Wednesday, January 1, 2014

AMALAN MUSLIM CEMERLANG

Orang Mukmin Sentisa Amalkan Bersedekah, Membayar Zakat dan Berdoa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Aswad bin Yazid meriwayatkan bahawa Abdullah berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Ubatilah sakit kamu dengan bersedekah, perliharalah harta kamu dengan berzakat dan hindarilah bala dengan berdoa." (Hadis Riwayat Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra jil 3, hal 382. Albani menganggapnya sebagai hasan di dalam Sahih al-Jamik al-Shagir)

Berdasarkan hadis ini terdapat tiga perkara kebaikan yang dinyatakan Nabi SAW iaitu :

Pertama : Ubatilah sakit kamu dengan bersedekah.

Kedua :  Perliharalah harta kamu dengan berzakat.

Ketiga : Hindarilah bala dengan berdoa.

Huraiannya :

Pertama : Ubatilah sakit kamu dengan bersedekah.

Hadis ini merupakan hadis yang sangat istimewa. Ia menjadi bukti bahawa sedekah dengan izin Allah SWT telah menjadi salah satu cara untuk berubat dan penawar bagi suatu penyakit.

Salah satu terapi yang boleh menyembuhkan sesuatu penyakit namun tidak di ambil berat oleh umat Islam adalah berubat dengan sedekah. Padahal dengan izin Allah SWT , sedekah memiliki rahsia yang mengagumkan dalam mengubati berbagai penyakit. Ini sudah terbukti kebenarannya. Jika difikirkan sekali lalu seperti tidak logik bagaimana sedekah boleh berfungsi memainkan peranan dalam penyembuhan sesuatu penyakit, tetapi ini bukanlah perkara mustahil. Kita perlu ingat bahawa penyakit itu datangnya daripada Allah SWT, ubat dan penyembuhan semuanya datang daripada Allah SWT, maka jika bersedekah itu satu cara boleh meredakan kemurkaan Allah SWT maka ianya amat mudah bagi Allah SWT untuk menyembuhkan sesuatu penyakit itu.

Jika Nabi SAW sendiri menyatakan ' ubatilah sakit kamu dengan bersedekah' pasti ada hikmah dan rahsia yang besar dibalik bersedekah tersebut. Nabi SAW tidak akan berkata mengikut hawa nafsunya melainkan ianya adalah wahyu yang datangnya daripada Allah SWT. Para doktor moden hari ini mungkin tidak nampak logik atau resionalnya perkara ini dan mereka akan nampak lebih pada jenis penyakit dan ubat yang bersesuaian sahaja.

Ibnu Qayyim berkata : "Setiap doktor tidak akan mengubati penyakit dengan cara mengajak  pesakitnya untuk menjernihkan hati, memperkuat roh dengan bersedekah, mengajak membuat kebaikan, mengingati Allah dan menganjurkan untuk memberkati diri untuk akhirat. Mereka bukanlah doktor yang sebenarnya, mereka hanya mengubati penyakit untuk sementara waktu"(Zad al-Maad jilid 4, hal. 144)

Terdapat banyak kes penyakit kronik yang tidak mampu diubati di hospital tetapi dengan izin Allah penyakit tersebut baik apabila pesakit tersebut memberikan sedekah dengan niat kerana Allah SWT semata-mata. Ubatnya adalah sedekah dengan niat mencari kesembuhan. Mungkin kalian telah banyak sedekah, tetapi tidak kalian niatkan untuk Allah SWT untuk menyembuhkan dari penyakit kalian.

Cuba sekarang dan hendaknya kalian yakin bahawa Allah SWT akan menyembuhkan penyakit kalian. Berilah makan orang-orang fakir, atau bantulah  anak-anak yatim, atau wakafkanlah hartamu, atau keluarkanlah sedekah jariahmu. Sungguh sedekah dapat menghilangkan penyakit dan kesusahan, musibah atau cubaan.

Mereka yang diberi taufik oleh Allah SWT telah mencuba nasihat ini. Akhirnya mereka mendapatkan ubat rohiyah yang lebih mujarab daripada ubat jasmani. Rasulullah SAW  juga mengubati dengan ubat rohiyah sekaligus boleh mengubati penyakit lahiriyah.

Para salafus soleh juga mengeluarkan sedekah yang sepadan dengan penyakit dan musibah yang menimpa mereka. Mereka mengeluarkan harta mereka yang paling mereka cintai. Jangan bakhil untuk diri kalian sendiri, jika kalian memang memiliki harta dan kemudahan. Inilah kesempatannya untuk kalian cuba dan amalkan.

Dikisahkan bahawa Abdullah bin Mubarak pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang penyakit yang menimpa lututnya semenjak tujuh tahun. Ia telah mengubati lututnya dengan berbagai macam ubat. Ia telah bertanya kepada para doktor, tetapi tidak menghasilkan apa-apa.

Ibnu al-Mubarak pun berkata kepadanya, “Pergi dan galilah telaga, kerana manusia sedang memerlukan air. Saya berharap akan ada mata air di dalam perigi yang engkau gali dan dapat menyembuhkan sakit di lututmu. Lelaki itu lalu menggali perigi dengan izin Allah SWT penyakitnya pun sembuh “. (Kisah ini terdapat dalam “Shahih at-Targhib”).

Bersedekah dengan harta  yang kalian paling  cintai, dan mengeluarkan sedekah terus menerus, nescaya Allah SWT akan menyembuhkannya walaupun hanya sebahagian penyakit. Yakin kepada Allah SWT  sesungguhnya Allah SWT tidak melalaikan balasan untuk orang yang berbuat baik.

Bersedekahlah dengan bersungguh-sungguh dan percayalah kepada Allah SWT. Jangan seperti orang yang melalaikan nasihat yang bermakna ini, hingga ia tidak mahu mengeluarkan sebahagian hartanya untuk bersedekah lagi. Padahal bertahun-tahun ia menderita sakit dan berulang-alik berjumpa doktor untuk mengubati panyakitnya, dengan menghabiskan banyak wang dari simpanannya.

Keluarkan sedekah lagi, perbanyak sedekah semampumu. Jika kalian masih belum sembuh, mungkin Allah SWT memanjangkan sakitmu untuk sebuah hikmah yang dikehendakiNya atau kerana kemaksiatan yang menghalang kesembuhanmu. Jika demikian cepatlah bertaubat dan perbanyak doa di sepertiga malam terakhir.

Sekiranya ada di antara kalian yang diberikan nikmat sihat oleh Allah SWT, jangan tinggalkan sedekah dengan alasan kalian sihat. Seperti halnya orang yang sakit boleh sembuh maka orang yang sihat pun boleh sakit. Ada pepatah mengatakan, “Mencegah lebih baik dari mengubati”.

Sekali lagi diulangi, di samping kalian berikhitar mencari penawar untuk mengubati penyakit yang dihadapi jangan tinggal sedekah, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. Empat perkara ini perlu ada dan jangan dipisahkan insya Allah kalian akan sembuh daripada apa sahaja penyakit yang kalian sedang hadapi.

Kedua :  Perliharalah harta kamu dengan berzakat.

Hikmah mengeluarkan zakat adalah seperti berikut:

1. Untuk kesucian rohani.
Orang yang mengeluarkan zakat, jiwa mereka akan terdidik dengan baik, sifat rahmah dan penyayang akan terpupuk di sanubari.

2. Untuk diri sendiri.
Sebagai satu pensucian dan mengembangkan harta, lahirkan rasa kesyukuran dengan pemberian Allah SWT dan membawa suatu rasa keamanan dan kesejahteraan.

3. Untuk masyarakat.
Dengan berzakat, ia mengurangkan perasaan irihati di antara mereka yang tidak berkemampuan, memberi satu panduan Islam dalam menguruskan ekonomi dan kewangan dan membolehkan pembahagian sebahagian kekayaan orang-orang yang kaya kepada orang-orang miskin.

Orang yang enggan mengeluarkan zakat bererti telah merobohkan satu daripada rukun-rukun Islam. Sebagaimana mengeluarkan zakat oleh yang berkemampuan kepada yang tidak berkemampuan boleh menimbulkan kasih sayang dan saling hormat-menghormati antara dua lapisan masyarakat, maka kengganan mengeluarkan zakat akan menimbulkan perselisihan dan kebencian antara sesama mereka.

Golongan fakir dan miskin tetap berharap akan dapat hak mereka yang telah ditentukan oleh Allah SWT dari harta orang kaya setiap tahun. Orang kaya harus bersyukur kepada Allah SWT atas kesenangan hidup yang didapatinya dengan mengeluarkan zakatnya. Enggan mengeluarkan zakat adalah merampas hak orang miskin, dan merampas hak orang tentu sekali akan membawa kebencian orang yang terzalim dan akan di murkai oleh Allah SWT.

Zakat dapat memelihara harta kalian daripada kebinasaan dan zakat juga menyucikan harta dan diri pembayar Zakat. Allah SWT berjanji akan mengembangkan harta mereka dan tidak mengurangkan walau sedikit sekali pun. Dan Allah SWT menenangkan jiwa mereka. Oleh itu kalian wajib yakin dengan janji-janji Allah SWT itu dan kalian tidak seharusnya takut menjadi miskin atau harta kalian berkurangan kerana berzakat 

Ketiga : Hindarilah bala dengan berdoa.

Seorang mukmin yang sentiasa dalam hidupnya  berdoa dan berhubung hati dengan Allah S.W.T.  akan mempunyai  kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdoa dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara.

Rasulullah S.A.W.  selalu berdoa (mengajarkan kepada umatnya) : " Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak memberi manfaat dan daripada hati yang tidak khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan). " (Hadis riwayat Ahmad)

Doa memohon selamat daripada bala dan kehinaan ini terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi S.A.W. ada mengajarkan kepada kita untuk berdoa : "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qadak dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)."

Doa ini patut dibaca oleh kita semua untuk menjauhkan diri, keluarga dan semua muslim dari sebarang bahaya yang menanti kita tanpa diduga.
  
Bacalah doa pendek dibawah ini dengan harapan Allah melindungi kita :-

من نَزَلَ مَنْزِلا ثُمَّ قال " أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ من شَرِّ ما خَلَقَ " لم يَضُرَّهُ شَيْءٌ حتى يَرْتَحِلَ من مَنْزِلِهِ ذلك
( A'uzu bikalimaatillaahittaammaati min syarri maa khalaq)

Ertinya : sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk" maka dia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apa pun sehinggalah dia kembali ke rumahnya semula."
( Hadis Riwayat Muslim, 4/2080)

Disebut dalam satu riwayat lain, Nabi SAW  bersabda maksudnya  :-

فقال رسول الله من أي شيء قال لدغتني عقرب قال رسول الله أما إنك لو قلت حين أمسيت أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق لم يضرك إن شاء الله

Ertinya : Nabi SAW bertanya : "kena apakah kamu ?"
Lelaki berkata :" Aku disengat kala"
Nabi SAW berkata : "Sekiranya engkau membaca pada setiap petang " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak akan ditimpa mudarat"
( Hadis Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )


Juga sebuah lagi doa yang mudah dari hadis sohih:-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال " بِسْمِ اللَّهِ الذي لا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ " ثَلاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلاءٍ حتى يُمْسِيَ

(Bismillaahillazii laa yadurru ma'asmihii syai un fil ardi walaa fissamaa i wahuwassamii 'ul 'aliim)

Ertinya : Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui" sebanyak 3 kali, maka dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya"
( Hadis Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hadith Hasan)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita beramal dengan tiga perkara yang di perintahkan oleh Rasulullah SAW untuk kita laksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan hidup kita. Bersedekah dan berdoa adalah sunat yang dituntut untuk dilaksanakan tetapi berzakat yang telah cukup syarat zakat iaitu cukup nisab dan tempuhnya adalah wajib dilaksanakan. Semoga kita mendapat rahmat dan kebahagiaan di dunia dan akhirat dengan melaksanakan perintah dan arahan Allah SWT dan Rasul-Nya.






No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML