Thursday, March 6, 2014

JENAYAH ISLAM SIRI 1 ~ HUDUD

Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam Siri Pertama.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Isu yang masih hangat diperkatakan oleh media masa dan umat Islam adalah isu cadangan perlaksanaan hukum hudud di Johor oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat . Kesan daripada cadangan tersebut ramai pihak memberi reaksi positif samaada daripada para ulama, mufti, menteri, ahli politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO Islam), Badan-badan Dakwah, Persatuan Peguam Syarie dan umat Islam seluruhnya.

Dengan adanya pandangan, ulasan dan sokongan daripada cendikiawan Islam dalam masyarakat kita maka persepsi hukum hudud telah mendapat gambaran positif dikalangan umat Islam dan orang bukan Islam juga dapat memahami bahawa hukum hudud bukanlah satu hukum yang zalim seperti dimomok-momokkan sebelum ini, kerana hukum-hukum Islam lebih berbentuk pendidikan daripada menghukum seorang pesalah.

Untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci perbahasan kita kali ini lebih tertumpu untuk huraian mengenai Undang-undang Jenayah Islam supaya umat Islam sendiri dapat memahami apakah dia Hukum Hudud, Qisas dan Takzir supaya kekeliruan sebelum ini dapat di perbetulkan dan memberi kefahaman yang menyeluruh.

Apabila kita telah memilih Islam sebagai agama, maka sudah sepatutnya kita menjadikan al-Quran dan as-Sunah sebagai panduan hidup kita dalam melayari kehidupan di muka bumi ini. Maka dengan ini apa-apa sahaja yang diperintahkan kepada kita untuk diikuti, hendaklah dipatuhi dan apa-apa yang dilarang daripada kita melakukannya, hendaklah dijauhi.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua laranganNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)." 
(Surah Ali Imran ayat 19)

Undang-undang Jenayah Islam adalah salah satu daripada perkara ysng dibawa oleh Rasulullah SAW yang mana ianya merupakan syariat Allah SWT yang telah diperundangkan olehNya kepada kita umat manusia agar dapat hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram. Ini kerana tujuan utama Allah SWT meletakkan undang-undang tersebut adalah untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebahagian daripada umat Islam menyamakan syariat Islam dengan fiqh Islam. Ini adalah tanggapan yang salah kerana syariat Islam mempunyai pengertian yang lebih umum atau lebih luas dari fiqh Islam. Ini disebabkan syariat bererti kesemua perkara yang diperundangkan Allah SWT dalam agama samaada daripada al-Quran, As-Sunah dan sebagainya yang merangkumi hukum-hukum fiqh, akidah, akhlak dan sebagainya.

Fiqh Islam pula adalah ilmu untuk mengetahui hukum-hukum syarak yang tertakluk pada perbuatan dan perkataan manusia yang diambil dari dalil-dalil yang terperinci iaitu al-Quran, as-Sunah, Ijmak , Qiyas dan Ijtihad.

Apabila kita membicarakan mengenai Hukum Hudud, Qisas dan Takzir ini bermakna kita sedang membicarakan mengenai Undang-undang Jenayah Islam (Fiqh al-Jinayah).

Perlu difahami bahawa kenapa Allah SWT mencipkan undang-undang jenayah untuk manusia patuhi iaitu Hukum Hudud dan Qisas? Ini adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia sendiri. Allah SWT Maha Mengetahui sifat-sifat , hati budi dan tabiat manusia kerana Dia yang mencipta manusia pasti Dia jua mengetahui kekuatan dan kelemahan manusia.
Dia jua Maha Mengetahui apakah bentuk sistem dan cara hidup yang sesuai untuk diamalkan sehingga manusia akan hidup aman dan tenteram di dunia ini.

Bagaimana sempurnanya dasar-dasar pembinaan hukum-hukum Islam yang ditanzilkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW iaitu hukum-hukum Islam tidak menyusahkan, diturunkan berperingkat-peringkat dan perlaksanaannya memberi keadilan mutlak kepada kemaslahatan seluruh manusia.

Imam al-Ghazali rah. menyebut dalam kitab Usulnya : "Sesungguhnya tujuan utama syarak mensyariatkan hukum-hukum Islam kepada umat manusia mengandungi 5 tujuan : Menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda."

Asas Undang-undang Jenayah Islam mengandungi lima perkara pokok :

1. Untuk menjaga agama.
2. Untuk menjaga nyawa.
3. Untuk menjaga akal.
4. Untuk menjaga keturunan.
5. Untuk menjaga harta.

Huraiannya :

1. Untuk menjaga agama :

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia. " (Hadis Riwayat Bukhari : 4/329, 2/251, Abu Daud : 4451 dan lain-lain).

2. Untuk menjaga nyawa :

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan di dalam Hukum Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 179)

3. Untuk menjaga akal.

Saidina Ali bin Abi Talib k.wj berkata : Rasulullah SAW menyebat orang minum arak 40 kali sebat, Abu Bakar r.a. 40 kali sebat juga dan Umar 80 kali sebat. Semuanya adalah sunah Rasulullah SAW dan ini yang lebih aku sukai." (Hadis Riwayat Abu Daud : 4481)

4. Untuk menjaga keturunan :

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Ambillah peraturan dariku, ambillah peraturan dariku. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan jalan untuk mereka. Teruna dan dara yang berzina hukumannya disebat 100 kali dan dibuang negeri setahun dan yang sudah berkahwin hukumannya di sebat 100 kali dan direjam (sampai mati)."
(Hadis Riwayat Muslim : 3199, Abu Daud : 3834 dan At-Tirmizi :1354 lihat As-Syaukani jilid 7 hlm 249)

5. Untuk menjaga harta :

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa , lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Maidah ayat 38)

Sahabat yang dihormati,
Jika kita mengkaji secara mendalam dengan hati yang terbuka, kita akan mendapati undang-undang Islam cukup sempurna dan tidak ada cacat celanya. Terdapat 5 keistimewaan undang-undang Islam iaitu :

1. Undang-undang Islam adalah ciptaan Allah SWT yang Maha Pencipta.
2. Undang-undang Islam mendidik jiwa manusia.
3. Undang-undang Islam amat mendalam.
4. Undang-undang Islam memperuntukkan ganjaran (pahala) dan menghapus dosa.
5. Undang-undang Islam tidak berubah dan sesuai untuk setiap zaman dan ketika.

Sayid Sabiq menghuraikan makna pengertian jenayah : Segala perbuatan yang diharamkan, iaitu perbuatan yang ditegah oleh syarak yang boleh memberi kemudharatan dan berlaku ke atas agama, jiwa. akal, keturunan dan harta. (Kitab Fiqh as-Sunnah)

Ibn Rushd pula menyatakan : Pengertian jenayah adalah meninggalkan segala sesuatu yang disuruh oleh syarak seperti meninggalkan solat, puasa, zakat dan sebagainya, serta melakukan sesuatu yang dilarang seperti mencuri, minum arak, membunuh dan sebagainya.(Kitab Bidayatul Mujahid wa al-Nihayatul Muqtasid, bab al-Jinayat)

Terdapat 3 bentuk hukuman atau peruntukan dalam kesalahan jenayah dalam Perundangan Islam iaitu :

Pertama  : Hukum Hudud
Kedua      : Hukum Qisas dan Diat
Ketiga      :  Hukum Takzir

Huraiannya :

Pertama : Hukum Hudud.

Darisegi bahasa Hudud bermaksud pencegahan / penghalang. 

Dari sudut istilah pula Hudud bermaksud : Keseksaan atau hukuman yang bentuknya telah ditetapkan oleh Allah SWT yang wajaib dilaksanakan bagi tujuan menjaga hak Allah SWT atau dengan lain perkataan juga disebut sebagai menjaga kepentingan awam/ umum.

Firman Allah SWT maksudnya : "Itulah batas-batas larangan (hudud) Allah maka janganlah kamu menghampirinya." (Surah al-Baqarah ayat 187)

Terdapat 7 kesalahan-kesalahan hudud :

1. Zina
2. Menuduh zina
3. Minum arak
4. Mencuri
5. Merompak
6. Murtad
7. Penderhakaan

Kedua : Hukum Qisas dan Diat .

Qisas dari sudut bahasa : sama/ seimbang.

Dari sudut istilah syarak pula maksudnya : Suatu bentuk hukuman/ keseksaan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang wajab dilaksanakan bagi tujuan menjaga hak atau kepentingan individu. (al-Mawardi dlm kitab Al-Ahkam al-Sultoniyah m/s 219)

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-Baqarah ayat 178)

"Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 179)

Diat pula menurut istilah syarak ialah : Denda yang telah ditetapkan oleh syarak sebagai menggantikan hukuman Qisas yang telah dilaksanakan.

Suatu pembunuhan yang berlaku biasanya akan menghadapi salah satu daripada 3 kemungkinan bentuk hukuman :

1. Di balas bunuh sebagai hukum Qisas.
2. Di hukum membayar Diat/ denda.
3. Kemaafan tanpa syarat.

Jenis-jenis kesalahan Qisas dan Diat ada 2 jenis kesalahan :
1. Kesalahan membunuh jiwa manusia.
2. Kesalahan menyebabkan kecederaan tubuh badan manusia.

Ketiga : Hukum Takzir .

Dari sudut bahasa ia bermaksud : Membesarkan dan mengagungkan. (Sayid Sabiq : Fiqh al-Sunnah jilid :2 m/s 393)

Dari sudut istilah perundingan Islam, Takzir bermaksud : Hukuman atau keseksaan yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syarak dan dilaksanakan sama ada untuk menjamin kepentingan atau hak individu atau kepentingan awam/ masyarakat (hak Allah) dalam semua kes selain kes hudud dan Qisas.

Kesalahan-kesalahan takzir ini adalah kesalahan yang hukumannya akan ditentukan atau ditetapkan oleh pihak pemerintah/ Ulil Amri atau pihak mahkamah dari semasa ke semasa mengikut bentuk atau jenis kepentingan yang perlu dijaga.

Para Fuqaha telah membahagikan kesalahan-kesalahan Takzir kepada 3 bahagian :

1. Takzir pada perbuatan maksiat
2. Takzir untuk kepentingan umum.
3. Takzir atas kesalahankesalahan kecil.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bersihkan dan kukuhkan akidah kita supaya kita benar-benar meyakini tanpa ragu-ragu akan undang-undang ciptaan Allah SWT yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah . Islam adalah ad-Din , satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna merangkumi dalam urusan akidah/ tauhid, ibadah, muamalah, munakahat, faraid, hukum jenayah Islam (hudud dan qisas) dan peraturan perang dan perundangan antara bangsa.

Kita jangan mudah terpengaruh dengan pendapat-pendapat yang sesat yang cuba mempertikaikan undang-undang Allah SWT dan mengatakan bahawa undang-undang Allah SWT tidak sesuai dalam masyarakat majmuk dan mengagungkan undang-undang ciptaan manusia. 

Perlu diingat bahawa keimanan kita kepada undang-undang Allah SWT berbentuk ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji dan tidak ada bezanya untuk kita beriman dan yakin kepada undang-undang jenayah Islam seperti Hudud dan Qisas. 

Berdoalah semoga Allah SWT memudahkan urusan perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam. Supaya undang-undang ini dapat diperkasakan dan berkuasa dan dilaksanakan dalam kehidupan kita di muka bumi ini, insya Allah.

(Rujukan : Fiqh Al-Jinayah - Perbahasan Undang-undang Islam oleh Ustaz Mohd Rafizal Zulkifli al-Yamani)

Orang Beriman dan Bertakwa Yakin Sepenuhnya dan Tidak Ragu-ragu Hukum Jenayah Islam


Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang yang beriman dan bertakwa kita wajib menyakini bahawa undang-undang atau hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah SWT adalah sesuai sepanjang zaman sehingga ke hari kiamat. Kepercayaan dan keyakinan kita ini adalah akidah dan iman kita kepada Allah SWT, Rasulullah  SAW ,Kitab suci al-Quran nul karim dan rukun Iman yang lain.

Perlu diyakini bahawa peranan undang-undang jenayah Islam adalah untuk mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Terdapat 4 sebab kenapa undang-undang jenayah Islam ini perlu dilaksanakan.

1. Untuk mematuhi segala perintah Allah SWT yang terdapat di dalam al-Quran nul karim dan mematuhi sunnah dan hadis Nabi SAW dalam bab hukum jenayah.

2. Undang-undang jenayah Islam menjatuhkan hukuman secara adil dan saksama. Misalnya orang yang membunuh dihukum bunuh balas. Ini menyebabkan warisnya berpuas hati dan hilang perasaan dendam. 

3. Hukuman jenayah Islam yang kemas dan tegas menyebabkan penjenayah dan orang ramai takut dan gerun untuk mengulangi jenayah. Akhirnya kehidupan masyarakat aman dan sejahtera. 

4. Hukuman jenayah Islam men­gandungi unsur-unsur pendidikan kepada penjenayah dan orang ramai. Hukuman yang dikenakan mendorong seseorang penjenayah bertaubat dan menyesali kesalahan yang dilakukannya. Dengan ini jenayah akan berkurangan dalam masyarakat.

Apakah matlamat dan kebaikan hukum jenayah Islam terdiri daripada hukum hudud, qisas dan ta'zir ?

Terdapat 3 kebaikan hukuman tersebut :
1. Untuk melindung masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah sebelum ia berlaku. 

2. Untuk memperbaiki penjenayah dan membetulkan penyelewengan. Ini dapat dilihat daripada kesan yang ditinggalkan oleh hukuman ke atas penjenayah yang memberi pengajaran, memperbaiki dan menghalang seseorang daripada melakukan jenayah. 

3. Untuk membersih dosa penjenayah dan menyelamatkannya daripada azab akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk memahami lebih terperinci hukum-hukum jenayah Islam, dijelaskan secara ringkas dibawah ini :

Hukum-hukum jenayah Islam terbahagi kepada tiga :

Pertama :  HukumHudud

Kedua :  Hukum Qisas

Ketiga : Hukum Ta’zir


Pertama Hukum Hudud :

A. Pengertian Hudud :

Dari segi bahasa hudud bererti menahan atau mencegàh.

Dari segi istilah hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan As Sunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah SWT kadar hukumannya tidak boleh dipinda sama ada dikurang atau ditambah.

Firman Allah SWT maksudnya : “Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh itu janganlah kamu mencabulnya, dan sesiapa yang mencabuli hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”(Surah al-Baqarah ayat 229)

B. Jenis-jenis jenayah hudud dan hukumannya :

1. Zina iaitu persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan. 

Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali. Bagi penzina yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati. 

2. Qazaf (menuduh zina)  iaitu melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik dan tidak membawa 4 orang saksi yang adil. 

Hukuman : sebat 80 kali 

3. Minum arak iaitu meminum minuman yang memabukkan boleh menghilangkan kewarasan akal. 

Hukuman : sebat 40 kali 

4. Mencuri iaitu mengambil harta orang lain secara senyap atau sembunyi. 

Hukuman : potong tangan 

5. Merompak iaitu mengambil harta orang lain dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan ancaman. 

Hukuman : Sekiranya membunuh hendaklah dibunuh sekiranya hanya merompak sahaja hendaklah dipotong  tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan seterusnya. Sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara 

6. Riddah (murtad) iaitu keluar seseorang Islam itu dan agama Islam sama ada dengan perbuatan dan perkataan. 

Hukuman : Bunuh ( setelah diberi tempoh bertaubat selama 3 hari @ 3kali) Semua jenayah hudud yang telah sabit kesalahannya wajib dikenakan hukuman hudud tanpa sebarang pengurangan @ pindahan kepada hukuman yang lain spt penjara @  wang. 

7. Pemberontakan. 

Kedua Hukum Qisas.
Pengertian qisas;

Dari segi bahasa qisas bermaksud memotong.

Dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas A1-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW. kerana kesalahan­-kesalahan yang melibatkan hak individu.

Jenis jenayah qisas iaitu kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga. 

Hukuman terhadap kesalahan qisas;

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya” (Surah al-Maidah ayat 45)

Diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas.

Kadar diat adalah dikira mengikut bilangan  unta iaitu harta yang paling bernilai ketika itu. Kadar penuh diat ialah 100 ekor unta.
Diat adalah denda untuk jenayah membunuh.(jumlah diat boleh dinilai dengan harga unta masa kini)

Pembunuhan sengaja -  100 ekor unta secara terus (tanpa tangguh) yang terdiri daripada ;     

1. 30  ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)

2. 30 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)

3. 40 ekor Hulqah .

Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qishas @ diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. 

Pembunuhan separuh sengaja - 100 ekor unta seperti di atas tetapi bayaran boleh ditangguhkan sehingga 3 tahun.

Pembunuhan tidak sengaja - 100 ekor unta dan ditangguhkan sehingga 3 tahun yang terdiri daripada :

1.  20 ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)

2. 20 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)

3. 20 ekor Bintu Labun (unta betina berumur 3 tahun)

4. 20 ekor Ibnu Labun (unta berumur 3 tahun)

5. 20 ekor BintuMukhad(unta betina berumur 2 tahun)
Hukuman bagi jenayah Pembunuhan separuh sengaja dan Pembunuhan Tidak Sengaja adalah Diat sahaja. Qisas tidak dikenakan.
1. Diat perempuan 1/2 drp diat lelaki

2. Diat hamba 1/2 drp diat merdeka
Pembunuhan Sengaja ialah membunuh dengan niat.

Pembunuhan Separuh Sengaja ialah seperti  seorang memukul orang dengan tongkat @ melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang tersebut. (tanpa niat membunuhnya).

Pembunuhan Tidak Sengaja ialah seperti seorang yang tertembak rakannya yang disangkanya binatang buruan.

Bagi jenayah membunuh, pembunuh hanya boleh diampunkan oleh warisnya sahaja. Pemerintah dan hakim tidak ada kuasa dalam pengampunan.
Diat jenayah mencederakan anggota :

1. 100 ekor unta untuk anggota tunggal seperti terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh anggota badan dan hilang keupayaan bersetubuh.

2. 50 ekor unta untuk anggota yang berpasangan, jika kedua-duanya terlibat maka diatnya 100 unta. Ia melibatkan salah satu drp kaki atau tangan, mata dan  telinga.

3. 33 ekor unta untuk luka al-Ja'ifah (luka hingga ke dlm bhg otak)

4. 33 ekor unta untuk luka Al-Ma'muumah ( luka yang sampai ke selaput kepala)

5. 25 ekor unta untuk anggota yang 4  bahagian (pasang) spt kelopak mata. Setiap satu kelopak mewakili 25 unta.

6. 10 ekor unta untuk luka Al-Hasyimah (luka yang memecah @ mematahkan tulang)

7. 15 ekor unta untuk luka Al-Munqilah (luka yang sampai ke tulang dan mematahkannya sehingga tergeser dari tempatnya).

8. 10 ekor unta untuk anggota yang ada 10 bahagian seperti jari tangan dan jari kiri. Setiap satu jari jika patah mewakili 10 ekor unta.

9. 5 ekor unta untuk luka Mudhihah @ Muwadhdhohah (luka yang menampakkan tulang)

Hukum Ta'zir.
Pengertian ta’zir.

Dari segi bahasa ta’zir bererti menolak atau menghalang. 

Dan segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam Al-Quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaannya, tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu. 

Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategori ta’zir;

1. Kesalahan-kesalahan hudud atau qisas yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud atau qisas.

2. Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab dan sebagainya.

3. Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengumpat, menipu, berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.
Hukuman bagi kesalahan ta’zir.
 1. Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.

2. Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang melakukan kesalahan akan berusaha untuk memperbaiki dirinya.

3. Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut dikenakan hukuman.

4. Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa tersempit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat. 

5. Membuat pengisytiharan kepada umum terhadap kesalahan penjenayah. Dengannya penjenayah berasa tertekan dan malu yang amat sangat.

6. Hukuman ta ‘zir dengan denda berbentuk kewangan dan merampas harta yang dimiliki oieh penjenayah. 

7. Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut pertimbangan realiti semasa. 

8. Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan yang tertentu mengikut reaiiti .       

Hukuman ini dikenakan supaya penjenayah berasa tertekan, mengalami kesusahan dan tersisih akibat   dipisahkan dari kaum keluarga dan sahabat handai.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabh diri kita bahawa terlalu banyak dosa dan kesalahan yang kita lakukan kepada Allah SWT. dan perlulah kita banyak beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Salah satu dosa besar yang kita lakukan tanpa kita sedari kita terpengaruh dengan pendapat sebahagian daripada umat Islam yang mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT dan tidak yakin terhadap hukum hudud dan qisas yang ditanzilkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran nul karim. Jika kita terlanjur penyokong pendapat mereka yang menolak dan mengatakan hukum hudud tidak sesuai maka kembalilah bertaubat kepada Allah SWT dan jangan ditangguh-tangguhkan lagi kerana kematian itu akan datang bila-bila masa dan kita khuatir jika kita menafikan hukum-hukum Allah SWT boleh jatuh kepada syirik yang mana dosa syirik tidak akan diampunkan oleh Allah SWT.

Tujuan nota ini ditulis adalah bertujuan memberi sedikit ilmu yang bermanfaat kepada kalian semua supaya kalian tahu serba sedikit apa yang dimaksudkan hudud, qisas, diat dan ta'zir. Semoga Allah SWT meletakkan diri kita dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Hukum Hudud Potong Tangan Pencuri Dalam Syariat Islam

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Apabila kita membicarakan hukum hudud yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW maka  hukum hudud dijalankan ke atas 7 kesalahan jenayah hudud iaitu

1. Zina
2. Menuduh zina
3. Minum arak
4. Mencuri
5. Merompak
6. Murtad
7. Penderhakaan

Perbicaraan kita kali ini adalah kesalahan jenayah hudud yang ke 4 iaitu hukum mencuri.

Pertama sekali ialah apa yang perlu istilah ‘curi’ itu sendiri dalam perundangan Islam? Curi yang dimaksudkan dalam perundangan Islam ialah mengambil harta secara sembunyi dari pemiliknya atau wakilnya, dengan syarat mencukupi nisab potong tangan, dan mengeluarkan dari tempat penjagaan atau seumpamanya, dan tidak ada unsur syubhah ke atas harta tersebut [Nizham al-U’qubat, Abd Rahman Maliki, halaman 60].

Perintah Allah SWT. di dalam al-Quran mengenai hukuman potong tangan ke atas pencuri adalah termaktub dalam surah al-Maidah ayat 38:

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah . Dan Allah . Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

(Surah  al-Maidah ayat 38)

Hukuman potong tangan tidak akan dijatuhkan melainkan memenuhi 7 syarat utama:

Pertama:

Menepati definisi mencuri iaitu mengambil harta secara sembunyi atau sorok-sorok. Seseorang itu tidak dikatakan mencuri jika merompak, menggelapkan wang (pecah amanah), merampas dan meragut. Sekiranya seseorang peguam menggelapkan matawang pelanggannya, ia tidak termasuk dalam jenayah kecurian yang dikenakan hukuman potong tangan. Namun begitu, mereka akan dikenakan hukuman takzir yang mungkin lebih berat daripada potong tangan. Kesalahan ini tidak dikategorikan sebagai curi kerana ada hadis dari Jabir bahawa Nabi Muhammad SAW. bersabda:

“Tidak dipotong tangan orang yang pecah amanah, orang yang menipu dan orang yang merampas” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kedua:

Barang yang mencuri mencukupi nisab. Cukup nisab adalah syarat minima nilai harta yang dicuri. Jumhur ulama’ iaitu Maliki, Syafie, dan Hambali bersepakat bahawa nisab barang kecurian itu adalah seperempat dinar atau 3 dirham. Satu dinar adalah setara dengan 4.25 gram emas (24 karat). Ini adalah berpandukan kepada hadis Nabi Muhammad SAW dari Aisyah r.a. :

“Tangan pencuri dipotong untuk seperempat dinar atau lebih” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari hadis ini, dapat kita simpulkan bahawa nisabnya ialah ¼ x 4.24 gram = 1.0625 gram. Sekiranya harga emas pada hari ini ialah RM180.00/g maka 1.0625 gram x RM180 = RM191.25. Oleh itu, nisab kecurian ialah RM191.25. Sekiranya seseorang itu mencuri barangan bernilai RM190.00 maka tangannya tidak akan dipotong kerana belum cukup nisab dan dia akan dikenakan hukuman takzir.

Ketiga:

Harta yang dicuri adalah harta yang layak dimiliki mengikut hukum syarak. Jika seseorang Muslim menyimpan arak atau khinzir di rumahnya kemudian dicuri, maka ia tidak akan menyebabkan pencuri dihukum potong tangan kerana harta tersebut bukanlah satu pemilikan yang layak untuk orang Islam. Tetapi, sekiranya pencuri tersebut mencuri dari orang kafir, maka pencuri tersebut akan dikenakan hukuman potong tangan.

Keempat:

Harta dicuri adalah dari tempat penjagaan iaitu barang yang dicuri itu berada dalam penjagaan, simpanan atau pengawasan pemiliknya. Bentuk penjagaan ini terdiri dari 2 kategori iaitu:

1. Ia dibuat khas untuk menyimpan seperti peti besi untuk perhiasan dan wang, kandang untuk binatang, jelapang untuk padi dan sebagainya yang dimaklumi masyarakat.

2. Bukan tempat penyimpanan khusus nama termasuk cara umum di mana seseorang berada di situ dan orang lain tidak boleh mengambilnya melainkan mendapat keizinannya.

Contohnya adalah seseorang yang duduk/tidur di masjid dan meletakkan beg di sisinya. Ini termasuk dalam penjagaan. Konsep ‘pengawasan’ terhadap harta ini adalah berbeza antara satu harta dengan harta lain. Ulama fiqh bersepakat mengatakan jika satu pintu stor atau kandang terbuka, atau bahagian dindingnya rosak maka ini akan menghilangkan sifat penjagaan, maka pencuri itu tidak dipotong tangan, namun mereka akan dikenakan hukuman lain. Dari Amru bin Syuaib dari bapanya dan dari datuknya berkata “Aku mendengar seorang lelaki dari Bani Muzainah bertanya kepada Rasulullah tentang sangkar yang ada lubang: Maka Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Pencuri itu kena bayar 2 kali ganda harganya dan dipukul sebagai teladan balasan seksa, namun jika dia mencuri unta atau kambing dalam pengawasan untuk minum air maka tangannya akan dipotong jika harganya menyamai 8 mijan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dalam hadis lain yang menceritakan perihal orang yang mencuri buah semasa berada ditangkai, maka mereka ditakzir dengan nilai dua kali ganda, tapi jika mereka mencuri dari stor maka mereka akan dipotong tangan jika cukup nisabnya.

Kelima:

Bukan harta syubahat: Dalam harta yang dicuri tidak ada bahagian hak pencuri atau yang membolehkan pencuri itu memakannya. Ini bermakna tidak dikenakan hukuman potong tangan sekiranya si ayah mencuri harta anaknya atau sebaliknya. Ini berpandukan kepada sabda Nabi Muhammad SAW. “Kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu”. Baginda juga bersabda “Sebaik-baik orang itu adalah orang yang memakan hasil usahanya sendiri, dan anaknya juga memakan hasil usahanya.”

Seorang yang mencuri harta dari Baitul Mal juga tidak dipotong tangan kerana Baitul Mal adalah harta bersama di mana di dalamnya terdapat hak si pencuri sebagai rakyat meskipun kecil bahagiannya. Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW bila seseorang ditangkap kerana mencuri khumus (1/5 dari rampasan perang yang dikhaskan kepada Rasulullah). Ibn Abbas menceritakan bahawa kes ini dibawa kepada Rasulullah, tetapi baginda tidak memotong tangannya, sebaliknya bersabda:

“Harta Allah dicuri di kalangan sendiri” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Semasa pemerintahan Saidina Umar al-Khatab dan Saidina Ali r.a. juga terjadi kecurian di Baitul Mal namun mereka tidak memotong tangan, kerana kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) di atas harta itu. Begitu juga kalau salah seorang suami-isteri mencuri harta pasangannya, maka hukum potong tangan tidak dijalankan kerana mereka saling berkongsi dalam pemilikan harta.

Keenam:

Pencuri itu akil-baligh dan terikat hukuman dalam Islam. Taklif ini jatuh untuk semua orang termasuk kafir zimmi. Ini berpandukan kepada hadis Nabi Muhammad SAW :

"Diangkat pena (dosa) dari 3 pihak, orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh, dan orang yang gila sehingga dia berakal” (Hadis Riwayat Muslim)

Ini bermakna taklif hukum terkena kepada orang yang berakal dan baligh. Pencuri kanak-kanak atau orang gila tidak akan dipotong tangan. Adapun kafir zimmi juga akan dipotong tangan mereka sebagaimana orang Islam.

Ketujuh:

Disabit kesalahan mencuri dengan pengakuan atau disaksikan oleh saksi yang adil. Pengakuan mencuri dalam sidang penghakiman akan menyebabkan seseorang itu boleh disabit dengan pencurian. Dari Abu Umaiyah Makhzumi menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan potong tangan seorang yang datang mengaku mencuri walaupun benda yang dicurinya tidak ada ditangannya (Hadis Riwayat Ahmad).

Manakala jika kes dibawa dan pembuktian diperlukan, keperluan untuk menjadi saksi kes kecurian ialah 2 lelaki atau 1 lelaki dan 2 wanita berasaskan nas umum saksi dalam surah al-Baqarah ayat 282.

Dapat disimpulkan di sini bahawa hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri adalah mempunyai syarat-syaratnya tertentu dan ia bukannya perlu dilaksanakan secara melulu apatah lagi ia tidak termasuk skop ragut dan pecah amanah. Apa yang lebih penting lagi orang bukan Islam iaitu orang kafir Zimmi tetap akan dilaksanakan hukuman potong tangan kanan jika disabitkan bersalah dan memenuhi ketujuh-tujuh syarat tersebut . Wallahu a'lam

Sahabat yang dikasihi,
Jelaslah kepada kita bahawa perlaksanaan Hukum Hudud Potong Tangan bukanlah suatu yang mudah ingin dilaksanakan jika tidak memenuhi  syatat-syarat yang ditetapkan.  Jika syarat tidak mencukupi seperti tidak cukup nisab atau cukup nisab tetapi harta tersebut tidak dijaga dengan baik maka hukum hudud potong tangan tidak akan dijalankan. Pernah berlaku dizaman Khalifah Umar al-Khattab seorang mencuri harta seseorang kerana kelaparan maka beliau tidak menjatuhkan hukum hudud potong tangan kerana ajaran Islam tidak pernah menzalimi manusia yang berada di dalam kemiskinan dan kesusahan. Masyarakat Islam yang menghina hukum hudud ini katanya tidak sesuai di dalam masyarakat majmuk adalah mereka yang telah rosak akidahnya dan wajib bertaubat dan kembali kepada keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML