Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam Siri Ke 4 (Kesalahan Hudud - Minum Arak)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Arak adalah minuman yang diharamkan oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud :
"Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala , mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalang kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." (Surah al-Maaidah ayat 90-91)
Berdasrkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa arak merupakan salah satu dari amalan dan perbuatan keji yang berasal daripada syaitan. Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya agar menjauhi amalan tersebut supaya beroleh keuntungan di dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Setiap yang memabukkan itu adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan itu adalah haram." (Hadis Riwayat Muslim no. 3003)
Begitu juga dengan sabda Nabi SAW tentang setiap minuman yang memabukkan, samaada sedikit atau banyak, hukumnya adalah sama iaitu haram.
"Apa yang bila banyaknya memabukkan , maka sedikit daripadanya juga adalah haram." (Hadis Riwayat Ahmad : 3/343, Abu Daud : 3681, Tirmizi : 1865, Ibnu Majah : 3393, Ibn Hibban : 5358. Di nilai Hasan oleh Syaikh Al-Albani)
Islam melarang keras minuman keras (arak) adalah berdasarkan kesesuaian ajarannya yang mengkhendaki umatnya mempunyai fizikal yang sihat dan jiwa serta rohani yang mantap agar mampu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benar pengabdian.
Tidak diragukan lagi, bahawa arak adalah minuman yang boleh melemahkan keperibadian dan menghilangkan potensi diri terutama sekali akal.
Arak juga digelar sebagai "Raja Segala Kejahatan" sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Khamar (arak) adalah induk/ ibu segala kejahatan." (Hadis Hasan, no. 3344 lihat Sahih al-Jamik, Syaikh Al-Albani.)
Sahabat yang dimuliakan,
Minum arak adalah salah satu dosa-dosa besar yang menyebabkan seseorang itu akan meninggalkan sembahyang, berzina dan sebaginya.
Abdullah bin Amru meriwayatkan sebuah hadis lain yang bermaksud : "Khamar (arak) adalah induk kejahatan dan merupakan salah satu dosa-dosa besar. Barang siapa yang minum khamar, dia akan meninggalkan sembahyang dan (biasanya) akan menyetubuhi ibunya dan ibu saudaranya (sebelah ibunya atau sebelah ayahnya)."
(Fiqh Sunnah, Sayid Sabiq, Jilid 2, m.s. 371, bab Kesalaham minum Khamar.)
Islam tidak hanya mengharamkan kepada peminum minuman tersebut sahaja, tetapi meliputi 10 golongan yang berkaitan dengan perkara khamar ini, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Sepuluh golongan yang dilaknat dalam perkara khamar : Pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan duit hasil jualannya, pembayar dan pemesannya." (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah di nilai sahih oleh Syaikh Al-Albani dalam Misykah al-Mashobiih, no. 2776)
Berdasarkan ayat al-Quran surah al-Maaidah ayat 90 dan 91 di atas dan hadis sahih riwayat Muslim no. 3003, jelaslah arak itu telah diharam oleh Allah SWT sesiapa yang meminumnya dengan sengaja dan disabitkan kesalahan tersebut maka dalam Islam terdapat hukum hudud yang akan dikenakan keatasnya.
Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesiapa yang meminum khamar maka hendaklah kamu sebatnya. Kemudian jika dia meminumnya lagi maka hendaklah kamu sebatnya. Kemudian jika ia minum lagi maka hendaklah kamu sebatnya lagi, kemudian jika dia minumnya lagi pada kali yang ke empat, maka hendaklah kamu bunuhnya." (Hadis Riwayat Tirmizi : 1364, An-Nasaie : 5567, Ahmad : 7435)
Terdapat dalil daripada riwayat para sahabat mengenai hukum hudud terhadap jenayah minum arak.
Anas bin Malik r. a berkata : "Rasulullah SAW telah mengenakan hukum pukul (sebat) dalam kes arak dengan menggunakan pelepah tamar dan kasut. Abu Bakar pula merotan sebanyak 40 kali." (Hadis Riwayat Bukhari : 6275)
Saaib bin Yazid r.a berkata : " Apabila peminum arak dibawakan kepada kami pada zaman Rasulullah SAW, zaman Pemerentahan Abu Bakar dan permulaan zaman Umar al-Khattab, kami memukulnya dengan tangan , kasut dan serban. Di akhir pemerentahan Umar, mereka dirotan sebanyak 40 kali. Sehinggalah perbuatan itu berlaku semakin menjadi-jadi dan melampaui batas, lalu mereka dirotan sebanyak 80 kali." (Hadis Riwayat Bukhari : 6281).
Perlu dijelaskan disini bahawa terdapat dua unsur dalam jenayah Minum Arak iaitu :
1. Unsur fizikal
2. Unsur moral.
Huraiannya :
1. Unsur fizikal.
Jumhur ulama menetapkan dan sepakat mengatakan bahawa unsur fizikal bagi kesalahan minum arak tetap dikira sebagai telah berlaku walaupun arak yang diminum itu tidak memabukkannya. Ini kerana perbuatan yang dilarang ialah perbuatan meminum arak, bukannya apa-apa yang terhasil daripada minuman tersebut. Sama sahaja darisegi hukumnya samaada meminum sedikit (belum mabuk) atau minum banyak (sehingga mabuk).
2. Unsur moral.
Menurut Asy-Syaikh Abdul Qadir Audah : "Unsur moral bagi jenayah ini iaitu niat jahat akan dikira telah berlaku pada peminum arak berkenaan sekiranya dia tahu bahawa bahan-bahan yang diminum itu adalah arak atau minuman yang memabukkan. Tetapi sekiranya iai tidak tahu bahawa yang diminum itu adalah arak atau apa-apa sahaja minuman yang memabukkan, maka dia dianggap tidak berniat jahat walau pun ia mabuk selepas daripada meminum minuman tersebut."
Tambah beliau lagi, " Samada kejahilan tentang apa yang diminum itu berlaku dengan begitu sahaja atau terhasil daripada kesilapan yang teruk atau sebaliknya atau kerana kecuaian dan tidak berhati-hati . Ini kerana apa yang menjadi syarat ialah perbuatan itu dilakukan dengan sengaja iaitu sedar bahawa apa yang dilakukan adalah salah dan haram. "
(Kitab Tasyri' al-Jina'ie al-Islami, jilid 2, m.s. 504)
Seorang boleh didakwa dengan kesalahan minum arak sekiranya ia melakukan 3 perkara dibawah :
1. Minuman yang diminum itu ialah arak (khamar) iaitu minuman yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal fikiran.
2. Ia mengetahui bahawa minuman yang diminum itu ialah arak yang diharamkan atau mengetahui bahawa minuman tersebut boleh memabukkannya dan menutup kewarasan akal fikirannya.
3. Perbuatan yang diminum itu adalah perbuatan yang memang disengajakan.
Syarat-syarat seseorang dikenakan hukum hudud minum arak :
1. Baligh, dewasa mengikut perkiraan syarak.
2. Berakal, mempunyai daya fikiran yang sempurna dan waras (tidak gila)
3. Kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa pun.
4. Minuman itu masuk ke dalam rongga atau tubuh badan melalui mulut.
Untuk mensabitkan kesalahan minum arak perlu kepada 3 perkara ;
1. Pensabitan melalui keterangan saksi/ persaksian.
Saksi mestilah 2 orang lelaki yang memenuhi ciri-ciri dan syarat sebagai saksi seperti saksi kesalahan zina. Kesaksian wanita tidak diterima dalam kes-kes hudud.
2. Ikrar/ Pengakuan daripada tertuduh.
Ikrar/ pengakuan tersebut memadai dengan hanya sekali pengakuan sahaja. Di buat dengan sekarela bukan dipaksa.
3. Qarinah / Bukti lain.
a. Bau mulut atau nafas seseorang yang minum arak atau muntah yang mengeluarkan arak/ sebarang minuman yang memabukkan.
b. Pemerhatian mahkamah terhadap keadaan situasi tertuduh melalui percakapan, perbuatan, tubuh badan dan sebagainya.
Dalam bab Qarinah, kedua-dua perkara di atas boleh dijadikan bukti seseorang itu telah melakukan kesalahan minum arak melainkan jika tertuduh dapat membuktikan sebaliknya.
Hukuman bagi kesalahan minum arak :
Seseorang yang didapati bersalah atas kesalahan minum arak akan dihukum dengan hukuman dibawah :
1. Sebat 40 kali atau 80 kali berdasarkan riwayat dibawah :
"Rasulullah SAW telah menghukum dengan 40 kali pukulan, Abu Bakar juga 40 kali dan Umar dengan 80 kali. Kesemuanya adalah sunah dan hukuman ini (40 kali) adalah hukuman yang saya sukai."
(Kata-kata Saidina Ali k.wj. ketika menghukum Al-Walid bin Uqbah kerana kesalahan minum arak. Ia direkodkan oleh Imam Muslim dalam Kitab Sahihnya (Fiqh Sunnah, Sayid Sabiq, jilid 2, m/s : 265)
Ulama sepakat dengan hukuman rotan untuk pesalah minum arak tetapi berselisih pendapat mengenai jumlahnya. Perbezaan pendapat ini tidak harus dijadikan hujah oleh setengah golongan untuk menggugurkan kesalahan minum arak daripada termasuk kesalahan hudud. Ini kerana larangan minum arak adalah termaktub dalam al-Quran.
Menurut Asy-Syaikh Abdul Qadir Audah, "Pemerintah boleh mengenakan hukuman sebanyak 80 kali sebatan atas dasar 40 kali (tambahan) itu merupakan sebagai hukuman takzir." (Kitab Tasyri' al-Jinaa- 'I al- Islami jilid 2, m/s: 505)
Sahabat yang dihormati,
Dosa minum arak adalah salah satu dosa besar sebagaimana hadis daripada Nabi SAW.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :“ Empat ( macam manusia) tidak Allah masukkan mereka itu ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak , pemakan riba, menzalami (memakan) harta anak yatim dengan tidak hak dan derhaka pada ibu atau bapa.” (Hadis Riwayat Hakim)
Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Akan dibangkitkan pada hari kiamat orang peminum khamar itu bermuka hitam, biru matanya, keluar lidahnya sampai kedadanya, mengalir air liurnya, tiap orang yang melihat akan jijik padanya kerana busuk baunya. Kamu jangan memberi salam kepada pemabuk dan jangan melawatnya jika mereka sakit dan jangan menyembahyangkan jika mati."
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. bahwa Rasulullah SAW. bersabda, “Barang siapa meminum khamar (arak), Allah tidak menerima solatnya selama empat puluh pagi. Apabila ia bertaubat, Allah menerima taubatnya. Kalau ia kembali meminum khamar lagi, Allah tidak menerima solatnya selama empat puluh hari. Apabila ia bertaubat, Allah menerima taubatnya.”
Berdasarkan hadis Nabi SAW di atas yang menyatakan bahawa orang yang meminum khamar (minuman keras yang memabukkan) solatnya tidak diterima selama empat puluh hari. Pakar-pakar hadis dan hukum Islam berupaya mencari alasan di balik itu. Mereka mengatakan, bahawa selama masa itu -empat puluh hari- darah, urat, dan tubuh secara umum orang yang meminum khamar masih dialiri oleh minuman kotor itu. Ini, misalnya, seperti pernah disebut oleh As-Suyuthi dalam Hasyiyah at-Tirmidziy. Para ulama juga mengatakan, bahawa meskipun yang disebut di dalam hadis itu hanya solat, tetapi pada hakikatnya mencakup ibadah-ibadah yang lain, termasuk puasa.
Oleh kerana kesan mudaratnya cukup besar samaada di dunia dan akhirat maka Islam mengharamkan minuman arak dan mengenakan hukum hudud kepada peminumnya . Wajib semua umat Islam menjauhinya dan berdakwah kepada masyarakat jangan mendekatinya.
Sepatutnya para pemimpin (umat Islam) yang beragama Islam perlu berusaha bagaimana boleh membatalkan lesen kilang arak yang telah diberikan dan tidak akan memberikan lesen-lesen baru supaya negara kita bebas daripada minuman yang diharamkan Allah SWT. Perlu digubal undang-undang supaya umat Islam dilarang bekerja di kilang-kilang arak atau bertugas dikaunter-kaunter pasaraya-pasaraya yang menjual arak (bezakan kaunter barangan halal dan haram- umat Islam hanya bertugas dikaunter yang tidak ada barangan haram). Ini adalah kerana hasil yang diperolehi daripada bekerja dikaunter yang ada miniman arak adalah haram berdasarkan hadis 10 golongan yang terlibat dengan arak.
Sahabat yang dikasihi,
Umat Islam tidak boleh mempertikaikan hukum hudud yang melibatkan hukuman terhadap meminum arak yang telah disabitkan kesalahan tersebut kerana Nabi SAW dan para sahabat telah menjalankan hukum hudud kepada peminum arak.
Setiap umat Islam perlu bekerja sama dengan Jabatan Agama Islam diseluruh Malaysia dan NGO Islam untuk membentras minuman arak ini supaya minuman haram ini tidak diminum oleh umat Islam, belia dan remaja kita, supaya hukuman dan pendakwaan dapat dijalankan ke atas mereka dengan ini akan dapat menyekat gejala sosial yang meruntuhkan akhlak umat Islam.
(Rujukan : Fiqh Al-Jinayah - Perbahasan Undang-undang Islam oleh Ustaz Mohd Rafizal Zulkifli al-Yamani)
No comments:
Post a Comment