3 jenis manusia cinta kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam:
1) Cinta Abu Lahab kepada Nabi
- Abu Lahab cintakan insan yang bernama Muhammad sejak bayi. Malah dialah antara orang yang bergembira dengan kelahiran Nabi. Sejurus kelahiran bayi mulia itu, Abu Lahab lah yang menaja ibu susu bernama Thuwaibah yang merupakan hambanya kepada bayi tersebut. Sejak kecil hingga Baginda Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dewasa, Abu Lahab tiada masalah dengan Baginda. Tetapi apabila Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengumpulkan ahli keluarga untuk mengajak kepada mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA, Abu Lahablah dengan kelancangan mulutnya telah mencelaka Baginda dan pelbagai usaha dilakukan bagi mengagalkan dakwah Nabi (baca sini). ALLAH tidak redha dia. Ke neraka dia akhirnya!
- Cinta jenis begini ada sejak dahulu sampai sekarang. Manusia-manusia jenis ini mengaku cintakan Nabi, tetapi dalam masa yang sama, merekalah juga yang membangkang dan menentang usaha-usaha untuk membawa ajaran Islam ke dalam masyarakat. Mereka persis Abu Lahab.
2) Cinta Abu Talib kepada Nabi
- Abu Talib cintakan kepada Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Malah dia telah bela dan lindungi Nabi sejak kecil sampailah Abu Talib sendiri meninggal dunia pada usia sekitar 80 tahun (kurang-lebih). Tetapi apabila Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengajak Abu Talib agar mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA, Abu Talib memberikan banyak alasan. Abu Talib tidak terima dakwah Nabi, tidak ikut ajaran Nabi dan dalam masa yang sama tidak pula dia menentang dan membangkang. ALLAH tak redha dia. Ke neraka dia akhirnya!
- Cinta jenis begini juga ada sejak dahulu lagi. Mereka mengaku mencintai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, bahkan jika nama Nabi dihina dan imej Nabi diperlekeh, mereka akan bangkit membela dan menyatakan ketidakpuashatian. Tetapi malangnya, ajaran-ajaran Nabi tidak pula dihayati dan diambil sepenuhnya. Mereka tidak kisah akan ajaran Nabi. Mereka sekadar cinta sahaja. Mereka persis Abu Talib.
3) Cinta Abu Bakr radhiAllahu `anhu kepada Nabi
- Abu Bakr radhiAllahu `anhu cintakan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Beliau bukan setakat cinta, bahkan bela, lindung dan berkorban untuk Nabi. Dan yang lebih istimewa dan bermakna ialah beliau ikut seruan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam 100%. Bahkan setelah Baginda Nabi wafat, beliau terus sambung perjuangan dakwah Nabi untuk mentauhidkan ALLAH dan berserah diri kepadaNYA. Sejak hidup lagi beliau sudah dijamin masuk ke Syurga. ALLAH redha beliau. Dan ke Syurgalah tempat akhir beliau radhiAllahu `anhu.
- Cinta jenis ini juga telah ada sejak dahulu sampai sekarang. Mereka ini mencintai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam sepenuh hati dan sentiasa berusaha untuk menghayati semua ajaran-ajaran Nabi. Para sahabat Nabi, tabi`in, tabi`ut tabi`in, orang-orang soleh selepas zaman mereka sampailah hari ini sentiasa menjadi penerus kepada dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Bukan sahaja dipraktikkan kepada diri sendiri dan keluarga, bahkan mereka menyebar-nyebarkan ajaran Nabi yang mulia. Mereka tetap di atas jalan Nabi walaupun persekitaran mereka memilih sebaliknya. Cinta mereka kepada Nabi persis seperti Abu Bakr radhiAllahu `anhu, iaitu cinta Nabi dan ikut serta taat kepada ajaran Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.
Cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam cinta yang macam mana?
Ayuh kita sama-sama muhasabah supaya akhir tempat kita ialah ke Syurga dan ALLAH redha kita, amin…
No comments:
Post a Comment