Pagi tadi selepas pulang dari surau, tiba-tiba adik sepupu saya yang berumur 3 tahun ajak saya berjalan-jalan naik motor. Hendak pergi taman permainan katanya. Disebabkan hari masih gelap sebab matahari belum keluar, saya pun bawalah dia pusing-pusing kawasan perumahan. Sudah pusing-pusing, diajak balik dia tidak mahu lagi. Hendak makan katanya.
Saya pun terus menunggang motorsikal ke kedai makan berdekatan. Sampai di sana, kami memilih untuk duduk di luar untuk menghirup udara pagi yang segar sambil makan roti canai. Malangnya, suasana di restoran itu dicemari asap rokok. Selain kami, ada 7 orang yang sedang duduk di restoran itu. Daripada 7 orang itu, 4 daripada mereka menghisap rokok. Ah, terpaksa pindah ke ruang dalam untuk mengelak asap rokok yang busuk itu.
Tentu ramai mengalami suasana sebegini. Iaitu suasana diganggu asap rokok yang dihembus oleh para perokok yang tidak langsung sensitif dengan keadaan dan perasaan orang lain.
Saya selalu terasa dizalimi dengan sikap para perokok yang merokok di tempat-tempat awam terutamanya di kedai-kedai makan. Betapa tidak caknanya perokok-perokok ini terhadap keselesaan orang lain. Asap rokok bukan sahaja membahayakan si perokok, malah ia turut membahayakan orang lain yang terpaksa menghidu sama asap rokok hembusan perokok-perokok.
Kami tidak bencikan perokok. Tetapi yang kami benci ialah sikap si perokok yang telah menzalimi hak kami untuk hidup aman, selesa dan untuk menghirup udara segar pemberian ALLAH Ta`ala. Memang kuat rasa benci kami kepada sikap mereka. Seaakan disua racun ke hidung kami supaya menghidunya Memang asap rokok mengandungi racun.
Perokok bukan sahaja menzalimi diri mereka sendiri apabila merokok. Bahkan mereka turut menzalimi diri orang lain apabila asap rokok berkepul-kepul masuk ke dalam hidung, mulut dan paru-paru orang lain yang tidak merokok.
Bengang betul dengan sikap perokok yang merokok merata-rata! |
Apa hendak buat?
1. Tegur si perokok itu.
Ini jarang kita buat sebab memang sikap masyarakat kita memang agak kurang tegur secara langsung, termasuklah saya. Kalau dapat tegur, aduh, sangatlah bagus.
Saya tidak mampu tegur secara langsung. Tetapi adik lelaki saya sudah menegur 4 orang lelaki yang merokok secara langsung. Iaitu seorang pakcik tua, seorang lelaki di kenduri kahwin, seorang kenalan saya di restoran mamak dan seorang anggota tentera yang berpakaian seragam tentera ketika kami singgah ke kem tentera di Port Dickson. Allahu Akbar!
Mujur mereka beri respon yang positif. Maklumlah yang tegur mereka ialah budak-budak.
Teringat pula saya akan video ini:
2. Pindah ke tempat lain yang tidak dicemari asap rokok.
Ini sudah biasa sangat dibuat. Kelemahannya ialah si perokok mungkin tidak perasan perbuatan kita itu sebagai protes terhadap kezalimannya. Lalu mereka akan terus dengan sikap tidak sensitifnya.
3. Kutuk di belakang atau dalam hati.
Ini pun dah biasa buat. Kritik, adu dan kadang-kadang kutuk si perokok tanpa pengetahuannya. Perbuatan ini cuma dapat meluahkan perasaan sahaja, tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah kita yang kena zalim.
4. Doakan keburukan di perokok.
Walaupun ini ada dilakukan oleh orang yang kena zalim oleh si perokok, namun perbuatan ini janganlah dilakukan. Apa untungnya jika kita doakan keburukannya. Jika doa itu termakbul, lalu si perokok itu ditimpa musibah, nah apa kebaikannya? Fikirkanlah dan janganlah didoakan untuk keburukan mereka.
5. Doakan agar si perokok itu berhenti merokok.
Hah, inilah yang paling baik dan mudah untuk dilakukan. Tidak perlu berhadapan dengan si penzalim itu dan tidak perlu berhadapan dengan risiko dimarah atau diperli.
Sebagai orang yang kena zalim, mungkin waktu kita kena zalim itulah, kita berdoa kepada ALLAH agar penzalim-penzalim tersebut berhenti dari tabiat buruk merokok mereka. Inilah pendekatan yang telah dan akan saya gunakan pada saat lemahnya saya hendak tegur secara langsung. Bukan sahaja kebaikan untuk diri si perokok akan diperolehi jika doa itu dimakbulkan. Bahkan diri kita yang berdoa untuk kebaikan mereka juga tercatit sebagai salah satu amalan kebaikan di sisi ALLAH.
Justeru, marilah kita ambil pendekatan ini ya! Iaitu pada saat dizalimi itu, kita bersabar lalu mendoakan agar perokok-perokok ini berhenti dari merokok, amin… :)
baca ini juga kalau berkesempatan
No comments:
Post a Comment