Kadang-kadang kita berasa kagum dengan kehebatan seseorang yang boleh istiqamah yakni berterusan dalam melakukan amal-amal soleh. Rasa cemburu pun ada juga.
Kita tertanya-tanya bagaimana seseorang lelaki itu boleh setiap waktu mendirikan solat fardhunya di masjid?
Bagaimana lelaki itu boleh setiap malam bangun untuk mendirikan solat-solat sunat? Bagaimana dia boleh istiqamah dengan puasa sunat hari Isnin dan Khamis? Hairan macam mana dia boleh setiap hari menghabiskan berjuz-juz lembaran dari al-Quran? Kagum bagaimana dia boleh berterusan dapat hadir ke majlis-majlis ilmu setiap kali diadakan? Pelik bagaimana seseorang wanita itu boleh istiqamah dan tahan dengan pakaian yang tebal, bertudung labuh, malah berniqab pula?
Dari mana mereka dapat kekuatan untuk istiqamah ini??!
Tentulah mereka ini bukan mendapat kekuatan itu dalam masa sehari atau seminggu. Kekuatan dalam bentuk istiqamah ini sebenarnya datang dari sifat disiplin mereka sendiri. Sudah tentulah juga ia datang bersebabkan hidayah dan taufiq daripada ALLAH, TUHAN yang berkuasa memberikan petunjuk dan kekuatan itu.
Peraturan Yang Bersifat Memaksa
Saya telah mendengar beberapa perkongsian pengalaman dari ahli ilmu dan ahli ibadah tentang bagaimana mereka sebenarnya telah hidup dalam sistem yang memerlukan disiplin yang tinggi. Peraturan yang telah ditetapkan oleh institusi pondok dan sekolah agama yang mereka duduki telah menyebabkan mereka telah terbiasa dengan amalan-amalan ibadah.
Contohnya amalan bersolat malam ada dijadikan sebagai peraturan wajib sesebuah sekolah agama di luar negara, peraturan mewajibkan membaca doa-doa yang ma’thur setiap hari sebelum sekolah bermula, peraturan mewajibkan solat fardhu secara berjemaah, peraturan mewajibkan pelajar-pelajar lelaki berpakaian jubah serta berserban dan pelajar perempuannya bertudung labuh dan berniqab, membiasakan pelajar-pelajar berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis dan lain-lain lagi.
Memang biasa kedengaran ada yang membantah peraturan-peraturan yang keras ini samada bantahan itu datang dari para pelajar atau ibubapa. Ada sebahagian pelajar yang berasa tertekan dan ‘terseksa’ dengan peraturan ini. Ada yang membenci kepada peraturan-peraturan yang berbentuk paksaan sebegini.
Namun, setelah beberapa lama terbiasa dengannya, akhirnya amalan-amalan tersebut menjadi rutin kepada mereka. Ia sudah mendarah daging di dalam kehidupan mereka. Bak kata orang tua, “alah bisa tegal biasa”. Sehingga akhirnya perasaan benci dan terpaksa itu bertukar kepada suka dan rela.
Paksa Diri Sendiri Untuk Biasakan Diri Dengan Amal Soleh
Samada kita setuju atau tidak dengan sistem paksaan dan peraturan yang menyusahkan pelajar-pelajar ini, hakikatnya ia telah berjaya melahirkan ramai ahli ilmu dan ahli ibadah yang dihormati di kalangan masyarakat.
Mengambil pengajaran dari itu, kita sebenarnya perlu memaksa diri untuk melakukan amal-amal soleh seperti yang telah saya sebutkan di awal permulaan tulisan ini. Untuk menunggu ia tiba-tiba mendarah daging dan tiba-tiba terasa enak untuk beribadah adalah suatu yang agak mustahil.
Mungkin kalian antara orang yang biasa melakukan amal soleh seperti bersolat di masjid secara berjemaah, berpuasa sunat, hadir majlis ilmu, qiamullail dan lain-lain lagi. Tetapi tentu kalian juga kadang-kadang didatangi juga akan perasaan malas dan lemah untuk meneruskannya. Sifat istiqamah inilah yang jarang ada pada diri ramai orang yang melakukan ibadah. Ia sifat saya dan mungkin kalian juga.
Jadi, hendak atau tidak hendak, kita mesti paksakan diri. Mesti kuatkan disiplin. Mesti berlindung dengan ALLAH dari sifat malas dan lemah. Mesti berlindung dengan ALLAH dari bisikan Syaitan. Mesti mohon hidayah dan taufiq dari ALLAH. Mesti sedar bahawa tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin ALLAH. Mesti buat macam-macam usaha seperti jadual, sistem denda dan sistem alert kepada diri sendiri untuk dapatkan istiqamah.
Contohnya solat berjemaah di masjid. Kita mesti paksa diri dengan mengingatkan diri sendiri akan kelebihan dan ganjaran dari ALLAH tentang amalan perbuatan itu. Tentang marahnya Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada lelaki-lelaki yang tinggal berdekatan masjid yang tidak hadir sama solat di masjid berjemaah. Mesti sediakan jadual waktu solat supaya kita maklum tentang komitmen kita kepada waktu-waktu tersebut untuk berada di masjid. Mesti buat alert system samada di dalam telefon bimbit atau jam. Mesti minta rakan-rakan atau pasangan tegur untuk pergi solat di masjid. Dan sebagainya.
Begitu juga tentang amalan-amalan soleh yang lain…
Sungguh tuan-tuan sekalian, kita mahukan diri kita ini hidup dalam keredhaan ALLAH. Mahukan anggota-anggota yang dipinjamkan ALLAH ini berbuat amalan-amalan ibadah yang diredhai ALLAH. Mahu istiqamah dengannya. Mahu menjadi orang soleh seperti orang-orang soleh yang lain.
Tidak cukup hanya mahu berbuat begitu. Tidak cukup hanya kagum dan cemburu dengan orang-orang soleh. Tidak cukup!
Kita mesti paksakan diri. Semoga sedikit demi sedikit hasil dari tindakan memaksa diri itu menghasilkan istiqamah di dalam diri kita, insyaALLAH. Dan akhirnya menjadikan diri kita sebagai salah seorang hambaNYA yang amalan soleh bukan lagi lebih sebagai paksaan kepada diri, tetapi ia bertukar manis dan lazat tatkala melakukannya. Seterusnya memperbaiki kedudukan kita di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, amin…
Sekadar berkongsi,
No comments:
Post a Comment