Sunday, February 16, 2014

SOAL JAWAB AGAMA BAHAGIAN 114

Soal Jawab Agama Siri 114 (Abad-adab Beristinjak dan Buang Air, Hukum Berhias Dan Hukum Lelaki Memakai Inai)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 114 adalah membicarakan persoalan adab-adab beristinjak, adab-adab membuang air kecil dan besar, hukum berhias atau memakai perhiasan dan hukum lelaki memakai inai.

851. Soalan : Apakah adab-adab beristinjak yang mengikut sunah Rasulullah SAW?

Jawapan : 

Istinjak bermaksud membasuh tempat keluar najis iaitu zakar/faraj dan dubur selepas membuang air kecil (yakni kencing) atau air besar (yakni berak). Hukumnya adalah wajib.

Apakah bahan yang harus digunakan untuk istinjak?

Bahan untuk beristinjak ialah air. Anas r.a. memceritakan; “Adalah Nabi SAW apabila keluar membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk baginda beristinjak”. 

Diharuskan juga menggunakan benda-benda kesat seperti batu, kertas dan sebagainya yang boleh menanggalkan najis. Banyak hadis menceritakan Nabi SAW. beristinjak menggunakan batu.

Menurut mazhab Syafi’ie, paling baik ialah menggabungkan kedua-duanya; iaitu menyapu najis dengan benda kesat (tisu atau sebagainya), kemudian disusuli dengan membasuh dengan air. Cara ini adalah terbaik kerana dapat menjimat air dan mengelak tangan dari terlalu banyak menyentuh najis. Harus menggunakan salah satu cara iaitu dengan air sahaja atau dengan benda kesat sahaja, namun beristinjak dengan air adalah lebih afdhal kerana lebih menyucikan.

Beristinjak sunat menggunakan tangan kiri. Beristinjak dengan tangan kanan adalah makruh, kecuali tidak dapat dielakkan. Kata Nabi SAW maksudnya ; “Sesiapa dari kamu kencing, janganlah ia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan janganlah juga ia beristinjak dengan tangan kanannya”.(Hadis Riwayat Bukhari dari Qatadah r.a)

Apakah syarat-syarat beristinjak dengan benda kesat?

Namun jika hendak beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja (tanpa menggunakan air), mesti memenuhi syarat-syarat di bawah;

1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan, tidak boleh kurang darinya.
(Sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi s.a.w., tidak harus kuraang dari itu.)

Salman r.a. menceritakan; “Nabi SAW menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)”.(Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai.)

Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).

2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.

3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.

4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh meanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.

5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang. Kata Nabi SAW.; “Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”.(Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

852. Soalan : Apakah adab-adab semasa membuang air kecil atau air besar?

Jawapan :

1. Jangan membuka aurat sebelum masuk ke dalam tandas. Apa yang selalu atau kadang-kadang dilakukan oleh sebahagian dari kita hari ini iaitu menyelak atau mengangkat kain hingga nampak aurat sebelum masuk tandas adalah menyalahi Syarak. Hukumnya adalah haram.

2. Ketika memasuki tandas dahulukan kaki kiri dan sebelum melangkah masuk, bacalah terlebih dahulu;

بسم الله، اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث

"Ya Allah Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari syaitan jantan dan syaitan betina" (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

3. Keluar dari tandas, dahulukan kaki kanan dan apabila telah berada di luar tandas bacalah;

غفرانك، الحمد لله الذي أذهب عني الأذى وعافاني

"Segala puji milik Allah semata yang telah menghilangkan kotoran daripadaku, dan menjadikan aku sihat walafiat."


(Hadis Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

4. Janganlah bercakap-cakap semasa di dalam tandas kecuali tidak dapat dielakkan. Malah Nabi SAW. tidak menjawab salam ketika baginda sedang buang air. Ibnu Umar menceritakan; “Seorang lelaki telah lalu berhampiran Nabi s.a.w. yang sedang kencing. Ia memberi salam kepada baginda, namun baginda tidak memjawab salamnya”.(Hadis Riwayat Muslim)

5. Jangan membawa masuk barang-barang yang terdapat nama Allah atau ayat al-Quran atau sebagainya yang dimuliakan oleh agama.

6. Jika terpaksa membuang air di tempat yang tidak mempunyai tandas (seperti di hutan dan sebagainya), hendaklah menjaga adab-adab berikut selain dari adab-adab di atas tadi;

i. Hendaklah mencari tempat yang jauh dari orang ramai.

ii. Jangan mengadap ke arah qiblat atau membelakanginya.

iii. Hendaklah mencari tempat yang sesuai. Elakkan dari buang air di jalan lalu lalang orang ramai, tempat berteduh mereka, laluan air, di bawah pohon yang berbuah atau sebarang tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Hal tersebut amat dilarang oleh Nabi SAW. kerana mengundang laknat orang terhadap pelakunya.

iv. Jangan buang air di air yang tenang. Jabir r.a. berkata; “Nabi menegah kencing di air yang tenang."

v. Jangan buang air di lubang yang telah tersedia kerana ia dikhuatiri didiami oleh binatang atau jin. Abdullah bin Sarjis r.a. berkata; “Nabi SAW melarang kencing ke dalam lubang”(Hadis Riwayat Abu Daud)

Apa hukum kencing sambil berdiri?

Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi SAW.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi SAW. kencing di situ sambil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi baginda. Namun baginda berkata kepadaku; ‘Hampirilah’. Aku pun menghampiri Nabi hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Setelah selesai kencing, Nabi mengambil wuduk dengan menyapu dua khufnya”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan keharusan kencing sambil berdiri, bukan menunjukkan kebiasaan Nabi SAW. Kebiasaan Nabi SAW ialah kencing sambil duduk sebagaimana riwayat dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang berkata; “Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi SAW. kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menegaskan; hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka; perbuatan Nabi kencing berdiri dalam hadis pertama di atas adalah kerana ada keuzuran bagi baginda; kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafi’ie; orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Kesimpulannya; kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulama di atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir; “Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW.”.

853. Soalan : Apa hukum berhias atau memakai perhiasan?

Jawapan :

Islam tidak melarang umatnya untuk berhias atau memakai perhiasan asalkan tidak melanggari batasan yang ditetapkan dan kena pada tempatnya. Menurut ulamak, hukum asal perhiasan adalah halal dan harus sama ada pada badan, pakaian atau empat tinggal. Keharusan Ini berdasarkan penjelasan Allah dalam ayat berikut;

يَابَنِي ءَادَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ، قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

”Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui”. (Surah al-A’raf ayat 31-32)

Namun demikian keharusan tersebut dikecualikan darinya beberapa jenis perhiasan tertentu yang dilarang oleh Syarak kerana hikmah-hikmah tertentu. 

854. Soalan : Apakah jenis-jenis perhiasan yang dilarang di dalam Islam?

Jawapan :

1. Emas dan sutera bagi kaum lelaki; Diharamkan ke atas orang lelaki memakai perhiasan emas dan sutera kerana ia dikhususkan bagi kaum perempuan sahaja.

Sabda Rasulullah SAW;

حرَّمَ لباسُ الحريرِ والذَّهبُ على ذُكورِ أمَّتي وأحلَّ لأناثهِم

“Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita-wanita mereka”. (Hadis Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asy’ari r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

2. Perkakas dari emas dan perak; Diharamkan menggunakan emas dan perak selain untuk perhiasan diri dan juga sebagai mata wang. Oleh itu, tidak harus menjadikan emas dan perak sebagai perkakas makan dan minum (yakni pinggan, cawan, mangkuk dan sebagainya), alat-alat tulis (pen dan sebagainya), bekas celak, hiasan rumah, majlis-majlis, masjid atau surau, kedai dan sebagainya. Sebagaimana diharamkan mengguna, begitu juga haram menyimpannya.

Sabda Nabi SAW;

لاَ تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ، وَلاَ تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا

Maksudnya : “Janganlah kamu minum di dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan di dalam talam (talam yang cukup untuk 5 orang) dari keduanya kerana ia adalah untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia)”. (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Huzaifah r.a.)

3. Merubah kejadian Allah; Syari’at Islam mengharamkan seseorang sama ada lelaki atau wanita berhias dan bersolek hingga ke tahap mengubah kejadian Allah pada diri tanpa ada keperluan yang mendesak.

 Larangan Nabi SAW. terhadap perbuatan menyambung rambut, bertatu, mencabut bulu kening dan menjarangkan gigi. Sabda baginda SAW ;

لعنَ اللهُ الواصلةَ والمُستوصلةَ والواشمةَ والمُستوشمةَ

Maksudnya : “Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya, orang yang minta disambung rambutnya, orang yang melakukan tatu dan orang yang minta dilakukan tatu kepadanya”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Abdullah bin Umar r.a.)

Sabda baginda juga;

لَعَنَ اللهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ، وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ

Maksudnya : “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

4. Menyerupai lelaki atau perempuan; Dilarang sama sekali lelaki meniru-niru gaya kaum wanita dan wanita meniru-niru gaya kaum lelaki sama ada pada pada pakaian, perhiasan, gaya berjalan, bercakap dan sebagainya.

Larangan ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;

لعن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال

Maksudnya : “Rasulullah SAW. telah melaknat lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Perbuatan tersebut tergolong dalam dosa-dosa besar menurut ulamak kerana terdapat laknat Rasulullah ke atasnya. Contoh perbuatan meniru wanita ialah seperti lelaki yang memakai rantai, anting-anting dan gelang, berinai, memakai emas dan sutera, memakai pakaian menyerupai wanita, melembutkan suara dan cara berjalan dan sebagainya lagi dari perlakuan atau gaya yang selalunya ada pada wanita sahaja. Contoh meniru lelaki pula ialah seperti memakai pakaian lelaki, berjalan dan bercakap dengan gaya lelaki dengan perbuatan yang dibuat-buat, mencukur rambut, memakai lilitan kepala yang menyerupai serban dan sebagainya yang biasanya dilakukan oleh kaum lelaki sahaja.

5. Dilarang bertabarruj; iaitu wanita berhias untuk lelaki-lelaki ajnabi iaitu lelaki-lelaki yang haram ia mendedahkan auratnya kepada mereka.

6. Tiada israf dan ikhtiyal; iaitu berlebih-lebihan dan berbangga-bangga dengan pakaian dan perhiasan.

855. Soalan : Adakah hukum lelaki berinai?

Jawapan :

Diharamkan ke atas lelaki mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya kerana perbuatan tersebut meniru/menyerupai wanita yang dilaknat di dalam hadis Nabi SAW.; “Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.).(Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdussalam Tawilah, hlm. 294-295.)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML