Tuesday, March 11, 2014

MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA

Dalam Islam Matlamat Tidak Boleh Menghalalkan Cara

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Terdapat satu kaedah umum dalam Islam iaitu "Matlamat Tidak Menghalalkan Cara".

الغاية لا تُبرر الوسيلة

Berlawanan dengan kaedah ini iaitu "Matlamat Menghalalkan Cara", teori ini menurut sumbernya dipopularkan oleh Niccolò Machiavelli di dalam buku tulisannya bertajuk ‘The Prince'.

Jika dirujuk kepada konsep yang digagaskan oleh Machiavelli ini, sudah tentunya Islam menolak ideanya kerana ia tidak mempunyai sebarang limitasi dan panduan. Ia terbuka, untuk apa sahaja cara, selagi mana boleh membawa sesuatu objektif yang ingin diraih dan dikira perlu. Maka lakukankanlah cara itu, ia akan berubah menjadi mulia dan diterima.

Dalam Islam semua perbuatan, amalan dan niat dan cara-caranya mesti dibenarkan syarak dan matlamatnya juga jelas tidak bertentangan dengan syarak. Kita di larang menggunakan kaedah matlamatnya baik (syarak benarkan) tetapi cara dan jalannya haram.

Dalam keadaan tertentu Islam menghalalkan cara untuk mencapai sesuatu matlamat yang lebih utama dan besar kepentingannya berbanding cara yang diambil. Terdapat hanya empat bidang sahaja yang dibenarkan oleh Islam menggunakan cara yang haram iaitu dalam bidang muamalat , harta, jenayah dan keluarga, kerana kebanyakan dari hukuman dalam bidang ini bergantung kepada 'illah atau penentuan sebab utama dan matlamat serta objektif. Adapun, bidang ibadah tidaklah termasuk kerana ia bersifat ta'abudi :

Ringkasan hujjah dan dalil bagi keadaan ini adalah :- 

1. Firman Allah : -

: فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya : Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Surah Al-Baqarah ayat 173)

Ayat ini jelas menunjukkan bagi mencapai matlamat ‘TERUS HIDUP' iaitu maslahat nyawa, dibenarkan bagi seseorang Islam itu untuk melakukan satu cara yang tidak halal, iaitu memakan makanan yang haram, bagi mencapai matlamatnya iaitu terus hidup. Ini kerana kepentingan nyawa adalah lebih besar berbanding memakan yang haram, justeru dalam keadaan TERPAKSA sahaja, cara yang asalnya HARAM itu menjadi harus buat sementara waktu.

2. Firman Allah swt :-

من كفر بالله من بعد إيمانه إلا من أكره وقلبه مطمئن بالإيمان ولكن من شرح بالكفر صدرا

Ertinya : "Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar." (Surah An-Nahl ayat 106 ) 

Ayat ini juga menunjukkan keterpaksaan dalam menjaga matlamat iaitu nyawa, membolehkan seseorang Islam mengucapkan perkataan kafir, semata-mata untuk mencapai matlamat yang lebih utama, iaitu dengan syarat ia dalam keadaan terpaksa dan hatinya tetap beriman.

3. Hadis Nabawi:

ليس الكذاب الذي يصلح بين الناس ويقول خيراً وينمي خيراً

Ertinya : "Tiadalah dikira sebagai pembohong, mereka yang memperdamaikan di antara manusia, dan dia berkata yang baik dan berharap hasil yang baik juga." ( Hadis Riwayat Muslim) 

Imam an-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini membawakan kata-kata Ibn Shihab yang mengatakan diberikan keringanan untuk untuk berbohong di dalam tiga keadaan iaitu :-

a. Peperangan

b. Memperdamai antara manusia yang bertelagah

c. Suami kepada isteri dan isteri kepada suami (untuk menuju kepada yang baik sahaja dan tidak sampai memudaratkan keduanya).

Namun Imam At-Tabari tidak bersetuju dan berpendapat yang dibenarkan bukanlah berbohong tetapi adalah tawriah iaitu menyembunyikan hal yang benar dengan cara-cara bijaksana seperti kata-kata yang membawa banyak maksud.
(Syarah Sohih Muslim, di hadis no 2605)

Apa yang jelas dari huraian para ulasa silam, mereka sepakat keharusan menipu dalam keadaan terpaksa dan dharurat, namun mereka berbeza tafsiran dalam keadaan biasa demi mencapai matlamat yang halal dan baik.
(Rujuk Fath Al-Bari, Kitab al-Sulh, hadis 2546)

4. Keadah Umum Fiqh:

الضرورات تبيح المحظورات

Ertinya : "Keadaan terdesak (dharurat) boleh mengharuskan yang haram."

Ini adalah kaedah yang sangat popular dan diketahui umum, walaupun ia hanya relevan di dalam hal terdesak, ia masih satu keadah yang memberikan indikasi matlamat boleh menghalalkan cara dalam sesetengah bentuk dan keadaan.

Sahabat yang dimuliakan,
Umat Islam hari ini amat mudah untuk menghalakan cara yang haram atau subahat semata-mata untuk mencapai matlamat yang baik. Walaupun jalan dan cara yang digunakan bertentangan dengan syariat, akhlak dan nilai-nilai murni yang digariskan Islam.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Penipuan dalam daftar pemilih, menggunakakan undi hantu, memberi kewarganegara kepada mereka yang tidak berkelayakan semata-mata untuk memenangi pilihanraya. Matlamatnya baik bila berjaya dalam pilihanraya boleh meneruskan pembangunan dan membantu rakyat jelata tetapi cara-caranya jelas haram kerana hak menggudi diberikan kepada yang tidak layak.

Kedua : Mengadakan konset dan nyayian bercampur gaul lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dilarang oleh Islam. Semata-mata niat yang baik untuk mengutip derma untuk mangsa banjir, kebakaran dan sebagainya tetapi cara mendapatkan sumber kewangan jelas boleh merosakkan akhlak Islam.

Ketiga : Cara "Robinhood" mencuri harta orang kaya untuk diberikan kepada orang miskin. Niatnya baik untuk membantu orang-orang miskin tetapi cara mencuri dan merampas hak orang lain ditegah oleh Islam.

Keempat : Menggunakan duit riba atau rasuah untuk mengerjakan haji di Mekah. Pergi ke Mekah untuk mengerjakan haji adalah wajib jika berkemampuan tetapi duit yang diperolehi dengan cara riba dan rasuh adalah haram maka haji yang dikerjakan tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Dalam Islam keempat-empat cara diatas adalah haram dan bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu umat Islam perlulah berhati-hati jangan amalkan perbuatan tersebut dan jangan memberi sokongan kepada mereka yang jelas menggunakan kaedah "Matlamat Menghalalkan Cara". 

Jika kita setuju dengan cara dan jalan yang haram sebenarnya kita bersubahat dan kita akan disoal nanti di hari akhirat kenapa kita membantu dan memberi sokongan kepada mereka yang membelakangkan Islam dalam menggunakan cara yang batil dan haram.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML