Saturday, April 19, 2014

SOLAT-SOLAT SUNAT

Solat sunat dikerjakan sebagai solat tambahan kepada solat-solat fardhu.  Pada Hari Kiamat, ia dapat menampal kekurangan yang mungkin ada pada solat fardhu seseorang mukmin.  Justeru, tidak sepatutnya kita mengabaikannya begitu sahaja, sedangkan ia dapat memanfaatkan kita ketika timbangan amal dihisab kelak.

Secara ringkasnya terdapat beberapa jenis solat sunat yang thabit dari amalan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Di dalam kitab Al-Fiqhul Manhaji `ala madzhab al-Imam asy-Syafi`i telah dibahagikan solat-solat sunat tersebut kepada dua (2) bahagian besar bagi memudahkan kefahaman kita bersama, iaitu:

Solat sunat yang dikerjakan secara tidak berjemaah.
Solat sunat yang dikerjakan secara berjemaah.

1.  Solat Sunat Yang Dikerjakan Secara TIDAK BERJEMAAH
Solat sunat yang dikerjakan secara tidak berjemaah boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan, iaitu:

Solat sunat yang mengiringi solat-solat fardhu.  Dipanggil juga sebagai Solat Sunat Rawatib.
Solat sunat yang tidak mengiringi solat-solat fardhu.
1 (a)  Solat Sunat Yang Mengiringi Solat Fardhu
Bagi Solat Sunat Rawatib, terdapat dua pembahagian iaitu yang Muakkad dan yang Tidak Muakkad.  Pembahagian secara ringkas adalah seperti berikut:

Muakkad (Amat digalakkan untuk kita kerjakannya)



2 rakaat sebelum Subuh
2 rakaat sebelum Zuhur
2 rakaat selepas Zuhur
2 rakaat selepas Maghrib
2 rakaat selepas Isyak
Tidak Muakkad
2 rakaat sebelum Zuhur (tambahan 2 rakaat)
2 rakaat selepas Zuhur (tambahan 2 rakaat)
4 rakaat sebelum Asar (2 salam)
2 rakaat sebelum Maghrib
2 rakaat sebelum Isyak

1 (b)  Solat Sunat Yang TIDAK Mengiringi Solat Fardhu
Manakala bagi solat sunat yang tidak mengiringi solat-solat fardhu pula boleh dibahagikan kepada 2 iaitu:

Ada nama dan waktu tertentu:
Solat Sunat Tahiyyatul masjid
Solat Sunat Witir
Qiamullail (dinamakan tahajjud jika dilakukan selepas tidur)
Solat Sunat Dhuha
Solat Sunat Istikharah
Tiada nama khusus dan tiada waktu tertentu.  Solat ini dipanggil Solat Sunat Mutlak.
2.  Solat Sunat Yang Dikerjakan secara BERJEMAAH
Bagi solat-solat sunat yang dikerjakan secara berjemaah, berikut adalah jenis-jenisnya:

Solat Sunat Hari Raya iaitu `Eidul Fitri dan `Eidul Adha
Solat Sunat Tarawih
Solat Sunat Gerhana Matahari / Bulan
Solat Sunat Istisqa’ (minta hujan)
Secara ringkasnya, pembahagian solat-solat sunat dapat digambarkan melalui gambarajah berikut:



Semoga penjelasan ringkas ini bermanfaat buat saya dan tuan/puan, in shaa’ ALLAH.  Mudah-mudahan kita semua diberikan hidayah dan taufiq oleh ALLAH untuk kita melaksanakannya.

لا حول و لا قوة الا بالله

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML