Kalimah Allah Khusus Untuk Umat Islam Sahaja
Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada masa ini umat Islam digemparkan dengan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ telah dibenarkan dalam penerbitan Herald The Catholic Weekly oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan dalam keputusan lisannya pada 31 hbb. Disember, 2009. Hasil daripada keputusan tersebut telah mencetuskan bantahan daripada umat Islam dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan mereka mendesak agar mahkamah dan kerajaan mengambil inisiatif untuk membatalkan keputusan tersebut demi menjamin kesucian agama Islam yang menjadi agama resmi dan ianya telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Seminggu selepas keputusan tersebut Kementerian Dalam Negeri telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan keputusan Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusan tersebut untuk dilaksanakan, sementara menunggu masa perbicaraan.
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan peristiwa tersebut di atas, apakah resionalnya Herald The Catholic Weekly beriya-riya benar untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ sedangkan dalam kitab Bible mereka tidak wujud langsung kalimah tersebut.Yang terdapat adalah perkataan ‘God’, ‘Sons of God’ dan ‘God’s wife’ Yang pastinya ini adalah stratigi mereka untuk menyebarkan dakyaan dan ajaran agama mereka keatas umat Islam.
Dalam Islam merujuk kepada kitab suci al-Qur’an perkataan Allah adalah merujuk kepada nama Allah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti yang terdapat dalam Surah al-Ikhlash( ayat 1-4) firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “ Katakanlah : ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia’.”
Sebenarnya dalam bahasa Melayu juga perkataan Allah merujuk kepada hakikat Tuhan Yang Maha Esa. Sebab itu terjemahan bahasa Inggeris ‘God’ ialah Tuhan, bukan Allah.
Sahabat yang dihormati,
Apabila nama Allah dibenarkan dalam tulisan mereka, maka ia akan membuka implikasi yang lebih besar kepada umat Islam iaitu :
Pertama, akan berlaku kekeliruan terjemahan, seperti ‘Sons of God’ kepada Anak-anak Allah, ‘God’s wife’ kepada Isteri-isteri Allah. Bentuk tulisan yang membawa nama Allah telah menukar makna hakiki nama Allah yang difahami dalam bahasa Melayu, iaitu Yang Maha Esa.
Kedua, ia seolah mengikhtiraf nama Allah yang ‘baharu’. Maka umat Islam menghadapi tugas yang berat untuk menjernihkan nama Allah yang hakiki dan nama Allah yang digunakan oleh agama Kristian.
Didalam Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988 Jadual (Seksyen 9) Bahagian 1 :
Terdapat 25 perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama Islam iaitu :
Allah, Fatwa, Imam, Dakwah, Syariah, Syiekh, Haji, Mufti, Ibadah, Illahi, Wahyu, Ulama, Nabi, Qiblat, Salat, Khalifah, Wali, Rasul, Iman, Mubaligh, Hadith, Injil, Kaabah, Kadi dan Firman Allah.
Umat Islam sering dikelirukan dengan hujah bahawa semua agama menuju Allah Yang Esa, hanya berbeza bentuk ibadat dan do’a yang disampaikan. Fahaman ini amat bahaya kerana mengiktiraf semua agama sama taraf. Maknanya al-Qur’an mungkin sama dengan Bible, para Rasul sama dengan Confucius, dan berbagai lagi. Hanya Islam agama yang benar di sisi Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “ Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali-Imran ayat 19)
Tedapat beberapa tokoh ulama dan pemimpin Islam menyatakan bantahan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam :
“Semua pihak dalam Negara ini perlu menghormati institusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa bagi melindungi kedaulatan dan kesucian agama Islam.”
(En Amidi Abd Manan, Timbalan Presiden ABIM. Pada 3 Januari 2010 Bernama)
“Tidak terdapat tasawur kefahaman mengenai ‘Allah’ dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga…Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible.”
(Dr. Syed Ali Tawfik Al-Atas, Mantan Ketua Pengarah IKIM. Pada 6 Januari, 2008 di Utusan Malaysia)
“Allah adalah nama khas, kita minta pimpinan Katolik tunjukkan kepada kita (nama Allah dalam Bible)… ini (ketegangan) patut kita elak sebab Malaysia terlalu kaya dengan sejarah ketegangan antara kaum dan penganut agama.”
(Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM . Pada 3 Mac 2009 di Berita Harian.)
“Sepatutnya mereka (Herald Catholic) faham perkataan Allah itu tidak harus digunakan kerana perkataan itu adalah khusus kepada agama Islam sahaja dan ia merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Dalam agama Kristian sendiri, mereka tidak menggunakan perkataan Allah dalam kitab mereka, sebaliknya mereka menggunakan perkataan seperti God, Lord dan sebagainya bagi merujuk tuhan mereka.”
(Dato’Setia Hj Mohd Tamyes Abd Wahid Mufti Selangor).
Sahabat,
Jika perkataan ‘Allah’ dibenarkan dalam terbitan agama lain di negara kita, ia dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam terutama golongan muda. Paling dibimbangi, penggunaan perkataan itu juga mempunyai agenda tersembunyi. Kita tidak mahu wujud usaha penyebaraan dakyah agama lain secara tidak langsung menerusi penggunaan perkataan ‘Allah’ tersebut. Sudah cukup serangan daripada pelbagai sudut terhadap umat Islam dan kesucian agama Islam dinegara kita. Sebarang provokasi yang menjejas dan mempersendakan kesucian agama Islam perlu dihalang.
Kalau dilihat kes murtad yang membabitkan orang Islam amat membimbangkan kerana menurut Mufti Perak jumlah umat Islam yang murtad dan keluar daripada agama Islam melebihi 100,000 orang. Kita kuatir jika umat Islam hanya membiarkan diri dan tidak menghalang pengunaan nama Allah oleh pihak Kristian berkemungkinan kes murtad akan bertambah lagi.
Sebagai umat Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t kita bukan sahaja sensitif terhadap nama Allah dipersendakan tetapi juga kita sensitif terhadap mereka yang cuba mempersendakan hukum-hukum Allah s.w.t. dan engan untuk melaksanakannya dalam kehidupan .
Apabila kita marah kepada agama lain yang cuba hendak permainkan nama Allah, adakah kita merasa marah juga kepada sesiapa sahaja yang tidak menjalankan hukum-hikum Allah? Sepatutnya kita konsisten dalam mempertahankan hak-hak Allah, dan tidak bersikap 'double standard' untuk mempertahankan kebenaran.
Islam diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk dilaksanakan dalam kehidupan manusia. Tanda kita cinta dan kasih pada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w maka pelulah kita berusaha dan mempraktikan Islam sebagai satu cara hidup, melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Isu Kalimah Allah : Menjaga Kesucian Kalimah Allah Sama Penting Melaksanakan Syariat Allah Dalam Negara Umat Islam
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah al-Baqarah ayat 120)
Penjelasan Ayat :
Di dalam ayat yang mulia ini, Allah SWT menyingkap apa yang terdapat di dalam hati orang-orang kafir dari kalangan Yahudi dan Nasrani berupa ketidaksenangan mereka terhadap Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para pengikutnya. Sehingga seluruh kemampuan yang mereka miliki, mereka gunakan untuk mempengaruhi kaum muslimin agar mengikuti agama dan keyakinan mereka yang batil. Mereka jalankan perancangan tersebut sedikit demi sedikit, hingga akhirnya seorang muslim keluar dari Islam dan condong kepada agama mereka, wal ‘iyadzu billah.Kerana itu, agama Islam menganjurkan untuk selalu menjauhi kebiasaan orang-orang kafir sebagai sikap berlepas diri dari mereka dan keyakinan mereka. Sekaligus juga upaya menutup pintu masuknya pengaruh dan sikap kecondongan kepada agama dan tradisi yang mereka bawa.
Al-’Allamah Abdurrahman bin Nashir As-Sa’dit dalam menjelaskan ayat ini berkata :“Allah SWT mengabarkan kepada Rasul-Nya bahawa Yahudi dan Nasrani (Kristian) tidak senang kepadanya kecuali (bila kita) mengikuti agama mereka. Sebab mereka senantiasa mengajak kepada apa yang menjadi keyakinan mereka dan menyangka bahawa itu adalah petunjuk. Maka katakanlah kepada mereka: “Sesungguhnya petunjuk Allah yang engkau diutus dengannya adalah petunjuk yang sebenarnya. Adapun apa yang kalian yakini itu adalah hawa nafsu, dengan dalil firman Allah yang bermaksud :
"Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahi pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini). (Surah ar-Ra'd ayat 37)
Di dalam ayat ini terdapat larangan besar untuk mengikuti hawa nafsu Yahudi dan Nasrani (Kristian). Juga larangan menyerupai mereka terhadap apa yang khusus dari agama mereka. Pembicaraan ini walaupun ditujukan kepada Rasulullah SAW, sesungguhnya umatnya termasuk di dalamnya. Sebab yang menjadi ibrah adalah keumuman maknanya dan bukan kekhususan siapa yang diajak berdialog, sebagaimana pula yang menjadi ibrah adalah keumuman suatu lafadz dan bukan dikhususkan pada sebab turunnya.” (Tafsir Al-Karimir Rahman, 64-65)
Berkata pula Ibnu Jarir dalam menafsirkan ayat ini: “Wahai Muhammad, tidaklah Yahudi dan Nasara senang kepadamu selamanya. Maka biarkanlah mereka untuk mengikuti apa yang menyenangkan mereka dan yang sesuai dengan mereka. Dan carilah apa yang mendatangkan reda Allah dalam mengajak mereka kepada apa yang Allah utus kepadamu berupa kebenaran.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/164)
Ditegaskan oleh Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 118 bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.”
Sahabat yang dimuliakan,
Isu kemurtadan telah lama berlaku di dalam masyarakat Islam di Malaysia. Kesan daripada berbagai cara dan metod yang digunakan oleh mereka untuk memesongkan akidah umat Islam. Oleh itu umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan jangan membuka ruang untuk mereka menyebarkan dakyah dan hasutan untuk mengajak umat Islam mengikuti agama mereka.
Mungkin ada agenda tertentu dibalik permohonan mereka untuk menggunakan kalimah ALLAH dalam terjemahan kitab mereka.
Umat Islam perlu berpendirian dengan tegas bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan dan bukannya ALLAH untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.
Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud ALLAH, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan. Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal.
Manakala menterjemahkan God dengan ALLAH akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam.
Kita perlu melihat isu penggunaan nama ALLAH dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Melayu tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak. Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian.
Harus diingat, bagi umat Islam, nama ALLAH merupakan nama yang khusus yang mesti dipelihara kesuciannya. Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.
Firman Allah SWT maksudnya :
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
[2] “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
[3] “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
[4] “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
(Surah al-Ikhlas ayat 1-4)
Sehubungan itu, permintaan untuk menggunakan nama ALLAH dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama ALLAH bagi merujuk kepada 'God' sama da dalam pertuturan, penulisan atau filem. Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’.
Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nasara), tetapi keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik.
Berdasarkan kaedah “Sadd al-Zari'ah” (menutup pintu-pintu fitnah), jika dibiarkan perkataan ALLAH digunakan ditempat yang tidak betul boleh menimbulkan fitnah yang besar kepada agama Islam dan mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.
Ada perkataan yang sensitif seperti kalimah Dua Shahadah dan ALLAH, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini.
Sahabat yang dikasihi,
Apabila kita jaga kalimah ALLAH supaya tidak disalah gunakan maka kita juga wajib menjaga syariat ALLAH supaya ianya dapat dilaksanakan dalam negara, masyarakat dan kehidupan harian kita. Kalimah ALLAH tidak boleh dicemarkan begitu juga sistem hidup dan undang-undang ciptaan ALLAH tidak boleh disisihkan dan ditinggalkan begitu saja. Ini bermakna hukum hudud, qisas dan diyat yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW tidak boleh dihina dan perlu dilaksanakan secara beransur-ansur dan kebaikannya perlu diwar-warkan kepada semua umat Islam dan rakyat jelata. Oleh itu cinta kita kepada ALLAH SWT perlu dibuktikan dengan melaksanakan semua suruhan-Nya dan pada masa yang sama meninggalkan semua larangan-Nya.
No comments:
Post a Comment