Thursday, March 6, 2014

Mereka Yang Menolak Hukum-hukum Allah SWT Samaada Jatuh Kafir, Zalim Atau Fasik.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan barangsiapa yang mengagungkan peraturan-peraturan suci dari Allah, maka itulah yang terbaik baginya di sisi Tuhannya.” (Surah al-Haj ayat Ayat 30)

Sabda Rasulullah SAW :

لَحَدٌّ يُقَامُ فِيْ الأَرْضِ أَحَبُّ إِلَى أَهْلِهَا مِنْ أَنْ يُمْطَرُوْا ثَلاَثِيْنَ صَبَاحًا

Maksudnya : "Hukum hudud yang dilaksanakan di muka bumi adalah lebih baik bagi penduduk bumi dari mereka diberi hujan tiga puluh pagi."  (Hadis Riwayat An-Nasa-ie , dari Abu Hurairah , Sahih Ibnu Majah no; 2057, Ibnu Majah 2/848 no : 2538)

Terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak melaksanakan hukum selari dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala. 

Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:

 وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ 

Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. " (Surah al-Maidah (5) ayat 44)

Firman Allah Subhanahu Wa Taala :

 وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ 

Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim."(Surah al-Maidah (5) ayat 45)

Firman-Nya lagi :

 وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ 

Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik." (Surah al-Maidah (5) ayat 47) 

Ayat-ayat tersebut, meskipun diturunkan berkenaan kaum Yahudi dan Nasrani, namun tidak terhad ke atas mereka semata-mata kerana ungkapan ayat tersebut bersifat umum. Perkataan "man" menunjukkan bahawa ia makna umum, dan tidak dikhususkan kepada kelompok tertentu. Sedangkan dalam kaedah yang rajih ada dinyatakan:

 الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ 

"Berlakunya hukum dilihat dari keumuman lafaz, bukan pengkhususan sebab."

Oleh kerana itu ketiga-tiga ayat tersebut bersifat umum, merangkumi kesemua golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala. 

Kesimpulan ini juga dinyatakan oleh Ibnu Masud, al-Nakhai, Ibnu Abbas, Ibrahim, al-Hasan, al-Sudi, Fakhruddin al-Razi, Ibnu Athiyyah, al-Qinuji, al-Samarqandi, dan Mahmud Hijazi. 

Sungguhpun bersifat umum, namun tidak bererti semua orang yang tidak memutuskan perkara dengan hukum Allah itu tergolong sebagai kafir. Penilaian secara lebih teliti perlu dilakukan agar tidak termasuk dalam perbuatan takfir (mengkafirkan) yang tidak kena pada tempatnya. Perbuatan berhukum dengan hukum Allah terangkum dalam wilayah syariah. 

Secara syarie, perbuatan tersebut termasuk dalam hukum yang wajib. Ketetapan hukum ini didasarkan kepada dalil-dalil yang qatie (pasti, tanpa membawa sebarang maksud yang lain), sama ada ia adalah qatie tsubut (sumbernya yang pasti) mahupun qatie al-dalalah (maknanya yang pasti). 

Dalil-dalil sedemikian banyak dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunah. Dalil-dalil yang membawa kepada kesimpulan hukum yang wajib antara lain adalah: 

1. Adanya perintah yang tegas untuk berhukum dalam sesuatu perkara dengan apa yang diturunkanNya dan larangan mengikuti hawa nafsu kaum kufar . 

Lihat : Surah al-Maidah (5) ayat 48 dan 49.

2. Kewajipan mentaati Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam serta mengembalikan semua perkara yang diperselisihkan kepada kedua-duanya . Lihat  : Surah an-Nisa (4) ayat 59).

3. Penafian iman orang yang enggan berhukum dengan ketetapan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Lihat :  Surah an-Nisa (4) ayat 65.

4. Ancaman ditimpakan fitnah atau azab pedih bagi mereka yang menyimpang daripada perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Lihat : Surah an-Nur (24) ayat 63.

5. Celaan terhadap orang yang membuat keputusan dengan berhukum kepada taghut. 

Lihat :  Surah an-Nisa (4) ayat 60.

Dan sebahagian besar dalil-dalil yang lain. 


Sahabat yang dimuliakan,
Maka adalah tidak menghairankan jika hakikat kewajipan berhukum dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala ini termasuk dalam kategori "malum min al-din bi al-dharurah" (perkara yang telah sedia maklum sebagai sebahagian daripada deen kerana keutamaannya). 

Sebagai perkara yang termasuk dalam wilayah syariah, maka perbuatan meninggalkan kewajipan ini akan dikategorikan sebagai perbuatan yang berdosa. Sungguhpun demikian, perlanggaran tersebut tidaklah membawa kepada tergelincirnya keimanan atau status keIslaman seseorang. 

Perlanggaran sebegini samalah halnya seperti memakan riba, membunuh, mencuri, atau berzina. Sememangnya perbuatan-perbuatan tersebut termasuk dalam kategori dosa besar. 

Namun, perlanggaran tersebut tidaklah mengeluarkan seseorang itu daripada agamanya. Pelakunya juga tidak sewajarnya digelar sebagai seorang murtad kerana perbuatan tersebut. Jatuhnya kafir ataupun murtad hanya terjadi apabila seseorang itu mengingkari (ataupun menafikan) hukum-hukumNya (dari segi keyakinan). Atau pun seseorang mengatakan hukum-hukum Allah SWT tidak sesuai lagi dilaksanakan dalam masyarakat majmuk.

Apabila ia mengingkari wajibnya berhukum dengan syariah, (hatinya juga tidak yakin terhadap hukum-hukum Allah ) maka penafian tersebut boleh menyebabkannya terkeluar daripada Islam atau dalam kata lain, ia menjadi kafir. 

Status kafir atau murtad yang jatuh ke atas seseorang itu bukan disebabkan oleh tindakannya tidak berhukum dengan hukum Allah (syariah), sebaliknya disebabkan oleh penafiannya terhadap sesuatu ketetapan yang telah dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunnah secara qatie.  Sama juga apabila seseorang mengatakan tidak wajib menutup aurat dan amalan memakai tudung kepala amalan kolot dan ketinggalan zaman ataupun seseorang mengatakan fardu solat tidak wajib atas dirinya.

Sekiranya sudah sampai kepada tahap pengingkaran, isunya bukan lagi meliputi wilayah syariah, tetapi ia sudah memasuki perlanggaran dalam wilayah akidah. Sedangkan perkara akidah ini merupakan pembeza antara orang mukmin dengan orang kafir. Oleh kerana kewajipan menerapkan syariah itu disandarkan kepada dalil-dalil yang qatie (sama ada qatie al-tsubut atau qatie al-dalalah), 

Sekiranya seseorang itu mengingkari kewajipan tersebut maka bererti ia telah mengingkari ayat-ayat tersebut. Penafian terhadap sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran sudah cukup untuk mengeluarkan seseorang daripada keimanan. 

Firman Allah Subhanahu Wa Taala:

 إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ أُولَئِكَ هُمُ. نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا 

Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan bermaksud membeza-bezakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: 'Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kufur terhadap sebahagian (yang lain), serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang kafir yang sebenarnya. Dan Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu azab yang menghinakan." 

(Surah al-Nisa (4) ayat 150-151) 

Allah Subhanahu Wa Taala juga berfirman: 

 أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ 

Maksudnya : "Adakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Maka tidak ada balasan bagi orang-orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kenistaan dalam kehidupan di dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang paling berat. Allah tidak alpa daripada apa yang kamu kerjakan."(Surah al-Baqarah (2) ayat 85). 

Demikianlah pendapat para ulama ketika menjelaskan makna ayat tersebut. Ibnu Abbas menyatakan:

 . وَمَنْ أَقَرَّ بَهَ وَلَمْ يَحْكُمْ، فَهُوَ ظَالِمٌ فَاسِقٌ . مَنْ جَحَدَ مَا أَنْزَلَ اللهُ فَقَدْ كَفَرَ

"Barangsiapa yang mengingkari apa yang diturunkan oleh Allah, sesungguhnya dia telah kafir. Dan barangsiapa yang mengakuinya (yakin akan kebenaran hukum Allah) namun tidak berhukum dengannya, maka dia adalah zalim, fasik."

Ikrimah juga bersependapat dengan pendirian tersebut. Beliau menyatakan: 

Firman Allah Subhanahu Wa Taala :

 {وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ الله}

 Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah."

Itu mencakupi mereka yang mengingkari di hatinya dan mendustakan dengan lisannya. Adapun orang yang mengakui di hatinya tentang kebaikannya sebagai hukum Allah, serta membenarkan dengan lisannya tentang kebaikannya sebagai hukum Allah, namun dia meninggalkannya (dari segi perbuatan), maka dia tidak termasuk dalam rangkuman ayat ini.

Pendapat Ikrimah ini juga dinyatakan oleh Fakhruddin al-Razi sebagai jawapan yang sahih. Syeikh Taqiuddin an-Nabhani dan Abdul Qadim Zallum dalam Nizam al-Hukm fi al-Islam menukilkan: 

''Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan sultan dan penguasa untuk berhukum dengan apa yang Allah Subhanahu Wa Taala turunkan kepada RasulNya; dan menjadikan orang yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan sebagai orang kafir seandainya dia meyakininya (iaitu meyakini hukum selain hukum Allah), atau meyakini bahawa apa yang Allah turunkan itu tidak layak untuk dilaksanakan; dan Allah menjadikannya sebagai orang yang berbuat kemaksiatan, fasik, dan zalim jika berhukum dengan selain daripada apa yang Allah turunkan tetapi hatinya masih yakin kebaikan hukum-hukum Allah SWT.

Sejajar dengan huraian yang telah diberikan, jelaslah bahawa status kafir jatuh kepada orang yang mengingkari kebenaran, kelayakan, dan kewajipan berhukum dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala. Namun jika ia masih meyakini kebenaran, kelayakan, dan kewajipan berhukum dengan hukum Allah, statusnya jatuh kepada zalim dan fasik. 

Sahabat yang dikasihi,
Perbuatan tidak berhukum dengan hukum Allah akan hanya menyebabkan pelakunya beroleh kerugian dan kesengsaraan. Ini adalah kerana, hanya terdapat tiga kedudukan bagi golongan tersebut, iaitu sama ada kafir, zalim, atau fasik (lihat Surah al-Maidah 95) ayat 44, 45, 47).

Semestinya status kafir menjadi sesuatu yang paling dikhuatiri, kerana ia akan menyebabkan seluruh amal perbuatan manusia terhapus dan sia-sia di sisiNya. 

Firman Allah Subhanahu Wa Taala:

 يَعْمَلُونَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا وَلِقَاءِ الْآَخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا 

Maksudnya : "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan (mendustakan) adanya pertemuan akhirat, sia-sialah perbuatan mereka. Mereka tidak diberi balasan selain daripada apa yang telah mereka kerjakan."(Surah al-Araf (7) ayat 147) 

Oleh itu perlulah kita membetulkan kefahaman dan keyakinan kita terhadap hukum-hukum Allah SWT. Pemimpin Islam perlu berhati-hati dalam memberi komen atau pandangan mengenai hukum-hukum Allah kerana jika tersilap komen amat merbahaya kerana ianya akan termasuk di dalam wilayah akidah begitu juga jika ada sesiapa dikalangan umat Islam cuba  mempertikaikan hukum hudud, qisas dan diyat boleh menjejaskan akidah terhadap  Allah Subhanahu Wa Taala.

Betapa besarnya ancaman tersebut, maka siapakah lagi yang masih berani untuk menafikan syariahNya? Wallahualam bi al-sawab. 


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML