Tuesday, March 11, 2014

MURTAD ~ TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN

Murtad Jangan di Pandang Sebelah Mata

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Sejak lebih seribu tahun yang lalu, berbagai-bagai usaha telah dilakukan oleh musuh-musuh Islam bagi menghalang perkembangan Islam. Setelah gagal, usaha itu ditumpukan dengan merosakkan akidah orang Islam dan memberikan pelbagai tanggapan negatif terhadap ajaran Islam. Selain itu usaha juga dibuat untuk melemahkan kekuatan dan kebangkitan Islam sebagai satu kuasa baru dunia. Ini dilakukan dengan memecahbelahkan perpaduan dan kesatuan umat Islam sehingga mencetuskan perbalahan, pergaduhan serta peperangan yang tidak kunjung padam. 

Semua ini adalah dalang ada yang merancangnya. Tangan halus di sebalik pergolakan itu tidak lain ialah orang Yahudi dan Nasrani. Sebagaimana yang disebut dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 120, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah :'dan sesungguhnya jika kamu mengikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu. Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolongmu'."

Kedua-dua golongan itu tidak akan reda sehingga umat Islam mengikut cara hidup mereka. Salah satunya ialah dengan memurtadkan orang Islam melalui penjajahan pemikiran, budaya dan fizikal dalam bentuk yang baru.

Orang Yahudi (gerakan Zionis) menggunakan badan kebajikan atas nama Pertubuhan Freemason, sukan, hiburan,Lion Club dan badan bukan kerajaan (NGO). Gerakan ini cukup teratur dan mempunyai matlamat jangka masa panjang untuk menghancurkan umat Islam menggunakan apa sahaja cara. Pada mereka matlamat boleh menghalalkan cara.

Gerakan Kristian juga memainkan peranan yang cukup aktif. Mereka memurtadkan orang Islam dengan cara diplomasi dan tektik lemah lembut yang digunakan oleh para mubalignya. Pusat dakwah mereka untuk orang-orang melayu adalah berpusat di Singapura, kerana di Singapura dibenarkan kebebasan beragama dan terdapat Persatuan Melayu Kristian berdaftar secara resmi dengan kerajaan Singapura. Disini telah dilatih beribu-ribu Paderi Melayu untuk menjadi mubalignya untuk kawasan Asia Tenggara (Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei).

Agama Hindu juga berperanan mempengaruhi umat Islam terutama dikalangan India Muslim untuk mengajak gadis-gadis Islam kepada agama mereka. Oleh kerana pengaruh filem Bollywood telah bertapak lama di dalam masyarakat Islam maka tidak hairanlah kalau ianya menjadi faktor penting boleh mempengaruhi akidah umat Islam.

Pada kita membincangkan mengenai gerakan agama lain, kita jangan lupa tentang usaha yang dilakukan oleh golongan munafik untuk memurtadkan orang Islam dengan menyebarkan pelbagai ajaran yang menyeleweng daripada Islam. Kemunculan ratusan ajaran sesat seharusnya menyedarkan kita bahawa kedudukan akidah umat Islam benar-benar berada didalam keadaan terancam. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan Ajaran Ayahpin yang menganggap dia sama seperti 'tuhan' dan Ajaran Kahar yang mendakwa sebagai rasul melayu. Yang menjadi kehairanan kita ajaran yang songsang ini pun masih ada orang yang sanggup menjadi pengikut mereka.

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam Al-Quran, Allah SWT. telah menyebut tentang murtad. Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah ayat 217)

Hukum asal bagi orang yang murtad ialah dibunuh. Ini berdasarkan kepada hujah dan dalil hadis Nabi SAW. yang bermaksud, "Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia." Hukum bunuh ini wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad samaada lelaki ataupun perempuan, tua ataupun muda tanpa sebarang perbedzaan. Sebelum hukuman dijalankan mereka yang murtad masih diberi peluang beberapa hari untuk bertaubat dan kembali kepada akidah dan ajaran Islam.

Menurut fakta yang dibentangkan Mufti Perak, Tan Seri Harussani Zakaria dengan bilangan 100,000 orang Melayu menukar agama, sesuatu yang cukup serius lagi mencabar.

Dibawah ini dinyatakan beberapa contoh kes murtad yang berlaku keatas umat Islam :

1. Aisyah binti Bukhari (Pontian, Johor) menukar kepada agama Kristian dan dilarikan ke Vatican (Pusat Pentadbiran Kristian Katolik) berkahwin dengan pemuda kristian.

2. Hartini binti Kamarudin (Kampar Perak) bertukar nama menjadi Nivashiny (menganut agama Hindu) berkahwin dengan pemuda hindu bernama Rajeswaran.

3. Norfazilah binti Abd Aziz (Seremban, N.Sembilan) menukar kepada agama hindu dan telah berkahwin dengan pemuda hindu.

4. Siti Salam binti Md. Yasin (Ulu Tiram Johor) menukar agama kepada agama hindu, dan berkahwin dengan pemuda hindu.

5. Azlina binti Jailani (Banting, Selangor) bertukar kepada agama Kristian dengan menukar namanya Lina Joy. Kes ini mengemparkan umat Islam kerana beliau berani membawa kesnya ke mahkamah untuk mengistiharkan bahawa dia bukan lagi wanita Islam dan ingin menukar status agama dalam maykadnya, tetapi beliau gagal kerana kes melibatkan agama mesti di rujuk kepada Mahkamah Syariah.

Oleh kerana kes murtad telah menjadi seperti barah dalam masyarakat kita maka setiap pihak samaada pemerentah, pihak berkuasa agama Islam, mufti-mufti, para pendakwah, ahli-ahli politik beragama Islam dan setiap individu muslim perlulah mengambil langkah proaktif untuk menyelamatkan akidah umat Islam dari diceroboh oleh agama lain.

Pusat-pusat dakwah dan NGO Islam dan perlu bekerjasama dan saling bantu membantu tanpa mengira fahaman politik, untuk memberi kefahaman dan kesedaran Islam di semua peringkat umat Islam supaya mereka tidak terpengaruh dengan ajaran agama lain dan ajaran sesat dan kembali memahami dan memperaktikkan Islam sebagai satu cara hidup.

Kenapa Berlaku Murtad Di Kalangan Umat Islam Dan Bagaimana Cara-cara Untuk Mengatasinya?

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masaalah murtad dikalangan umat Islam telah menjadi suatu masaalah yang besar. Gejala terkutuk ini tidak sepatutnya berlaku di Malaysia kerana majoriti rakyatnya adalah beragama Islam dan di dalam perlembangaan telah termaktub bahawa  orang-orang bukan Islam tidak boleh memurtadkan umat Islam. Tetapi yang menjadi tanda soal kenapa orang-orang bukan Islam bebas memurtadkan orang-orang Islam dan tidak ada tindakkan tegas daripada pemerintah?

Murtad  adalah bermaksud berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad.

Murtad adalah satu perbuatan yang paling keji dan hina . Paling dikutuk oleh Allah SWT kerana sesiapa yang murtad akan  mendapat balasan neraka Jahanam mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah ayat 217)

Perkara-perkara Yang Boleh Menyebabkan Murtad ada tiga iaitu melalui :

Pertama : Perkataan.

Kedua : Perbuatan

Ketiga : Niat.

Huraiannya :

Pertama : Perkataan

Sebarang perkataan yang jelas boleh membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) orang yang mengucapkannya. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Patutkah nama Allah dan ayatNya serta Rasul Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alas an-alasan yang dusta), (kerana) sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.."
(Surah at-Taubah ayat 65-66)

Di antara contoh-contoh perkataan yang membawa kepada kufur adalah seperti berikut :

1. Engkar sesuatu yang diketahui daripada agama (Islam) secara jelas seperti mengengkari keesaan Allah, kewujudan Malaikat, Kenabian Nabi Muhammad S.A.W dan seumpamanya.

2. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT .

3. Mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT.

4. Mencela Nabi Muhammad SAW atau Nabi-nabi lain atau mengejek mereka. Dan menolak hadis-hadis sahih sebagai sumber hukum.

5. Mencela agama Islam, menghina al-Quran dan as-Sunnah dan tidak beramal dengan keduanya.

6. Mendakwa wahyu turun kepadanya.

7. Merendah-rendahkan nama Allah dan perintah Nya.

Kedua : Perbuatan

Di antara perbuatan yang boleh membawa kepada murtad (riddah) ialah :

1. Mencampakkan Mashaf al-Quran atau Kitab Hadis Rasulullah SAW ke tempat-tempat kotor dengan tujuan menghina.

2. Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.

3. Tidak mengamalkan hukum-hukum al-Quran dan as-Sunnah kerana menggangapnya tidak sesuai dengan zaman sekarang dan yakin bahawa undang-undang ciptaan manusia lebih utama dan mulia daripada undang-undang ciptaan Allah SWT.

Ketiga : Niat

Contohnya ialah seperti berazam untuk kafir pada hari esok atau teragak-agak untuk melakukannya. Niat seperti itu menyebabkan orang itu kufur ketika itu juga.

Syarat-syarat Sah Seseorang Dikira Murtad

Para Ulama bersepakat meletakkan dua syarat bagi mengesahkan seseorang Islam dikira murtad.

1. Berakal tidak sah murtad orang gila dan kanak-kanak.

2. Pilihan sendiri atau sukarela. Tidak sah murtad orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih beriman.

Berkata Syed Sabiq : "Seseorang Islam tidak dikira hukum murtad (riddah) kecuali apabila telah lapang dadanya dengan kufur dan tenang hati dengannya dan masuk ke dalamnya (kufur) dengan sebenarnya".

Berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 106 maksudnya : "Akan tetapi (yang dikira kafir) seseorang yang lapang dadanya dengan kufur."

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Kenapa murtad boleh berlaku kepada penganut Islam?

Terdapat tujuh faktor boleh menyebabkan seseorang dengan mudah menjadi murtad iaitu :

1. Tidak mendapat didikan agama yang sempurna.

2. Iman terlalu lemah hinggakan dalam hati tidak ada perasaan takut kepada Allah SWT.

3. Kemiskinan dan tidak ada pendapatan yang tetap untuk menyara kehidupan.

4. Faktor  sudah jatuh cinta kepada pasangannya yang beragama lain.

5.Mengikut rakan-rakan sebaya yang tertarik dengan tawaran kewangan

6. Terpengaruh dengan kehebatan seseorang ketua yang mungkin menggunakan ilmu sihir.

7. Saudara baru yang murtad (kembali kepada agama asal) disebabkan tidak mendapat bimbingan yang sempurna setelah masuk Islam.

Huraiannya :

1. Tidak mendapat didikan agama yang sempurna.

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah ibu bapanya lah yang akan mencorakkan anak-anaknya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih dari dosa). Maka kedua ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari)

Apabila ibu bapa melalaikan kewajipan memberi ilmu agama dan kefahaman Islam yang syumul maka anak-anak membesar tanpa ilmu, otak mereka kosong sehinggakan perkara asas seperti akidah,  ibadah dan fekah mereka tidak memiliki pengetahuan tersebut. Bila tidak berilmu maka amalan fardu akan ditanggalkan. Anak-anak tidak dapat membezakan yang haram dan halal dan yang sesat dan yang benar. Bila datang dakyah kepada ajaran sesat atau agama Kristian mereka tidak tahu hendak menolaknya hinggakan terpengaruh dan sanggup menjadi murtad.

2. Iman terlalu lemah hinggakan dalam hati tidak ada perasaan takut kepada Allah SWT.

Apabila ilmu agama sudah tidak ada dalam diri seseorang bagaimana iman dan keyakinan yang kuat kepada Allah SWT dan perkara yang ghaib dapat diyakini dalam hati? Apabila iman kosong atau terlalu lemah imannya maka amat mudah dimasuki unsur-unsur negatif dan akan mudah tertawan dengan ganjaran kewangan yang lumayan maka sedikit demi sedikit hati akan tertarik dan terus memgikuti agama yang sesat tersebut. Iman yang kuat akan menolak segala bentuk syirik atau akidah yang sesat yang akan menguasai seseorang muslim itu.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."  (Hadis Riwayat Muslim)

Ini adalah wasiat Rasulullah SAW kepada umatnya, dimana dalam wasiat ini baginda memperingatkan, bahawa akan muncul suatu zaman yang di dalamnya terjadi berbagai fitnah antara manusia. Fitnah di sini boleh tafsirkan sebagai  kekufuran dan dosa-dosa besar berlaku dikalangan umat Islam.Ia juga boleh ditafsirkan sebagai mempersenda-sendakan ajaran Islam, perintah-perintah Allah dan rukun-rukun Islam. Boleh juga dimaksudkan sebagai kafir kepada Allah, Rasul-Nya dan apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW.

3. Kemiskinan dan tidak ada pendapatan yang tetap untuk menyara kehidupan.

Hadis Rasulullah SAW dari Hajjaj bin Farafisah dari Yazid al-Ruqashy dari Anas bin Malik r.a. yang bermaksud: “Maka sesungguhnya kefakiran itu hampir-hampir mengundang kekufuran.” (Hadis di atas ada disebut di dalam kitab Hilyah al-Awliya’ oleh Abu Nu’aim - Jil:3, m/s: 53)

Apabila seseorang terdesak tidak cukup pendapatan untuk menyara kehidupan anak-anaknya yang ramai disebabkan kematian suami atau ditinggalkan suami, maka mereka ini akan menyambut baik sekiranya ada pihak-pihak tertentu (pendakyah Kristian) yang mempunyai dana yang banyak memberikan kepada mereka sumbangan berupa wang ringgit, makanan, pakaian atau peralatan sekolah untuk anak-anakanya. Sedikit demi sedikit jarum dakyah mereka akan disuntik kepada mereka-mereka yang mendapat bantuan ini akhirnya iman yang ada akan dijual dengan habuan harta dunia.

Kita patut bertanya dimana Baitul mal kita yang mengumpul jutaan ringgit wang zakat umat Islam? Adakah pihak bertanggung jawab prihatin terhadap orang fakir miskin yang memerlukan bantuan wang zakat ini? Kenapa wang zakat yang jumlahnya ratusan juta telah dilaburkan kesana sini sedangkan  wang tersebut sepatutnya diagihkan kepada fakir miskin terutama ibu-ibu tunggal yang menanggung anak-anak yang ramai. Apabila kes baru-baru ini berlaku di Petaling Jaya sebuah gereja mengagih-agihkan bantuan kepada beberapa orang Islam dibulan Ramadan barulah pihak berwajib membuka mata, sedangkan sebelum ini mereka terlepas pandang akan tanggungjawab ini.

Di harapkan pada masa akan datang perkara yang memalukan umat Islam tidak berulang lagi. Jika dibuat kajian banyak kes-kes kemiskinan ini menjadi salah satu faktor mereka sanggaup murtad dan menukar agama.

4. Faktor  sudah jatuh cinta kepada pasangannya yang beragama lain.

Salah satu faktor kes murtad adalah kerana ingin berkahwin dengan pasangan yang beragama lain kerana sudah jatuh cinta dan terminum 'air syaitan' diberikan oleh pasangannya yang bukan Islam. Contoh kes Aisyah Bukhari dari Johor yang mengikut kekasihnya yang beragama Kristian ke luar negara. Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai ramai rekod daripada individu yang bercadang menukar nama dan menukar status agama yang tercatit di mykad daripada Islam kepada agama baru yang mereka yakini. Jumlahnya melebihi 100,000 orang.

5.Mengikut rakan-rakan sebaya yang tertarik dengan tawaran kewangan.

Ada kes murtad berlaku dikalangan belia Islam kerana terpedaya dengan tawaran gaji yang lumayan  iaitu menjadi pendakwah mereka. Gaji, rumah, kereta diberikan secara percuma asalkan mereka sanggup menukar agama dan menerima tawaran tersebut menjadi barisan pendakwah yang dilatih. Mereka akan dihantar ke Singapura atau ke luar negara untuk mendapat didikan seluk beluk agama mereka. Perkara ini di dedahkan oleh beberapa orang padri yang telah bertaubat dan kembali balik kepada ajaran Islam.

6. Terpengaruh dengan kehebatan seseorang ketua yang mungkin menggunakan ilmu sihir.

Kes murtad bukan sahaja belaku dengan menukar daripada agama Islam kepada Kristian , Hindu atau Buddha tetapi murtad juga berlaku apabila seseorang itu patuh kepada ajaran sesat yang menyeleweng dengan akidah Islam seperti Ajaran Ayah Pin, Ahmad Qadiani, Nabi Palsu Melayu (Abdul Kahar)  dan lain-lain lagi. Kerana taksub dengan 'guru' mereka, mereka sanggup meninggalkan ajaran Islam dan percaya kepada guru yang sesat membawa ajaran baru yang bertentangan dengan akidah Islam dan syariat Islam. Kebanyakkan guru-guru sesat tersebut menggunakan ilmu sihir untuk meyakinkan pengikutnya bahawa dia mempunyai kelebihan yang luar biasa.

7. Saudara baru yang murtad (kembali kepada agama asal) disebabkan tidak mendapat bimbingan yang sempurna setelah masuk Islam.

Terdapat kes murtad daripada  saudara baru yang telah masuk Islam  telah kembali kepada agama asal mereka kerana dibiarkan tanpa bimbingan dan didikan yang sempurna.  Tidak sepatutnya perkara ini berlaku kerana apabila seseorang telah masuk Islam maka tanggungjawab Jabatan Agama Islam negeri-negeri, PERKIM, Pertubuhan Cina Muslim, Outreach Abim, Jemaah Islah Malaysia (Hidayah Centre), Pertubuhan Ikram Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGO Islam) yang lain dan umat Islam seluruhnya membantu dan membimbing saudara-sauadara baru supaya mereka istiqamah dengan akidah Islam dan berterusan mendapat ilmu, bimbingan dan tarbiah.

Sahabat yang dikasihi,
Kes murtad ini telah menjadi kes yang serius , dan meningkat dari tahun ketahun .

Pada tahun 2008,dalam satu ceramah Forum Perdana 'Pekerti Islam' di Kedah yang turut disiarkan pada siri ceramah agama RTM.Mufti Perak Dato' Harussani mendakwa bahawa  hampir 250,000 orang yang murtad di negara kita ini.  Bilangan tersebut termasuklah kira-kira 100,000 orang-orang Islam Melayu yang telah mengistiharkan diri mereka masuk Kristian.

Jika apa yang dijelaskan oleh Dato' Harussani ini benar suatu perkara yang amat mendukacitakan kerana begitu ramai akidah umat Islam telah dipesongkan oleh orang kafir dan mengajak menganuti agama mereka. Perlulah setiap orang dikalangan umat Islam rasa sedih dan simpati dan bertidak terus untuk memulihkan keadaan yang amat merbahaya ini. Sedangkan dalam perlembagaan menyatakan bahawa agama lain tidak boleh memurtadkan akidah umat Islam dan menganut agama mereka.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa cara untuk menghalang daripada  berlakumya gejala riddah (murtad) di kalangan umat Islam.

1. Menyebarkan risalah dakwah, tarbiah dengan memberi kesedaran terus menerus kepada umat Islam tidak kira status mereka akan kesyumulan dan kemurniaan agama Islam . Para pendakwah perlu memperbanyakkan usaha dakwah tanpa jemu sehingga masyarakat Islam mempunyai keimanan dan kefahaman yang mendalam terhadap ajaran Islam dan cuba mempraktikkannya . Para pendakyah Kristian memberi tumpuan untuk membantu fakir-msikin dikalangan umat Islam oleh itu pastikan tidak ada dikalangan fakir miskin yang tidak mendapat bantuan dan pembelaan. Jabatan agama Islam negeri-negeri  dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO Islam)   dan PERKASA perlu mengadakan banyak ceramah, kuliah agama, kursus motivasi kepada belia dan remaja Islam supaya segala aktiviti negatif seperti merempit dan menyalah gunakan dadah dapat diatasi dan dapat mengelakkan daripada remaja kita terpengaruh dengan agama lain.

2. Semua pertubuhan bukan kerajaan seperti ABIM, JIM, HALUAN, ISMA, PERKASA, PERKIM, PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA, PERSATUAN ULAMA MALAYSIA, GAPENA, PERTUBUHAN PELAJAR-PELAJAR ISLAM MALAYSIA, GPMS dan Jabatan Agama Negeri-negeri bergabung tenaga dan bekerjasama untuk menjadikan satu "Gagasan Pergerakan Anti Murtad". Menjadi "mata dan telinga" kepada Jabatan Agama Negeri-negeri dan Majlis Agama Negeri-negeri supaya segala segala bentuk aduan daripada orang ramai mengenai kemurtadan akan diambil tindakkan segera tanpa ada halangan dan gangguan daripada pihak-pihak tertentu. Menjaga akidah umat Islam lebih penting daripada menjaga hati agama lain kerana setiap umat Islam WAJIB melaksanakan tugas ini dan mereka akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat jika kita biarkan gejala murtad berlaku bermaharajalela di negara kita.

3. Mempergunakan secara maksima wang zakat untuk memberi bantuan sebanyak mungkin kepada golongan fakir-miskin, ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan oku dan warga emas. Wang zakat umat Islam tidak harus diperniagakan dan disimpan di bank-bank sahaja dengan harapan untuk pelaburan sedangkan tujuan wang zakat adalah untuk 8 asnaf bukan untuk pelaburan. Semua pertubuhan bukan kerajaan perlu menubuhkan "tabung anti -murtad" dipertubuhan masing-masing bertujuan menyalurkan bantuan kepada saudara baru dan golongan miskin tegar supaya tidak ada alasan umat Islam menjadi murtad kerana kemiskinan.

4. Memantau semua gereja-gereja dan kuil-kuil agama lain dinegara kita supaya tidak ada umat Islam yang terlibat diberi bantuan oleh mereka dengan alasan kemiskinan atau bantuan kebajikan kerana kita yakini bahawa setiap bantuan ada agenda tersembunyi yang perlu kita awasi.

5. Mengaktakan hukuman murtad lebih berat lagi supaya umat Islam akan berfikir 1000 kali sebelum murtad dan menukar agama kerana hukuman sedia ada terlalu ringan dan tidak ada sedikit pun perasaan takut dihati mereka yang ingin murtad.

6. Menubuhkan "skud nahi mugkar" disetiap masjid dan surau untuk membantu Jabatan Agama untuk mencegah maksiat dan kemugkaran dikalangan umat Islam termasuk gejala murtad supaya gerakan kristianisasi akan dapat disekat berlaku kepada umat Islam.

7. Memperkasakan pendidikan Islam di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi awam dan swasta. Banyak menekankan aspek akidah dan akhlak supaya para pelajar, remaja dan belia kita mempunyai kekuatan akidah dan akhlak dan tidak akan mudah dipesongkan akidah mereka apabila berada di dalam masyarakat.

8. Memperbanyakkan rumah-rumah perlindungan kepada golongan terbiar seperti penagih dadah dan pengidap penyakit HIV atau remaja yang terlanjur (mengandung anak luar nikah) kerana banyak kes golongan ini di ambil kesempatan oleh pendakyah Kristian untuk memberi rawatan, mengambil anak-anak luar nikah tersebut setelah dilahirkan, menempatkan mereka dirumah perlindungan, memberi makan-minum akhirnya mereka dapat dimurtadkan.

9. Mendesak kerajaan supaya menyekat atau mengurangkan segala bentuk hiburan yang melalaikan umat Islam terutama yang datang dari luar negara kerana kesan daripada pengaruh luar akan menambahkan gejala sosial dan melemahkan akidah umat Islam. Kerajaan juga perlu didesak supaya mengarahkan pihak media letronik (Television) dan media masa (akhbar arus perdana) memperbanyakkan bentuk-bentuk dakwah dan pendidikan agama Islam supaya akidah umat Islam sentiasa kukuh dan meningkatkan ilmu Islam. Pihak kerajaan juga diminta memastikan cerita-cerita dalam drama dan filem berbentuk tahyul yang boleh memesongkan akidah umat Islam seperti cerita hantu dapat di sekat. Ini adalah tanggungjawab kita semua.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita pertahankan akidah kita, akidah ahli keluarga kita dan akidah umat Islam seluruhnya supaya tidak dirosakkan oleh agama lain. Sama-sama kita mengwujudkan suasana yang baik dan suasana yang mendekatkan hati kita kepada Allah SWT. Pantaulah semua anak-anak kita, jiran tetangga , sahabat handai dan masyarakat Islam seluruhnya supaya apa sahaja perbuatan, percakapan dan tindakan tidak membawa kepada riddah (murtad) kerana sesiapa yang menjadi murtad dosa-dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah SWT dan akan dimasukkan kedalam neraka Jahanam selama-lamanya. Nauzubillahiminzalik.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML