Sunday, March 16, 2014

PENYAKIT JIWA DAN PENAWAR

Penyakit Psikiatri Boleh Di Atasi Dengan Kembali Kepada Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Penyakit mental atau psikitari adalah satu penyakit yang merbahaya jika tidak mendapat rawatan yang sempurna kerana jika dibiarkan hingga tidak terkawal boleh menjadikan seseorang akan hilang ingatan dan akan bertindak membahayakan dirinya sendiri dan orang lain yang berada disekitarnya.

Mengikut tinjauan Persatuan Psikiatri Malaysia (Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011) Dr. Abd Kadir Abu Bakar dalam Utusan Malaysia Sabtu 4 Januari 2011, beliau menyatakan sebanyak 12% rakyat Malaysia berumur di antara 18-60 tahun mengalami penyakit mental (setiap 6 orang rakyat Malaysia 1 orang mengalami penyakit tersebut). Jumlah pesakit wanita dua kali ganda daripada pesakit lelaki. Kebanyakkan wanita mengalami penyakit tersebut disebabkan masaalah rumahtangga iaitu masaalah dengan suami dan anak-anak, manakala lelaki pula disebabkan kemalangan jalanraya yang menyebabkan berlaku kecerederaan pada otak dan pengambilan dadah. Di seluruh negara terdapat 45 Jabatan Psikiatri dan 4 Hospital Mental.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika fakta di atas 12% menjadikan ukuran untuk kita menilai kedudukan penyakit mental yang berlaku di negara kita, maka peratus tersebut cukup tinggi dan ianya menjadi penyakit yang serius melanda negara kita. Hakikat sebenarnya punca utama menyebabkan berlakunya penyakit ini adalah kerana perasaan kecewa, hati yang tidak tenang dan jiwa yang telah terputus hubungan dengan Allah SWT dan sikap mudah putus asa dan tidak redha dengan ketentuan qadak dan qadar.

Orang mukmin tidak akan mudah berputus asa dengan rahmat Allah SWT, walau bagimana sukar sekali pun dalam hidup ini masih ada penyelesaiannya yang disediakan oleh Islam .

Hati dan jiwa yang sihat menyebabkan fikiran menjadi tenang dan tidak berlaku kemurungan. Hati dan jiwa yang sihat, tidak berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, kerana itulah kita melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.

Firman Allah SWT :

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya : "Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. 
(Surah al-Ra'd ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.

Maksudnya; "Sungguh menghairankan urusan orang beriman, semua urusanya baik, apabila mendapat nikmat kesenangan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman." (Hadis Riwayat Muslim)

Sebaliknya orang yang hati dan jiwanya sakit, akan sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, hidupnya tidak pernah bahagia bahkan sentiasa stres dan tertekan. Keadaan ini disebabkan penyakit yang ada dalam hati mereka.

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Masud, salah seorang sahabat utama Rasulullah SAW. Dia mengeluh: "Wahai Ibnu Masud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tidak berselera, tidur pun tidak nyenyak. Ibnu Masud menjawab : "Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu :

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah."

Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu. Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali.

Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah SAW  itu.

Sahabat yang dihormati,
Untuk para wanita yang bermasaalah dalam rumahtangga mereka maka amalakanlah petua ini supaya kemurungan, kerisauan dan kegelisahan dapat di atasi untuk mengelakkan penyakit psikiatri berlaku :

1. Banyakkan beristighfar dan hubungkan hati dengan Allah SWT dengan berzikir kalimah LA HAULA WA QUWWA ILLA BILLAH

Rasulullah SAW bersabda :“Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu”  (yang bermaksud:“Siapa yang mengucapkan 'La Haula Wala Quwwata illa billah,' maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”). (Hadis Riwayat Tabrani)

2.  Banyakkan bersabar dan yakinlah janji Allah SWT bahawa Dia akan memberikan pahala yang besar kepada wanita yang sabar di atas keburukan suaminya.

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud, “... isteri yang sabar menghadapi perlakuan buruk suaminya, Allah akan memberi balasan pahala seperti yang diberikan-Nya kepada Asiah, isteri Firaun.”

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

3. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud : "...boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 19). 

Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT dan solat hajat supaya Dia memberi taufik dan hidayahnya kepada suami atau anak-anak supaya kembali mentaati Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Yakinlah janji Allah SWT setiap kesusahan ada kebahagiaan dan kesenangan.

4. Wanita perlu ingat bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah di dunia ini tetapi kebahagiaan sebenar adalah di hari akhirat apabila diizinkan oleh Allah SWT untuk memasuki syurga. Jika terdapat kesusahan yang  sedikit ketika mengharugi kehidupan berumahtangga maka banyakkan bersabar. Malah isteri yang solehah ingatannya sentiasa segar dengan pesanan Nabi SAW yang bermaksud: "Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya, mentaati suaminya, nescaya dia dapat masuk ke mana-mana saja pintu syurga menurut kehendaknya."(Riwayat Imam Ahmad)

Hadis ini perlu dijadikan motivasi untuk lebih tenang dan tidak berlaku kekecewaan.

5. Jika wanita merasa kecewa dan sedih apabila suaminya berpoligami, ingatlah bahawa suami kalian bukanlah hak kalian seorang kerana Islam membenarkan seorang lelaki yang berkemapuan untuk berpoligami hingga empat isteri. Jika suami tidak adil maka dia akan berjalan sengit dihari akhirat nanti. Tidak perlu tamak untuk meraih kasih sayang suami dan perlu redha berkongsi kasih sayang dengan madu yang lain kerana dunai ini bukan segala-galanya.

Seorang suami akan ditanya jika isterinya tidak memutup aurat dan melakukan maksiat kerana suami bertanggungjawab mendidik dan membimbing isterinya kejalan Allah SWT tetapi seorang isteri tidak bertanggungjawab sekiranya suaminya derhaka kepada Allah SWT cuma isteri perlu memberi nasihat yang baik sahaja. Isteri masih berpeluang memasuki syurga tanpa suami (jika suaminya melakukan dosa-dosa besar) sebaliknya suami belum tentu dapat memasuki syurga jika di dunia dia biarkan isterinya tanpa didikan dan asuhannya walaupun amalannya melayakkan dia memasuki syurga.

6. Banyakkan membaca al-Quran dan mengingati kematian akan mengubati penyakit hati dan akan menjadi wanita solehah kerana takut azab Allah SWT dan seksaan di hari akhirat.

Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah SAW telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kita bersihkan hati dan jiwa kita dengan banyak mengingati Allah SWT, beristighfar, membaca al-Quran , berzikir kepada Allah SWT dan mengingati kematian . Dan anggaplah kesusahan di dunia ini dan segala masaalah yang kita hadapi seharian adalah perkara kecil dan jangan difikir-fikirkan keterlauan hingga menyebabkan boleh mendatangkan penyaki psikiatri(mental). Orang mukmin hatinya sentiasa tenang dan berbahagia kerana amalan-amalannya di dunia ini tidak sia-sia akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT  di akhirat nanti. Jika dia bersyukur di atas nikmat Allah SWT  maka akan mendapat pahala dan jika dia bersabar di atas kesusahan juga mendapat pahala.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML