Thursday, March 6, 2014

JENAYAH ISLAM SIRI 3 ~ KESALAHAN MENUDUH ZINA

Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam Siri Ketiga. (Kesalahan Menuduh Zina - Al- Qazaf)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam perbahasan kita mengenai kesalaahan hudud kedua adalah "Kesalahan Menuduh Zina" atau pun di panggil Al-Qazaf.

Pengertian : Qazaf adalah merupakan salah satu daripada kesalahan-kesalahan hudud yang memperuntukkan hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Darisegi bahasa asal makna Qazaf bermaksud : Melempar atau membaling dengan batu ." (Syed Sabiq dalam Kitab Fiqh Sunnah)

Manakala dari sudut istilah syarak adalah bermaksud : "Melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya." (Nihayah al-Muhtaj 7:139)

Di dalam al-Quran terdapat larangan daripada Allah SWT seseorang membuat tuduhan tanpa bukti, sebagimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan orang-orang yang melimparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nur ayat 4-5)

Dalam satu hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Jauhilah kamu 7 perkara yang menghancurkan (dosa besar) ..lalu ditanya oleh para sahabat, " Apakah dia tujuh perkara tersebut, ya Rasulullah? Nabi SAW pun menjawab : Tujuh perkara tersebut adalah, menyekutukan Allah, sihir, membunuh manusia yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh zina kepada wanita-wanita yang baik dan beriman serta yang tidak terlintas untuk membuat maksiat." (Hadis Riwayat Bukhari no. 2615 dan Muslim no. 145)

Ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang hukum pengharaman Qazaf ini adalah disebabkan terjadinya suatu berita bohong (tuduhan zina) yang menimpa Saidatina Aisyah r.anha.

Kata Saidatina Aisyah : "Ketika turunnya ayat pembebasan diriku, Nabi SAW berdiri di atas mimbar dan menuturkan persoalan tuduhan zina dan membacakan ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan persoalan tersebut. Maka setelah Nabi SAW turun dari mimbar baginda telah memerintahkan para sahabat r.anhum untuk merotan / mendera Hassan, Misthoh dan Himmah." (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah jilid 2, m.s.295)

Sahabat yang dimuliakan,
Qazab dalam jenayah syariah terbahagi kepada dua bahagian :

1. Qazab yang dikenakan hukum hudud.

Contoh : Seseorang menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil.

2. Qazab yang dikenakan hukum takzir.

Contoh : Seseorang yang menuduh seseorang yang lain kufur, mencuri, minum arak, rasuah atau murtad dan sebagainya termasuk mencaci memaki dan lain-lainnya yang boleh menjatuhkan maruah seseorang dan menghinanya.

Unsur-unsur penting yang terdapat dalam jenayah Qazab :

1. Unsur pertama : Membuat tuduhan zina atau penapian nasab.

2. Unsur kedua : Orang yang kena tuduh adalah orang yang Muhsan (sudah berkahwin) dan baik-baik.

3. Unsur ketiga : Membuat tuduhan dengan niat jahat.

Apakah syarat-syarat dalam kesalahan Qazab?

Terdapat tiga syarat perlu ada dalam kesalahan Qazab yang melayakkan untuk dijatuhkan hukuman hudud :

Pertama. Syarat yang harus ada pada si penuduh (al-Qazif) :

1. Berakal

2. Dewasa/ baligh

3. Dalam keadaan ikhtiar iaitu perbuatan tersebut adalah pilihan sendiri tanpa di paksa oleh orang lain.

4. Mengetahui haramnya Qazaf.

5. Penuduh bukan ibu bapa atau datuk hingga keatas kepada orang yang dituduh.

Apabila si penuduh tidak cukup syarat-syarat yang di sebutkan di atas maka hukuman had Qazaf tidak dapat di laksanakan, tetapi diganti dengan hukuman takzir.

Kedua . Syarat-syarat yang harus ada pada yang kena tuduh (maqzuf) :

1. Berakal

2. Dewasa/ baligh (mengikut perhitungan syarak)

3. Islam

4. Merdeka

5. Al-'Iffah (belum pernah terjebak dengan zina dan berupaya menjauhinya)

Ketiga . Syarat-syarat yang harus ada pada maqzuf bih (sesuatu yang digunakan/ di buat menuduh zina) :

1. Pernyataa atau lafaz yang menggunakan kata-kata yang jelas dan dapat difahami serta merta maksudnya tanpa memerlukan kepada pentakwilan atau penjelasan.

2. Penyataan atau lafaz yang menggunakan kata-kata yang tidak jelas atau secara sindiran atau kinayah, tetapi jelas membuktikan bahawa kata-kata tersebut bertujuan dan bermaksud kepada tuduhan zina.

Apakah bukti-bukti yang boleh mensabitkan kesalahan Qazaf?

Terdapat tiga (3) bukti yang boleh disabitkan kesalahan Qazaf.

1. Syahadah (Penyaksian) :

Saksi-saksi yang boleh diterima penyaksiannya untuk membuktikan sabit kesalahan Qazaf mestilah disaksikan oleh saksi-saksi yang layak menjadi saksi dalam kes zina.

2. Iqrar (Pengakuan) :

Untuk membuktikan sabit kesalahan Qazaf ialah dengan pengakuan sendiri daipada orang yang membuat tuduhan ke atas seseorang melakukan zina dengan sekali pengakuan dalam mahkamah atau di majlis kehakiman.

3. Yamin (sumpah) :

Dalam kes Qazaf boleh disabitkan kesalahan Qazaf dengan Yamin (sumpah). Sekiranya pihak pendakwa dalam kes ini tidak mempunyai apa-apa keterangan untuk membuktikan bahawa tuduhan zina telah dibuat oleh pihak terdakwa, maka dia boleh meminta pihak terdakwa bersumpah menafikan dakwaan tersebut. Dia boleh meminta pihak terdakwa bersumpah untuk menafikan dakwaan tersebut.

Sekiranya pihak pendakwa bersumpah untuk menafikan maka dakwaan itu gugur dengan sendirinya. Tetapi kalau pihak terdakwa tidak mahu bersumpah, maka kesalahan Qazaf yang dikenakan kepadanya di anggap sabit dan dia boleh dikenakan had Qazaf

Sahabat yang dihormati,
Terdapat tiga hukuman yang akan diterima oleh si penuduh (Qazif) iatu mereka yang melakukan kesalahan Qazaf :

1. Sebat 8o kali

2. Tidak diterima menjadi saksi

3. Di anggap sebagai orang yang fasik

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; dan mereka itu adalah orang-orang fasik. Kecuali orang-orang yang bertaubat selepas itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." (Surah an-Nur ayat 4).

Sahabat,
Di akhir-akhir ini kita sering mendengar dan melihat berita-berita fitnah di dada akhbar arus perdana, You-tube, facebook, blog, twitter, surat layang, vedio, DVD, CD , Television dan berbagai media letronik menuduh seseorang itu berzina atau meliwath tanpa membawa 4 orang saksi.

Siapakan mereka-mereka yang sepatutnya mendapat hukuman Qazaf (80 kali sebat) dan menanggung dosa besar (kerana menuduh seseorang berzina/ liwath) tanpa membawa 4 orang saksi?

1. Ketua Pengarang akhbar tersebut/ wartawan yang menulis dan semua pemegang saham akhbar tersebut.

2. Penulis blog, facebook, twitter, surat layang yang mula-mula menulis berita fitnah menuduh zina / liwath. dan semua rakan-rakan mereka yang share dan sebarkan kepada orang lain.

3. Perancang dan pembuat vedio lucah dan semua kakitangan yang terlibat termasuk kerani, juru gambar dan pegawai IT dan mereka yang menjadi pelakon tambahan (wajah menyerupai orang yang ingin difitnahkan) termasuk memilik studio yang membenarkan lakunan fitnah itu di vediokan di syarakat rakaman tersebut. Termasuk pemberita t.v, pengarah penyiaran yang membenarkan berita fitnah tersebut disiarkan untuk tontonan orang ramai. Orang ramai yang percaya dan sebarkan juga mendapat saham yang sama tidak dikurangkan walaupun sedikit.

4. Semua ahli-ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan , pensyarah universiti, bekas pemimpin negara, individu-individu dalam masyarakat yang sokong, menyebarkan dan membenarkan berita fitnah tuduhan zina atau liwath tersebut dan dikongsikan dengan ahli-ahli mereka.

Sia-sia sahaja amal soleh dan amal ibadah mereka di dunia kerana seronok mempromosikan berita fitnah dan tuduhan jahat . Termasuk juga individu yang hebat memperkatakan Islam dan pakar motivasi tetapi tewas dengan hasutan syaitan mudah mempercayai fitnah dan tuduhan zina dan liwath kepada seorang muslim tanpa membawa 4 orang saksi yang adil. Setakat dakwaan tidak cukup untuk disabitkan kesalahan seseorang muslim.

Apakah jenis hukuman di akhirat yang akan diterima oleh mereka yang di dapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan tuduhan zina atau liwath sedangkan mereka tidak sempat meminta maaf kepada mereka yang dituduh?

1. Menjadi muflis : 

Mereka amat mudah menjadi muflis kerana amalan kebaikan mereka akan diberikan kepada mereka yang dituduh sekadar dosa yang mereka lakukan, jika banyak mereka share di internet maka semakin banyak pahala mereka akan di ambil, begitu juga jika pahala sudah habis sedangkan dosa kepada orang lain masih banyak maka dosa orang yang dituduh akan diberikan kepada pembuat fitnah tersebut. Jika telah di istiharkan menjadi muflis maka dia akan dicampakkan ke dalam api neraka.

Nabi SAW bersabda: “Orang yang muflis di kalangan umatku adalah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Di aibkan oleh Allah SWT.

Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW. bersabda maksudnya :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis Riwayat Ibnu Abid Dunya)

3. Semasa Israk dan Mikraj Nabi SAW nampak perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai . Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.Ada pula perempuan yang baginda nampak yang rupanya berbentuk anjing dan beberapa ekor ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.

(Walaupun seksaan itu ditujukan kepada kaum wanita yang suka mengadu domba dan memfitnah orang lain tetapi sekiranya lelaki juga suka memfitnah maka seksaan yang serupa juga akan diterimanya di akhirat nanti)

4. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW di nampakkan beberapa seksaan-seksaan yang akan di terima umatnya di hari akhirat nanti kerana dosa-dosa yang pernah mereka lakukan di dunia. Salah satu seksaan yang dahsyat yang akan diterima oleh umatnya adalah mereka yang suka bermusuhan sesama saudara muslim dan suka cari aib orang lain dan didedahkan kepada orang ramai.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "...ada sekelompok lagi kukunya terbuat daripada tembaga api neraka, panjang kukunya lalu mencakar-cakar mukanya.dan mengoyak-ngoyakan mukanya sendiri, hancur muka dan dikembalikan lagi ke bentuk asal begitulah berulang-ulang. Ini balasan untuk mereka yang sentiasa bermusuh-musuhan sesama saudara muslim, suka cari aib orang lain, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri."

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita tinggalkan segala bentuk fitnah dan mengaibkan orang lain, nasihatkanlah mereka-mereka yang seronok memuat-turunkan gambar-gambar lakunan seks oleh para pemimpin masyarakat atau mereka yang dikenali ramai sedangkan belum pasti betul dan biasanya gambar seperti itu adalah palsu. 

Dalam Islam jika kita menuduh seseorang itu berzina perlu membawa 4 orang saksi yang adil, jika tidak hukuman Qazab boleh dikenakan kepada mereka yang membuat tuduhan tersebut. Sebenarnya perbuatan fitnah dan jahat seperti ini adalah pekerjaan orang-orang fasik, munafik dan zalim yang tak takut dosa dan kemurkaan Allah SWT. Kalian boleh saksikan di dunia ini mereka yang terlibat dengan konspirasi fitnah dan mereka cipta vedio seks fitnah tidak akan bahagia hidup mereka dan sentiasa mendapat musibah kerana dosa-dosa fitnah amat dibenci oleh Allah SWT balasannya akan diterima di dunia lagi sebelum mereka diseksa di hari akhirat nanti.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML