Tuesday, March 11, 2014

MENGUBATI PENYAKIT LISAN

Sahabat yang dirahmati Allah,

Adakah kalian sedar mengenai penyakit yang datang daripada lisan? Pernahkah kalian berusaha untuk berubah tetapi tidak berjaya? Artikel ini membincangkan teknik mengubati penyakit lisan daripada Al-Qur'an, khusus untuk mereka yang berniat untuk berubah, Insya Allah.

Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan. Petua ini berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka memfitnah, mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain penyakit yang datang dari lisan.

Pertama, Nabi s.a.w.  menyuruh diam. Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa Nabi S.A.W. pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”

Kedua, Nabi s.a.w.  menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah. Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan dan kepentingan diri dan terlupa memuji Pencipta lidah setiap hari. Kata-kata yang dihasilkan oleh lidah dalam memuji Pencipta lidah lebih sedikit berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi sesama kita. Menurut sahabat Ibnu Umar, Nabi s.a.w. pernah berkata, “Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang yang paling keras hati."

Berhubung dengan zikir, menurut rekod Imam Bukhari, Nabi telah menyatakan, “Ada dua kalimat yang paling disukai Yang Maha Pengasih. Sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat dalam timbangan. Kedua-dua kalimat itu adalah ’subhanallah wa bihamdihi’ dan ’subhanallah hil azim’.” Kedua-dua kalimat ini membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’ Di dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca “subhanallah wabihamdihi” 100 kali sehari, maka semua dosanya (dosa kecil)  diampunkan oleh Allah, meski pun sebanyak buih di lautan. Dosa besar dapat diampunkan dengan bertaubat nasuha kepada Allah s.w.t.

Ketiga, sahabat Huzaifah r.a. pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang keburukkan yang ada pada lisannya. Maka Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Bagaimanakah engkau dengan istighfarmu wahai Huzaifah? Sesungguhnya aku beristigfar kepada Allah s.w.t. seratus kali setiap hari.”

Istighfar bermaksud memohon ampun. Ucapan istighfar yang dimaksudkan adalah sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, “Astaghfirullahazim” disertakan “perasaan menyesal” di dalam hati. Jika Nabi s.a.w. yang maksum dan yang baik tutur kata beristighfar kepada Allah sebanyak itu, bagaimana pula agaknya jumlah kuantiti istighfar orang yang mempunyai penyakit lisan?

Wallahu’alam. Selamat mencuba :) 
(Sumber diambil daripada bicaramuslim.com)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML