Saturday, June 21, 2014

IKHLAS BETUL DIA !! TAPI....


Lelaki di dalam gambar telah mengangkat tangannya selama 38 tahun sejak tahun 1978.  Beliau sanggup berbuat sebegitu kerana ikhlas ingin beribadah untuk mendapatkan redha Tuhan yang dia percaya.  Pengorbanan dan susah payah yang dihadapi beliau tidak lain niatnya adalah untuk mendapatkan kasih sayang Tuhannya.

Andai tahap keikhlasan dan penghambaan lelaki ini kepada Tuhannya dibandingkan dengan keikhlasan dan penghambaan kita terhadap Tuhan kita, tentu agaknya kita akan kalah.  Dengan kekalahan yang teruk.

Nampak ikhlas sungguh dia.  Nampak zuhud betul dia.  Nampak `abid sungguh dia.  Nampak bersungguh-sungguh betul dia.

Tetapi, ikhlas sahaja tidak cukup untuk sesuatu amalan itu diterima oleh Tuhan semesta alam.  Ya, ia tidak cukup.  Kerana syarat untuk sesuatu pengibadahan itu diterima olehNYA mesti dipenuhi.

Syarat Sesuatu Amalan Diterima ALLAH

Ada 3 syarat untuk sesuatu amalan itu diterima oleh ALLAH, Tuhan Semesta Alam, iaitu:

1)  Beriman kepada ALLAH.

2)  Ikhlas kerana ALLAH.

3)  Mengikut syariat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Ini bermakna lelaki di atas tidak memenuhi satu pun syarat untuk penghambaannya diterima oleh Tuhan semesta alam, iaitu ALLAH Jalla wa A`la.

Hatta, jika dia berbuat begitu kerana ikhlas untuk ALLAH pun, dengan dia berkata, “Saya buat ini ikhlas kerana ALLAH kerana saya percaya ALLAH itu Tuhan saya”, syarat pertama dan ketiga tetap tidak dipenuhi beliau.  Kerana beliau tidak beriman kepada ALLAH Ta`ala dengan keimanan yang dikehendakiNYA.  Dan beliau juga tidak mengikut syariat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Sia-sialah usahanya itu.

Apabila melihat kesungguhan lelaki ini dan ramai lagi di seluruh dunia yang berbuat bermacam-macam cara untuk menghambakan diri mereka kepada Tuhan, maka timbullah rasa kasihan dalam hati kita terhadap mereka.  Keikhlasan mereka yang tulus dan suci itu tidak bermakna apa-apa dan hangus begitu sahaja pada Hari Akhirat nanti.

Dan rasa kasihan ini akan membuatkan kita rasa rajin untuk menyebarkan agama yang diredhai ALLAH, iaitu Islam, kepada semua manusia supaya manusia-manusia yang ‘ikhlas’ ini tidak tersia-sia nasib mereka pada Hari Akhirat nanti.  Sebab itulah nikmat Iman dan Islam ini mesti disampai-sampaikan kepada seluruh manusia di muka bumi ini.

Itu jika dilihat keadaan yang belum Muslim.  Bagaimana pula dengan kita yang sudah Muslim ini?

Muslim Yang Ikhlas Beribadah, Tapi…
Dalam komuniti Muslim kita pun ramai yang beribadah dengan ikhlas kerana ALLAH Ta`ala.  Mereka bukan sahaja beriman kepada ALLAH Ta`ala, bahkan berjaya mendapatkan ikhlas yang memerlukan usaha yang lebih untuk mendapatkannya.

Ini bermakna kedua-dua syarat pertama dan kedua telah pun mereka penuhi, iaitu beriman kepada ALLAH Ta`ala dan ikhlas kerana ALLAH Ta`ala.

Namun, yang menjadi kesedihan kita ialah masih ramai lagi Muslim, bahkan di kalangan `abid, yang beriman kepada ALLAH dan ikhlas kerana ALLAH, tetapi caranya tidak mengikuti cara yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Sebahagiannya tidak menepati dengan sunnah-sunnah Nabi.  Sebahagiannya pula bercanggah dengan sunnah-sunnah Nabi dalam hal ibadah.

Nah, diterimakah amalan-amalan mereka?

Jika dilihat pada 3 syarat suatu amalan diterima ALLAH yang disebutkan di atas, terhukumlah secara zahir bahawa amalan tersebut tidak diterima oleh ALLAH `Azza wa Jalla.  Kerana ia gagal memenuhi syarat yang ke-3 iaitu mengikuti syariat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Masyarakat am Muslim, bahkan Muslim yang terlibat dengan ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan yang bid`ah jika ditanya kepada mereka adakah mereka beriman dan ikhlas kerana ALLAH?  Nescaya ramai di kalangan mereka kata “ya!”.  Mata kita kadang-kadang boleh melihat sendiri betapa mereka sanggup mengorbankan wang, harta malah nyawa untuk melakukan ibadah-ibadah tertentu sebagai bukti keikhlasan mereka.

Namun, rugilah mereka!  Dan kita juga…! Seandainya kita tidak mengikuti apa yang telah disyariatkan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dalam hal beribadah, walaupun kita telah beriman dan ikhlas kerana ALLAH Ta`ala.  Kerana amalan-amalan ibadah yang tidak mengikuti contoh dari Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam adalah tertolak.

Dari `A’isyah radhiAllahu `anha, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ, فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya:  “Sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam juga telah bersabda:

ٌّمَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُنَا, فَهُوَ رَد

ٍMaksudnya:  “Sesiapa yang melakukan suatu amalan, bukan dari ajaran kami, maka ia adalah tertolak.”

(HR Muslim)

Justeru, ayuh kita sama-sama muhasabah diri.  Pastikanlah agar ketiga-tiga syarat di atas dipenuhi supaya amalan-amalan kita membawa keberuntungan buat kita pada Hari Akhirat nanti.  Kita khuatir jika benar kita beriman kepada ALLAH Ta`ala, jika benar kita ikhlas, tetapi disebabkan syariat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam melalui sunnah-sunnahnya tidak kita ikuti, akhirnya kita melopong, kecewa dan menangis ketakutan pada Hari Dihitung Semua Amal nanti.

Jangan jadi seperti lelaki dalam gambar di atas.  Jangan jadi seperti pengikut ajaran-ajaran sesat.  Jangan jadi seperti pengamal-pengamal bid`ah.  Dan jangan jadi muslim yang hanya beribadah kerana ikut-ikut orang.

Tetapi, jadilah Muslim yang Muslim.  Iaitu berserah diri kepada ALLAH, ikhlas keranaNYA dan mengikuti syariat RasulNYA sallAllahu `alaihi wa sallam.

Bagaimana mahu kenal syariat Nabi?

Tidak lain kenalah terus belajar ilmu agama dan semak semula amalan-amalan ibadah kita semuanya.  Benarkah ia syariat Nabi?  Atau ia syariat syok-sendiri?

Semoga ALLAH menunjukkan hidayah dan taufiqNYA buat kita semua, amin…

Allahu A`lam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML