Wednesday, January 1, 2014

WASIAT MALAIKAT JIBRIL KEPADA NABI

Amalkan Tujuh Perkara Yang di Harapkan Oleh Malaikat Jibril

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w memberi wasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya  : "Wahai Ali ! Malaikat Jibril selalu mengharapkan tujuh hal dari keturunan anak Adam iaitu :

1.Solat lima kali dalam sehari semalam bersama imam (berjemaah)

2.Berkumpul bersama para ulama'

3.Menjenguk orang sakit.

4.Menghantar jenazah ketempat perkuburan

5.Memberi minum orang yang kehausan

6.Mendamaikan dua orang yang sedang berselisih

7.Menghormati tetangga (jiran) dan anak yatim"

Rasulullah s.a.w cukup bimbang kepada umatnya yang suka menunda-nunda atau melingah-lengahkan amal-amal soleh kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok. Ingatlah! Masa berjalan terus, ia tidak menunggu sesiapa, dunia sentiasa berubah dan fitnah-fitnah yang dibawa oleh syaitan dan Iblis dan didurong oleh hawa nafsu itu akan muncul terus dan mengoda manusia.

Bayangkan bagaimana keadaan ini boleh berlaku iaitu seseorang paginya beriman dan petangnya kafir dan ada pula yang petangnya beriman dan paginya kafir. Kalau tidak diambil perhatian serius apa akan terjadi sekiranya ketika ia menjadi kafir waktu petang atau pagi tiba-tiba ajalnya datang mengejut? Jadilah ia seorang yang mati dalam kekufuran kepada Allah s.w.t. nauzubillahiminzalik.

Berdasarkan wasiat Nabi s.a.w kepada Sayyidina Ali k.w , malaikat Jibril mengharapkan tujuh perkara dapat di amalkan oleh anak Adam supaya menjadi hamba Allah yang  melaksanakan amal soleh ketika di dunia ini.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Solat lima kali dalam sehari semalam bersama imam (berjemaah).

Solat lima waktu berjemaah adalah sunat yang amat dituntut kerana ganjaran pahala yang akan diberikan oleh Allah s.w.t adalah 27 kali lebih baik daripada solat bersendirian dan setiap langkah yang dilakukan menuju kemasjid akan mendapatkan satu pahala disisi Allah s.w.t. dan mendapat pahala seperti mengerjakan haji.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardhu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu dhuha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Kalau seorang tidak pergi ke masjid meskipun dia telah dengar azan (dia lebih suka solat di rumah) tanpa sesuatu 'uzur syar'i yang kuat maka solatnya tidak diterima." Apabila para sahabat bertanya apakah 'uzur syar'i yang kuat itu, maka baginda menjawab, "Ketakutan atau sakit."

Kedua : Berkumpul bersama para ulama'.

Nabi s.a.w. berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w. : "Wahai Ali ! Apabila seorang Mukmin yang lebih dari empat puluh hari tidak berkumpul duduk dengan ulama' maka hatinya menjadi keras dan berani mengerjakan dosa-dosa besar. Kerana sesungguhnya ilmu itu penghidup hati"

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh (ulama') dan orang yang jelek adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.”
 (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Ketiga : Menjenguk orang sakit.

Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau rumah termasuk antara kunjungan diwajibkan ianya adalah termasuk hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain.

Diriwayatkan Imam Ahmad: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di Syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di Syurga."

Daripada Anas bin Malik pula mengungkapkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Barang siapa berwuduk dengan sempurna lalu berkunjung kepada saudaranya yang sakit semata-mata mengharap reda Allah, ia akan dijauhkan daripada api Neraka sejauh perjalanan 60 kharif (satu kharif bersamaan dengan satu tahun)."

Sementara Abu Hurairah menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Barang siapa berkunjung kepada saudaranya yang sakit, maka seseorang menyeru dari langit: Beruntunglah engkau, beruntunglah perjalananmu dan sungguh engkau sudah membangun rumah di Syurga."

Keempat : Menghantar jenazah ketempat perkuburan.

Penghantaran jenazah ke kubur adalah hak Muslim kepada Muslim yang lain.Mengiringi jenazah ke kubur adalah mengandungi banyak hikmahnya kerana dengan pengkebumian ini akan mengingatkan kita kepada kematian. Setiap yang hidup pasti akan mati hanya masanya sahaja akan ditentukan oleh Allah s.w.t.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Barangsiapa yang mengikuti penyempurnaan jenazah hingga solat jenazah maka dia akan memperolihi ganjaran satu qirath, dan barangsiapa yang mengikutinya hingga dikebumikan maka dia akan memperolihi ganjaran dua qirath. Mengikuti jenazah adalah hak Allah, hak jenazah dan hak kaum kerabatnya yang masih hidup."

“Suatu ketika kami semua berada di Baqi’ Al-Gharqad untuk menghantar jenazah seseorang. Pada saat itu Nabi s.a.w mendatangi tempat kami, lalu baginda duduk dan kami semua pun duduk mengelilinginya dan bersama baginda ada sebatang tongkat.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Kelima : Memberi minum orang yang kehausan.

Memberi bantuan air minuman kepada mereka yang memerlukan adalah amalan sedekah yang amat dituntut. Dalam realiti kita sekarang ini memberi bantuan air minuman kepada mangsa kebuluran, bencana alam, banjir, gempa bumi,  mangsa peperangan adalah satu usaha yang amat mulia disisi Allah s.w.t. Ketika ini air amat diperlukan untuk minum, memberrsihkan diri dan keperluan lain.

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang menginginkan agar Allah menyelamatkannya daripada kesusahan (yang dialami) pada hari kiamat, maka bantulah orang yang dalam kesusahan, atau kurangilah kesusahannya.”
(Riwayat Muslim).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya, “Seseorang akan berteduh di bawah naungan sedekahnya hingga waktu pengadilan (hisab) tiba.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Al-Hafiz Ibn Abi Al-Dunya meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud, “Semua manusia dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang, sangat lapar, sangat haus dan sangat penat. Barang siapa yang pernah memberikan pakaian kerana Allah, maka Allah akan memberinya pakaian. Barang siapa yang pernah memberi makan kerana Allah, maka Allah akan memberinya makanan. Barang siapa yang pernah memberi minum kerana Allah, maka Allah akan memberinya minuman. Dan barang siapa yang pernah memaafkan karena Allah, maka Allah akan memaafkannya.”

Keenam : Mendamaikan dua orang yang sedang berselisih.

Mendamaikan dua orang Muslim yang berselisih faham adalah satu amalan yang mulia dan dituntut oleh Islam. Hinggakan berbohong untuk mendamaikan persengkitaan adalah diharuskan dan tidak termasuk di dalam hukum berdosa.

Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Ummu Kalsum ra:
ليس الكذاب الذي يصلح بين الناس فينمي خيرا أو يقول خيرا
“Bukanlah orang yang berbohong itu yang mendamaikan diantara manusia yang menyebabkan berkembangya kebaikan atau berkata perkara yang baik.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ummu Kalsum r.a juga meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w maksudnya :
“ Aku tidak pernah mendengar Rasulullah saw membenarkan manusia untuk berbohong melainkan dalam 3 perkara 1. Peperangan 2. Mendamaikan manusia 3. Cerita lelaki kepada isterinya dan sebaliknya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan jika ada dua golongan dari orang-orang  mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Surah 49 ayat 9)

Hadis riwayat Anas bin Malik ra.: "Bahwa Rasulullah saw. bersabda maksudnya : "Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal seorang muslim mendiamkan (tidak menyapa) saudaranya lebih dari tiga hari"

Ketujuh : Menghormati tetangga (jiran) dan anak yatim.

Rasulullah s.a.w. juga sering memperingatkan kita dalam beberapa hadisnya supaya kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan jiran dan sentiasa berbakti serta memuliakan mereka. Hubungan akrab di antara jiran sesama jiran sangat diutamakan di dalam ajaran Islam. Antara pesanan Nabi s.a.w. maksudnya :
“ Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahawa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk diwarisi (mendapatkan harta pusaka).”

Jangan menyakiti jiran kerana perbuatan itu menjejaskan keimanan kita.Sehubungan dengan itu Rasulullah s.a.w.  bersabda maksudnya : “ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?. Rasulullah s.a.w. menjawab : Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “ Tidak masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dekat atau jauh kedudukan rumah jiran di antara satu sama lain adalah berdasarkan jarak tempat tinggal, hubungan kekeluargaan dan perbezaan anutan di antara yang Islam dan bukan Islam.

Kedudukan jiran terdekat yang diistilahkan sebagai jiran ialah dalam lingkungan penempatan 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kita, sama ada dari arah kiri, kanan, hadapan dan belakang atau atas dan bawah. Di mana ianya terdapat tiga kategori jiran yang dikelasifikasikan oleh Islam seperti berikut.

Pertama, Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan, mereka mempunyai tiga hak iaitu hak sebagai ahli keluarga, hak sesama Islam dan hak sebagai jiran.

Kedua, Jiran Islam yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak sesama Islam .

Ketiga . Jiran Bukan Islam, mempunyai satu hak sahaja iaitu hak jiran.

( Oleh itu sebagai orang Islam yang mukmin kita hendaklah menjaga hak atau tanggungjawab tersebut kepada mereka yang berhak menerimanya, mengabaikan hak dan tanggungjawab ini dengan sengaja bermakna kita menempah kemurkaan Allah. Demikianlah universial dan murninya ajaran Islam yang mencakup seluruh kehidupan manusia dan sekalian makhluk ciptaan Allah ).

Menghormati dan membantu anak yatim adalah satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah: Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, Maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Baqarah ayat 220)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (halal). (Surah al-Israk ayat 34)

Rasulullah s.a.w. memberi galakan dengan memberi janji ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang memberi perlindungan kepada anak yatim.

Ini berdasarkan beberapa potong hadis baginda yang bermaksud : "Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam Syurga. Berkata Malik, baginda telah mengisyaratkan dua jari baginda ia itu dengan merapatkan jari penunjuk dan jari hantu. (Hadis Riwayat Muslim ).

Misalan yang disebut dan ditunjukkan oleh baginda itu menggambarkan akrabnya kelak orang yang menjaga dan memelihara anak yatim bersama baginda di dalam Syurga.

Memberi perlindungan dalam hadis ini bermaksud: memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal, mengajar mereka agama, adab dan akhlak serta mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita amalkan tujuh perkara seperti di sarankan oleh malaikat Jibril kepada Nabi s.a.w. untuk diamalkan dalam kehidupan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Apabila malaikat JIbril sendiri yang mengalakkan ini bermakna perkara tersebut adalah satu tuntutan yang besar dan ianya di kehendaki oleh Allah s.w.t. Semoga kita termasuk dikalangan hamba-hamba Allah yang diredhai-Nya dan mendapat rahmat-Nya

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML