Thursday, March 6, 2014

JODOH

Wanita Solehah Untuk Lelaki Yang Soleh

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia menginginkan pasangan yang baik dalam kehidupan ini.Justeru itulah, fenomena dalam masyarakat kita memperlihatkan kebanyakan wanita atau lelaki baik akan berumahtangga dengan pasangan yang baik juga dalam kehidupan mereka. Perkahwinan antara wanita atau lelaki baik dengan pasangan baik dikira sebagai sesuatu yang wajar dan amat bertepatan dengan keadaan kerana seseorang yang baik sudah sepatutnya berpasangan dengan yang baik juga. Jika diqiaskan kepada rupa, ia boleh diibaratkan sebagai "pertemuan bagai pinang yang dibelah dua."

Di dalam al-Qur'an,Surah an-Nur; ayat 26; Allah SWT. berfirman yang bermaksud:    "Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula,







perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula.



Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dan tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia."

Bagaimanapun, fenomena dalam masyarakat kita juga memperlihatkan, sesetengah manusia baik sama ada wanita atau lelaki tidak pula bertemu jodoh dengan pasangan yang baik. Disebabkan keadaan itu, rumahtangga mereka juga sering kelihatan tidak bahagia dan sesetengahnya turut musnah.Kenapa kejadian seperti itu berlaku? Sedangkan di dalam Surah an-Nur; ayat 26, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,

"Wanita baik untuk lelaki baik dan lelaki baik untuk wanita baik."

Pada sesetengah pihak, ayat 26 dalam Surah an-Nur itu difahamkan sebagai janji Allah kepada setiap hambaNya yang akan menjodohkan seseorang yang baik dengan pasangan yang baik juga. Sedangkan pada dasar dan hakikatnya, malahan dalam sebarang keadaan, tempat dan masa, Allah SWT tidak sekali-kali memungkiri janjiNya kepada setiap hambaNya.

Dengan kewujudan perkahwinan seseorang yang baik sama ada wanita atau lelaki dengan pasangan yang tidak baik, sesetengah pihak turut bertanya, apakah pula hikmah yang terselit di sebalik ketentuan Allah terhadap jodoh seseorang yang baik dengan yang tidak baik itu?

Yang sebenarnya ayat tersebut bukanlah menyentuh Qada dan Qadar Allah terhadap jodoh seseorang. Dengan kata lain,ia juga bukanlah merupakan janji Allah kepada manusia baik yang akan dijodohkan dengan pasangan yang baik.Sebaliknya, ayat berkenaan merupakan peringatan Allah kepada setiap hambaNya atau kepada umat Islam agar memilih manusia yang baik untuk dijadikan pasangan hidup masing-masing.Untuk memahami ayat tersebut dengan mendalam, setiap umat Islam perlu mengetahui sebab-sebab atau latar belakang penurunan ayat berkenaan oleh Allah SWT. Ayat itu sebenarnya diturunkan oleh Allah ekoran terdapat tuduhan atau fitnah terhadap isteri Rasulullah SAW. Saidatina Aisyah yang kononnya melakukan perbuatan jahat dengan seorang lelaki.

Ekoran fitnah itu, ada umat Islam yang mempercayainya. Sedangkan yang sebenarnya, Saydatina Aisyah itu wanita yang amat baik dan amat suci yang tidak pernah melakukan perbuatan sedemikian, malahan tidak pernah sedikitpun pun terniat melakukannya. Disebabkan peristiwa itulah, Allah SWT. menurunkan ayat itu.Ia merupakan penjelasan Allah mengenai kedudukan sebenarnya mengenal fitnah itu yang tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Selanjutnya setiap umat Islam juga perlu memahami dengan mendalam firman Allah SWT. dalam Surah an-Nur; ayat 3 yang bermaksud:
"Laki-laki berzina tiada berkahwin melainkan dengan perempuan berzina pula, atau perempuan musyrik. Perempuan berzina tiada berkahwin, melainkan dengan laki-laki berzina pula atau laki-laki musyrik.Yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang beriman."

Ayat tersebut tidak bermaksud lelaki yang berzina hanya mesti berkahwin dengan wanita yang berzina dan wanita yang berzina hanyalah boleh berkahwin dengan lelaki yang berzina sahaja. Jumhur ulama mengatakan, hukum ayat itu telah dimansukhkan oleh Allah SWT. Ia dimansukhkan oleh Allah dengan ayat 32-33 dalam Surah an-Nur juga yang bermaksud kahwinilah wanita di kalangan kamu, dengan terjemahan penuhnya yang bermaksud:

"Dan kahwinlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan hamba sahaya lelaki dan perempuan yang soleh. Kalau mereka miskin, nanti Allah akan memberikannya kekayaan dari kemurahanNya dan Allah itu luas pemberiannya dan Maha Tahu. Orang-orang yang tiada memperoleh belanja, hendaklah menjaga kehormatan (jangan berzina), sehingga Allah memampukan mereka dengan kurniaNya. Hamba-hambamu yang menuntut mukatabah (kemerdekaan dengan pembayaran wang), hendaklah kamu terima, jika kamu ketahui bahawa ada kebajikan pada mereka. Berikanlah kepada mereka harta Allah yang diberikanNya kepadamu. Janganlah kamu paksa hamba-hambamu berzina, jika mereka menghendaki kesucian, supaya kamu mendapat harta benda waktu hidup di dunia. Barang siapa memaksa mereka, maka Allah sesudah paksaannya itu Pengampun lagi Penyayang.

Dengan pemansukhan itu bermakna ayat itu sudah tidak lagi menuntut umat Islam sama ada lelaki atau perempuan yang berzina hanya boleh berkahwin dengan yang berzina sahaja, tidak dengan yang baik.

Sebaliknya ia telah menjadi umum. Lelaki yang baik dibolehkan berkahwin dengan wanita yang berzina, perempuan yang berzina dibolehkan berkahwin dengan lelaki yang baik, perempuan yang baik dibolehkan berkahwin dengan lelaki yang berzina atau lelaki yang berzina juga boleh berkahwin dengan wanita yang baik. Jadi maknanya, jodoh pertemuan seseorang itu di tangan Allah, tetapi kita diminta berusaha memilih pasangan yang baik, yang soleh atau solehah. Kalau seseorang itu mendapat jodoh dengan pasangan yang kurang baik, pasangannya yang baik itu mestilah berusaha membaiki perangai pasangannya yang kurang baik itu.

Berhubung dengan perubahan perangai seseorang yang kurang baik menjadi baik apabila berkahwin dengan orang yang baik pula, kalau seseorang yang kurang baik atau tidak baik sama ada lelaki atau wanita berkahwin dengan orang yang baik, tidak pula boleh dikatakan perangainya akan pasti berubah menjadi baik sejajar dengan kedudukan pasangannya sebagai orang yang baik.Tetapi pengaruh persekitaran dari orang yang baik mungkin mempengaruhi individu dari tidak baik kepada baik. Inilah kekuatan agama yang ada pada diri seseorang yang mampu untuk menarik pasangannya mentaati Allah dan RasulNya.

Dalam Islam, seseorang yang baik dengan menilai baik hubungannya dengan Allah dan hubungannya dengan manusia. Kalau orang yang baik itu ada kekuatan agama seperti yang dimaksudkan tadi diharuskan dia berkahwin dengan orang yang kurang baik itu, untuk tujuan menyelamatkan orang berkenaan sama ada lelaki atau perempuan dan terus hanyut dalam kesesatan atau kemaksiatan. Ini adalah dakwah.

Dalam Islam, kalau seseorang tu telah bertaubat, kita disuruh menerima orang yang sudah bertaubat itu. Kalau tidak, berdosa. Sebab dalam Islam, orang yang sudah bertaubat itu dikira sudah bersih.Tetapi terdapat juga kejadian di mana masyarakat tidak menerima orang yang telah bertaubat.

Inilah silapnya sesetengah anggota masyarakat kita. Orang yang sudah bertaubat pun dikatakan masih jahat juga. Banduan-banduan yang sudah keluar dan penjara yang sudah bertaubat itu sepatut diterima baik oleh masyarakat.Bohsia dan bohjan, penagih dadah dan sesiapa sahaja yang bersalah dan kemudian yang sudah bertaubat sepatutnya kita terima mereka dan didik mereka ke arah Islam.Tetapi sesetengah anggota masyarakat kita tidak juga mahu menerimanya.Akibatnya,ia mendatangkan kesan buruk pula kepada orang berkenaan dan kepada masyarakat.

Firman Allah SWT yang bermaksud :  "Dan orang-orang yang apabila berbuat kejahatan atau menganiaya dirinya, (kemudian) mereka ingat akan Allah, lalu mereka meminta ampun atas dosanya. Dan tiadalah yang mengampunkan kecuali Allah. Mereka tiada berkekalan di atas dosanya itu sedang mereka mengetahui." (Surah  Ali Imran ayat 135 )

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang mensucikan dirinya."  ( Surah Al BaQarah ayat 222 )

Sahabat yang dikasihi,
Sebelum kita membuat suatu pemilihan jodoh maka banyakkan berdoa dan lakukan solat istikharah kerana amalan ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan akan datang petunjuk dari Allah SWT seseorang yang soleh dalam hidup kita . Adakalanya dia datang tanpa kita cari dan dipermudahkan oleh Allah SWT ketika melamar, bertunang dan akan nikah. Perlulah kita ketahui bahawa perkahwinan kita bukan setakat di dunia saja tetapi perkahwinan ini akan kekal bertemu di syurga Allah SWT insya Allah.

Carilah Jodoh Kalian Dengan Memilih Pasangan Yang Soleh Atau Solehah

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jodoh itu salah satu bentuk rezeki dan seperti rezeki yang lain, ia boleh diperolehi melalui jalan halal atau jalan haram, yang berbeza di antara keduanya adalah keberkahan dalam kehidupan dan sentiasa mendapat rahmat Allah SWT.

Untuk mencari pasangan yang soleh seorang wanita hendaklah memilih calon suaminya yang faham dan menjalankan perintah agama. Jangan terlalu mementingkan perkara yang bersifat kebendaan atau meterialistik, sebab harta, kecantikan, kedudukan dan pangkat tidak akan bertahan lama. Seandainya calon suami seorang yang soleh, Insya Allah rumahtangga akan bahagia dan diberkati Allah SWT. 

Walaupun begitu mulailah dari diri sendiri, hiasi peribadi dengan akhlak yang mulia agar nanti kita akan dianugerahkan Allah pasangan yang mulia pula. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah An Nuur ayat 26 maksudnya: "Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk; sedangkan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik".

Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan oleh orang yang memiliki akal sihat jelas dia lakukan atas dasar pilihannya sendiri sebagaimana firman Allah SWT maksudnya : "Maka barangsiapa menghendaki, maka dia mengambil jalan menuju Rabb-Nya" (Surah an-Naba ayat 39)

Dan firman Allah SWT maksudnya : "Sebagian dari kamu ada orang yang menghendaki dunia dan sebagian dari kamu ada orang yang menghendaki akhirat" (Surah Ali-Imran ayat 152)

Begitu juga lelaki apabila ingin menyunting seorang wanita untuk dijadikan isterinya maka utamakanlah agamanya atau kesolehahnya, kerana sesungguhnya wanita yang beragama , miskin dan kurang kecantikannya adalah lebih baik daripada wanita kaya, cantik tetapi buruk akhlaknya. 

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda: "Wanita dinikahi karena empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung.” (Hadis Riwayat Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

Mengenai jodoh, rezeki dan maut merupakan takdir yang ditentukan Allah dalam diri seseorang. Sebagai seorang insan, kita dituntut supaya bersabar dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang sesuai dan diberkati Allah. Jika terputus perhubungan sebelum proses perkahwinan berlaku maka janganlah cepat merasa putus asa dan kecewa dengan perkara yang telah terjadi, mungkin disebalik keputusan Allah itu ada hikmah yang sangat besar terkandung didalamnya sedangkan kita tidak mampu untuk menjangkaunya. 

Jika kita bersabar, insya Allah pada suatu ketika nanti akan mendapat seorang pasangan yang baik dan soleh. Disamping itu jangan lupa berdoa kepada Allah setiap kali selesai solat lima waktu. Bermohon kepada-Nya agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang soleh dan dapat membimbing keluarga ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Utamakan agama dalam memilih pasangan hidup daripada faktor-faktor lain seperti harta, pangkat dan sebagainya tanpa was-was. Hiasilah peribadi dengan akhlak yang mulia, bersopan santun serta menjalankan perintah agama. Hanya dengan keperiabdian yang luhur dan mulia disenangi dan disukai oleh orang lain.

Memang diakui jodoh dan pertemuan itu adalah di tangan Tuhan. Bagamanapun kata-kata ini tidak boleh difahami secara umum begini, sebaliknya ia memerlukan huraian yang jelas, kerana ia mempunyai hubungan erat dengan qada dan qadar Allah SWT. Seseorang perempuan yang tidak di sangka-sangka dipinang orang kemudian berkahwin dan perkahwinannya kekal sehingga ke anak cucu. Itulah yang dikatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Begitu juga seorang yang sudah lama bercinta dan berjanji untuk untuk berkahwin namun mereka gagal berkahwin, juga dikatakan sebagai jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan. 

Bagaimanapun seseorang itu tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada kaedah ini. Jangan hendaknya kerana jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan maka mereka tidak berusaha untuk mencari jodoh, sebaliknya mengambil sikap menunggu sahaja. Ini jelas satu prinsip hidup yang bercanggah dengan ajaran Islam. Kita dikehendaki berusaha selaras dengan ajaran-ajaran Islam yang Maha Suci, tetapi kita juga hendaklah menyerahkan kejayaan usaha kita itu kepada Allah SW. Setelah berusaha tetapi jodoh tidak ditemui juga barulah boleh kita mengatakan jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan.

Dengan lain perkataan jodoh dan pertemuan yang berbentuk umum itu boleh diubah dengan usaha yang kita lakukan, kerana tidak tidak seorangpun yang dilahirkan sudah mengetahui jodoh dan pertemuannya. Sehubungan dengan usaha yang berterusan selaras dengan syariat mesti dilakukan. Sebolehnya diusahakan mendapatkan pasangan yang baik 

Sahabat yang dimuliakan,
Islam melarang hidup membujang, iaitu tidak mahu berkahwin dengan maksud untuk tekun ibadah, menjauhkan diri dari kesenangan dunia dan menghindarkan diri dari kewajipan menjaga anak. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Benarkah kalian telah berkata begini dan begitu, sungguh demi Allah, sesungguhnya akulah yang paling takut dan takwa di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku juga tidur dan aku juga mengawini perempuan. Maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka ia tidak termasuk golonganku". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam Surah Al Maidah ayat 87 dijelaskan: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu dan janganlah kamu melewati batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".

Jadi orang yang suka hidup membujang bererti mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagi dirinya.

Hukum perkahwinan itu asalnya mubah, tetapi akan berubah menurut hukum yang lima menurut perubahan keadaan.

1. Wajib
Kahwin diwajibkan bagi orang yang telah mampu, yang akan menambahkan takwa dan dikhuatirkan akan berbuat zina. Kerana menjaga jiwa dan menyelamatkannya dari perbuatan haram adalah wajib. Kewajiban ini tidak akan dapat terlaksana kecuali dengan berkahwin.

2. Haram
Kahwin diharamkan bagi orang yang tahu bahawa dirinya tidak mampu melaksanakan hibup berumahtangga, melaksanakan kewajipan lahir seperti memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal dan kewajipan batin seperti menggauli isteri (berahi terhadap wanita)

3. Sunat
Kahwin disunatkan bagi orang yang sudah mampu, tetapi ia masih sanggup mengendalikan dirinya dari perbuatan haram, dalam hal ini maka kahwin lebih baik daripada membujang, kerana membujang tidak ada dalam syariat Islam.

4. Mubah
Iaitu bagi orang yang tidak ada halangan untuk kahwin dan dorongan untuk kahwin belum membahayakan dirinya, ia belum wajib kahwin dan tidak haram bila tidak kahwin. Jelaslah jika anda tidak ada keinginan untuk berkahwin kerana tidak ada nafsu terhadap wanita maka tidak berdosa, malah haram berkahwin jika tidak ada keupayaan untuk menggauli isteri.

Sahabat yang dihormati,
Terdapat beberapa amalan yang baik yang boleh diamalkan semoga dipermudahkan bertemu pasangan yang soleh atau solehah. Di harapkan pasangan tersebut bukan sahaja untuk kebaikan di dunia sahaja tetapi dia juga baik di hari akhirat iaitu yang akan bersama-sama di syurga.

1. Berdoa semoga dikurniakan zurait yang baik.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang- orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa." (Surah al-Furqan ayat 74)

Jika wanita berdoa : "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh suami yang soleh dan zuriat keturunan kami : perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah suami kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa."
 

2. Berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat dan dibebaskan daripada api neraka.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.” (Surah al-Baqarah ayat 201)

3. Diantara wirid yang perlu diamalkan agar disayangi orang iaitu mengucapkan "Yaa Rahim" sebanyak 100 kali setiap hari, insya Allah hajat dan kasih sayang ditumbuhkan dalam hati.

4. Solat Istikharah.

Dari Jabir bin Abdullah r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kami cara melakukan istikharah (memohon kepada Allah untuk menunjuki cara yang benar mengenai sesuatu kerja atau amalan), dalam segala hal sebagaimana baginda mengajar kami surah-surah dari Al-Quran.

Baginda SAW bersabda: Jikalau salah seorang daripada kamu berniat melakukan sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah dua rakaat solat sunat dan berdoa:

” Ya Allah, Aku meminta pilihan kepadaMu dengan pengetahuanMu dan aku memohon keputusan dengan kekuasaanMu dan aku memohon kepada-Mu dari keutamaanMu yang besar, sesungguhnya Engkau mampu sedangkan aku tidak mampu dan Engkau mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau mengetahui urusan-urusan yang ghaib.

Ya Allah, jikalau Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' baik bagiku dalam
(agamaku dan kehidupanku serta akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang) maka takdirkanlah bagiku dan mudahkanlah bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.
 
Apabila Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' buruk bagiku (dalam agamaku, kehidupanku dan akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang) maka singkirkanlah ia daripadaku dan takdirkanlah kebaikan bagiku di mana pun jua kemudian jadikanlah aku redha dengannya."

5. Berdoa seperti di dalam Surah Qasas ayat 24.


surah qasas ayat 24

Maksudnya : "Wahai Tuhanku,sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.."

Ketika Nabi Musa a.s. berdoa dengan ayat ini,baginda adalah seorang yang fakir dan amat memerlukan pertolongan daripada Allah SWT pada ketika itu. Di dalam sejarah ada menceritakan selepas itu Nabi Musa telah mendapat perkerjaan dan berkahwin dengan salah seorang puteri kepada Nabi Shuib a.s. pada ketika dia berada dalam kesusahan. Allah SWT telah memudahkan urusan baginda. Oleh itu kita seharusnya berdoa dan meminta hanya kepada Allah dan biarlah keadaan dimana jiwa kita dalam keadaan yakin sepenuhnya kepada Allah SWT. 

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita hayati cara-cara yang dibenarkan oleh syarak ketika memilih atau mencari pasangan hidup supaya berbahagia di dunia dan akhirat.

Pemilihan Calun Untuk Pasangan Hidup Perlulah Berlandaskan Syarak

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sudah menjadi fitrah manusia bahawa seorang lelaki atau wanita yang belum berkahwin memerlukan mencari pasangan hidup yang sesuai supaya dapat di bina bahtera kehidupan untuk menuju alam perkahwinan yang inginkan kebahagiaan dan keredaan Ilahi. Ada yang berjaya hingga ke akhir hayat membina keluarga bahagia (sakinah mawahdah warahmah) dan ada di antara mereka gagal dipertengahan jalan hingga berlaku perceraian dan memisahkan di antara mereka.

Berjaya atau gagal sebenarnya bergantung kepada niat dan matlamat utama perkahwinan tersebut. Jika nilai kecantikan, kebendaan dan pangkat kedudukan itu sebagai kreteria utama dan meletakkan agama, akhlak dan ketakwaan dibelakang maka rumah tangga tersebut tidak akan wujud keberkatan dan tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT. Masing-masing akan curiga mencurigai, tidak mempercayai kejujuran di antara mereka dan sering mengikut hawa nafsu amarah dan hilang kewarasan apabila berlaku pergeseran dan perbezaan pendapat. Itulah sebabnya kenapa kadar perceraian dikalangan masyarakat Islam cukup tinggi berbanding dengan masyarakat bukan Islam.

Persoalannya adalah bagaimana seorang muslim dapat mengenalpasti ciri muslimah (bakal isteri) sebelum berkahwin, kerana ia diperintahkan untuk menundukkan pandangan (shaddul bashar) terhadap wanita? Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku)." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam masalah ini, at-Tabari berkata: "Sahabat Rasulullah SAW bernama 'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." (Surah al- Ma'iddah ayat 87)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : ”Ambillah isteri, kerana beristeri lebih membuka pintu rezeki bagi kamu.”(Hadis Riwayat Thusiy)

Untuk mendapat calun yang baik perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silatur-rahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah an-Nissa ayat 1)

Permohonan kepada Allah SWT dengan meminta jodoh yang diredai-Nya, merupakan keperluan penting manusia kerana kejayaan manusia mendapatkan jodoh berpengaruh besar dalam kehidupan dunia dan akhirat seseorang.

Islam ada menggariskan beberapa ciri-ciri bakal suami dan bakal isteri yang dituntut di dalam Islam. Namun, ia hanyalah panduan dan tiada paksaan untuk mengikut panduan-panduan ini.

 Ciri-ciri bakal suami

* Beriman dan  bertakwa kepada Allah SWT

* Bertanggungjawab terhadap semua benda

* Memiliki akhlak-akhlak yang terpuji

* Berilmu agama agar dapat membimbing bakal isteri dan anak-anak ke jalan yang benar

* Tidak berpenyakit yang berat seperti gila, AIDS dan sebagainya

* Rajin berusaha untuk kebaikan rumahtangga seperti mencari rezeki yang halal untuk kebahagiaan keluarga.

Ciri-ciri bakal isteri

* Beriman dan  solehah (berpakaian menutup aurat)

* Rupa paras yang sedap mata memandang, dapat menyejukkan hati suami

* Memiliki akhlak-akhlak yang terpuji

* Menentukan mas kahwin yang rendah (hantarannya juga tidak terlalu tinggi)

* Wanita yang subur

* Berasal dari keturunan yang baik

* Bukan keturunan terdekat

* Tidak memandang harta semata-mata

Sahabat yang dimuliakan,
Semasa mencari calun yang sesuai sekiranya bertemu dialam siber, perlulah berhati-hati jangan terlalu mudah mempercayai seseorang dan jangan terlalu cepat mencurahkan kasih sayang sedangkan kita masih belum mengenali akhlak dan peribadi seseorang. Memang benar rasa cinta dan kasih sayang merupakan fitrah yang tumbuh didalam sanubari manusia bersama lahirnya manusia itu ke dunia ini. Perasaan timbul jika ada rangsangan dari luar, akhirnya kecenderungan itu akan lahir dalam bentuk sikap, reaksi ataupun ungkapan kata-kata.

Selalunya ungkapan kata-kata yang berlebihan tentang rasa kasih sayang ini antara lelaki dan wanita akan menimbulkan berahi dan dorongan syahwat yang akhirnya mengundang terjadinya perkara yang dilarang dalam Islam.

Ungkapan rasa cinta dan kasih sayang hanya sesuai dilafazkan bagi mereka yang telah bernikah, namun bagi mereka yang baru berkenalan bahkan hanya melalui internet, maka perkara ini merupakan perbuatan yang sia-sia dan merosakkan fitrah kasih sayang tadi.

Jadi batas hubungan antara lelaki dan wanita yang belum menikah ini cukup sekedar ingin mengetahui latarbelakang seseorang yang diingininya tersebut. Apakah ia dari keturunan yang baik atau sebaliknya, apakah ia tergolong subur atau berpenyakit, kemudian apakah ia dari kalangan orang yang berada ataupun sebaliknya dan yang terakhir tentang agamanya, apakah ia tergolong orang yang taat kepada Allah ataupun orang yang lalai dengan hukum-hakam Allah.

Nabi SAW berabda maksudnya : "Dikawini wanita itu kerana empat perkara :

1. Kerana hartanya. 2. Kerana keturunannya. 3. Kerana kecantikannya. 4. Kerana agamanya.

Maka pilihlah kerana agamanya, akan beruntunglah kamu."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraiannya :

Dari hadis Rasulullah SAW di atas, ada empat kreteria utama yang perlu dipertimbangkan dalam memilih jodoh, iaitu:

(1) Agama

Hendaklah isteri itu seorang yang solehah dan berpegang teguh kepada agama. Termasuk ke dalam kategori agama adalah baik budi pekertinya, akhlaknya, menutup aurat dan tidak suka pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita. Inilah sebaik-baik pilihan.

(2) Kecantikan

Manis atau cantik rupanya; ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri yang buruk rupa. Jika disebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah bererti melarang memilih yang cantik rupanya. Janganlah utamakan kecantikan semata-mata kerana kecantikan akan hilang apabila usia meningkat.

(3) Keturunan baik

Hendaklah wanita itu dari golongan keturunan yang baik, maksudnya dari kaum yang terkenal menjaga urusan agamanya dan termasyhur dengan perjalanannya yang lurus. Sebab wanita dari rumahtangga yang seumpama itu akan memelihara dan mendidik anak-anaknya pada jalan yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya.

(4) Harta

Ada juga yang memilih jodoh kerana calon isteri atau suami mempunyai harta yang banyak. Inipun tidak dilarang. Tetapi sebaik-baik pilihan adalah kerana agama. Janganlah harta menjadi perkara yang paling penting dalam urusan pemilihan calun isteri kerana harta akan habis dan harta juga boleh menyebabkan seseorang lupa pada tanggungjawabnya kepada Allah SWT jika tidak diuruskan dengan baik.

Perkara yang paling penting dalam memilih pasangan hidup adalah melihat sejauhmanakah calon suami atau isteri kita itu benar-benar menjalankan agamanya, sebab orang yang menjalankan agama dengan baik akan menjadi pasangan yang baik dan diredai Allah SWT.

Jadi mengucapkan kata-kata sayang dalam internet sama juga mengucapkan kata-kata itu ketika kita sedang berhadapan, jika ucapan itu dengan jelas untuk menggoda dan bahkan menumbuhkan dorongan untuk melakukan perkara yang tidak baik jika bertemu nanti maka perkara ini dilarang dalam agama.

Sahabat yang dikasihi,
Terdapat beberapa langkah-langkah yang perlu diambil sebelum perkahwinan

1. Disunnatkan melihat bakal isteri sebelum berkawin.

Dari Abu Hurarah r.a.  katanya ;"Ketika saya berada dekat Nabi SAW datang seorang lelaki menceritakan kepada baginda bahawa dia hendak mengahwini (meminang) seorang perempuan dari kaum Ansar,
Rasulullah SAW menanyakan kepadanya ; "Sudahkah dia engkau lihat?" Dia menjawab belum! . Baginda berkata; "Pergilah melihatnya kerana di mata orang Ansar ada sedikit (mungkin cacat)
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebaiknya jika benar-benar ikhlas ingin mencari pasangan hidup, boleh berjumpa dengan membawa mahram dan melihat keadaan pasangan tersebut apakah memenuhi syarat dan kreteria yang  ditentukan agama seperti yang disebutkan diatas. Setelah itu lakukanlah solat istikharah agar pilihan kita itu benar dan diredai Allah SWT.

Dalam hal ini berdua-duaan dilarang dalam ajaran Islam. Bukankah berdua-duaan itu sama saja dengan mendekati zina. Jika masing-masing sudah sesuai maka segera saja melamar dan meneruskan perkahwinan.

2. Pertunangan (Khitbah)

Khithbah adalah meminang (melamar) yaitu permintaan seorang laki-laki kepada anak perempuan orang lain untuk dikahwini, sebagai pendahuluan pernikahan, namun belum berupa akad nikah. Pertunangan merupakan permintaan dan janji untuk mengadakan perkahwinan.

Dalam melakukan pertunangan ini perlu diperhatikan adab-adabnya, antara lain :

- Tidak boleh (haram) meminang pinangan orang lain.

Umar bin Khattab berkata dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim : Nabi  SAW melarang sebagian kamu menawarkan atas penawaran sebagian yang lain, dan tidak boleh seseorang meminang pinangan saudaranya hingga peminang sebelumnya meninggalkannya atau mengizinkannya.

Oleh kerana pertunangan ini bukanlah akad nikah, maka status peminangan masih tetap sebagai orang lain bagi yang dipinang (bukan mahram), dan tidak diperkenankan untuk berkhalwat atau berdua-duaan.

Pertemuan yang sopan bagi laki-laki yang meminang dan wanita yang dipinang ialah dengan kehadiran mahram wanita, kerana hal tersebut akan menambah kemudahan untuk saling mengenal. Dengan pemberian hadiah dari peminang kepada wanita yang dipinang diharapkan akan mempererat lagi tali silaturrahim di antara mereka.

Marilah sama-sama kita ikut garispanduan Islam semasa memilihan jodoh, jangan ikut adab dan cara hidup jahiliah atau barat kerana pemilihan kita ini adalah menentukan keturunan kita di dunia dan akhirat. Jika kita berhajat mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan kita nanti jika kita telah berada di alam barzakh maka suami isteri perlulah menjadi soleh dan solehah terlebih dahulu. Jadi pemilihan ini adalah paling penting untuk kebahagiaan masa depan kita disisi Allah SWT.

Memilih Wanita Solehah Sebagai Isteri Adalah Di Tuntut Oleh Islam.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk mendapatkan anak-anak (zuriat) yang soleh dan solehah, tindakan paling awal yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin adalah memilih pasangan hidup (isteri) yang beriman dan bertakwa dan baik agamanya.

Nabi SAW bersabda maksudnya :"Hendaklah kamu memilih tempat hendak salurkan air mani kamu(isteri)."(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi- hadis sahih) 

Maksudnya wanita yang dipilih menjadi isterinya adalah wanita yang baik akhlak dan keperibadiannya, menutup aurat dan bersifat lemah lembut.

Ciri utama yg perlu ada pada pasangan adalah yang elok akhlak dan agamanya sebagamana Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Maka beruntunglah orang yang memilih wanita yang beragama."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Sabdanya lagi yang bermaksud : "Apabila datang seorang lelaki yang elok agama dan akhlaknya melamar anakmu maka hendaklah kamu kahwini anak perempuan mu dengan dia. Jika kamu tidak kahwininya maka akan menyebabkan kerosakan dan fitnah yang besar akan berlaku."(Hadis Riwayat Tirmidzi-hasan sahih)

Ciri-ciri  isteri yang solehah adalah sepertimana Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Aku hendak memberitahu kepadamu sesuatu yang perlu dimiliki oleh seorang lelaki ialah wanita yang solehah. Apabila suaminya pandang dia akan rasa gembira, bila suaminya suruh dia akan patuh dan bila suaminya keluar dia akan jaga harta dan maruah suaminya."
(Hadis Riwayat Abu Daud) 

Untuk lelaki yang masih bujang seeloknya hendaklah dia memilih anak dara sebagai calun isterinya. Jabir berkata: "Aku berkahwin dengan seorang wanita; lalu aku berjumpa dengan Nabi SAW. Nabi SAW  bertanya "Adakah engkau sudah berkahwin?" Aku menjawab "Ya" Nabi bertanya "Dara atau janda?" Aku menjawab "Janda" Nabi SAW bersabda "Kenapa kamu tidak memilih anak dara yang mana kamu berseronok dengan dia dan dia berseronok denganmu."(Hadis Riwayat Muslim) 

Ini bukan bermakna berkahwin dengan janda tidak boleh mendatangkan kebahagiaan dan suami-isteri dan tidak boleh bergurau senda. Tetapi saranan Nabi SAW adalah ditujukan kepada sahabat tersebut (untuk kali pertama berkahwin ) supaya beliau dapat bermesra dan bermanja dengan anak dara yang belum mempunyai tanggungan anak berbanding dengan janda biasanya janda mempunyai anak daripada suaminya yang lama samaada cerai hidup atau pun cerai mati.

Berbeza pula jika lelaki tersebut adalah duda dan mempunyai anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya yang lama maka berkahwin dengan anak dara atau janda tidak menjadi halangan.

Sahabat yang dimuliakan,
Lelaki juga hendaklah memilih wanita yang penyayang dan mampu melahirkan anak yang ramai. Nabi SAW bersabda maksudnya :"Hendaklah kamu berkahwin dengan wanita yang boleh melahirkan ramai anak dan wanita yang penyayang. Maka sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya ummatku"(Hadis Riwayat Abu Daud) 

Disunatkan lelaki yg hendak mengahwini seseorang wanita itu melihat muka dan dua tapak tangan.  Seorang lelaki memberitahu Nabi SAW bahawa dia hendak kahwin. Rasulullah SAW bertanya "Adakah engkau sudah melihatnya?" Lelaki itu menjawab "Belum" Lalu Nabi SAW bersabda "Pergilah engkau melihatnya."(Hadis Riwayat Muslim) 

Imam Nawawi berkata : "Sesungguhnya diharuskan melihat ke muka dan tapak tangan sahaja kerana keduanya bukan aurat dan juga kerana muka menunjukkan kecantikan atau sebaliknya; manakala tapak tangan menunjukkan kepada kesuburan tubuh atau sebaliknya. 

Ulama mazhab Syafie berkata: "Sekiranya tidak mampu melihatnya maka disunatkan supaya menghantar seorang wanita yang dipercayai untuk melihat wanita yg hendak dikahwini dan memberitahunya. Perkara ini seeloknya sebelum pertunangan. Sebaik-baiknya menghantar seseorang untuk merisik pasangan seperti mana Nabi SAW menghantar Ummu Sulaim untuk merisik seorang wanita. (Hadis Riwayat Ahmad dan Hakim- sahih) 

Seeloknya minta pertolongan dan berbincang dengan orang alim atau orang soleh mengenai pemilihan jodoh seperti mana Nabi SAW telah meminang wanita Ansar bagi pihak Julaibib.
(Hadis Riwayat Ahmad-sahih) 

Nabi SAW telah memberitahu kepada Fatimah binti Qis apabila dia dipinang oleh Muawiyah, Abul Jaham dan Usamah bin Zaid, baginda bersabda maksudnya : "Adapun Muawiyah adalah lelaki yang faqir tidak ada duit, Abu Jaham pula seorang yang banyak memukul wanita dan Usamah la yang perlu engkau pilih." 

Fatimah berkata "Aku berkahwin dengan Usamah dan aku amat bergembira bersamanya."(Hadis Riwayat Ahmad) 

Sahabat yang dikasihi,
Jika kalian sedang berusaha untuk mencari jodoh pilih dan carilah wanita solehah yang menutup aurat, memiliki akhlak yang mulia, lemah lembut dan mempunyai sifat pengasih dan penyayang. Jauhi wanita yang keras hati, bengis , garang dan tidak menjaga akhlak dan keperibadian dirinya. Janganlah kalian utamakan hanya kecantikan dirinya kerana kecantikan itu tidak akan kekal lama, bila bertambah usia maka kecantikan akan hilang dan wajah akan berkedut . Wanita yang beriman dan bertakwa semakin meningkat usia maka iman dan takwanya akan meningkat dan bertambah. Di sinilah perlunya meletakkan nilai agama dan akhlak mengatasi nilai-nilai yang lain. 

Wanita yang solehah akan menasihatkan suami supaya taat dan patuh kepada perintah Allah SWT , sedangkan wanita yang kurang kesolehannya akan mendorong suaminya supaya mencintai dunia dan perhiasan yang sementara. 


Cubalah pilih yang terbaik mengikut ape yang Islam telah gariskan. Bincanglah dengan baik dengan orang-orang yang dipercayai, guru, orang alim dan Ibu Bapa. Banyakkan solat Istikharah dan solat hajat. Mudah-mudahan mendapat pasangan yang terbaik.
Jika kalian memilih jodoh mengikut sunah yang dibawa oleh Rasulullah SAW maka kalian akan selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT :

ّقُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali Imran ayat 31).


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML