Thursday, March 6, 2014

JENAYAH ISLAM SIRI 2 ~ KESALAHAN ZINA

Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam Siri Kedua. (Kesalahan Zina)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam perbahasan undang-undang jenayah Islam siri kedua ini kita akan memberi tumpuan kepada kesalahan-kesalahan hudud. Di dalam kesalahan yang melibatkan hukum hudud ianya terdiri daripada 7 kesalahan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Ianya adalah kesalahan-kesalahan yang berat yang mana setiap penjenayah bagi kesalahan tersebut wajib di jatuhkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT jika sabit kesalahan sebagai menjaga dan memelihara hak Allah SWT dan kepentingan masyarakat umum.

Secara umumnya 7 kesalahan yang dikategorikan sebagai kesalahan hudud iaitu :

Pertama:  Kesalahan Zina.

Kedua :     Kesalahan Menuduh Zina.

Ketiga :     Kesalahan Minum Arak.

Keempat: Kesalahan Mencuri.

Kelima :   Kesalahan Merompak/ Menyamun.

Keenam : Kesalahan Murtad.

Ketujuh :  Kesalahan Penderhakaan.

Sahabat yang dimuliakan, 
Allah SWT berfirman maksudnya : " Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan yang lain dan tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan  (alasan)  yang benar, dan tidak berzina dan barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat hukuman yang berat.". (Surah al Furqaan ayat 68)

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : “ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.”
(Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)

Zina adalah perbuatan dosa besar yang dikutuk oleh Allah SWT. Perbuatan zina boleh merosakkan keturunan dan mendatangkan pergaduhan dan permusuhan sesama umat Islam.
Untuk perbincangan kali ini kita memberi tumpuan dalam huraian mengenai kesalahan pertama iaitu "Kesalahan Zina"


Pertama:  Kesalahan Zina.

Zina adalah kesalahan hudud pertama yang akan di laksanakan kepada pesalah perbuatan zina. Zina membawa pengertian sebagai ; "Suatu hubungan jenis atau hubungan seks yang dilakukan antara lelaki dengan perempuan secara haram atau tidak sah dari sudut syarak."

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Israk (17) ayat 32)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud : "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah (rotan) tiap-tiap seorang dari keduanya seratus sebatan." 
(Surah An-Nur (24) ayat 2)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Ambillah peraturan dariku, ambillah peraturan dariku. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan jalan untuk mereka, teruna dan dara yang berzina hukumannya di sebat seratus kali dan dibuang negeri setahun dan yang sudah berkahwin hukumannya disebat seratus kali dan direjam." (Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Umar sebagimana yang terdapat di dalam sahih Bukhari dan Muslim menyebut :

"Sesungguhnya Allah telah membangkitkan Muhammad SAW secara benar dan diturunkan kepadanya al-Quran, dan antara yang telah di turunkan kepadanya adalah ayat berkenaan hukum rejam, maka kami (sahabat) telah membacanya, menyedarinya dan memikirkannya, maka Rasul sendiri telah merejam (penzina) dan kami juga merejamnya selepas itu, maka aku bimbang sekiranya berlalu zaman, akan timbul mereka yang berkata : "Kami tidak dapati hukum rejam di dalam Kitab Allah", maka jadilah mereka sesat dengan meninggalkan kefarduan yang diturunkan Allah, sesungguhnya rejam adalah haq dalam Kitab Allah (di kenakan) bagi penzina muhsan (sudah berkahwin)  dari kalangan lelaki dan perempuan." 
(Hadis Riwayat Bukhari no.6829. Kitab al-Hudud dan juga bab-bab lain. Muslim hadis no.4394, Abu Daud  hadis no. 4418, Tirmidzi hadis no. 1432, Ibnu Majah hadis no. 2553) 

Para fuqaha sependapat mengatakan bahawa jenayah zina mempunyai dua unsur penting iaitu :

1. Unsur fizikal iaitu perbuatan persetubuhan haram.

Bermaksud ialah  perlakuan persetubuhan haram yang dilakukan oleh penzina samaada lelaki atau perempuan iaitu dengan memasukkan hasyafah (kepala zakar lelaki) kedalam faraj perempuan yang mana dengan perbuatan tersebut membolehkan penzina lelaki dan perempuan dikenakan hukuman hadd (hudud).

Maka dengan ini, segala bentuk perlakuan atau perbuatan lain antara lelaki dan perempuan seperti bercium, berpeluk, berkhalwat atau tidur bersama di atas satu katil di antara lelaki dan perempuan tidak dianggap sebagai kesalahan zina, sebaliknya merupakan satu perbuatan maksiat yang boleh dikenakan hukuman takzir.

2. Unsur moral iaitu niat jahat atau sengaja melakukan persetubuhan haram tersebut.

Darisegi moral pula, lelaki dan perempuan yang melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan sedar dan tahu bahawa perbuatan zina adalah perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Dalam hal ini, kejahilan tentang hukum agama tidak boleh di jadikan alasan bagi seseorang yang mengaku sebagai seorang muslim.

Syarat-syarat seseorang itu boleh disabitkan kesalahan zina :

Mengikut pendapat Jumhur Ulama hukuman zina dapat di jatuhkan atau disabitkan kepada pesalah zina dengan salah satu daripada 2 perkara iaitu :

1.Saksi.

2. Ikrar / Pengakuan daripada penzina. 

Huraiannya :

1. Saksi .

Dalam Islam saksi mestilah terdiri daripada 4 orang  lelaki yang adil.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu maka carilah 4 orang saksi (lelaki) di antara kamu yang menyaksikan perbuatan mereka itu." (Surah an-Nisaa (4) ayat 15)

Saksi-saksi tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat berikut :

1. 4 orang lelaki (tertolak penyaksian daripada saksi perempuan)

2. Baligh

3. Berakal

4. Adil

5. Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

6. Islam (termasuk menjadi saksi orang yang bukan Islam)

7. Melihat sebenar-benarnya perzinahan tersebut berlaku dan dapat menerangkan secara terperinci bagaimana perbuatan zina itu berlaku.

Bagaimana hukuman jika bilangan saksi kurang daripada 4 orang?

Dalam hal ini, setiap kesalahan zina yang hendak dipertuduhkan kepada seseorang, tetapi tidak mempunyai bilangan saksi yang mencukupi iaitu 4 orang saksi lelaki, maka hukumannya : Tidak sah untuk disabitkan kesalaahn zina tersebut, bahkan saksi-saksi tersebut wajib dikenakan hukuman qazab (lihat surah an-Nisaa ayat 15)

2. Ikrar / Pengakuan daripada penzina.

Hukuman hudud boleh disabitkan terhadap seseorang penzina yang membuat pengakuan bahawa ianya berzina walaupun tanpa saksi dengan menepati syarat-syarat berikut :

1. Pengakuan tersebut mestilah di buat di hadapan hakim/ wakil hakim.

2. Pengakuan tersebut mestilah daripada orang dewasa yang waras / siuman.

3. Pengakuan tersebut dibuat secara lisan kecuali bagi orang-orang yang bisu.

4. Pengakuan tersebut dibuat dengan terang, jelas, tanpa menimbulkan sebarang keraguan.

5. Pihak yang membuat pengakuan memahami sebarang bentuk implikasi dan kesan terhadap pengakuannya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga akidah kita supaya kita tidak pertikaikan hukum-hukum Allah SWT iaitu hukum hudud yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. 

Seorang muslim yang mengatakan bahawa hukum hudud zalim atau tidak sesuai dilaksanakan di dalam masyarakat majmuk akan jatuh kepada murtad dan terkeluar daripada Islam kerana hukum ini bukannya hukum ciptaan manusia tetapi hukum ini jelas terdapat di dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih. 

Siapa kita yang cuba merendah-rendahkan dan mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT?

Tidak salah jika kita berkata hukum hudud sesuai dan wajib di laksanakan dalam masyarakat Islam tetapi ianya perlu kepada masa dalam perlaksanaannya. Perlaksanaannya perlu kepada peringkat demi peringkat dan perlu kajian yang mendalam dan pendedahan yang menyeluruh dalam masyarakat Islam sebelum dilaksanakan.

Setiap golongan dalam masyarakat samaada ulama, cendikiawan Islam, pemimpin negara, Jemaah Islam , NGO Islam, Pertubuhan Dakwah perlulah proaktif dalam memberi penerangan kepada masyarakat umum samaada umat Islam atau bukan Islam tentang kebaikan dan kesempurnaan hukum hudud yang terdapat dalam ajaran Islam. 

Sebenarnya pemimpin bukan Islam yang memandang negatif terhadap hukum hudud adalah disebabkan kejahilan mereka memahami kebaikan dan kekuatan hukum-hukum Islam berbanding hukum-hukum ciptaan manusia maka tanggungjawab kitalah untuk menjelaskan secara lengkap dan sempurna. 

Orang mukmin perlu sentiasa meyakini bahawa hukum terbaik untuk manusia adalah hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah SWT iaitu hukum hudud dan hukum qisas . Tidak akan sempurna akidah seseorang muslim itu apabila hatinya ada keraguan terhadap hukum-hukum Allah SWT. Oleh itu marilah sama-sama kita jaga iman dan akidah kita supaya sentiasa sempurna dan tidak terdapat kecacatannya. Tidak ada bezanya apabila kita yakin kewajipan menunaikan solat, puasa, zakat dan haji dengan kewajipan melaksanakan hukum hudud, qisas dan takzir dalam perlaksanaan undang-undang jenayah Islam.


(Rujukan : Kitab Fiqh Al-Jinayah - Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam oleh Ustaz Mohd Rafizal Zulkifli Al Yamani)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML