Empat Golongan Manusia Allah SWT Tidak Akan Memasuki Kedalam Syurga.
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Empat (macam manusia) tidak Allah SWT. masukkan mereka ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak, pemakan riba, menzalimi (memakan) harta anak-anak yatim dengan tiada hak dan derhaka pada ibu bapanya" (Hadis Riwayat Al-Hakimi)
Terdapat 4 golongan manusia yang yang tidak akan merasai kenikmatan syurga :
Pertama : Peminum arak
Kedua : Pemakan riba
Ketiga : Menzalimi (memakan) harta anak yatim.
Keempat : Derhaka kepada ibu bapa.
Huraiannya :
Pertama : Peminum arak
Arak adalah ibu segala maksiat. Seseorang yang meminum arak akan hilang akalnya yang waras dan mendedahkan dirinya kepada fitnah yang besar.
Dari Ibn Umar r.a. bahawasanya Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Ingatlah tiap sesuatu yang memabukkan itu khamar (arak) dan tiap khamar itu haram"
(Riwayat Ahmad dan Abu Ya'la)
Nabi SAW pernah bersabda: "Tidak akan berzina seorang pelacur semasa berzina jika dia beriman, dan tidak akan minum khamar (arak) ketika meminumnya jika beriman dan tidak akan mencuri seorang pencuri jika dia beriman" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain baginda pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya yang berzina atau minum khamar maka terlepaslah iman daripadanya sebagaimana orang melepaskan gamis (baju) dari kepalanya" (Riwayat Al-Hakim)
Dalam hadis-hadis diatas jelaslah bawa peminum arak adalah amalan yang boleh memutuskan ikatan imannya kepada Allah SWT. Tidak ada kebaikan yang diperolehi bagi peminum arak melainkan kepapaan, tidak ada keberkatan umurnya, hartanya akan habis dan dia akan dihina makhluk di dunia dan dilangit.
Kedua : Pemakan riba
Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Riba itu mempunyai 73 cara (jalan), yang amat ringan dosanya sama dengan seorang berzina dengan ibu kandungnya" (Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Dalam hadis yang lain baginda pernah bersabda maksudnya : "Satu dirham riba yang dimakan oleh setengah yang mengetahui, lebih berat disisi Allah SWT daripada dosanya tiga puluh enam kali penzinaan" (Riwayat Ahmad dan Al-Tabrani dari Abdullah bin Hanzalah r.a.)
Amalan riba ini diharamkan kerana riba akan mengkayakan golongan atasan (pemimpin/ hartawan) sedangkan golongan bawahan (rakyat) akan menderita, tertindas dan tidak akan mudah bebas daripada sistem ekonomi yang tidak adil. Oleh itu jauhi riba dengan apa cara sekalipun dan tukarlah amalan riba dengan muamalah secara Islam dibank-bank yang menyediakan kaunter syariah.
Ketiga : Menzalimi (memakan) harta anak yatim.
Islam telah mendorong pemeluknya agar memiliki akhlak mulia. Salah satu akhlak mulia itu adalah menyayangi dan berlemah lembut dengan anak yatim. Sesungguhnya, anak yatim adalah manusia yang paling memerlukan pertolongan dan kasih sayang. Kerana ia adalah anak yang kehilangan ayahnya pada saat ia sangat memerlukannya. Ia memerlukan pertolongan dan kasih sayang kita, kerana ia tidak mungkin mendapatkan kasih sayang ayahnya yang telah tiada.
Jika kalian melihat seseorang yang penyayangi dan berlemah lembut kepada anak yatim dan memberi pertolongan kepadanya, maka ketahuilah bahwa ia adalah seorang yang berbudi dan berakhlak mulia.
"Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang terdapat di dalamnya anak yatim yang diperlakukan (diasuh) dengan baik, dan seburuk-buruk rumah kaum muslimin ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim tapi anak itu diperlakukan dengan buruk."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Hadis Abu Hurairah r.a:Rasulullah telah bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknati oleh Allah.
Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu?
Rasulullah SAW bersabda: "Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik yaitu yang boleh dikawini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah: melakukan perbuatan zina."
Janganlah selalu memarahi anak-anak yatim, berlemah lembut dan bersantunlah dengan mereka demi semata-mata mencari keredaan Allah SWT.
Keempat : Derhaka kepada ibu bapa.
Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Dosa yang paling besar ialah syirik, derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang tanpa hak" (Riwayat Anas r.a.)
Baginda SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesiapa yang membuat ibu bapanya gembira (memberi keredaan) maka sesungguhnya ia mendapat reda Allah SWT. Sesiapa yang menyakiti hati ibubapanya, maka sesungguhnya ia mendapat kebencian Allah SWT" (Riwayat Bukhari)
Dalam hadis Nabi SAW pernah bersabda: "Semua dosa-dosa dilambatkan Allah SWT (pembalasannya) sesukanya dari akhirat melainkan derhaka kepada kedua ibubapa maka sesungguhnya Allah SWT menyegerakan (bala siksaan) bagi yang bersangkutan sewaktu hayatnya didunia ini sebelum matinya" (Riwayat Al-Tabrani)
Sahabt yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jauhi empat golongan yang dinyakan di di atas yang tidak akan mencium bau syurga dan dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan akhirat. Jika kita meliht realiti masyarakat kita mereka ramai yang terlibat perkara ke 2 di atas iaitu terlibat dengan amalan riba dan mereka tidak merasi bersalah apabila menggunakan riba.
No comments:
Post a Comment