai berdasarkan kriteria-kriteria yang telah mereka susun dan merasakan sesuai untuk dipenuhi oleh calon yang dinobatkan dengan gelaran sedemikian. Sesetengah bagi kita memilih golongan pemimpin politik atau ketua negara, atau mungkin seorang saintis dan mungkin juga sasterawan malah artis sebagai tokoh yang layak diberikan gelaran sedemikian.

Rasul dan kekasih pilihan Allah S.W.T
Bagi seorang Muslim, tidak dapat kita tolak kenyataan bahawa tiada tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah perkembangan manusia dulu, kini dan masa hadapan melainkan seorang yang bernama Muhammad bin Abdullah, seorang Rasul dan kekasih pilihan Allah S.W.T. Atas dasar cinta yang mendalam oleh kaum Muslimin, hikmah dan rahsia kelahiran baginda di bumi Mekah terus digali dan diselidiki bukan kerana rasa sangsi atas keperibadian agung ini tetapi atas rasa ingin mendekatkan diri kepada kebenaran.



 



Makam Nabi Muhammad S.A.W di dalam Masjid an-Nabawi, Madinah
Hakikatnya, jawapan sebenar terpilihnya Rasullullah sebagai pembimbing umat manusia adalah rahsia milik Allah (Surah Hud : Ayat 123). Para ulama dan pengkaji fiqh sirah telah mengkaji hikmah di sebalik kelahiran Rasulullah yang menjadi kejutan kepada golongan Yahudi yang selama ini menganggap kehadiran para Nabi hanya di kalangan kaum mereka sahaja. Mekah mempunyai keunikannya tersendiri. Meskipun didiami oleh kelompok-kelompok bangsa Arab yang hidup secara kabilah dan mengamalkan konsep assabiyah, namun di sebalik kehidupan gelap Jahiliyah, masih ada nilai-nilai murni yang terus dipegang erat sebagai tradisi kehidupan.

 
Hikmah Maulidur Rasul
Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul

Terdapat segelintir umat Islam yang keliru apabila kita bertanyakan apakah kaitannya Maulidur Rasul dengan ajaran Islam. Ada yang memberikan pandangan sinis yang menggambarkan seolah-olah ialah satu perayaan keagamaan dan perarakan di kawasan sekitar masjid atau di stadium. Malah yang lebih menyedihkan, ada yang berpendapat ianya sekadar hari untuk mendengar syarahan agama atau majlis perjumpaan sesama umat Islam. Namun begitu, ada juga di kalangan cerdik pandai Islam berfahaman WAHABI bertegas untuk melarang umat Islam mengadakan perayaan pada hari Maulidur Rasul dan hari Israk Mikraj. Semua ini dianggap oleh puak Wahabi sebagai BIDAAH dan perlu dihapus kerana tidak pernah diamalkan oleh nabi sendiri.  Inikah JIWA dan IMAN seorang umat Islam?

Jesteru itu, marilah kita sama-sama berlapang DADA dan membuka MINDA untuk menghayati apakah hikmah yang tersirat dan tersurat dalam kita merayakan sambutan Maulidur Rasul. Di antara hikmahnya ialah :

1.   Nilai-Nilai Murni

    Keunikan bangsa Arab dapat dilihat daripada sikap mereka yang amat menyanjungi karya-karya sastera khususnya syair-syair. Daya ingatan mereka yang kuat dalam menghafal syair-syair Arab serta mengingati susur galur keturunan dalam kabilah adalah kelebihan yang dimiliki. Tambahan lagi keberanian mereka telah terbukti melalui persengketaan antara kabilah sehingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah.

    Sehinggalah kehadiran Rasulullah S.A.W dengan risalah Islam, nilai-nilai keberanian serta kekuatan mengingat ini diangkat menjadi salah satu sifat yang mulia dan dibersihkan daripada kekotoran kepada kemurnian dan kesucian jiwa. Jiwa-jiwa mereka telah disatukan malah gambaran kehidupan jahiliyah turut dikhabarkan oleh Allah S.W.T dengan firmanNya.
    “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).”
(Surah Ali-Imran : Ayat 103)

    Demikianlah Allah S.W.T menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. Maka lahirlah golongan huffaz yakni penghafaz-penghafaz al-Quran di kalangan mereka dan mereka adalah golongan yang diamanahkan untuk memelihara kesucian dan keharmonian kitab Allah S.W.T seperti mana para sahabatnya. Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Orang-orang yang mulia di kalangan umatku ialah penghafaz al-Quran. “
 (Riwayat al-Tirmizi)

    Keberanian mereka disalurkan kepada jalan yang lebih baik iaitu dengan tertegaknya konsep jihad, iaitu mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat keampunan Allah S.W.T, keredaan dan rahmat-Nya dengan mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan pelbagai cara sama ada alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

    Jika dahulu mereka berperang kerana ingin mempertahankan kabilah, sebaliknya konsep peperangan yang dididik oleh baginda telah diikuti oleh mereka untuk mempertahankan ajaran Islam daripada dicerobohi serta memastikan keamanan dan keadilan ditegakkan. Sejarah Islam mencatatkan ketika peperangan Yamamah. Tentera-tentera Islam yang ikut serta dalam peperangan ini, kebanyakan terdiri daripada para sahabat dan para panghafal al-Quran. Dalam peperangan ini telah gugur 70 orang penghafal al-Quran.

    Bahkan sebelum itu gugur hampir sebanyak itu juga penghafal al-Quran di mana Nabi pada suatu pertempuran di Bir Maunah berhampiran kota Madinah. Ini membuktikan kejayaan Rasulullah mengalihkan pandangan dan jiwa mereka kepada mempertahankan sesuatu yang hak dan menolak kebatilan. Malah, bangsa yang dahulunya tidak mendapat tempat dalam usaha peluasan empayar Persia dan Rom memberi kejutan yang besar dan menggugat golongan raja-raja dan pemerintah yang zalim terhadap rakyatnya ketika itu. Ini diakui oleh Maharaja Heracilus apabila menerima sepucuk surat dari Rasulullah agar beliau adil terhadap rakyat dan menerima Islam sebagai cara hidupnya

2.   Kesucian Bumi Mekah

    Kelahiran Rasulullah di bumi Mekah adalah satu nikmat dan rahmat Allah s.w.t. dalam menyucikan Kaabah daripada amalan penyembahan berhala. Kaabah yang terletak di tengah-tengah garis bumi seolah-olah seperti sebatang lilin yang diletakkan di tengah-tengah bilik dan cahayanya menerangi segenap penjuru bilik tersebut. Perpaduan begitulah diibaratkan kepada Rasulullah S.A.W, baginda adalah cahaya kebenaran yang menerangi segenap penjuru alam ini dengan kebenaran Islam melalui bimbingan al-Quran dan sunah dan meletakkan Kaabah kembali sebagai titik perpaduan umat untuk menyembah Allah yang satu.

3.   Nabi Akhir Zaman

    Allah S.W.T telah mengkhabarkan kepada para Nabi sebelumnya tentang kehadiran Nabi terakhir yang akan membawa mesej Islam kembali untuk umat akhir zaman. Nabi Musa dan Nabi Isa A.S adalah di antara nabi-nabi ulul azmi yang telah diberikan pengkhabaran tersebut. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:
    “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.” Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”
(Surah as-Saff : Ayat 6)

4.   Doa Nabi Ibrahim A.S

    Hikmah dan rahsia di sebalik kelahiran Rasulullah di bumi Mekah juga adalah kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim A.S yang memohon agar keturunannya turut diberikan kepada mereka golongan nabi dan rasul. Permintaan ini telah dipenuhi-Nya dengan kelahiran nabi dari keturunan Ismail A.S.
    “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah : Ayat 124)

Kesimpulan

Nabi Muhammad S.A.W telah disenaraikan sebagai tokoh paling berpengaruh dalam dunia di dalam buku "The Hundred"

Kelahiran dan kewafatan Rasulullah telah memberi kesan yang sangat besar ke atas perkembangan Islam. Baik Muslim dan bukan Islam turut mengakui ketokohan baginda dalam membimbing kehidupan manusia sebagaimana disebutkan oleh tokoh Barat Micheal H. Hart di dalam bukunya, “The Hundred” di mana Nabi Muhammad S.A.W disenaraikan di tempat PERTAMA tokoh yang paling berpengaruh di dunia seperti catatan berikut: 

    “Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan para pembaca dan turut akan dipersoalkan, tetapi hanya beliau individu paling berpengaruh di dalam sejarah di kedua-dua bidang keagamaan dan duniawi. Kini selepas empat belas kurun, pengaruhnya masih dapat dirasai. “

    (The Hundred, New York: Hart Publishing Company, Inc., 1978, halaman 33.)

Malah pengkritik Islam, George Bernand Shaw mengatakan: “Saya telah mengkaji beliau, seorang tokoh yang hebat. Jauh sekali untuk mengatakan beliau seorang anti-Christ tetapi layak dipanggil penyelamat kemanusiaan (The Genuine of Islam). Sudah masa untuk kita berfikir sejenak, siapakah individu unggul sebagai ikutan dan contoh kehidupan. Beliau dikagumi oleh lawan dan dicintai oleh para sahabat. Kelahiran Rasulullah di bulan Rabiul Awal adalah MESEJ yang perlu diingati tidak sekadar sebagai bahan sejarah tetapi menjadi ikutan buat setiap insan.
    “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”
Senarai nama tokoh-tokoh berpengaruh di dunia
(Surah al-Qalam : Ayat 4)

Berpandukan kepada pengiktirafan di atas terhadap Nabi Muhammad S.A.W berkaitan personaliti dan cara hidupnya maka apa salahnya kita sebagai umat Islam turut sama berbangga dan menjadikan beliau sebagai IDOLA kita di sepanjang waktu dan ketika. SEBARKANLAH maklumat ini untuk dikongsikan bersama demi menyemarakkan lagi kasih KASIH dan SAYANG terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Read More

PENGERTIAN MAULIDUR RASUL



Maulidur Rasul ialah majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang kebiasaannya disambut pada setiap 12 Rabiulawal dengan mengadakan berbagai acara sambutan seperti perarakan, ceramah dan berselawat bagi memuliakan junjungan besar umat Islam dan sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.





Allah SWT berfirman: 
“Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam.”   
(Surah al-Anbia, ayat 107).

Imam Syafie Rahimahullah berkata: 
“Sesiapa mengumpulkan orang Islam untuk menyambut Maulid Nabi Muhammad SAW dengan membaca maulid dan mengadakan syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat lain-lain kebajikan, nescaya Allah akan membangkitkan mereka pada hari akhirat bersama dengan wali, orang mati syahid dan orang soleh, dan ia akan berada di dalam syurga yang penuh dengan nikmat.”


TUJUAN SAMBUTAN

1.    Memantapkan keyakinan terhadap Rasulullah SAW.

2.    Meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

3.    Baginda adalah contoh ikutan dalam semua aspek kehidupan.

4.    Menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW dalam:
  •         Beribadah dan mentaati Allah SWT.
  •         Ketinggian akhlak dan budi pekertinya.
  •         Kesungguhan dan tetap pendirian ketika berdakwah.
  •         Teguh dan tetap dalam memperjuangkan Islam dan syariatnya.
  •         Cinta dan kasih sayangnya terhadap sahabat dan umatnya.


Allah SWT berfirman: 
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia juga menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang)”   
(Surah al-Ahzab, ayat 21).

AMALAN SUNAT MAULID NABI

Daripada membiarkan hari berlalu begitu sahaja, adalah lebh baik kita melakukan;

1.    Puasa sunat

2.    Mandi sunat

3.    Berziarah ke makam Rasulullah SAW.

4.    Mengerjakan amalan-amalan mulia.

5.    Memperdengar dan menghayati sirah Rasulullah SAW.

6.    Memperbanyakkan tasbih, tahmid dan selawat.

7.   Mengadakan sambutan Maulidur Rasul dengan acara-acara seperti:
  •         Perarakan sambil berselawat dan menghayati perjuangan Rasulullah SAW
  •         Syarahan sirah Nabi
  •         Forum agama dan perpaduan
  •         Marhaban
  •         Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

FADILAT MAULIDUR RASUL

Banyak kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

1.  Berniat hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

2. Keberkatan mengadakan Majlis Maulud akan diperolehi oleh orang yang mengadakan majlis dan seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu.

3.  Orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, nescaya Allah Subhanahu Wataala akan:
  •         Menghindarkan kekeringan dan kemarau.
  •         Menghilangkan kecelakaan, bala dan penderitaan,
  •         Menjauhkan kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian.
  •         Memudahkan menjawab soalan-soalan Mungkar dan Nakir apabila mati kelak.
  •         Ditempatkan bersama orang-orang yang benar di sisi Allah Subhanahu Wataala.

4.  Rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam akan:
  •         Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka.
  •         Malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu.
  •         Malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril, Mikail, Israfil mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang berusaha mengadakan majlis Maulid Nabi SAW itu.

5.  Kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

6.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: 
“Sesiapa yang membesarkan hari keputeraanku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan sesiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”

7.  Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radiallahuanhu berkata: 
“Sesiapa membesarkan Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga.”

8.  Begitu juga As-Sirri As Saqati berkata: 
“Sesiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sesungguhnya dia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana dia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.”

 .
Read More

Sunday, December 28, 2014

MENGAPA TARIKH KELAHIRAN RASULULLAH BEGITU AGUNG?



Kelahiran Rasulullah SAW merupakan satu peristiwa sejarah yang paling besar dan paling agung yang pernah berlaku di dunia ini. Tiada sejarah yang lebih besar, penting dan agung selainnya, sama ada sebelum atau sesudahnya. Ia adalah sejarah yang telah merubah watak dan peradaban manusia. 

Justeru itu, sejarah Rasulullah SAW adalah satu peristiwa yang luar biasa, mengandungi rahsia-rahsia dan perkara yang tersirat pada setiap yang ada hubungkait dengannya walau satu titik, lebih-lebih lagi satu huruf dan satu perkataan. Padanya terkandung rahsia Tuhan yang patut kita kaji dan serlahkan. Mari kita cungkil rahsia dan hikmah di sebalik tarikh kelahiran baginda iaitu: Sebelum Fajar, Isnin, l2 Rabi’ul Awwal, Tahun Gajah.” 

Kedatangan Rasulullah SAW membawa rahmat. Sebelum fajar bererti kegelapan sudah akan berakhir dan cahaya adalah umpama rahmat Allah yang akan menjelma. 

Isnin dari bahasa Arab bererti dua. Di saat kelahiran baginda, akidah manusia sudah rosak kerana sudah lama ketiadaan Nabi dan Rasul. Hanya dua yang mengenal Tuhan; Zat Tuhan itu sendiri dan baginda Rasulullah SAW. Itulah isyarat dari Tuhan di sebalik kelahirannya pada hari Isnin. 

Justeru, keIslaman seseorang hanya sah apabila dia mengakui dan menyebut kedua-duanya. 

Jika dirujuk pada malam, ia adalah kemuncak kegelapan. Ertinya waktu kelahiran baginda, segala perkara negatif berada di tahap puncaknya. 

Jika dirujuk pada siang, ia adalah seterang-terang cahaya matahari. Ertinya kedatangan baginda membawa rahmatdari Tuhan untuk segala alam, bukan hanya untuk manusia, bahkan binatang, kayu kayan, batu batan dan seluruh ciptaanNya. Berkat cahaya rahmat itu, seluruh makhluk mendapat pembelaan dan tidak boleh diperlakukan sesuka hati. 

Jika dirujuk pada bulan, ia adalah kemuncak bulan dalam setahun. Ertinya baginda adalah penutup dan kemuncak para Rasul. Rasul terdahulu didatangkan untuk sesuatu kelompok dan zaman sedangkan Rasulullah SAW didatangkan untuksemua etnik, berlanjutan hingga berzaman. 

Jika dirujuk pada bintang, ada bintang 12 yang mana ia adalah bintang yang paling terang di antara beribu bintang yang ada. Ertinya kelahiran Rasulullah SAW membawa syariat yang lengkap, petunjuk dan rahmat yang lengkap dari dunia hingga akhirat. Ajaran yang dibawanya paling sempurna berbanding ajaran Rasul-Rasul sebelumnya. 

Rabi’ dari bahasa Arab bererti musim bunga. Kedatangan baginda menjadi contoh akhlak yang mulia dan akhlak yang agung adalah umpama bunga yang cantik dan indah di awal musim bunga. 

Ia dikaitkan dengan Abrahah dan tentera bergajahnya dari Yaman. Sewaktu dia menyerang Ka’bah, dia telah merampas harta benda termasuk kambing-kambing bapa saudara baginda, Abu Thalib dan datuknya Abdul Muthalib. Akhirnya Abdul Muthalib keluar lalu bersemuka dengan Abrahah. Beliau meminta supaya dipulangkan semula kambingnya kerana ia adalah miliknya. Manakala tentang Kaabah, beliau berkata terpulanglah kepada Abrahah kerana Ka’bah itu bukan miliknya tetapi milik Allah. Jadi, di sini, terbuka rahsia bahawa keluarga Rasulullah saw masih beragama dengan agama Nabi Ibrahim. Ertinya keturunan baginda terpelihara, bersih dan dijaga oleh Allah.

 MENCINTAI NABI MUHAMMAD S.A.W



Kita hidup di dunia ini tidaklah lama. Kalau dipanjangkan umur oleh Allah SWT… tak ada sakit, tidak kemalangan… insyaallah kita akan hidup 70 atau 80 tahun. Itulah lebih kurang purata umur manusia hari ini. Biasanya jangka hayat lelaki lebih kurang 70 tahun, dan wanita 80 tahun. Dan… kita akan hidup di akhirat dalam jangkamasa yang sangat lama, kekal, selama-lamanya, bertrillion-trillion tahun. 

Oleh itu, kita mestilah bijak membuat pelaburan dalam menyediakan perbekalan untuk hidup di dunia dan di akhirat. Oleh kerana kita tahu yang kita akan hidup 70 atau 80 tahun di dunia ini, maka kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di dunia ini untuk jangkamasa 70-80 tahun. Dan… kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu bertrillion trillion tahun. 

Sebagai tamsilannya bolehlah kita andaikan yang kita dan keluarga hendak pergi melancong ke Pulau Langkawi dan ke Timur Tengah- negara-negara Arab. Untuk melancong ke Langkawi dalam jangkamasa 3 hari 2 malam, untuk menjadikan sesi melancong kita selesa maka kita memerlukan bekalan sekitar RM 1500 untuk sebuah keluarga kecil. Untuk melancong ke Timur Tengah selama 8 hari 7 malam pula, kita memerlukan bekalan berupa wang ringgit lebih kurang RM 20,000. 

Jadi,…antara persiapan dan perbekalan untuk ke Langkawi dengan ke Timur Tengah, yang manakah kita kena usahakan lebih banyak? Sudah tentulah persiapan dan perbekalan ke Timur Tengah. Begitu jugalah bandingan persiapan kita untuk hidup di dunia dengan persiapan kita untuk hidup di akhirat. 

“Sediakanlah bekalan untuk hidup di dunia sepadan dengan usia kita iaitu antara 70-80 tahun. Dan… sediakanlah bekalan kita untuk hidup di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu selama-lamanya.” 

Namun lihatlah realiti manusia hari ini. Ada orang yang bekerja mencari keselesaan untuk hidup di dunia ini 8 jam sehari, 10 jam sehari malah ada yang 12 jam sehari. Ini tidak salah, malah memang digalakkan. *****a kita berasa sedih kerana melihat perbekalan manusia untuk hidup selesa di akhirat cukup dengan solat 5 waktu sahaja- kalau dicampur-campur maka masanya tak sampai sejam pun sehari. Manusia rasa cukuplah itu sebagai perbekalan untuk makan sedap, pakai pakaian yang selesa dan tinggal di rumah yang mewah.. di akhirat kelak. Betulkah begitu? 

Yang kita usahakan 8 jam, 10 jam malah 12 jam sehari untuk mendapatkan bekalan makan, pakai dan tinggal di dunia ini pun tak pernah mencukupi kehendak kita. Maka bagaimana pula bekalan yang kita usahakan hanya sejam sehari kita yakin boleh mencukupi keperluan kita untuk makan, pakai dan duduk di akhirat kelak? fikir-fikirkanlah. 

Oleh kerana kita sudah faham yang hidup kita di dunia ini tidak lama, boleh berakhir pada bila-bila masa… maka gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya untuk menyediakan perbekalan-perbekalan untuk hidup di dunia dan hidup di akhirat mengikut pertimbangan yang sesuai dengan tempoh masanya. 

Tidak lama lagi kita akan menyambut Maulidurrasul. Imam asy-Syahid Hassan al-Banna sendiri dulu turut menyertai sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada zamannya dan beliau turut sama melagukan nasyid-nasyid berkaitan. Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik diadakan, yang boleh kita contohi. 

Salah satu sebab kita turut memeriahkan sambutan ini ialah kerana kita melihat adanya ruang-ruang untuk dakwah di dalamnya. Namun kita faham, sambutan Maulidurrasul ini bukanlah perkara wajib atau tuntutan. 

Kita ini umat akhir zaman yang tidak pernah melihat Nabi, para sahabat Nabi dan para solehin terdahulu. Iman dan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW hanya senipis kulit bawang, tidak sepadan dengan kecintaan para sahabat kepada Nabi. Para sahabat melihat sendiri Nabi membuatkan kecintaan mereka kepada baginda sangatlah tinggi. Mereka tidak perlu program-program seperti Maulidurrasul untuk meningkatkan kecintaaan mereka kepada baginda. Tetapi program-program seperti ini memang sangat baik untuk kita yang tidak sempat melihat baginda, dengan kecintaan kita kepadanya yang senipis kulit bawang ini. Tapi syaratnya, program-program itu mestilah yang selaras dengan kehendak agama. 

Sesungguhnya mencintai Nabi Muhammad itu wajib, Ini dapat kita fahami daripada hadith-hadith baginda sebagaimana di bawah: 

“Tidak beriman seorang daripada kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.” 
(Bukhari & Muslim) 

“Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) lebih dicintainya daripada isterinya, hartanya dan seluruh umat manusia.” 
(Bukhari & Muslim) 

“Cintailah aku (Rasulullah), kerana Allah mencintai aku.” 
(Turmizi) 

Abu Razin al-Uqaili bertanya: 
“Ya Rasulullah, apakah iman itu?” Jawab baginda: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya lebih kamu cintai daripada yang lain-lain.” 
(Ahmad) 

Apakah “cinta”? Secara mudahnya cinta ialah “selalu teringat-ingat, selalu dicakap-cakap”. Apa benda yang banyak kita ingat dan banyak kita cakapkan, maka itulah benda yang kita cinta. Contohnya seorang yang minat memancing, malah sampai ke tahap gila memancing. Pasti dalam fikirannya selalu teringat-ingat tentang hal ehwal memancing. Dia juga berasa suka untuk berbicara tentang pancing-memancing dengan orang-orang yang ditemuinya. Jadi, jika benar kita ini mengaku mencintai Allah dan Nabi, sudah tentulah kita selalu teringat-ingat dan suka berbicara tentang Allah dan Nabi- ringkasnya hal ehwal berkaitan agama. 

Benarkah kita mencintai Nabi? Bagaimana cara untuk melahirkan kecintaan kepada baginda? Apa buktinya kita cinta akan dia? 

Antaranya kita mestilah mencintai: 

1. Al Quran 
2. Hukum-hukum yang dibawa olehnya 
3. Sunnah-sunnahnya 
4. Para ulama iaitu pewaris-pewarisnya 
5. Bahasa Arab- bahasa pertuturannya 
6. Jihad- jalan yang dirintisnya 

Banyak lagi, *****a pada hari ini cukuplah sekadar ini yang kita tampilkan sesuai dengan masa yang kita ada. 

*Tazkirah ini disampaikan secara lisan, kemudiannya baru dipindahkan dalam bentuk tulisan. Gaya penyampaiannya diubahsuai sedikit untuk memudahkan pemahaman pembaca.
Read More

Saturday, December 27, 2014

HUKUM MENYERTAI , MENIRU DAN MEMPERBESARKAN PERAYAAN ORANG KAFIR


Beberapa pautan untuk dibaca bagi meningkatkan kefahaman tentang bagaimana memilih sikap kita sebagai ummat Islam terhadap perayaan agama lain:

1)  Islamqa.info – Koleksi fatwa tentang perayaan bukan Islam

2)  Fatwa negeri Perak – Hukum Menyerupai / Merayakan Perayaan Orang Kafir

3)  Dr Abdul Basit – Hukum Menyerupai / Merayakan Perayaan Orang Kafir

4)  Salafy.or.id – Sikap Seorang Muslim Terhadap Hari Raya Orang Kafir

Saya secara peribadi menjauhkan diri dari terlibat dengan mana-mana perayaan bukan Islam samada dalam bentuk memberikan ucapan dan tahniah, apatah lagi menghadiri dalam perayaan mereka.  Ini kerana di dalam ISLAM, hanya `Eidul-Adha dan `Eidul-Fitri sahajalah yang wajar kita menunjukkan rasa kegembiraan dan merayakannya.

Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata yang maksudnya:

“Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu.  

Lalu Baginda berkata:  “Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah.”

Sabda Baginda lagi:  “Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya `Eidul-Adha dan `Eidul-Fitri.””

(Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959)

Malahan pula terdapat perkataan dari ALLAH `Azza wa Jalla yang menyuruh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mengatakan:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Maksudnya:  “Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku”

(Surah al-Kafirun, 109:6)

Melalui ayat pendek dan tegas ini, sepatutnya kita ummat ISLAM menggariskan sempadan yang jelas memisahkan antara agama ISLAM yang kita sama-sama anuti dengan agama lain.  Tidak boleh bercampur.

Ummat ISLAM boleh bertoleransi malah digalakkan berbuat baik sesama manusia tidak kira siapa mereka, tetapi dalam bab agama, tiada toleransi terhadapnya.  Mereka dengan jalan mereka sendiri.  Dan kita dengan jalan kita sendiri.  Dan jalan yang ditunjuki RasulNYA lah jalan yang benar dan selamat.



ISLAM Agama Benar
ISLAM adalah agama yang benar dan tinggi.  Dan tidak ada yang lebih benar dan tinggi dari ISLAM!  Tidak perlu kita mencari sesuatu di luar dari lingkungan ajaran ISLAM.  Cukuplah ISLAM menunjuki jalan hidup kita.

Seharusnya ummat ISLAM hidup di dalam lingkungan cara yang ditunjuki oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Sungguh, tidak ada apa yang tertinggal di dalam ajaran yang Baginda tunjukkan.  Semuanya ada di dalam ISLAM, tidak ada apa yang kurang.

ALLAH, TUHAN Sekalian Alam telah berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

Maksudnya:  “Pada hari ini telah KUsempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah KU-cukupkan kepadamu nikmat-KU, dan telah KU-redhai ISLAM itu jadi agama bagimu.”

(Surah al-Ma’idah, 5:3)

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ
Maksudnya:  “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi ALLAH hanyalah ISLAM.”  

(Surah ali-`Imran, 3:19)

Hanya ISLAM lah agama yang selamat dan diterima oleh ALLAH, TUHAN Sekalian Alam.  Dan kita mesti beristiqamah berjalan di atasnya jika mahu selamat.

Jangan Tasyabbuh
Ummat ISLAM juga mesti awas dengan hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam berikut:

من تشبَّهَ بقومٍ فَهوَ منهم
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia termasuk kaum tersebut.”

(HR Abu Daud dengan sanad hasan.  Dari `Abdullah bin `Umar radhiAllahu `anhuma).

Lalu bertanya ke dalam diri, siapakah yang mahu kita serupai?  Di manakah kita mahu letak diri kita?  Di dalam kelompok bersama dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam atau di dalam kelompok selain Baginda?

Bukan sedikit ummat ISLAM yang leka dan meniru-niru dalam menghidupkan kehidupan mereka.  Banyak!  Dan kita khuatir peniruan ini yang akan akhirnya menjerumuskan ummat ISLAM ke lembah yang dimurkai ALLAH.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda yang maksudnya:

“Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal sejengkal dan sehasta sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki lubang-lubang biawak.”

Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?”

Nabi menjawab: “Yahudi dan Nasara, siapa lagi.”

(HR Muslim)

Prinsip al-Wala’ & al-Bara’
Prinsip al-Wala’ (setia, ikut) dan al-Bara’ (berlepas diri) mesti difahami sungguh-sungguh oleh ummat ISLAM dalam mendepani banyak isu di hadapan mereka.  Iaitu ummat ISLAM mesti setia dengan agama ISLAM, ikut semua ajaran yang disyariatkan, berkasih sayang, memberi pertolongan dan perlindungan sesama Muslim.  Manakala dalam hal yang tidak berkaitan dengan agama ISLAM malah bertentangan pula, ummat ISLAM mesti berlepas diri, menolak dan tidak mengaitkan diri mereka dengannya.

Ummat sebelum kita iaitu para salafussoleh dan juga golongan yang mengikuti mereka sentiasa pahatkan prinsip ini di dalam kehidupan mereka.  Dengan sebab itulah agama mereka terpelihara, kehidupan mereka terpelihara dan kehidupan di akhirat mereka juga terpelihara.

Justeru, ummat ISLAM seharusnya berhati-hati dalam hal ini.  Ia berkaitan aqidah.  Dan garisannya mesti kita jaga-jaga.  Ditakuti tanpa sedar, kita tergolong di kalangan orang-orang dimurkai ALLAH.  Na`udzu billahi min dzalik, kita berlindung dengan ALLAH dari itu terjadi.

Hidup Di Dalam Masyarakat Majmu`

ISLAM menyuruh kita berbuat baik terhadap semua makhluqNYA, apatah lagi sesama manusia.  Apabila hidup di dalam masyarakat yang majmu`, maka kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa ummat ISLAM juga banyak mengambil manfaat dari masyarakat belum ISLAM.

Justeru, sebab itulah ada juga beberapa pandangan dari ilmuan ISLAM yang mengharuskan perbuatan mengucapkan tahniah kepada masyarakat belum ISLAM semasa perayaan mereka dengan tujuan menjalinkan hubungan sosial.  Tuan/puan boleh membaca pandangan-pandangan tersebut di sini:

1)  Majlis Fatwa & Kajian Eropah – Mengucapkan Selamat Kpd Non-Muslims pada Hari Perayaan Mereka

2)  Al-Ahkam.net – Perayaan Masyarakat Bukan Islam

3)  Dr Asri – Hukum Ucapan Sempena Perayaan Agama Lain

Disebabkan ada para ulama yang mengatakan “Harus (TETAPI BERSYARAT)“ dalam hal mengucapkan tahniah dan menyertai perayaan orang bukan Islam, maka saya tetap akan meraikan pandangan-pandangan mereka yang juga alim dan amanah dalam agama.  Jadi, saya tidak akan berkeras dalam hal ini terhadap orang lain melainkan hanya kepada diri saya dan orang-orang yang hampir dengan saya dengan tujuan untuk lebih berhati-hati.  Kerana ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ
وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

(Surah at-Tahrim, 66:6)
Read More

Sunday, December 21, 2014

CARA RASULULLAH S.A.W TERTAWA DAN BERGURAU

Imam at-Tirmidzi di dalam kitabnya yang masyhur, Syama’il Muhammadiyyah telah menyenaraikan beberapa hadith yang menggambarkan cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tertawa dan bergurau.  Berikut adalah beberapa hadith yang dipetik dari kitab tersebut:

Cara Rasulullah Tertawa

`Abdullah bin al-Harith berkata yang maksudnya:

“Aku tidak pernah melihat seseorang yang tersenyum lebih banyak daripada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.”  
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

`Abdullah bin al-Harith berkata yang maksudnya:

“Tidaklah ketawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam melainkan hanya tersenyum.”  
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

Abu Dzar berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:




“Sesungguhnya, aku tahu orang yang pertama masuk ke dalam syurga dan yang paling akhir keluar dari neraka.  Pada Hari Akhirat nanti, seseorang akan dipanggil lalu perintah diberikan kepada malaikat:  “Tunjukkan kepadanya dosa-dosa kecil yang sudah dia lakukan dan sembunyikanlah dosa-dosa besarnya.”
Orang itu diberitahu:  “Pada hari sekian…kamu telah melakukan ini… dan ini…”
Dan orang itu akan mengaku semuanya.  Pada masa yang sama, dia juga berasa bimbang dengan dosa-dosa besarnya.  Selepas itu, perintah selanjutnya (kepada malaikat):  “Berikanlah kepada dia pahala kebaikan bagi menggantikan setiap kesalahan yang dilakukannya.”
Orang itu berkata:  “Sesungguhnya masih ada lagi dosa-dosaku yang tidak diperlihatkan.”
Abu Dzar berkata:  “Pada masa itu, aku melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tertawa sehingga ternampak gigi geraham Baginda.”  
(HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Jarir bin `Abdullah berkata yang maksudnya:

“Semenjak aku memeluk Islam, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tidak pernah menghalang aku mengunjungi Baginda.  Apabila melihatku, Baginda selalu tersenyum.”  
(HR al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

`Abdullah bin Mas`ud melaporkan, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya aku mengetahui penghuni neraka yang paling akhir keluar, iaitu seseorang yang keluar dari situ dengan merangkak.  Lalu, dia mendapat perintah, “Pergilah ke Syurga.”  Orang itu pun pergi ke Syurga.  Namun, dia melihat sudah ada orang di rumah-rumah  yang ada di Syurga.  Dia mengadu kepada TUHANnya, “Wahai TUHANku, sudah ada orang di rumah-rumah itu.”

Orang itu ditanya, “Adakah kamu ingat kehidupanmu semasa di dunia?”  Dia menjawab, “Ya.”  Lalu dia diperintahkan kepadanya, “Bayangkanlah (kemahuanmu)!”  Orang itu pun membayangkan keinginannya.  Kemudian, TUHAN berkata kepadanya, “Kamu mendapat apa yang kamu mahukan, bahkan sepuluh kali ganda daripada yang ada di dunia.”  Orang itu membalas, “Wahai TUHANku!  Adakah ENGKAU sedang mempermain-mainkan aku, padahal ENGKAUlah Sang Penguasa?”

`Abdullah bin Mas`ud berkata:  “Ketika itu, aku melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tertawa sehingga terlihat gigi geraham Baginda.”  
(HR al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

Cara Rasulullah Bergurau

Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah berkata kepadanya yang maksudnya:

“Wahai pemilik dua telinga.”  
(HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Rasulullah memanggil Anas begitu kerana Anas merupakan seorang pendengar yang baik.  Ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sedang bergurau dengan Anas.

Anas bin Malik berkata yang maksudnya:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bergaul rapat dengan kami, sehingga Baginda pernah berkata kepada adikku yang masih kecil dengan berkata:  “Wahai Abu `Umair, apakah yang sedang dilakukan oleh nughair (sejenis burung yang berparuh merah?””  
(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

Syarah kepada hadith di atas boleh dibaca di sini, in sya’ ALLAH:

Abu Hurairah berkata yang maksudnya:

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?”  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab, “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.”  
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.

Anas bin Malik berkata yang maksudnya:

Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam supaya dibawa menaiki tunggangan.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata kepada lelaki itu, “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.”  Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?”  Lalu dijawab oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, “Bukankah unta betina yang melahirkan unta yang lain?””  
(HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Anas bin Malik melaporkan yang maksudnya:

Ada seorang lelaki dari kampung yang bernama Zahiran.  Pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan membawa hadiah dari kampungnya.  Apabila beliau pulang, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam memberi pun bekal kepadanya.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata, “Zahiran adalah kampung untuk kita dan kita adalah kota untuknya.”

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sangat suka  kepada Zahiran walaupun beliau tidak mempunyai wajah yang menarik.  Pada suatu hari, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pergi bertemu dengan Zahiran ketika beliau sedang menjalankan perniagaannya.

Tiba-tiba, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam memeluk Zahiran dari belakang. Zahiran tidak dapat melihat siapakah orang yang memeluknya dari belakang itu.  Beliau berkata, “Siapakah ini?  Lepaskanlah aku!”  Beliau lalu menoleh dan mengetahui rupa-rupanya Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang berada di belakangnya.  Tanpa membuang masa, Zahiran merapatkan lagi badannya dengan dada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bagi meraih keberkatan.

Kemudian, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata, “Siapakah yang mahu membeli hamba sahaya ini?”  Zahiran membalas, “Wahai Rasulullah, demi ALLAH, saya ini tidak laku.”  Jawab Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, “Tetapi di sisi ALLAH, kamu bukan tidak laku.”  Atau “Tetapi di sisi ALLAH, kamu sangat berharga.”  
(HR at-Tirmidzi dan Ahmad) – Hadith ini bertaraf sahih.

Hasan al-Basri berkata yang maksudnya:

Seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada ALLAH agar aku dapat masuk ke Syurga.”  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab, “Wahai ibu fulan, Syurga itu tidak dihuni oleh orang tua.”  Mendengar jawapan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, wanita itu pergi dari situ sambil menangis.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam kemudian bersabda, “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke Syurga dengan keadaan usia tua.  Sesungguhnya ALLAH Ta`ala berfirman:  

إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً. فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا. عُرُبًا أَتْرَابًا

(Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya)”  
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.

Semoga dengan meneliti hadith-hadith berikut dapat kita memperbaiki diri kita dalam hal tertawa dan bergurau lalu mencontohi cara insan mulia, Rasulullah sallAllahi `alaihi wasallam lakukannya, in sya’ ALLAH.

ِAllahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.

Sekadar berkongsi,
Read More

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML